Khamis, 27 September 2007

Pak Lah: Teman Nak Mohon Bekerja .Boleh Tak?

Semasa teman menulis ini Pak Lah sedang berada di New York, menghadiri persidangan di PBB.Teman mendoakan, Pak Lah berada dalam keadaan sihat dan ceria. Moga Pak Lah pulang ke Malaysia dengan selamat. Teman harap, jet eksekutif yang membawa Pak Lah tidak menghadapi sebarang masalah di atas angkasa. Ringkasnya, teman harap jet ekesekutif yang Pak Lah naiki tidak meletup atau hilang hingga tak dapat dikesan. Rakyat Malaysia, termasuk teman mahu Pak Lah hidup lebih lama lagi. Banyak kerja yang Pak Lah janji nak laksanakan, masih belum selesai. Banyak benda baru yang bakal muncul perlu Pak Lah lihat sendiri.

Pak Lah, boleh tak teman nak minta tolong sikit. Teman, memang terasa malu juga nak minta tolong ni.Teman sedar bahawa teman selalu mengritik Pak Lah. Tapi anggaplah sebarang kritikan teman sebagai 'cubaan' supaya Pak Lah menjadi Perdana Menteri yang tabah menghadapi segala bentuk ujian dan cubaan.

Untuk pengetahuan Pak Lah teman dah tak bekerja. Sakit pula tu. Duit VSS yang teman perolehi dulu , dah tinggal beberapa ringgit saja. Bisnes teman pada tahun ni, tak menjadi.Dan banyak kali teman kena tipu dalam bisnes. Yang tipu bukan orang lain. Saudara mara dan kawan-kawan baik teman sendiri. Apa nak dikata. Nasib badan!

Oleh itu, teman dengan rendah hati memohon kerja dari Pak Lah. Jangan risau, teman tak akan mohon supaya jawatan Perdana Menteri yang sedang disandang oleh Pak Lah, diserahkan pada teman. Jawatan PM tak layak buat teman kerana teman bukan Presiden UMNO dan bukan ahli UMNO.

Jawatan yang teman nak mohon ni, ialah sebagai Penasihat Sulit. Pak Lah dah ada Pegawai Khas,Penasihat agama, Setpol, Setiausaha Akhbar dan beberapa pegawai yang lain. Rasanya jawatan Penasihat Sulit belum ada. Maka Pak Lah ujudkanlah jawatan tersebut secara sulit dan teman dengan ini menawarkan diri sebagai penjawat jawatan tersebut secara kontrak.

Pak Lah jangan risau teman tak minta gaji yang tinggi. Bayar sahaja gaji teman mengikut jam. Sebagai permulaan , apakata teman dibayar sebanyak RM400 sejam.Tak banyakkan? Kalau tujuh jam teman bekerja sehari, maka darapkan dengan RM400. Masih dikira tak mahal dan cukup berpatutan. Sesuai dengan Jawatan yang dipohon.

Kalau Pak Lah setuju, nanti teman buatkan 'job description' berserta dengan KPInya. Jangan beri orang lain buatkan, kerana banyak tugas sebagai Penasihat Sulit tak boleh diketahui oleh makluk lain, melainkan Pak Lah dan teman.

Diantara senarai tugas teman , ialah untuk mempastikankan Pak Lah akan kekal sebagai Perdana Menteri selagi nyawa Pak Lah tak berpisah dari badan. Teman juga boleh buat Pak Lah jemu menjawat jawatan Perdana Menteri. Dan disaat seperti itu, teman akan memberi nasihat sulit bagaimana hendak meletak jawatan dalam keadaan tersenyum lebar dan tak seorang pun akan merayu supaya Pak Lah jangan melepaskan jawatan yang paling berprestij di negara ini.

Dan tugas lain yang akan teman laksanakan ialah , teman akan menasihati Pak Lah secara sulit mana-mana menteri yang perlu diberhentikan kerana terlibat melakukan rasuah dan beberapa skandal yang lain. Dikalangan menteri menteri yang bermasalah ini, sukar untuk ditendang kerana kebanyakkan mereka masih berpengaruh. Dan Pak Lah kelihatan tak punya keberanian yang cukup untuk memecat puak ini. Jangan risau, teman akan beri nasihat sulit bagaimana hendak singkirkan mereka ini. Teman ada cara tersendiri yang Pak Lah tak pernah fikirkan. Percayalah Pak Lah, rakyat, khususnya Ezam Mohd Nor, Pengerusi GERAK, akan tabik seribu kali, tanda menghargai jasa Pak Lah dalam membasmi gejala rasuah tanpa mengira bulu.

Teman juga akan memberi nasihat sulit, bagaimana BN boleh terus berkuasa selagi Pak Lah menjadi Perdana Menteri.Salah satu caranya ialah biarkan semua Kerusi DUN Kelantan, Trengganu, Pahang, Kedah dan Perlis jatuh ke tangan Pas. Dengan berbuat demikian, tertolaklah anggapan pemimpin Pas bahawa Pak Lah dan BN mengunakan pengundi hantu. Dan rakyat akan melihat bahawa Pak Lah seorang PM yang paling demokratik. Pak Lah jangan risau walaupun lima negeri jatuh ke tangan Pas, yang penting majoriti ahli Parlimen adalah terdiri dari calun BN. Dengan ini BN kekal memerintah Malaysia. Pak Lah serahkan pada teman untuk mengaturkan strategi yang serba sulit dan amat menyulitkan ini.

Dan banyak lagi senarai tugas teman yang akan dilaksanakan demi kebahagian Pak Lah.Percayalah!

Sekali lagi teman hendak beritahu pada Pak Lah bahawa teman perlu kerja. Menganugerahkan Jawatan Penasihat Sulit kepada teman, adalah cara terbaik untuk membantu teman menampung kos hidup yang terlalu tinggi.

Tolonglah Pak Lah pada teman yang semakin tak berduit ini. Gaji yang teman minta bukan banyak sangat. Ianya cukup setimbal dengan tugas-tugas seorang Penasihat sulit yang akan melaksanakan semua tugas secara sulit. Makhluk yang tahu tentang keujudan teman sebagai Penasihat sulit hanya Pak Lah dan teman. Isteri baru Pak Lah pun tak boleh tahu. Kalau dia tahu, dia pasti membebel mengapa Pak Lah begitu bodoh melantik teman sebagai Penasihat Sulit. Walaupun terdapat kebenaran 'bebelan' beliau, tapi demi teman yang sedang menghadapi krisis kewangan yang paling teruk disepanjang hidup teman, yang tak pernah teman tempuhi , maka Pak Lah perlulah segera membantu.Tolongggggggggg! Tolongggggggggggg!

Kalau sulit sangat untuk Pak Lah menunaikan permintaan teman, teman mohon derma sebanyak RM 60.000 untuk belanja raya dan belanja harian untuk jangka masa lima bulan.Teman, percaya Pak Lah mampu melakukannya.Kalau Malaysia boleh, pasti Pak Lah lebih daripada boleh!

Hidup Pak Lah!

Nota: Jangan cakap teman sedang meraban. Sesungguhnya, teman serius.

Tiada ulasan: