Tiba-tiba Teman dapat peluang untuk mewancara Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi.
Teman: Saya terperanjat kerana Datuk Seri sudi diwawancarakan.
Pak Lah: Saya pun terperanjat kerana hang muncul tiba-tiba.
Teman: Sebenarnya, banyak soalan hendak saya tanya.
Pak Lah: Kalau banyak kurangkan. Saya seperti hari-hari lain cukup sibuk. Meeting sini sana. Merasmikan majlis itu dan ini. Saya kerja kuat. Ini janji saya pada rakyat.
Teman: Mengapa ada orang kata , Datuk Seri adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling lembab dibandingkan dengan empat Perdana Menteri yang lepas?
Pak Lah: Biak pi orang nak kata apa. Yang penting saya mesti kerja untuk menjayakan RMK 9. Orang kalau dia benci, dia cakap macam-macam. Hang pun cakap macam itu kah?
Teman: Maaf Datuk Seri, saya pun kadang-kadang terlepas cakap.
Pak Lah: Jangan macam tu, tak baik.
Teman: Datuk Seri, kata Tun Mahathir dia tersilap dalam meletakkan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri. Apa pandangan Datuk Seri?
Pak Lah: Kesilapan ini menunjukkan Tun Mahathir tidak sempurna. Ini sifat manusia. Saya maafkan kesilapan Tun dalam hal ini.
Teman: Adakah Datuk seri sedar bahawa para menteri, timbalan menteri dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh Datuk Seri jelas memiliki kecenderungan mengampu Datuk Seri seperti mana yang pernah dialami oleh Tun Mahathir dan sekarang beliau sedar bahawa mereka dulu pengampu besar.
Pak Lah: Syukur Tun Mahathir telah sedar. Nanti bila saya sudah lepaskan jawatan kemungkinan kesedaran itu timbul.
Teman: Datuk Seri dalam banyak keadaan, bila di soal tentang beberapa isu nasional, kelihatan seolah tak tahu apa yang berlaku dan selalu menjawab : saya belum tahu dan akan siasat.
Pak Lah: Kalau saya tak tahu, saya tak boleh cakap seolah-olah saya tahu. Berdosa.
Teman: Ada orang kata, Datuk Seri tak layak menjadi Menteri Kewangan kerana kurang arifnya Datuk Seri dalam soal ekonomi negara dan dunia. Dan pembentangan badget 2008 baru-baru ini, Datuk Seri dikatakan membaca sahaja apa yang tertulis.
Pak Lah: Apa nak hairan, bila ada orang kata saya tak layak jadi Menteri Kewangan, saya juga dikatakan tak layak jadi PM. Tapi hakikatnya saya PM dan Menteri Kewangan dan juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Yang penting saya ada pembantu yang baik. Mengenai pembentang baget baru-baru ini, memang saya baca. Takkan saya membentang baget dengan bersyair.
Teman: Adakah Barisan Nasional akan menang besar dalam Pilihanraya umum seperti tahun 2004.
Pak Lah: Dengan berkat Islam Hadhari , BN akan menang besar.
Teman: Adakah BN akan mengunakan pengundi hantu, terutama di Kelantan dan Trengganu?
Pak Lah: Eh mana ada. Ini semua cakap pembangkang. Yang mengundi semuanya manusia. Awak sokong BN atau Pembangkang ?
Teman: Maaf Datuk Seri, saya menyokong Pas.
Pak Lah: kalau gitu, saya tak mahu cakap dengan hang lagi.
Teman: Janganlah gitu Datuk Seri. Saya pun seperti Datuk Seri mahu cakap yang betul. Berdosa kalau saya cakap saya sokong BN tapi sebenarnya saya penyokong Pas.
Pak Lah: Betui. You boleh teruskan soalan. Tapi janganlah soal yang susah-susah, saya dah mula letih. Rasa hendak tidur pun ada.
Teman: Ah, bercakap tentang tidur, ramai orang kata Datuk Seri kaki tidur.
Pak Lah: Salah tu. Kaki saya tak tidur.
Teman: Maksud saya ada orang kata , Datuk Seri seorang yang suka tidur. Sambil berdiri dalam sesuatu majlis pun Datuk Seri boleh tidur.
Pak Lah: Orang boleh cakap apa saja. Soalnya siapa yang tak suka tidur? Memang saya ada nampak gambar-gambar yang ditangkap oleh jurugambar, saya sedang tidur dalam sesuatu majlis. Adakah mata saya tertutup itu menandakan saya tertidur? Ramai orang keliru. Bila saya tutup mata, itu maknanya saya sedang memikir sesuatu dengan mendalam. Dan kadang-kadang saya cuba melawan rasa mengantuk dengan menutup mata, tapi saya tak tidur. Adalah sekali sekala saya tertidur, tapi telinga saya dapat mendengar. Eh, susah nak cerita. Ini kelebihan saya.
Teman: Adakah Datuk Seri cuba beri tahu bahawa keadaan Datuk Seri seolah-olah sedang tidur adalah sukar untuk dihuraikan.
Pak Lah: Tepat. You pembangkang yang bijak. Yang lain tak berapa cerdik, itu sebab mudah kena tipu dalam pilihanraya.
Teman: Maksud Datuk Seri ,pembangkang mudah ditipu dengan cara putar belit jahat pihak BN.
Pak Lah: Ini soalan hendak perangkap saya. Kita hentikan wawancara ini sampai di sini.
Pak Lah terus berlalu. Teman termanggu. Teman cuba mengejarnya . Tak terkejar. Dia hilang dari kayalan dan imiginasi teman.
1 ulasan:
abcdefghijklmnopqrstuvwxyz
Catat Ulasan