Jumaat, 28 September 2007

Pejuang Islam Veteran Patut Berfikiran Lebih Terbuka

Semalam Ibnu Hasyim(ibnuhashim.blogspot.com) menalipon teman. Hampir dua jam kami berbual. Banyak benda yang dibualkan. Talipon bimbit teman menjadi panas kerana perbualan yang panjang. Perbualan lebih tertumpu kepada pejuangan Islam, terutama perjuangan Pas.

Semasa beliau mempunyai sebuah kedai yang menjual buku dan kaset dulu, yang terletak di Islamic City, Jalan Off Pahang, bersebelahan dengan pejabat harakah, teman selalu melepak dikedainya selepas habis waktu bekerja atau dihari cuti. Dikedainya, selalu pemimpin dan ahli Pas datang berkunjung. Di kedai itulah teman mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan pemimpin Pas seperti Ustaz Yusuf Rawa,Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Hassan Syukri , Subky Latif, Ustaz Nakhaie Hj Ahmad (dah masuk UMNO) dan ramai aktivis Pas dari pelbagai kawasan seperti allahyarham Pak Din 'Hancur' , Rafei, Syuib , Mat Anang (Allahyahham) Riduan Onn , Haji Hamdan , Ilyas dan puluhan nama yang teman dah lupa. Teman juga pernah membawa Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah kesana.

Sesungguhnya di kedai buku yang dikenali sebagai GG Edar, merupakan tempat yang menyimpan kenangan yang banyak. Diantaranya, teman telah digelar oleh Man Kadir (dulu aktivis Pas tapi sekarang kembali semula kepada dunia lakonan) sebagai Anuariyun. Teman sampai ke hari ini tak tahu mengapa gelaran itu diberi pada teman. Mungkin kerana teman tak begitu suka dengan cara beberapa kerat pemimpin dan ahli Pas memaki hamun Brother Anwar tak tentu kira, sampai ke tahap mengkafirkan beliau. Teman masa itu, walaupun tak setuju dan amat marah dengan kemasukan Bro Anwar ke dalam UMNO, tetapi teman masih berharap beliau boleh buat sesuatu untuk Islam.

Itulah diantara secebis kenangan lama. Kini kedai GG Edar telah tutup kerana sebab yang tak payah teman sebut disini. Namun, peranannya dalam membantu mengembangkan fikrah islamiyah melalui buku dan keset adalah begitu besar. Ibnu Hasyim yang nama sebenarnya Mohammad bin Hasyim,kini tidak segagah dulu. Namun dia masih menulis dan sedang merancang untuk menerbit beberapa buah buku.

Teman dan Ibnu Hasyim selalu juga berbeza pendapat , khususnya dari segi uslub perjuangan. Tapi perbedaan pendapat , tidak pernah menjarakkan hubungan kami. Ini kerana , kami sedar bahawa yang penting matlamat perjuangan mestilah sama. Walaupun umurnya lebih tua dari teman, tidak pernah ianya menjadi batu penghalang untuk teman menyanggah pendapatnya yang teman rasa tak kena. Dan kini, kami semakin tua dan kami lebih sedar bahawa perbedaan pendapat dalam masalah yang bukan pokok adalah normal. Apa pun UMNO tetap kami anggap musuh utama perjuangan Islam yang sebenarnya.

Buat pejuang-pejuang Islam veteren , macam teman, kita kena meluaskan cakra pemikiran seluas-luasnya dan sanggup dikritik oleh pejuang-pejuang Islam yang masih muda. Teman dapati pejuang islam yang usia mereka masih muda, mempunyai pemikiran yang lebih kritis. Mungkin ini adalah akibat dari ledakan maklumat yang melimpah ruah dan ilmu yang semakin mudah diperolehi . Dalam erti kata yang lain, mereka menikmati 'exposure' yang lebih ketara , di era dunia tanpa sempadan kini. Kita pejuang Islam veteran , yang mungkin kaya dengan pengalaman seharus lebih bersikap terbuka dan jangan mudah merajuk bila dikritik oleh pejuang-pejuang muda. Contohilah Ustaz Hassan Syukri. Dari dulu sehingga kini beliau berfikiran terbuka. Teman sayang padanya.

Akhir kata ,teman dedikasi posting kali ini kepada anak muda yang bergelar Abu Fatihah , tuan punya blog Prismantiq.com. Teruskan perjuangan , biarkan anjing menyalak, kabilah tetap meneruskan perjalanan.

2 ulasan:

Abu Fatihah berkata...

Salam akhi,

Terima kasih kerana mendedikasikan posting ini. Ana mohon maaf jika ana ada terkasar bahasa. Ana menulis sedemikian kerana beberapa peristiwa kebelakangan ini dengan beberapa pejuang Islam senior yang mendukacitakan ana. Syafakallah ya akhi.

sheikh teluk intan berkata...

Salam ya akhi,
Bersabarlah dengan kerenah dengan segelintir pejuang islam'senior'. Ana pun, pernah alami situasi sebegitu semasa ana masih muda dulu. Bersabarlah dan istiqamah dalam perjuangan.