Jumaat, 28 September 2007

Pejuang Islam Veteran Patut Berfikiran Lebih Terbuka

Semalam Ibnu Hasyim(ibnuhashim.blogspot.com) menalipon teman. Hampir dua jam kami berbual. Banyak benda yang dibualkan. Talipon bimbit teman menjadi panas kerana perbualan yang panjang. Perbualan lebih tertumpu kepada pejuangan Islam, terutama perjuangan Pas.

Semasa beliau mempunyai sebuah kedai yang menjual buku dan kaset dulu, yang terletak di Islamic City, Jalan Off Pahang, bersebelahan dengan pejabat harakah, teman selalu melepak dikedainya selepas habis waktu bekerja atau dihari cuti. Dikedainya, selalu pemimpin dan ahli Pas datang berkunjung. Di kedai itulah teman mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan pemimpin Pas seperti Ustaz Yusuf Rawa,Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Hassan Syukri , Subky Latif, Ustaz Nakhaie Hj Ahmad (dah masuk UMNO) dan ramai aktivis Pas dari pelbagai kawasan seperti allahyarham Pak Din 'Hancur' , Rafei, Syuib , Mat Anang (Allahyahham) Riduan Onn , Haji Hamdan , Ilyas dan puluhan nama yang teman dah lupa. Teman juga pernah membawa Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah kesana.

Sesungguhnya di kedai buku yang dikenali sebagai GG Edar, merupakan tempat yang menyimpan kenangan yang banyak. Diantaranya, teman telah digelar oleh Man Kadir (dulu aktivis Pas tapi sekarang kembali semula kepada dunia lakonan) sebagai Anuariyun. Teman sampai ke hari ini tak tahu mengapa gelaran itu diberi pada teman. Mungkin kerana teman tak begitu suka dengan cara beberapa kerat pemimpin dan ahli Pas memaki hamun Brother Anwar tak tentu kira, sampai ke tahap mengkafirkan beliau. Teman masa itu, walaupun tak setuju dan amat marah dengan kemasukan Bro Anwar ke dalam UMNO, tetapi teman masih berharap beliau boleh buat sesuatu untuk Islam.

Itulah diantara secebis kenangan lama. Kini kedai GG Edar telah tutup kerana sebab yang tak payah teman sebut disini. Namun, peranannya dalam membantu mengembangkan fikrah islamiyah melalui buku dan keset adalah begitu besar. Ibnu Hasyim yang nama sebenarnya Mohammad bin Hasyim,kini tidak segagah dulu. Namun dia masih menulis dan sedang merancang untuk menerbit beberapa buah buku.

Teman dan Ibnu Hasyim selalu juga berbeza pendapat , khususnya dari segi uslub perjuangan. Tapi perbedaan pendapat , tidak pernah menjarakkan hubungan kami. Ini kerana , kami sedar bahawa yang penting matlamat perjuangan mestilah sama. Walaupun umurnya lebih tua dari teman, tidak pernah ianya menjadi batu penghalang untuk teman menyanggah pendapatnya yang teman rasa tak kena. Dan kini, kami semakin tua dan kami lebih sedar bahawa perbedaan pendapat dalam masalah yang bukan pokok adalah normal. Apa pun UMNO tetap kami anggap musuh utama perjuangan Islam yang sebenarnya.

Buat pejuang-pejuang Islam veteren , macam teman, kita kena meluaskan cakra pemikiran seluas-luasnya dan sanggup dikritik oleh pejuang-pejuang Islam yang masih muda. Teman dapati pejuang islam yang usia mereka masih muda, mempunyai pemikiran yang lebih kritis. Mungkin ini adalah akibat dari ledakan maklumat yang melimpah ruah dan ilmu yang semakin mudah diperolehi . Dalam erti kata yang lain, mereka menikmati 'exposure' yang lebih ketara , di era dunia tanpa sempadan kini. Kita pejuang Islam veteran , yang mungkin kaya dengan pengalaman seharus lebih bersikap terbuka dan jangan mudah merajuk bila dikritik oleh pejuang-pejuang muda. Contohilah Ustaz Hassan Syukri. Dari dulu sehingga kini beliau berfikiran terbuka. Teman sayang padanya.

Akhir kata ,teman dedikasi posting kali ini kepada anak muda yang bergelar Abu Fatihah , tuan punya blog Prismantiq.com. Teruskan perjuangan , biarkan anjing menyalak, kabilah tetap meneruskan perjalanan.

Khamis, 27 September 2007

Pak Lah: Teman Nak Mohon Bekerja .Boleh Tak?

Semasa teman menulis ini Pak Lah sedang berada di New York, menghadiri persidangan di PBB.Teman mendoakan, Pak Lah berada dalam keadaan sihat dan ceria. Moga Pak Lah pulang ke Malaysia dengan selamat. Teman harap, jet eksekutif yang membawa Pak Lah tidak menghadapi sebarang masalah di atas angkasa. Ringkasnya, teman harap jet ekesekutif yang Pak Lah naiki tidak meletup atau hilang hingga tak dapat dikesan. Rakyat Malaysia, termasuk teman mahu Pak Lah hidup lebih lama lagi. Banyak kerja yang Pak Lah janji nak laksanakan, masih belum selesai. Banyak benda baru yang bakal muncul perlu Pak Lah lihat sendiri.

Pak Lah, boleh tak teman nak minta tolong sikit. Teman, memang terasa malu juga nak minta tolong ni.Teman sedar bahawa teman selalu mengritik Pak Lah. Tapi anggaplah sebarang kritikan teman sebagai 'cubaan' supaya Pak Lah menjadi Perdana Menteri yang tabah menghadapi segala bentuk ujian dan cubaan.

Untuk pengetahuan Pak Lah teman dah tak bekerja. Sakit pula tu. Duit VSS yang teman perolehi dulu , dah tinggal beberapa ringgit saja. Bisnes teman pada tahun ni, tak menjadi.Dan banyak kali teman kena tipu dalam bisnes. Yang tipu bukan orang lain. Saudara mara dan kawan-kawan baik teman sendiri. Apa nak dikata. Nasib badan!

Oleh itu, teman dengan rendah hati memohon kerja dari Pak Lah. Jangan risau, teman tak akan mohon supaya jawatan Perdana Menteri yang sedang disandang oleh Pak Lah, diserahkan pada teman. Jawatan PM tak layak buat teman kerana teman bukan Presiden UMNO dan bukan ahli UMNO.

Jawatan yang teman nak mohon ni, ialah sebagai Penasihat Sulit. Pak Lah dah ada Pegawai Khas,Penasihat agama, Setpol, Setiausaha Akhbar dan beberapa pegawai yang lain. Rasanya jawatan Penasihat Sulit belum ada. Maka Pak Lah ujudkanlah jawatan tersebut secara sulit dan teman dengan ini menawarkan diri sebagai penjawat jawatan tersebut secara kontrak.

Pak Lah jangan risau teman tak minta gaji yang tinggi. Bayar sahaja gaji teman mengikut jam. Sebagai permulaan , apakata teman dibayar sebanyak RM400 sejam.Tak banyakkan? Kalau tujuh jam teman bekerja sehari, maka darapkan dengan RM400. Masih dikira tak mahal dan cukup berpatutan. Sesuai dengan Jawatan yang dipohon.

Kalau Pak Lah setuju, nanti teman buatkan 'job description' berserta dengan KPInya. Jangan beri orang lain buatkan, kerana banyak tugas sebagai Penasihat Sulit tak boleh diketahui oleh makluk lain, melainkan Pak Lah dan teman.

Diantara senarai tugas teman , ialah untuk mempastikankan Pak Lah akan kekal sebagai Perdana Menteri selagi nyawa Pak Lah tak berpisah dari badan. Teman juga boleh buat Pak Lah jemu menjawat jawatan Perdana Menteri. Dan disaat seperti itu, teman akan memberi nasihat sulit bagaimana hendak meletak jawatan dalam keadaan tersenyum lebar dan tak seorang pun akan merayu supaya Pak Lah jangan melepaskan jawatan yang paling berprestij di negara ini.

Dan tugas lain yang akan teman laksanakan ialah , teman akan menasihati Pak Lah secara sulit mana-mana menteri yang perlu diberhentikan kerana terlibat melakukan rasuah dan beberapa skandal yang lain. Dikalangan menteri menteri yang bermasalah ini, sukar untuk ditendang kerana kebanyakkan mereka masih berpengaruh. Dan Pak Lah kelihatan tak punya keberanian yang cukup untuk memecat puak ini. Jangan risau, teman akan beri nasihat sulit bagaimana hendak singkirkan mereka ini. Teman ada cara tersendiri yang Pak Lah tak pernah fikirkan. Percayalah Pak Lah, rakyat, khususnya Ezam Mohd Nor, Pengerusi GERAK, akan tabik seribu kali, tanda menghargai jasa Pak Lah dalam membasmi gejala rasuah tanpa mengira bulu.

Teman juga akan memberi nasihat sulit, bagaimana BN boleh terus berkuasa selagi Pak Lah menjadi Perdana Menteri.Salah satu caranya ialah biarkan semua Kerusi DUN Kelantan, Trengganu, Pahang, Kedah dan Perlis jatuh ke tangan Pas. Dengan berbuat demikian, tertolaklah anggapan pemimpin Pas bahawa Pak Lah dan BN mengunakan pengundi hantu. Dan rakyat akan melihat bahawa Pak Lah seorang PM yang paling demokratik. Pak Lah jangan risau walaupun lima negeri jatuh ke tangan Pas, yang penting majoriti ahli Parlimen adalah terdiri dari calun BN. Dengan ini BN kekal memerintah Malaysia. Pak Lah serahkan pada teman untuk mengaturkan strategi yang serba sulit dan amat menyulitkan ini.

Dan banyak lagi senarai tugas teman yang akan dilaksanakan demi kebahagian Pak Lah.Percayalah!

Sekali lagi teman hendak beritahu pada Pak Lah bahawa teman perlu kerja. Menganugerahkan Jawatan Penasihat Sulit kepada teman, adalah cara terbaik untuk membantu teman menampung kos hidup yang terlalu tinggi.

Tolonglah Pak Lah pada teman yang semakin tak berduit ini. Gaji yang teman minta bukan banyak sangat. Ianya cukup setimbal dengan tugas-tugas seorang Penasihat sulit yang akan melaksanakan semua tugas secara sulit. Makhluk yang tahu tentang keujudan teman sebagai Penasihat sulit hanya Pak Lah dan teman. Isteri baru Pak Lah pun tak boleh tahu. Kalau dia tahu, dia pasti membebel mengapa Pak Lah begitu bodoh melantik teman sebagai Penasihat Sulit. Walaupun terdapat kebenaran 'bebelan' beliau, tapi demi teman yang sedang menghadapi krisis kewangan yang paling teruk disepanjang hidup teman, yang tak pernah teman tempuhi , maka Pak Lah perlulah segera membantu.Tolongggggggggg! Tolongggggggggggg!

Kalau sulit sangat untuk Pak Lah menunaikan permintaan teman, teman mohon derma sebanyak RM 60.000 untuk belanja raya dan belanja harian untuk jangka masa lima bulan.Teman, percaya Pak Lah mampu melakukannya.Kalau Malaysia boleh, pasti Pak Lah lebih daripada boleh!

Hidup Pak Lah!

Nota: Jangan cakap teman sedang meraban. Sesungguhnya, teman serius.

Rabu, 26 September 2007

Ramalan Keputusan Panel Bebas Mengenai Klip Video VK Linggam.

Hari ini, teman dapat tahu sebuah Panel Bebas telah dibentuk oleh kerajaan untuk menyiasat video yang dikatakan boleh menjejas badan kehakiman di Malaysia. Yang mendedahkan isu video ini ialah Datuk Seri Anuar Ibrahim, matan Timbalan Perdana Menteri. Riuh rendah negara Islam hadhari ini, akibat pendedahan yang tak terduga tersebut. Teman pun hairan, dari sumber mana DSAI, tokoh pencetus idea masyarakat Madani memperolehinya. Betul, cakap orang, DSAI masih banyak 'kaki' yang terus membantunya secara terang atau sembunyi.

Dan hari ini, Majlis peguam telah berjaya mengumpul hampir 2000 orang ,kebanyakkannya para peguam dan berarak dari Istana Keadilan( Palace of Justice) di Putra jaya ke Jabatan Perdana Menteri untuk menyerah memorandum yang di antaranya meminta Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat klip video tersebut dan mereformasikan sistem kehakiman yang dilihat semakin tercalar dan tercemar.

Seperti telah jadi suatu tugas utama, Polis biasa dan FRU turut berada di sana.Siap dengan belantan, water canon dan sebagainya. Rupanya bukan sahaja perhimpunan aman anjuran parti pembangkang Polis dan FRU wajib ada, bahkan perhimpunan aman kumpulan professional pun menerima nasib yang sama. Nasib baik, polis kali ini tak mengejar orang dengan pistol.Mungkinkah,kesemua ini petanda kerajaan yang dipimpin oleh Al Sheikhul Islam Hadhari , sedang bergerak untuk memenuhi ciri-ciri sebuah Negara Polis? Atau pun ianya telah pun terjadi?

Dalam isu ini, di pihak kerajaan telah ditubuhkan Panel Bebas untuk buat sisatan , manakala Majlis peguam dan parti pembangkang mendesak dibentuk Suruhanjaya Diraja.Jelas berlaku pertentangan disini. Apakah sebabnya, dalam isu sebesar ini, kerajaan hanya merasa cukup sekadar dibentuk sebuah panel yang dianggotai oleh 2 orang bekas hakim bersara dan seorang lagi yang tak pernah belajar undang-undang?. Mungkin ramai yang tak setuju dengan pembentukan Panel Bebas .Ini akan menyebabkan kredibilitinya akan dipertikaikan dan tambahan pula Panel Bebas tidak boleh dijamin 100% bebas kerana hasil sisatan akan dibentang kepada PM Malaysia yang juga pemilik ajaran Islam hadhari dan sekutunya. Eloklah tu !.Imej kerajaan BN yang telah sedia hodoh, akan berjuta kali dipandang hodoh dan jelek.

Di kesempatan ini teman cuba meramalkan apakah rupa hasil sisatan Panel Bebas tersebut. Penat otak teman memikirkannya. Akhirnya menjelma ramalan teman seperti berikut:
1. Adalah disahkan bahawa klip video ini adalah tulin. Tetapi mutu 'shootingnya' tidak sehebat kepakaran Saudara Badaruddin Hj Azmi seperti filem arahannya 'KL Menjerit'

2. Adalah didapati, Mr VK Linggam telah bercakap sendiri dengan mengunakan telefon bimbit yang telah rosak. Dan telefon itu telah dibuang oleh beliau , maka barang bukti dari segi teknikalnya, tidak dapat diperolehi.Maka akibat dari satu barang kes yang penting, telah tiada , kami merasa kes yang dianggap kes , adalah bukan kes.

3. Memang Mr VK Linggam ada menyebut beberapa nama,tetapi seperti yang telah di jelaskan di perkara (2) , beliau bercakap sendirian tanpa ada sesiapa pun dihujung talian. Melalui sisatan kami, VK Linggam beranggan nak jadi pelakon mengantikan mendiang MGR. Oleh yang demekian, adegan dia seolah sedang berbual dengan orang yang bergelar 'Datuk', adalah sebahagian dari latihan hariannya untuk menjadi 'film star'. Memang kami memuji latihan lakonan Mr VK Linggam yang semacam 'real' dan ada 'feel'.

4. Dan kami juga dapati perbualan beliau secara sendiran, dipengaruhi sejenis minuman yang dipanggil 'todi'. Itu sebab dia menyebut nama-nama besar dalam dunia kehakiman,politik dan korporat. Dengan menyebut nama tokoh-tokoh besar, hati beliau dibungai oleh seribu kebanggaan kerana seolah-olah beliau mengenali mereka secara rapat, pada hal itu adalah ilusinya. Meskipun demikian, beliau telah berjaya menjadikan sesuatu yang berdasarkan ilusi seolah suatu realiti yang tak boleh diragui. Memang Mr VK Linggam manusia hebat.

5. Kesimpulannya , tuduhan yang mengata Mr VK Linggam sedang berbual dengan seorang Datuk, yang sekarang ini Tun, adalah dusta dan karut semata-mata.Dan Panel ini telah menasihati Mr VK Linggam,kalau beliau hendak berlakun berbual dengan mana-mana Datuk, carilah tempat yang lebih sesuai supaya adegan lakonannya tidak dirakam oleh orang yang diragui kesetiaannya.Atau berlakunlah betul-betul dihadapan orang yang dipanggilnya 'Datuk' supaya, fitnah tidak timbul dan lebih selamat.

Begitulah ramalan teman terhadap hasil sisatan yang akan dijalankan oleh Panel Bebas yang dibentuk oleh kerajaan BN yang dianggotai Jemaah menteri yang tahap pemikiran dan perangai mereka setaraf dengan sekumpulan Mat Rempit. Kalau didapati meleset, jangan salahkan teman kerana ianya adalah ramalan sahaja. Tak lebih dan tak kurang!

Selasa, 25 September 2007

Mengapa Ramai Lagi Yang Tak Daftar Jadi Pengundi?

Tak daftar mengundi boleh jejas demokrasi negara" Pak Lah
Tuesday, 25 September 2007
KEENGGANAN orang ramai mendaftar sebagai pengundi akan menjejaskan amalan demokrasi di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata mengundi adalah satu tanggungjawab yang penting kerana masyarakat perlu menggunakan hak mereka untuk menentukan kerajaan dan wakil rakyat.

"Jika kita sendiri tidak mahu mendaftar sebagai pengundi tentulah kita tiada peranan langsung dalam hal ini (proses demokrasi negara)," kata Abdullah yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti di sini.

Beliau berkata akibatnya wakil rakyat tidak mendapat sokongan yang kuat.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendedahkan bahawa orang Melayu masih menjadi golongan tertinggi yang tidak mendaftar sebagai pengundi
.(Petikan Dari klpost)


Teman setuju dengan kenyataan Pak Lah bahawa keengganan orang ramai mendaftar menjadi pengundi boleh menjejaskan amalan demokrasi. Beliau bercakap serious.Tak meraban. Semoga rakyat dengar cakap beliau. Dia cakap betul. Jangan sesiapapun ragu.

Jelas ,teman tak bangkang semua yang Pak Lah cakap.Yang betul, teman kata betul. Yang meraban, teman kata meraban.

Cuma teman nak tanya sikit yang tak akan menyakitkan hati Al Syeikh Abuya Imam Islam hadhari ini, adakah tidak bercanggah dengan prinsip dan amalan demokrasi, sekira BN mengunakan Polis yang secara kerap tidak membenarkan siri-siri penerangan parti pembangkang? Bukan setakat polis kerap tak beri permit, tapi dengan sengaja cuba memerangkap penyokong pembangkang dengan provokasi yang amat menjijikkan di tempat ceramah diadakan.

Adakah Pak Lah dan BN mahu pengundi Malaysia hanya dihidangkan dengan maklumat dari sumber yang dikawal secara ketat seperti media elektonik dan cetak? Kalau begitu kehendak Pak Lah dan BN, mungkin itu merupakan faktor yang menyebabkan ramai rakyat tak mahu jadi pengundi. Mereka mungkin mual dan menyampah dengan amalan hodoh demokrasi di Malaysia.Mungkinkah, Pak Lah?

Sebagai seorang Imam Islam hadhari, seharusnya Pak Lah mempamirkan sikap demokratik yang tulin berbanding dengan bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini.Tapi entahlah Pak Lah, semakin kuat kokokan Pak Lah mengenai ajaran Islam hadhari, semakin terencat amalan demokrasi di Malaysia.Bahkan terlalu parah keterenjatannya!

Tapi belum terlambat. Tak payah pakai topi keledar pun, Pak Lah mampu mengubahnya. Izinkanlah pembangkang dan rakyat amnya bersuara dengan bebas menyatakan apa yang mereka anggap sebagai suatu kebenaran.Tambahan pula , kebebasan bersuara adalah dijamin oleh Perlembagaan Negara dan Islam. Dari sudut Islam hadhari,Pak Lah boleh jawab sendiri!

Tentang kenyataan Pengerusi SPR, teman tak teringin nak ulas. Kalau lidah Pak Lah bercabang dua, lidah beliau bercabang sepuluh. Buang gas sahaja.

Sabtu, 22 September 2007

Musa Oh Musa ! Mana Kau Campak Rasa Keinsanan

Tak berapa lama selepas Nurin dikebumikan dan kesedihan ibubapanya masih belum reda, Ketua Polis Negara, membuat kenyataan bahawa ibu bapa Nurin boleh didakwa kalau terbukti mereka melakukan kecuaian yang mengakibatkan kehilangan Nurin. Teman tak tahu, adakah di hati KPN telah tiada lagi tempat rasa keinsanan. Atau beliau pun telah dijangkiti penyakit bercakap ketika sedang tidur. Entahlah, Musa! Sepatutnya cubalah faham perasaan Ibu bapa Nurin ketika ini.

Musa, kau tahu tak, bukan keluarga Nurin sahaja yang bersedih dan menanggis atas trajedi yang berlaku, bahkan teman dan hampir kesemua rakyat yang punya perasaan turut menitiskan airmata. Tiba-tiba kau buat kami marah dengan kenyataan yang tak bertempat itu. Dan jangan marah kalau teman mengandaikan bahawa kau akan berkata "peduli apa aku dengan kemarahan orang.Aku KPN, aku tahu apa yang aku perlu cakap dan buat".

Begini sahajalah Musa,kalau kau rasa kau berkuasa kerana jawatan KPN, buatlah apa sahaja yang kau mahu.

Kau bernasib baik, kerana PM tolong rekomen , perkhidmatan kau disambung secara kontrak. Kalau teman jadi PM, kontrak kau ditamatkan serta merta. Dan sebagai menghargai jasa kau , terutama dalam isu 'tilam' akan teman tawarkan kau menjadi ketua "security guard" di Menara Condong Teluk Intan!

Khamis, 20 September 2007

Takziah Buat Ibubapa Nurin dan Tahniah Kepada Polis Malaysia

Petang tadi telah disahkan melalui ujian DNA bahawa mayat anak kecil yang dijumpai pada hari Isnin yang lalu adalahNurin Jazlin Jazimin, 8, yang hilang sejak 20 Ogos yang lalu. Ayah kepada Nurin begitu berat untuk menerima kenyataan ini. Beliau terus meminta polis terus berusaha mencari anaknya , yang dipercayai masih hidup.

Teman, simpati dengan Encik Jazimin serta isterinya. Mana ibu bapa yang hendakkan kematian seperti itu berlaku pada anaknya. Teman boleh mengatakan "bersabarlah saudara kerana tuhan lebih menyayangi Nurin Jazlin". Berat mata teman memandang, tetapi segunung kepiluan yang maha berat menghempap sanubari kedua Ibu bapa Nurin.

Yang membuat kita semua sedih, ialah cara kematian si anak kecil. Dia dibunuh dengan kejam. Dan disumbatkan dalam beg sukan.Kalaulah ada sesiapa dapat menangkap penjenayah celaka tu, kalau boleh serahkan pada teman terlebih dahulu.Nescaya dengan kudrat yang tak seberapa ada, akan teman tumbuk mukanya sampai hancur dan teman akan pakaikan topeng berkulit babi bagi mengantikan wajahnya yang hancur. Lepas itu baru diserahkan pada pihak polis. Tapi janganlah polis tak sanggup tangkap pembunuh kejam tersebut dengan alasan rupa penjenayah itu seperti babi, kerana sejak dua menjak ni, polis lebih takut pada babi dari takutkan tuhan!

Suatu perkara lagi, pemimpin-pemimpin BN selalu mendakwa Malaysia sebuah negara yang aman. Memang dari suatu sudut Malaysia, tak berperang dengan mana-mana negara. Tapi aman dalam ertikata yang sebenar masih 'eelek'(bahasa Taimil yang bermaksud tak ada ).Indeks jenayah pula semakin meningkat, terutama di Lembah Kelang. Tiap hari ada kes jenayah dalam pelbagai bentuk. Ada yang berpendapat secara berlebihan bahawa tidak ada tempat yang selamat di Lembah Kelang, melainkan di rumah Perdana Menteri sahaja dan Istana Yang Di Pertuan Agong.

Nak kata polis kurang , bilangan yang dilatih untuk dijadikan anggota polis semakin bertambah. Adakah polis Malaysia tak menjalankan tugas dengan sewajarnya sehingga penjenayah semakin membiak dan lebih berani serta kejam? Tak boleh cakap macam itu. Nanti KPN marah , nanti dia angkut tilam dari rumah teman .Baru padan muka teman.

Tahniah Tan Seri, Polis Malaysia sejak dipimpin oleh Tan Seri semakin berdidikasi. Bukan setakat berdidikasi, bahkan begitu patuh mengikut arahan. Ahklak mereka cukup mulia. Kesemua mereka tak makan rasuah tapi mereka minta derma dari pelaku kesalahan secara baik. Ada yang didakwa mengebom orang sehingga berkecai kerana bom neukler tak ada di Malaysia. Ada yang menembak perusuh dengan peluru hidup ,kerana tak ada peluru mati.

Dan teman rasa , Polis Malaysia patut diberi pingat emas kerana menjadikan tugas mengawal ceramah pembangkang yang adalah lebih utama dari menghapuskan penjenayah dan dengan demikian berjaya meningkatkan 'markah' dalam indeks jenayah di negara Islam hadhari ini!

Rabu, 19 September 2007

Pak Lah Mengapa Meraban Lagi?

Hari ini teman terbaca kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disiarkan akhabr hari ini mengenai langkah kerajaan mendaftarkan sekolah agama rakyat(SAR) dan sekolah agama negeri(SAN) sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), kerana tidak mahu pelajar daripada sekolah ini berakal sempit serta berfikiran jumud yang tidak dapat menerima ilmu-ilmu lain.

Wahai Pak Lah, Pak Lah dah lupa atau hilang akal, bahawa Tok Wan Pak Lah adalah pengasas SAR dan bapak Pak Lah adalah produk SAR? Adakah Pak Lah cuba memberi tahu " Tok Wan dan bapak aku berakal sempit dan jumud. Itu sebab aku mahu SAR dan SAN didaftarkan sebagai sekolah bantuan kerajaan".

Kalau Tok Wan dan bapak Lah masih hidup, teman percaya dia akan besit pungkuk Pak Lah dengan rotan banyak kali kerana menghina keturunan diri sendiri.

Penasihat agama Pak Lah, Dr Abdul Hamid Othman juga pernah menerima pendidikan awal dari SAR. Mungkin semasa dia mendengar ucapan Pak Lah, hatinya pedih dan sayu. Kalau dia seorang yang bermaruah, tentu dia terus tegur Pak Lah. Tapi apakan daya, mahu hidup katakan!

Pak Lah, mengapa semakin hari semakin meraban? Patutnya fikiran semakin tenang sejak dapat menyunting bunga, yang bernama Jeanne Danker Abdullah. Atau fikiran Pak Lah sudah celaru kerana tersilap memetik bunga yang semakin layu dan terbit rasa menyesal tak cuba memetik bunga yang bernama Erra Fazira? Kalau itu puncanya, bersabarlah Pak Lah. Anggaplah jodoh Pak Lah adalah dengan Jeanne. Bukankan jodoh pertemuan termasuk dalam ketentuan Tuhan?

Teman juga musykil adakah Pak Lah sudah buat kajian,sehingga membuat kesimpulan yang produk SAR akalnya tertutup dan jumud sehingga tolak ilmu lain? Ilmu apa yang ditolak oleh produk SAR?. Mungkinkah kerana Tok Wan dan ayah Pak Lah tolak ilmu lain, maka Pak Lah menganggap kesemua produk SAR adalah sama.

Pak Lah ,teman masih ingat seorang pensyarah sejarah teman semasa belajar di UM lama dulu, pernah membebel dalam dewan kuliah bahawa pelajar Melayu suka memilih aliran sastra dan tak minat pada pelajaran sains. Pensyarah tersebut pada masa itu baru dapat Phd dari Oxford University. Pak Lah tahu, apa teman buat bila pensyarah itu cakap macam itu? Teman terus bangun dan bertanya kepadanya "apakah doktor memperolehi Phd dalam bidang Sains?" Terus dia diam. Dia mungkin terlupa bahawa dia pun dari aliran Sastera. Pak Lah pun mungkin lupa bahawa Tok Wan dan bapak Pak Lah adalah pengasas dan produk SAS.

Teman bukan produk SAR. Ayah dan Ibu teman pun bukan produk SAR. Tapi kami tak pernah kata pelajar atau produk SAR bebal, jumud, berfikiran tertutup dan tolak ilmu lain. Memang tak dinafikan ada segelintir yang bebal dan jumud. Kemungkinan golongan yang segelintir inilah yang dari dulu sehingga kini diiktiraf sebagai ulama-ulama tersohor UMNO. Tapi pada umumnya , mereka lebih berakhlak dan taat pada suruhan tuhan berbandingkan teman dan keluarga. Kami belajar agama dari mereka.Kami juga dapati ramai dari kalangan mereka yang mempunyai anak-anak yang belajar dalam ilmu perubatan moden, kejuruteraan, akautan dan seumpama dengannya. Kalau mereka jumud dan akal tertutup, sudah tentu mereka paksa anak-anak mereka belajar agama semata-mata.

Dan teman nak tanya Pak Lah, adakah produk bukan SAR , pemikiran mereka tidak tertutup, tidak jumud, dan menguasai semua ilmu dalam dunia ini? Adakah kesemua mereka mempunyai akhlak yang unggul dan hati mereka terlalu dekat dengan tuhan? Bukankah terdapat sebahagian dari mereka yang mendokong sistem jahiliah sehingga sanggup menghina perjuangan Islam? Dan bukankah sebahagian dari mereka yang jika menjadi menteri sanggup menjual agama dan bangsa dan melakukan rasuah, jika menjadi pegawai polis sanggup melacurkan harga diri sehingga sanggup jadi alat dan jika menjadi menantu Perdana Menteri sanggup bersikap samseng dan jadi tukang 'pau' demi mengayakan diri?

Sebenarnya banyak benda yang teman nak luahkan agar perasaan yang terluka akibat kenyataan Pak Lah yang bunyinya terlalu tebal dengan kebebalan akan dapat diredakan. Tapi teman pun tahu letih. Cukuplah setakat ini dulu.

Sebelum tu, teman nak tanya adakah isteri Pak Lah yang tak bertudung itu, menandakan Pak Lah mempunya akal yang sudah terbuka terlalu luas?Seluas alam dan segala isinya!

Isnin, 17 September 2007

Bahan Renungan Buat Pak Lah

"AGAMA Islam menolak pihak yang cuba melakukan rusuhan yang akhirnya membawa kepada kerosakan harta benda awam, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata tindakan merusuh di tempat awam merupakan tindakan yang tidak bersesuaian dengan keadaan negara ini yang hakikatnya di dalam keadaan aman.Beliau berkata rakyat di negara ini sebenarnya inginkan keadaan yang aman dan menolak sebarang tindakan ganas yang dicetuskan oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara."Kita tidak suka jika ada yang bertindak liar dan berbuat rusuhan dan kesusahan. Kita tidak mahu itu.

"Allah juga tidak sukakan mereka yang melakukan rusuhan dan kerosakan di buminya," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan daif Parlimen Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkong, di sini
.( Di Petik dari laman web Kl Pos )

Wahai Pak Lah Perdana Menteri Malaysia, hang kena tanya, mengapa berlaku rusuhan. Jangan dok meracau tak tentu kira. Adakah salah satu rukum Islam Hadhari adalah meracau tak keruan?

Teman cuba untuk menyayangi Pak Lah beribu kali, tapi sampai kini rasa sayang pada seorang yang bernama Abdullah Ahmad Badawi masih belum berjaya tersemat dihati teman. Jangan kata teman tak cuba. Bukan teman bencikan Pak Lah. Teman cuma belum sayang lagi. Kalaulah dalam keadaan hati teman masih belum dapat menyayangi seorang Perdana Menteri, tak tahulah bila nyawa Pak Lah direntap oleh Malaikat Maut adakah teman akan ketawa dan bertepuk tangan? Harap tidak. Teman akan cuba bersedih. Tapi bolehkah kesedihan dipaksa? Oh, Pak Lah teman tak tahu hendak jawab, kerana Pak Lah masih hidup .

Wahai Pak Lah, memang Islam mengajar supaya manusia hidup dalam keadaan rukun damai. Tak galakkan rusuhan. Tak payah belajar agama tinggi-tinggi pun, semua umat Islam tahu tentang ini. Tapi macam mana nak aman, kalau ada orang tak faham erti bertoleransi, demokrasi dan meraikan perbedaan pendapat?

Pak Lah ada orang kata , Pak Lah macam burung kakak tua yang pandai bercakap tapi tak tahu apa yang dicakap. Ada juga yang cakap , Pak Lah jenis IQ rendah. Yang Pak Lah tahu hanyalah hendak jadi Perdana Menteri walaupun banggang. Teman ulangi, bukan teman yang cakap. Tapi orang lain.

Cuba Pak Lah fikir, apakah rusuhan di Batu Buruk boleh jadi secara sendiri? Tentu tidak. Rusuhan berlaku kerana ada aksi yang mencetuskan riaksi. Siapa yang mulakan aksi tersebut? Semua orang tahu jawapannya, iaitu Polis Diraja Malaysia yang datang ke situ bagai balatentera yang hendak menyerang musuh negara(ada orang kata "Angkatan Polis UMNO") . Aksi tersebut termasuk menangkap puluhan orang awam yang asalnya mahu mendengar ceramah tapi mereka tak tahu ceramah yang hendak diadakan tak diberi permit oleh polis. Dan aksi yang paling sadis, ialah apabila terdapat seekor polis menembak 2 orang awam dengan peluru hidup.

Maka akibatnya berlakulah riaksi dari segelintir rakyat yang sudah muak dengan perlakuan anggota polis yang ganas dan keganasan mereka mungkin terpengaruh dengan ajaran Islam Hadhari yang direstui oleh bapak kepada bapak Setan yang bernama George Bush.

Pak Lah , kalaulah Barisan Nasional dan Polis tahu erti demokrasi dan punya toleransi, rusuhan tidak akan berlaku. Tapi sayang Pak Lah dan sekutu pura-pura membahlolkan diri dan terus mendabik dada bahawa demokrasi Malaysia lebih baik dari negara-negara lain terutama di sebelah Afrika.

Wahai Pak Lah kalaulah terasa hendak jadikan Malaysia sebagai negara Polis, syarat-syaratnya sudah hampir lengkap. Cuma beberapa langkah sahaja yang diperlukan. Oleh itu sempurnakanklah ia dengan cara mengharamkan semua parti politik pembangkang dan kalau ada golongan yang bangkit menentang kerajaan , maka tembak dan bomlah mereka. Biar yang hidup di Malaysia hanya penyokong Barisan Nasional dan rakyat yang sudah dijadikan bangkai bernyawa.

Dengan demikian tentunya, Paklah akan jadi pemimpin diktator sampai nyawa berpisah dari badan.

Ahad, 16 September 2007

Teringat Waktu Berbuka Suatu Waktu Dulu

Seingat teman waktu berbuka , semasa teman sedang melangkah ke alam dewasa dulu sungguh indah. Masa itu ayah masih hidup. Ibu masih hidup. Adik beradik pun masih ada. Dulu pasar ramadhan tak ada.Mungkin orang pada masa itu tak terfikir perlunya pasar ramadhan.

Kalau pun pasar ramadhan ada, teman tak terfikir untuk meminta ayah teman atau teman sendiri yang pergi beli lauk pauk atau kuih muih. Buat apa hendak dibeli, kerana bila teman terfikir nak makan kuih itu dan ini atau lauk apa sahaja, teman hanya perlu bersuara minta Ibu teman buatkan. Jarang permintaan teman tak ternunai. Mungkin, teman anak yang pandai mengambil hati ibu.

Semua orang kata masakan yang paling sedap, ialah hasil airtangan seorang Ibu. Teman pun kata macam itu. Ibu teman pandai masak puluhan jenis kuih. Dan kuih yang teman paling suka ialah badak beremdam dan kuih lopeh. Lauk yang teman suka ialah ikan belis belada dan ikan merah masak lemak. Sedap!

Kalau rajin, teman pergi ke masjid India selepas waktu Asar untuk mengambil bubur kanji(Bubur lambuk). Bubur kanji Masjid India Teluk Intan, teman rasa yang paling sedap dalam dunia. Sukar untuk teman ungkapkan dengan kata-kata. Kalau tak percaya, moh pergi ke Masjid India Teluk Intan. Sehingga kini di Masjid India, Teluk Intan bubur kanji masih disediakan untuk dibahagi-bahagikan kepada sesiapa yang datang.

Memang, saat yang paling dinantikan pada bulan ramadhan ialah waktu berbuka. 10 minit sebelum berbuka teman sudah bersedia di meja makan. Adik beradik teman pun sama. Kami suka mencium bau lauk pauk dan kuih muih yang terhidang. Dan teman lupa nak cerita, masakan pecal sentiasa disediakan oleh ibu untuk berbuka.

Dan yang paling lambat datang ke meja makan ialah ayah teman. Dia suka berzikir atau membaca al-Qur'an sebelum waktu berbuka.

Bila sahaja kedengaran bunyi'ketuk' dari surau berdekatan, teman yang jarang baca bismillah, terus minum dua gelas air bandung berais atau milo. Teman gelojoh. Ayah teman selalu tegur. Ibu teman pun tegur.

Diringkaskan cerita, kenangan waktu berbuka suatu waktu dulu, bersama ayah ibu dan adik beradik adalah saat-saat yang menyeronokkan.

Tapi dua tiga hari ni tekak teman begitu loya mengadap makanan sewaktu berbuka. Bukannya makanan yang dihidangkan bermasalah.

Yang membuat tekak teman loya, bila teman teringgatkan perangai anggota polis yang macam kehilangan akal di Batu Buruk yang mengejar orang awam dengan pistol yang berisi peluru hidup.

Memang teman sedang emosi.

Sabtu, 15 September 2007

Satu Wawancara Dengan Pak Lah

Tiba-tiba Teman dapat peluang untuk mewancara Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi.


Teman: Saya terperanjat kerana Datuk Seri sudi diwawancarakan.

Pak Lah: Saya pun terperanjat kerana hang muncul tiba-tiba.

Teman: Sebenarnya, banyak soalan hendak saya tanya.

Pak Lah: Kalau banyak kurangkan. Saya seperti hari-hari lain cukup sibuk. Meeting sini sana. Merasmikan majlis itu dan ini. Saya kerja kuat. Ini janji saya pada rakyat.

Teman: Mengapa ada orang kata , Datuk Seri adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling lembab dibandingkan dengan empat Perdana Menteri yang lepas?

Pak Lah: Biak pi orang nak kata apa. Yang penting saya mesti kerja untuk menjayakan RMK 9. Orang kalau dia benci, dia cakap macam-macam. Hang pun cakap macam itu kah?

Teman: Maaf Datuk Seri, saya pun kadang-kadang terlepas cakap.

Pak Lah: Jangan macam tu, tak baik.

Teman: Datuk Seri, kata Tun Mahathir dia tersilap dalam meletakkan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri. Apa pandangan Datuk Seri?

Pak Lah: Kesilapan ini menunjukkan Tun Mahathir tidak sempurna. Ini sifat manusia. Saya maafkan kesilapan Tun dalam hal ini.

Teman: Adakah Datuk seri sedar bahawa para menteri, timbalan menteri dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh Datuk Seri jelas memiliki kecenderungan mengampu Datuk Seri seperti mana yang pernah dialami oleh Tun Mahathir dan sekarang beliau sedar bahawa mereka dulu pengampu besar.

Pak Lah: Syukur Tun Mahathir telah sedar. Nanti bila saya sudah lepaskan jawatan kemungkinan kesedaran itu timbul.

Teman: Datuk Seri dalam banyak keadaan, bila di soal tentang beberapa isu nasional, kelihatan seolah tak tahu apa yang berlaku dan selalu menjawab : saya belum tahu dan akan siasat.

Pak Lah: Kalau saya tak tahu, saya tak boleh cakap seolah-olah saya tahu. Berdosa.

Teman: Ada orang kata, Datuk Seri tak layak menjadi Menteri Kewangan kerana kurang arifnya Datuk Seri dalam soal ekonomi negara dan dunia. Dan pembentangan badget 2008 baru-baru ini, Datuk Seri dikatakan membaca sahaja apa yang tertulis.

Pak Lah: Apa nak hairan, bila ada orang kata saya tak layak jadi Menteri Kewangan, saya juga dikatakan tak layak jadi PM. Tapi hakikatnya saya PM dan Menteri Kewangan dan juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Yang penting saya ada pembantu yang baik. Mengenai pembentang baget baru-baru ini, memang saya baca. Takkan saya membentang baget dengan bersyair.

Teman: Adakah Barisan Nasional akan menang besar dalam Pilihanraya umum seperti tahun 2004.

Pak Lah: Dengan berkat Islam Hadhari , BN akan menang besar.

Teman: Adakah BN akan mengunakan pengundi hantu, terutama di Kelantan dan Trengganu?

Pak Lah: Eh mana ada. Ini semua cakap pembangkang. Yang mengundi semuanya manusia. Awak sokong BN atau Pembangkang ?

Teman: Maaf Datuk Seri, saya menyokong Pas.

Pak Lah: kalau gitu, saya tak mahu cakap dengan hang lagi.

Teman: Janganlah gitu Datuk Seri. Saya pun seperti Datuk Seri mahu cakap yang betul. Berdosa kalau saya cakap saya sokong BN tapi sebenarnya saya penyokong Pas.

Pak Lah: Betui. You boleh teruskan soalan. Tapi janganlah soal yang susah-susah, saya dah mula letih. Rasa hendak tidur pun ada.

Teman: Ah, bercakap tentang tidur, ramai orang kata Datuk Seri kaki tidur.

Pak Lah: Salah tu. Kaki saya tak tidur.

Teman: Maksud saya ada orang kata , Datuk Seri seorang yang suka tidur. Sambil berdiri dalam sesuatu majlis pun Datuk Seri boleh tidur.

Pak Lah: Orang boleh cakap apa saja. Soalnya siapa yang tak suka tidur? Memang saya ada nampak gambar-gambar yang ditangkap oleh jurugambar, saya sedang tidur dalam sesuatu majlis. Adakah mata saya tertutup itu menandakan saya tertidur? Ramai orang keliru. Bila saya tutup mata, itu maknanya saya sedang memikir sesuatu dengan mendalam. Dan kadang-kadang saya cuba melawan rasa mengantuk dengan menutup mata, tapi saya tak tidur. Adalah sekali sekala saya tertidur, tapi telinga saya dapat mendengar. Eh, susah nak cerita. Ini kelebihan saya.

Teman: Adakah Datuk Seri cuba beri tahu bahawa keadaan Datuk Seri seolah-olah sedang tidur adalah sukar untuk dihuraikan.

Pak Lah: Tepat. You pembangkang yang bijak. Yang lain tak berapa cerdik, itu sebab mudah kena tipu dalam pilihanraya.

Teman: Maksud Datuk Seri ,pembangkang mudah ditipu dengan cara putar belit jahat pihak BN.

Pak Lah: Ini soalan hendak perangkap saya. Kita hentikan wawancara ini sampai di sini.

Pak Lah terus berlalu. Teman termanggu. Teman cuba mengejarnya . Tak terkejar. Dia hilang dari kayalan dan imiginasi teman.

Jumaat, 14 September 2007

Tazkirah Jumaat Buat Timbalan Ketua Polis Negara

Hari ini teman menjengok beberapa laman web. Terdapat berita tentang penafian Timbalan Ketua Polis Negara ,Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz, yang menafikan anggotanya membakar bendera jalur gemilang.

Sebelum itu teman mahu menegaskan bahawa teman menghormati jalur gemilang kerana ia melambangkan kedaulatan negara. Namun demikian teman tidak pernah sampai ke tahap menjadikannya sesuatu yang suci. Dan sebagai lambang kedaulatan negara, adalah suatu perbuatan yang melampau kalau ada rakyat Malaysia yang membakar bendera negaranya sendiri. Membakar bendera jalur gemilang seolah-olah membakar kedaulatan negara.

Menurut Tan Sri Mohd Najib, kes bakar bendera ini sedang dalam siasatan. Kalau kes ini sedang dalam siasatan, apa perlu beliau menafikan anggota polis terlibat membakar bendera? Beliau sepatutnya menyiasat kenyataan Sdr Mohd Sabu dan Ketua AM PKR yang berkata bahawa yang membakar bendera jalur gemilang adalah salah seorang anggota polis.

"Najib, kau siasat dulu dan jangan mulakan dengan penafian. Adakah kau anggap semua Polis bersih dari melakukan kesalahan dan dosa? Kau pun tahu bekas Ketua Polis Negara (aku tak mahu ingat namanya), pernah didapati bersalah kerana membelasah setenggah mati matan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kau pun tahu ada anggota polis yang diberkas kerana meragut penunggang motosikal. Kau pun tahu dua ekor polis sedang dibicarakan kerana meletupkan Altantuya dengan bom C4. Kau pun tahu terdapat polis yang kerja sampingannya ialah melakukan rasuah. Ringkasnya pasukan polis Malaysia bukan sekumpulan malaikat yang sifat mereka bersih dari noda dan dosa".

Sebagai tambahan , teman berharap agar Tan Sri Najib meminta rakyat , media arus perdana dan termasuk pemimpin UMNO supaya menutup mulut mereka yang menuduh penyokong pembangkang yang membakar jalur gemilang. Dengan berbuat demikian , barulah Tan Sri Najib boleh dibanggai kerana bersikap professional dan layak sekarang juga untuk mengantikan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara. Itupun kalau Pak Lah setuju.

Khamis, 13 September 2007

Bush Puji Islam Hadhari

Islam hadhari dikatakan bukan ajaran baru. Ianya cuma pendekatan bagi memajukan umat. Puak Islam Liberal pun mengunakan 'loud speaker' yang sama bahawa Islam liberal adalah satu pendekatan bagi membebaskan umat Islam dari belenggu golongan yang dianggap konservatif.

Hari ini teman baca di akhbar , Presiden Amerika memuji Islam Hadhari. Pak Lah tentu suka. Suku sakat beliau bertepuk tangan. Teman pun tak hairan, kenapa salah seorang tokoh musuh Islam seperti si bangsat Bush memuji Islam hadhari kerana dia tahu Islam hadhari adalah musuh kepada Islam yang sebenar. Bush dan Islam hadhari adalah serasi.

Tahniah diucapkan pada Imam Islam Hadhari yang telah memenuhi cita rasa Presiden Amerika.

Rabu, 12 September 2007

Polis Dan UMNO bersekongkol Di Batu Buruk?

Adik ipar teman hari ini menziarahi teman yang sedang sakit. Beliau baru pulang dari Trengganu kerana urusan bisniss. Banyak perkara yang beliau ceritakan. Termasuk dalam senarai cerita beliau ialah tentang peristiwa di Batu Buruk pada malam Sabtu dulu. Peristiwa ini sudah diketahui oleh orang ramai satu Malaya.

Kebetulan adik ipar teman sedang menjamu selera digerai berhampiran dengan peristiwa itu. Dia dapati ramai orang digerai itu. Kemudian dia tahu, kebanyakan yang berada digerai itu asalnya hendak mendengar ceramah anjuran Bersih yang dianggotai oleh Pas, PKR ,Dap dan beberapa buah NGO. Oleh kerana program tersebut telah ditarik permitnya, maka ramai yang hadir membuat keputusan untuk pulang. Tambahan pula banyak jalan ke tempat ceramah terdapat Polis Malaysia yang hebat telah membuat 'roadblock'.

Semasa adik ipar teman menjamu selera, sekumpulan FRU mengunakan alat penyembur air asid dan memancut ke arah gerai tersebut. Berterbangan pinggan, cawan dan sebagainya. Dan yang menyedihkan anak tuan gerai yang sedang tidur di dalam buaiyan yang digantung di sisi depan gerai tersebut menanggis dengan kuat dan ibunya terus mendokongnya. Anak kecil itu akhirnya diam.Pengsan.

Melihat keadaan si anak kecil itu, adik ipar teman terus membantu. Beliau bersama dua orang pelanggan gerai berserta ibu anak kecil itu, terus membawa anak kecil itu ke hospital. Syukur si anak kecil itu selamat.

Seterusnya adik ipar teman menceritakan sekumpulan mat rempit yang bukan bertujuan untuk mendengar ceramah, telah dihampiri sekumpulan Polis Malaysia yang hebat. Salah seorang daripada Polis Malaysia telah menendang motor seorang Mat Rempit. Maka berlakulah pergaduhan antara kumpulan Mat Rempit dengan Sekumpulan Polis Malaysia yang terkenal sebagai berdisiplin dan beraklak mulia.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku diceritakan oleh adik ipar teman tentang peristiwa di Batu Buruk, termasuk kes dua orang rakyat biasa telah ditembak oleh polis Malaysia menggunakan peluru hidup. Teman yang sedang menahan kesakitan, menjadi pendengar yang setia. Fikiran dan perasaan teman cukup terganggu dengan apa yang telah diceritakan oleh adik ipar teman.

Teman cuba memberi justifikasi positif terhadap tindakan FRU yang mengunakan water cannon yang digunakan untuk memancut gerai tersebut. Kemungkinan di Batu Buruk telah lama tak hujan. Bagi menyejukkan persekitaran , air asid dipanjutkan. Mengapa air asid? Mungkin FRU tak terfikir ada air lain.

Mengenai polis Malaysia menendang motor rempit, mungkin ini cara baru yang diajar oleh Islam Hadhari untuk menunjukkan kemesraan sesama insan.

Tentang penggunaan peluru hidup yang digunakan oleh polis, ianya bukan sesuatu yang luar biasa. Kalau guna peluru mati, tentu yang ditembak terus mati. Kalau guna peluru hidup, terbukti dua orang yang ditembak masih hidup.

Ah, mengapa teman meraban tak tentu kira? Sudah ramai pemimpin Pas yang menyatakan bahawa peristiwa di Batu Buruk adalah perancangan Polis dan UMNO untuk memburukkan Pas khususnya.

Teman cuba bersangka baik, Polis dan UMNO adalah entiti yang berbeza. Masakan Polis sanggup mengadaikan prinsip untuk mengampu UMNO. Teman percaya Polis Malaysia yang di diketuai oleh Tan Sri Musa Hasan, anak seorang ulama tak mungkin bacul dan sanggup menjadi pecacai UMNO. Dan dalam masa yang sama Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia adalah anak dan cucu kepada Ulama. Masakan anak dan cucu ulama sanggup membenarkan parti yang dipimpinnya, bersekongkol dengan Polis Malaysia untuk merancang sesuatu yang jelek dan hodoh.

Namun bila teman teringat riwayat Nabi Noh a.s dimana anaknya sendiri enggan mengikuti ajaran ayahnya dan teringat pula bait lagu kumpulan Raihan 'iman tak dapat diwarisi dari ayah yang bertakwa', maka teman bertanya diri sendiri adakah Tan Sri Musa Hassan dan Pak Lah sedang menjejaki langkah anak Nabi Noh a.s yang engkar?