Ahad, 16 September 2007

Teringat Waktu Berbuka Suatu Waktu Dulu

Seingat teman waktu berbuka , semasa teman sedang melangkah ke alam dewasa dulu sungguh indah. Masa itu ayah masih hidup. Ibu masih hidup. Adik beradik pun masih ada. Dulu pasar ramadhan tak ada.Mungkin orang pada masa itu tak terfikir perlunya pasar ramadhan.

Kalau pun pasar ramadhan ada, teman tak terfikir untuk meminta ayah teman atau teman sendiri yang pergi beli lauk pauk atau kuih muih. Buat apa hendak dibeli, kerana bila teman terfikir nak makan kuih itu dan ini atau lauk apa sahaja, teman hanya perlu bersuara minta Ibu teman buatkan. Jarang permintaan teman tak ternunai. Mungkin, teman anak yang pandai mengambil hati ibu.

Semua orang kata masakan yang paling sedap, ialah hasil airtangan seorang Ibu. Teman pun kata macam itu. Ibu teman pandai masak puluhan jenis kuih. Dan kuih yang teman paling suka ialah badak beremdam dan kuih lopeh. Lauk yang teman suka ialah ikan belis belada dan ikan merah masak lemak. Sedap!

Kalau rajin, teman pergi ke masjid India selepas waktu Asar untuk mengambil bubur kanji(Bubur lambuk). Bubur kanji Masjid India Teluk Intan, teman rasa yang paling sedap dalam dunia. Sukar untuk teman ungkapkan dengan kata-kata. Kalau tak percaya, moh pergi ke Masjid India Teluk Intan. Sehingga kini di Masjid India, Teluk Intan bubur kanji masih disediakan untuk dibahagi-bahagikan kepada sesiapa yang datang.

Memang, saat yang paling dinantikan pada bulan ramadhan ialah waktu berbuka. 10 minit sebelum berbuka teman sudah bersedia di meja makan. Adik beradik teman pun sama. Kami suka mencium bau lauk pauk dan kuih muih yang terhidang. Dan teman lupa nak cerita, masakan pecal sentiasa disediakan oleh ibu untuk berbuka.

Dan yang paling lambat datang ke meja makan ialah ayah teman. Dia suka berzikir atau membaca al-Qur'an sebelum waktu berbuka.

Bila sahaja kedengaran bunyi'ketuk' dari surau berdekatan, teman yang jarang baca bismillah, terus minum dua gelas air bandung berais atau milo. Teman gelojoh. Ayah teman selalu tegur. Ibu teman pun tegur.

Diringkaskan cerita, kenangan waktu berbuka suatu waktu dulu, bersama ayah ibu dan adik beradik adalah saat-saat yang menyeronokkan.

Tapi dua tiga hari ni tekak teman begitu loya mengadap makanan sewaktu berbuka. Bukannya makanan yang dihidangkan bermasalah.

Yang membuat tekak teman loya, bila teman teringgatkan perangai anggota polis yang macam kehilangan akal di Batu Buruk yang mengejar orang awam dengan pistol yang berisi peluru hidup.

Memang teman sedang emosi.

Tiada ulasan: