Sila lihat gambar seorang pemuda di sebelah kiri tulisan ini. Beliau cukup dikenali oleh seluruh makluk yang bernyawa di atas planet bumi. Oleh itu namanya, tak payah disebut disini. Cukuplah teman beritahu, bahawa beliau adalah menantu PM yang kita kasihi, merangkap Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, merangkap bakal Perdana Menteri Malaysia yang entah ke berapa.
Ahad, 29 Julai 2007
Bloggers Adalah Sekumpulan Monyet?
Sila lihat gambar seorang pemuda di sebelah kiri tulisan ini. Beliau cukup dikenali oleh seluruh makluk yang bernyawa di atas planet bumi. Oleh itu namanya, tak payah disebut disini. Cukuplah teman beritahu, bahawa beliau adalah menantu PM yang kita kasihi, merangkap Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, merangkap bakal Perdana Menteri Malaysia yang entah ke berapa.
Sabtu, 28 Julai 2007
Bubar Saja Pas Dan Umno
Alasan teman cukup mudah. Kedua buah parti ini ibarat anjing dan dan kucing. Asyik bercakaran saja. Macam tak ada titik pertemuan. Percakaran ini dari segi logiknya tidak dapat dielakkan. Memang inilah harga sebuah sistem demokrasi yang perlu dibayar!
Demokrasi Malaysia dari segi rohnya masih dipengaruhi oleh barat. Dan salah satu punca perpecahan umat, adalah apabila kedua buah parti ini terpaksa bertarung diantara satu sama lain dalam kerangka sistem demokrasi bagi merangkul sokongan rakyat , yang secara tidak langsung boleh meletih dan merugikan umat ini.
Sepatutnya, kedua buah parti ini bersatu untuk membina sebuah negara yang unggul di persada antarabangsa. Ini tidak, masing-masing saling menyalahkan. Contohnya dalam isu negara Islam. Umno kata Malaysia adalah sebuah negara Islam mengikut tafsiran yang tersendiri. Manakala Pas pula mengatakan , Malaysia belum mempunyai ciri-ciri negara Islam yang sejati dan oleh kerana itu Malaysia tidak boleh dilabelkan sebagai negara Islam. Malaysia mengikut pandangan Pas, adalah negara umat Islam yang mengamalkan agama suku,politik suku.
Contoh isu negara Islam jelas menunjukkan perbezaan pendapat ini di antara kedua buah parti politik tersebut. Banyak lagi contoh perbezaan pendapat di antara kedua buah parti tersebut dalam soal-soal yang lain. Soalnya bila hendak selesai?.
Jawabnya, sukar untuk diselesaikan. Pas sering menganjurkan supaya soal-soal besar atau kecil diselasaikan melalui perbincangan atau debat berdasarkan seruan ayat al Quran yang meminta umat Islam yang bertelingkah supaya kembali kepada Al Quran sebagai tempat rujukan bagi menyelasaikan permasalahan yang timbul. Anjuran Pas adalah baik. Tetapi Umno menuduh Pas tidak ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang mencetuskan pertikaian. Seolah-olah Umno mempunyai kuasa seperti tuhan yang boleh membaca hati manusia samada ikhlas atau tidak.
Yang kebinggungan akibat daripada pertikaian pendapat di antara Pas dan Umno adalah rakyat biasa. Kebinggungan ini adalah berpunca daripada kurang maklumat yang mereka perolehi. Maklumat tentang kebaikan Umno melimpah ruah kerana media perdana dikuasai oleh mereka. Tentang dasar, matlamat dan wawasan perjuangan Pas sesungguhnya masih belum meluas diketahui oleh umat. Maklum sahajalah, Pas bukan parti pemerintah.
Memandangkan perbalahan Pas dan Umno ini tidak akan selesai sampai bila, maka itulah sebabnya teman cadangkan Umno dan Pas dibubarkan. Kalau teman cadangkan Umno sahaja dibubarkan dan dikuburkan di laut China Selatan, tentu Umno akan mengaum bagai harimau yang kelaparan. Kalau temankan cadangkan, Pas dibubarkan, tentu teman secara otomatik tidak mempunyai wadah perjuangan dan Pas juga akan berkata, yang patut dibubarkan ialah Umno kerana jasanya yang besar dalam memandulkan syariat Islam di Malaysia . Oleh itu cadangan teman, supaya kedua buah parti ini dibubarkan adalah amat munasabah dan masuk akal.
Sekiranya cadangan teman ini disambut dan dilaksanakan oleh kedua buah parti tersebut, maka teman seterusnya akan mencadangkan supaya bekas barisan kepimpinan kepada almarhum kedua buah parti politik tersebut , diperingkat pusat dipertemukan untuk menubuhkan parti politik baru.
Parti Politik baru ini boleh dipimpin oleh bekas barisan kepempinan kepada al marhum kedua buah bekas parti yang telah dibubarkan, melalui proses tapisan yang ketat supaya pemimpin yang dikira bersih dan berjiwa Islam sahaja akan dipilih.
Bagi tujuan tersebut, maka dengan ini teman secara sukarela menawarkan diri untuk melakukan proses penapisan secara perseorangan. Kesanggupan teman bukan kerana teman adalah yang terbaik. Tetapi teman yakin akan dapat menjalan tugas mencari bakal pemimpin baru untuk sebuah parti politik yang baru ditubuhkan secepat yang mungkin . Maklumlah teman dah pencen dan tak ada kerja tetap. Oleh itu masa lapang adalah luas terbentang. Lagipun, idea pembubaran kedua buah parti adalah hasil dari cadangan teman. Dan teman juga yang mencadangkan ditubuhkan parti politik baru.
Katakan cadangan teman dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk melakukan proses penapisan, maka teman berjanji akan menjalankan tugas dengan adil dan tanpa mengenakan sebarang bayaran. Yang penting, parti politik yang baru hendak ditubuhkan dan belum mempunyai perlembagaan , akan dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bersih , islamik dan professional.
Yang pertama , yang teman akan lakukan ialah menyiasat latarbelakang bekas barisan kepimpinan kedua buah parti yang telah berkubur, samada mereka mendirikan solat lima waktu secara konsisten. Tugas ini rumit. Untuk memudahkan tugas teman, kedua bekas barisan kepimpinan kedua parti yang telah tamat riwayatnya, hendaklah bersumpah dengan kalimah waLlahi, wabiLlahi, wataLlahi bahawa mereka bersolat lima waktu. Kalau ada yang tak sanggup bersumpah dengan kalimah tersebut , maka dengan sendirinya mereka hilang kelayakan untuk dipertimbangkan menjalani proses tapisan yang seterusnya.
Proses tapisan yang kedua, teman akan menguji kefahaman Islam mereka. Sekiranya mereka gagal , jelas sekali mereka tidak layak untuk menjalani proses tapisan yang ketiga. Yang berjaya, tentu secara otomatik layak ke peringkat proses tapisan yang ketiga.
Bagi proses tapisan seterusnya, teman akan menguji sejauhmana mereka faham tentang konsep negara Islam berdasarkan huraian ulama muktabar. Seperti biasa , kalau mereka gagal mereka boleh balik rumah dan lupakan hasrat untuk jadi pemimpin Parti politik baru yang akan didaftarkan dalam waktu yang terdekat.
Proses tapisan keempat, teman akan menyelidiki latarbelakang keluarga mereka samada secara konsisten mengamalkan ajaran Islam seperti dalam soal menutup aurat. Misalnya, kalau teman mengetahui secara pasti bahawa terdapat bekas pemimpin sekian, anak dan isteri mereka tak tutup aurat sepenuhnya , maka mereka juga boleh balik rumah dan mengucap selamat tinggal kepada dunia politik. Atau mereka boleh mohon jadi ahli Parti Keadilan Rakyat , atau parti MCA dan MIC. Itupun kalau diterima sebagai ahli. Atau mereka boleh tubuh parti lain berdasarkan ideologi yang menjadi pegangan.
Proses tapisan kelima, teman akan memeriksa akaun mereka,termasuk akaun isteri dan anak-anak mereka serta adik beradik mereka. Sekiranya dalam akaun mereka dan sanak saudara terdapat jumlah wang yang banyak melebihi pendapatan mereka dan ahli keluarga, maka mereka akan hilang kelayakan untuk menjalani proses tapisan seterusnya. Tapi kali ini mereka tidak boleh terus balik ke rumah. Teman akan minta BPR melakukan siasatan mengapa jumlah simpanan wang dalam akaun mereka (termasuk anak, isteri, adik beradik dan sanak saudara yang lain atau kawan yang dijadikan proksi) terlalu banyak berbanding dengan pendapatan mereka.
Seterusnya, teman akan menyiasat samada mereka pernah mengunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik bekas parti yang telah bersemadi dengan aman. Kalau teman dapati, terdapat dikalangan mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini, maka secara otomatik mereka tidak layak untuk melalui proses tapisan yang seterusnya. Mereka juga tidak boleh terus balik rumah. Teman akan minta sisatan ke atas mereka dibuat oleh Polis Malaysia.
Samada , polis Malaysia ,SPR, BPR akan berlaku adil dan telus , jangan dikisahkan sangat. Parti politik baru yang akan ditubuhkan nanti akan mengambil tindakan yang difikir wajar.
Teman juga akan menyiasat dengan mengunakan khidmat Peguam Negara supaya membuka semula fail dakwaan rasuah terhadap sebahagian mereka. Sekiranya , jelas mereka terlibat dalam apa sahaja bentuk rasuah walaupun kes mereka belum masuk mahkamah , maka mereka akan hilang kelayakan untuk dibenarkan menjalani proses tapisan yang seterusnya. Dan dengan hormatnya , teman minta Peguam negara untuk mendakwa mereka di mahkamah tanpa bertangguh walaupun sesaat.
Teman seterusnya akan melakukan ujian personaliti secara saintifik mengunakan teknologi tinggi untuk mengetahui samada mereka memiliki peribadi yang cemerlang dan mempunyai kepakaran memimpin yang tinggi.Kalau mereka gagal dalam ujian ini maka mereka boleh terus balik ke rumah dan boleh terus tidur . Tapi jangan minum racun tikus. Bunuh diri berdosa disisi Allah.
Demikianlah diantara proses tapisan yang akan teman lakukan. Maka yang berjaya melalui semua proses tapisan ini, maka secara otomatik mereka ini layak untuk dipertimbangkan memimpin parti politik baru.
Dan sekarang telah sampai masanya , teman bercakap tentang parti politik baru ini.
Parti politik baru ini akan ditubuhkan dengan segera. Dan dari segi dasar perjuangannya ianya sama seperti al marhum Parti Islam Semalaysia (PAS). Oleh kerana itulah pemimpinnya mesti yang berjiwa Islamik, mempunyai syaksiah yang mulia, dan mampu mengurus negara dengan baik .
Dan oleh kerana dasar perjuangannya sama seperti almarhum Parti PAS, maka dengan ini teman cadangkan supaya parti baru ini diberi nama Parti Islam Semalaysia (Baru).
Teman rasa, cadangan yang teman kemukakan adalah yang terbaik, bagi memastikan Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara Islam yang sejati berdasarkan Al-Qur'an dan Al Sunnah. Sesiapa yang tak suka untuk tinggal di dalam sebuah negara Islam, mereka dipersilakan keluar dari Malaysia dan secara otomatik hilang kerakyatan.
Cuma sebelum teman berhenti, teman hendak bertanya kepada Al Sheikh Anwar Ibrahim adakah cadangan teman ini boleh menjejaskan hubungan PKR dangan PAS(Baru)?
Jumaat, 27 Julai 2007
Bloggers: Antara Fakta Dan Fitnah
Terdapat ramai bloggers yang tak sunyi dari melakukan dosa. Ingat, yang suci tanpa debu dosa ialah pemimpin Umno dari peringkat bawah membawa ke atas.Nasihat teman supaya bloggers menulis berdasarkan fakta dan jangan sekali memasukkan unsur fitnah . Eh, teman bercakap macamlah teman yang dhaif dan lemah ini , pemimpin Umno yang suci tanpa dosa. Teman pun seperti bloggers yang lain , tak sunyi dari melakukan dosa. Orang yang tak sunyi dari dosa tak wajar menasihati orang lain. Yang wajib menasihati orang lain hanyalah orang yang bersih dari noda dan dosa seperti pemimpin Umno di semua peringkat!
Dalam tulisan ini teman cuba untuk membawa contoh tulisan yang berdasarkan fakta dan tulisan yang dikatakan berunsur fitnah.
Contoh (1) tulisan berdasarkan fakta :-
Adalah tidak dinafikan oleh semua makluk yang masih bernyawa di atas muka bumi ini bahawa Perdana Menteri yang kita kasihi adalah seorang yang yang hebat. Selain dari berkerja keras untuk memajukan negara, beliau sibuk mencari Imam Al-Ghazali dan Imam As-Shafie. Selain itu dia tidak teringin langsung untuk mencari harta yang bertimbun walaupun kediaman rasminya berharga jutaan ringgit.
Perdana Menteri kita juga seorang yang penyayang. Contohnya walaupun dia telah berkahwin dengan isteri barunya, namun ingatan dan kasih sayangnya terhadap arwah isterinya tidak pernah berubah walaupun sedetik . Isteri barunya cuma sebagai teman dalam kesunyian. Tidak lebih dari itu.
Anak, menantu dan adik beradik beliau juga tidak dibenarkan untuk mengambil kesempatan atas kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri. Sekiranya mereka menjadi kaya raya sejak beliau ditabalkan menjadi Perdana Menteri, semua itu adalah atas usaha masing-masing yang tidak pernah bosan keluar rumah mencari rezeki dari pagi hingga petang. Ada kala sampai malam. (eh, macam lagu 'Serambi' nyanyian Ramli Sarip)
Contoh (1) tulisan yang berunsur fitnah:-
Perdana Menteri Malaysia dikatakan sebagai seorang pemimpin yang paling lembab dan lemah kalau dibandingkan dengan empat orang Perdana Menteri yang terdahulu. Dia dianggap seorang Perdana Menteri yang kurang ambil tahu tentang apa yang berlaku di kelilingnya. Oleh itu apabila beliau ditanya tentang sesuatu perkara, dia akan jawab: "saya tak tahu. Nanti saya siasat". Keadaan beliau yang sedemikian ini adalah akibat daripada penyakit beliau yang masih belum sembuh, iaitu suka tidur .
Beliau juga dikatakan sebagai seorang yang terlalu keterlaluan mengikut telunjuk anak menantu lelakinya dalam urusan mentadbir negara. Ini adalah kerana anak menantu beliau yang seorang ini dilabelkan sebagai pemuda yang tercerdik dikalangan orang yang terbodoh. Maklumlah anak menantu beliau yang seorang ini adalah produk Universiti Oxford. Dan anak menantu beliau juga dituduh sewenangnya oleh segelintir orang yang terencat akal mereka, bahawa menantu Perdana Menteri yang seorang ini bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri sebelum umur beliau mencecah 40 tahun.
Perdana Menteri yang kita kasihi dan sanjungi ini paling suka membuat lawatan ke luar negara untuk tujuan menarik pelaburan asing sambil makan angin. Beliau tidak suka menaiki jet eksekutif ketika melawat luar negara. Kata orang beliau teramat suka menaiki kapal terbang milik syarikat MAS dan duduk di kelas ekonomi . Tujuan berbuat demikian adalah untuk menunjuk-nunjuk supaya beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang tak suka membazirkan duit rakyat dan negara. Ramai orang yang berpendapat sekiranya, di atas angkasa ada lebuh raya, beliau lebih suka memandu kereta Proton Saga untuk melawat negara luar dengan syarat Datuk Seri Samy Vellu tidak mengenakan toll di setiap satu kilometer lebuh raya yang dibina oleh syarikat swasta yang diberi konsensi yang penuh misteri dan merupakan rahsia besar kerajaan Malaysia .
Dan sukan yang paling sukai oleh Perdana Menteri Malaysia ialah sepak raga dan bola sepak. Ini adalah kerana kedua sukan ini sangat dekat dengan hati rakyat. Beliau mesti berpura-pura menyukai kedua jenis sukan ini untuk menambat hati rakyat beliau yang kebanyakkannya rabun politik. Manakala sukan yang paling beliau benci ialah permainan golf, kerana belanja untuk bermain golf adalah tinggi. Maklumlah, Perdana Menteri yang kita kasihi , mengamalkan gaya hidup seorang sufi!
Contoh (2) tulisan yang berdasarkan fakta:-
Timbalan Perdana Perdana Menteri yang kita kasihi adalah pemimpin berjiwa rakyat. Seperti Perdana Menteri yang kita sayangi, beliau juga boleh menjadi imam dalam solat jamaah. Bahkan dia lebih hebat kerana dia mampu menjadi imam sembahyang Jumaat dan boleh berkutbah tanpa teks yang disediakan.
Cara hidupnya juga cukup sederhana. Contohnya, dia lebih suka tinggal dirumah atap rumbia. Maklumlah, pemimpin berjiwa marhaen.
Beliau juga sangat setia kepada Perdana Menteri. Tidak terlintas dihatinya untuk meminta Perdana Menteri yang sekarang ini untuk meletak jawatan supaya beliau boleh cepat menduduki kerusi Perdana Menteri. Dia tersangat sabar menunggu walaupun seribu tahun lagi.
Dan cerita tentang Timbalan Perdana Perdana Menteri yang kita kasihi tidak akan lengkap kalau tidak disentuh tentang kehebatan isterinya yang cantik dan berseri. Sesungguhnyalah, isteri beliau adalah seorang muslimah yang sejati. Contohnya dia tidak pernah sekalipun berlaga pipi dengan artis dan beliau tidak pernah keluar rumah melainkan menutup aurat.
Contoh (2) tulisan yang berunsur fitnah :-
Timbalan Perdana Menteri Malaysia dikenali sebagai seorang yang suka membantu para kroninya dengan cara melantik mereka sebagai agen dalam urusan pembelian alat kelengkapan ketenteraan. Hasilnya, para kroni beliau memperolehi ratusan juta sebagai komisyen dari syarikat pembekal.
Selain itu beliau dikatakan pernah diserkap oleh pegawai pejabat agama kerana berkalwat di Port Dickson tetapi kesnya ditutup . Pihak pejabat agama di daerah itu tidak sangka yang diserkap adalah beliau. Kalaulah pegawai-pegawai pejabat agama tahu dari awal yang hendak diserkap adalah beliau, mereka tentu membeluk ke tempat lain. Masa itu Dr Mohd Azri belum lagi menjadi Mufti Perlis . Ulama pakar hadis ini cukup dikenali ramai kerana fatwanya yang melarang perbuatan mengintai orang berkalwat untuk tujuan diserkap.
Dan yang paling terbaru, salah seorang saksi dalam kes pembunuhan Altantuya telah mengemparkan satu alam maya bahawa dia pernah melihat sebuah gambar, dimana terdapat wajah Timbalan Perdana Menteri bersama dengan Razak Baginda dan mendiang Altantuya yang mati berkecai dibom. Sedangkan Timbalan Perdana Menteri yang merupakan bakal Perdana Menteri yang ke 6 telah berulangkali menyatakan bahawa dia tidak pernah walaupun sesaat mengenali mendiang Altantuya.
Rasanya memadai setakat ini , teman catatkan dua contoh tulisan berdasarkan fakta dan dua contoh tulisan yang berunsur fitnah. Contoh-contoh yang diberi ini, teman rasa boleh dijadikan panduan bagi semua bloggers supaya tidak terjebak dalam tulisan yang tak berfakta dan berunsur fitnah. Marilah bersama kita cuba menjadi pemimpin UMNO yang kesemua mereka bercakap berasaskan fakta yang kukuh dan tidak pernah memfitnah sesiapa, terutama terhadap bloggers, NGO dan Parti Pembangkang, khususnya Pas.Maklum sajalah, kesemua pemimpin UMNO disemua peringkat adalah diantara segelintir umat yang suci dari debu noda dan dosa!
Rabu, 25 Julai 2007
Syabas! Bekas Menantu Sultan Berjaya Menyusahkan Anak Raja Bugis
Hari ini teman nak rehat sikit.Sudah dua tiga hari tak usik laptop. Lalu teman layari beberapa laman web. Satu cerita yang menarik hati teman, ialah tentang bekas menantu Sultan buat repot polis terhadap Laman web Malaysia Today, dan editornya seorang kerabat raja: Raja Petra Kamarudin. Malaysia today, yang merupakan salah satu laman web yang jarang teman tak layari, dikatakan oleh bekas menantu Sultan sebagai menghina Yang DiPertuan Agung dan Islam.
Biasanya laporan polis oleh penyokong kerajaan seperti yang dibuat oleh bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar, merangkap Senator,merangkap Ketua Penerangan Umno Malaysia akan diberi perhatian oleh Polis Malaysia. Laporan Polis oleh individu yang mewakili NGO atau parti pembangkang terhadap penyalahangunakuasa pemimpin UMNO dan sekutunya ,juga diberi perhatian.Tetapi perhatian yang diberikan oleh Polis Malaysia adalah tersangat luarbiasa iaitu dengan cara menyimpan ratusan repot tersebut ke dalam peti besi supaya tidak hilang atau turut terbakar sekiranya balai polis dimana repot dibuat terbakar. Satu tabik hormat kita berikan kepada Polis Malaysia memetibesikan ratusan repot tersebut!
Berbalik kepada laporan polis oleh bekas menantu Sultan terhadap Malaysia Today. Sesungguhnya tak dapat teman sembunyikan rasa kagum terhadap bekas menantu Sultan merangkap bekas menteri besar Selangor. Izinkan teman, angkat kopiah lusuh dikepala ini sebagai tanda hormat teman kepada bekas menantu Sultan atas keberanian beliau membuat repot polis tersebut. Jelas sekali bekas menantu begitu sayang kepada institusi beraja dan Islam.
Tetapi Raja Petra dengan pantas memberi riaksi yang panas terhadap laporan polis yang dibuat oleh bekas menantu Sultan. Beliau gasak bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Negeri, Selangor melalui tulisan beliau yang terkini. Boleh dikatakan panjang juga riaksi Raja Petra.
Di kesempatan ini teman cuba membela bekas menantu Sultan, merangkap Menteri Besar, Selangor, merangkap Ketua Penerangan Umno dan merangkap Senator di Dewan Negara. Tetapi ini tidak bererti , teman tidak suka Raja Petra. Cuma ,teman hendak belajar menjadi pembela pemimpin UMNO untuk membuktikan bahawa tak semua blogger anti UMNO dan kerajaan.
Pada pendapat teman adalah tak wajar bagi Raja Petra Kamarudin dalam tulisan terbarunya (riaksi beliau terhadap bekas menantu Sultan) mengatakan bekas menantu Sultan pernah menipu bekas bapa mertuanya di atas perbuatannya membawa putri Sultan berkahwin secara rahsia di Siam. Dalam bahasa yang lain Raja Petra Kamarudin secara tidak langsung memberi tahu bahawa bekas menantu Sultan telah melakukan perbuatan kawin lari bersama puteri Sultan di Siam. Teman rasa kenyataan, Raja Petra tak tepat. Sesungguhnya bekas menantu Sultan bukan berkawin secara rahsia dengan Putri Sultan. Bekas menantu Sultan cuma merahsiakan perkahwinannya .Oleh itu tidak timbul isu bekas menantu Sultan membawa putri Sultan kawin lari ke Siam.Masakan bekas menantu Sultan sanggup berlari untuk berkawin.Pasti dia menaiki kereta yang mahal dan berjenama besar. Maklumlah masa itu dia seorang Menteri Besar yang hebat dan tersohor.
Raja Petra Kamarudin, yang berketurunan raja bugis juga mengatakan bekas menantu Sultan bernasib baik kerana tidak berada pada tahun 1907, kalau tidak keris akan menjadi penentu kebenaran.
Rasa teman, kalaulah bekas menantu Sultan berada pada tahun 1907 dan anak Raja Bugis, yang juga anak saudara Sultan bertarung mengunakan keris, Residen Inggeris di Selangor akan membantu bekas menantu Sultan dengan memberinya senapang untuk menembak Raja Petra yang berketurunan Bugis yang berkeris , kerana Residen Inggeris di Selangor masa itu mempunyai niat suci untuk mengurangkan jumlah anak-anak raja berketururunan Bugis yang memberi masalah kepada kerajaan Inggeris. Lagipun , Residen Inggeris ,teman fikir lebih suka kepada bekas menantu Sultan kerana beliau boleh dijadikan pegawai yang baik dan setia untuk mengutip cukai dari rakyat jelata. Mungkin!
Raja Petra juga mencatatkan cerita bahawa Sultan yang juga merupakan bapa saudaranya tidak murka apabila bekas menantu Sultan mencerai putrinya. Mengikut kata Raja Petra, Sultan cuma ragu bagaimana bekas menantunya memberi putrinya 12 juta ringgit sebagai penyelesaian perceraian. 12 juta ringgit bukan jumlah wang yang kecil, tidak seperti 12 juta rupiah. Dari mana bekas menantu Sultan dapat duit sebanyak itu? Adakah bekas menantu Sultan yang menceraikan isterinya, putri Sultan , merangkap sepupu Raja Petra mendapat jumlah wang sebanyak itu secara korup?
Pada pendapat teman kita kena berbaik sangka dengan bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor. Mungkin duit sebanyak itu adalah hasil tabungan wang yang dikumpul oleh beliau dan keluarganya sebelum bekas menantu Sultan lahir lagi ataupun dia terjumpa harta karun yang ditemui secara tak sengaja ditenggah sebuah hutan belantara, lama dulu. Dan kemudian harta karun itu dijual sehingga dapat menghasilkan duit sebanyak itu. Keadaan seperti itu tak mustahil dari segi hukum akal. Yang dikatakan mustahil dan pelik adalah apabila, harta karun itu datang secara tiba-tiba dan terus bergolek memasuki peti simpanan bekas menantu Sultan merangkap bekas menteri besar.
Kerabat diraja berketurunan Bugis , yang juga anak saudara Sultan , akhirnya meletuskan rasa amarah yang keterlaluan pedasnya terhadap bekas menantu sultan merangkap menteri besar Selangor melalui kata-kata yang bernada amaran, yang kalau dipermudahkan bahasanya akan berbunyi seperti berikut:" aku jumpa kau di neraka"
Disini teman yang meminati Malaysia Today dan kepahlawanan Raja Petra ingin memberi sedikit nasihat yang positif. Adalah lebih baik sekiranya Raja Petra jangan berfikir untuk masuk neraka untuk berjumpa dengan bekas menantu Sultan. Ini adalah kerana kesemua pemimpin Umno dari bawah hingga ke atas , termasuk bekas menantu sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor , adalah terdiri dari manusia yang mempunyai 'makam' yang tinggi iaitu mereka menghampiri ciri-ciri malaikat. Kesemua mereka tidak pernah melakukan rasuah, penyalahgunakuasa, tidak pernah kacau anak dara orang atau isteri orang, tidak pernah berjudi, tidak pernah minum setitikpun air arak, tidak pernah menipu, tidak pernah membiarkan isteri tidak menutup aurat.Dan dipendikkan cerita , kesemua mereka tidak pernah melakukan apa saja jenis kejahatan walaupun sekecil zahrah. Amal baik mereka tak terhitung. Mengikut hukum akal, kesemua pemimpin Umno bakal masuk syurga. Oleh itu, sewajarnya Raja Petra berusaha untuk masuk surga untuk berjumpa dengan l bekas menantu sultan yang namanya ada dua nama Muhammad. Oleh itu perkataan yang sesuai adalah seperti berikut: "aku jumpa kau di syurga"
Macamanapun terpulang kepada Raja Petra untuk menerima atau menolak pendapat hamba pacal yang hina ini.
Kepada bekas menantu Sultan, merangkap bekas menteri besar Selangor, merangkap Ketua Penerangan UMNO, dan merangkap Senator di Dewan Negara, teman sekali lagi mengangkat kopiah tanda hormat kerana telah menunjukkan prestasi yang hebat dengan membuat repot polis terhadap Malaysia Today dan anak Raja Bugis yang bernama Raja Petra Kamarudin. Teman berpendapat, inilah prestasi yang paling cemerlang, gemilang dan terbilang yang pernah beliau lakukan , berbanding sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Besar , Selangor , satu ketika dulu. Tidak terlewat rasanya ,untuk teman mengiktiraf beliau sebagai ikon dan tokoh 'Melayu Baru'
Teman juga ingin memuji bekas menantu Sultan yang juga bekas menteri besar Selangor, kerana kini beliau telah boleh memahami Bahasa Inggeris(mungkin belajar dari menantu PM yang terkenal hebat dalam penggunaan bahasa Inggeris) yang membolehkan beliau membaca tulisan Raja Petra yang biasanya ditulis dalam bahasa itu di dalam laman web Malaysia Today.
Dulu teman mendapat tahu bahawa bekas menantu sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Australia dalam kes beliau membawa duit berjuta ke Australia. Alasan hakim membebaskan beliau adalah berdasarkan bukti bahawa beliau tak reti bahasa Inggeris sehingga tidak tahu membaca peraturan berkaitan membawa wang tunai berjuta ringgit yang ditulis dalam bahasa Inggeris yang terpampang di Lapangan Terbang Australia. Syabas temankan ucapkan kepada bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar, Selangor kerana 'your English have improved tremendously'
Dan berdasarkan semanggat dan kecintaan terhadap Islam bekas menantu Sultan adalah tinggi ,tak salah kalau teman ingin bertanya kepada bekas menantu sultan merangkap menteri besar ,Selangor, bila pula nak buat laporan polis terhadap pemimpin MCA yang bertegas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukannya negara Islam ? Bukankah dakwaan pemimpin MCA ini secara tidak langsung menghina Islam sebagai ugama rasmi? Bukankah dakwaan pemimpin MCA juga menghina Yang Dipertuan Agung, seolah-olah baginda mengetuai sebuah negara sekular?
Andai kata bekas menantu sultan merangkap bekas menteri besar Selangor, merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan merangkap Senator di Dewan Rakyat, membuat repot polis terhadap pemimpin MCA, teman bukan setakat angkat kopiah yang lusuh di atas kepala ini sebagai tanda hormat, bahkan teman sanggup angkat kedua belah tanggan dan kaki!
Akhir kata dari teman: Semoga apa yang dilakukan oleh bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor akan dapat ganjaran yang besar disisi Perdana Menteri Malaysia yang kita cintai. Moga dapat ganti Tok Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagaimana yang dikatakan oleh Raja Petra!
Hidup bekas menantu Sultan!
Hidup bekas menteri besar Selangor!
Hidup Ketua Penerangan Umno Malaysia!
Hidup Yang Berhormat Tuan Senator!
Rabu, 18 Julai 2007
Takziah Buat Keluarga 6 Krew Helikopter Yang Terkorban
Teman dan seluruh ahli keluarga berdoa semoga roh mereka yang terkorban berada dibawah rahmat dan keampunan tuhan.
Amin.
Isnin, 16 Julai 2007
Cerita Yang Kita Tak Mahu Dengar
Sehubungan itu ramai yang kesal dengan sikap kerajaan yang masih mahu mengunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja(TUDM) walaupun kebanyakkannya telah berusia 40 tahun ke atas.
Ada yang mencadangkan supaya Pak Lah , Tok Najib dan menteri-menteri lain jangan guna helikopter Eksekutif, tapi guna helikopter Nuri bagi lawatan kerja dalam negeri. Kalau Pak Lah dan menteri lain mengunakan Nuri mungkin mereka akan dapat menghayati kengerian menaiki helikopter jenis itu dan masa itu barulah mereka tersedar bahawa mereka dalam bahaya.
Kenyataan Sdr Sallahuddin Ayub di harakahdaily hari ini adalah sangat tepat bila beliau berkata "Apa maksud Najib bila beliau mendakwa Nuri masih boleh digunakan? Nak tunggu berapa orang terkorban? Atau nak tunggu sehingga (Datin Seri) Rosmah (Mansor) terlibat dalam kemalangan ketika menaiki Nuri baru hendak menggantikan helikopter pemangsa itu?" katanya.
Katakan , kenyataan Sallahuddin Ayub disambut oleh Tok Najib dan isterinya yang secara mengejut bersedia untuk menaiki helikopter Nuri bagi membuktikan helikopter Nuri masih selamat digunakan. Percayalah, satu Malaya akan terkagum dengan keberanian Tok Najib dan isterinya. Isu 'gambar' pun terus hilang ditelan bunyi enjin helikopter Nuri!
Dan penerbangan tersebut akan bertambah dramatik sekira ianya bertujuan untuk sama-sama mencari helikopter yang sehingga sekarang boleh dianggap hilang. Teman bayangkan ramai orang beli teropong, untuk lihat Tok Najib dan isteri berterbangan di atas helikopter Nuri. Dan Sdr Sallahuddin teman bayangkan ralit melihat ke langit sambil mengelus jangutnya yang tumbuh nipis didagunya.
Tiba-tiba pada pukul 12.05 tengahari, Malaysia dikejut dengan berita yang tidak ingin kita dengar bahawa: sebuah lagi helikopter Nuri kepunyaan TUDM didapati hilang tak dapat dikesan. Helikopter Nuri yang hilang ini sedang dalam melakukan misi mencari helikopter Nuri yang telah beberapa hari hilang dan tak dapat dikesan. Dan paling mendukacitakan rakyat malaysia, di dalam misi ini turut serta Timbalan Perdana Menteri yang kita kasihi bersama isterinya.
Pak Lah yang sedang mengantuk dipejabat terkejut dan menjerit: "Oh god, please save my Deputy"
Datuk Seri Hishamuddin , Menteri Pelajaran merangkap sepupu Tok Najib, kelihatan terkejut beruk dan kemudiaan menanggis memanjang dengan suaranya yang amat parau.
Menteri-menteri yang lain pun bersedih tapi ada yang berbisik sesama sendiri:"Siapa pengganti Najib"
Pak Sheikh Anwar Ibrahim ketua de facto PKR juga kelihatan bersedih dan dilaporkan berkata" Semoga Najib selamat kerana banyak pertanyaan saya belum dia jawab".
Pada pukul 4.08 petang, TV dan radio membuat satu pengumuman : Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri yang kita kasihi berserta isterinya didapati selamat tanpa sebarang kecerderaan. Enjin serta sistem telekomunikasi helikopter Nuri yang dinaiki beliau telah tiba-tiba rosak. Tetapi berjaya membuat pendaratan kecemasan di sebuah perkambungan orang asli. Dan sebaik sahaja pasukan penyelamat menemui TPM kita, mulutnya tidak berhenti menyebut:Ini Nuri tak boleh pakai lagi. Besok juga saya akan suruh Razak Baginda menguruskan pembelian 200 buah helikopter yang baru dan tercanggih. Hoi, panggilkan Razak Baginda sekarang juga"
Tiba-tiba teman terkejut bila anak bongsu teman berkata dengan nada yang kuat: Umi , tanya walid dah sembahyang Azar ke?
Eh, teman mimpi ke? atau melamun?
Walaupun teman bermimpi atau melamun yang penting bakal Perdana Menteri teman selamat wal afiat!
Ahad, 15 Julai 2007
Pendekatan Islam Hadhari Dan Bola
Macam mana pun ada satu peristiwa yang sampai sekarang teman tak lupa. Iaitu teman amat berkecil hati dengan seorang kawan dalam pasukan bola sepak dimana teman , bukan setakat kapten tetapi pengurusnya . Memang patut teman kecik hati. Ada ke patut , teman seorang kapten merangkap pengurus tak diberi peluang masuk gelanggang melawan pasukan bola kampung lain. Teman yang bersusah payah menubuh pasukan bola, tetapi bila sampai waktu hendak mulakan permainan, teman disuruh oleh seorang kawan yang bernama Zaki, supaya berlatih menyepak anggin sementara menunggu permainan separuh yang pertama selesai.
Bila permainan separuh masa pertama selesai, teman pun terus meluru ke tengah padang. Masa itu pasukan bola sepak dimana teman adalah kapten dan pengurusnya sedang berkurumum dekat baldi yang berisi air sirap manis yang berais. Dahaga konon. Pasukan lawan pun turut mengasak air sirap manis yang berais. Dahaga konon. Dua pasukan ni, tak hormat lansung pada orang yang menyediakan air sirap manis berais. Siapa lagi, temanlah, pembancuh air sirap, kapten merangkap pengurus pasukan bola!
Selepas berehat beberapa minit , maka kedua pasukan yang akan meneruskan pertempuran berlari ke tenggah padang untuk menyudahkan permainan bagi menentukan pemenang. Kedudukan masa itu seri 1-1. Teman tahu, kali ini pasukan teman akan merembat masuk dua gol. Keyakinan teman berdasarkan andaian yang mudah: Kalaulah kapten yang main, tentu boleh menang.
Macam hendak teman tempeling saja muka si Zaki, bila dia berbisik sebelum permainan kedua bermula. Katanya:"aku ingat, kau rihat lagi, berlatih sepak angin. Biar kami yang main. Kami janji pasukan kita menang". Dengan suara yang agak tinggi teman menegaskan: "hei zaki, aku kapten, aku pengurus, aku yang buat keputusan siapa yang boleh main , siapa yang tak boleh main. Sekarang 'time'aku main". Maka dijawab oleh si Zaki dengan nada sinis : "betoi, kau kapten, kau pengurus, tapi kau tak pandai sepak bola. Kaki engkau pengkor".
Bagai nak meletup anak telinga teman mendengor cakap Zaki. Kecik hati teman bila Zaki cakap macam itu. Tapi apa nak buat. Teman pun tak nak memalukan pasukan sendiri kalau berlaku pertengkaran yang lebih besar diantara teman dan Zaki. Sebagai seorang pemimpin, teman perlu mengalah dan terus berlari keluar dari padang tanpa memandang ke belakang sambil airmata teman bercucuran jatuh membasahi pipi. Oh, hati teman cukup terluka: seorang Kapten bola sepak, merangkap pengurus, merangkap pembancuh air sirap, tak diizin bermain oleh kawan sepasukannya!
Itu kisah semasa teman bebudak. Memang teman akui teman tak berapa pandai main bola. Boleh dikatakan banyak jenis permainan, teman tak mahir dan ada yang teman tak minat langsung iaitu, main layang-layang dan gasing. Mungkin teman ada kelebihan lain , iaitu mengusahakan pembentukan pasukan bola dan badminton di kampung. Bukan kerja mudah. Dan suka teman beritahu disini perlantikan teman sebagai kapten bukan teman sendiri yang buat. Yang melantik teman ialah kawan-kawan melalui undi angkat tangan.
Bila dah tua ni, teman jarang ambil pusing pasal bola. Pasukan Malaysia nak telingkup ke, kalah ke, teman tak peduli. Tapi sejak dua menjak ni teman kesian juga nengok FAM kena balun oleh para pengkritik yang kebanyakkannya tak bertauliah. FAM semakin dimaki hamun apabila pasukan Bola Sepak Malaysia baru-baru ini kalah ditangan China 1-5 dan semalam kalah ditangan Urberkistan 0-5 di gelanggang sendiri. Maka semakin kuat rungutan peminat bola yang meminta supaya pengurusan FAM dirombak dari atas ke bawah. Kesian FAM. Nasib engkaulah!
Walaupun teman tak suka sentuh pasal bola membola ni, rasanya tak salah kalau teman hendak beri pendapat teman seadanya. Teman berpendapat , mengapa tak difikirkan pendekatan Islam Hadhadri dalam usaha menguatkan pasukan bola sepak Malaysia. Bukankah telah dicanang setiap saat dan ketika bahawa Pendekatan Islam hadhari terlalu hebat kerana ianya dapat menyelesaikan apa sahaja masalah dalam dunia ini.
Sebagai contoh, pendekatan Islam hadhari telah dipersetujui oleh kerajaan Siam sebagai formula tepat yang boleh digunapakai dalam usaha menamatkan perbalahan di antara puak Islam di Selatan Siam dengan Kerajaan Siam. Bagi tujuan itu sebuah Task Force 2010 Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar telah dibentuk dan task force ini akan berkerjasama kerajaan Siam untuk menyelesaikan segala perbalahan melalui pendekatan Islam Hadhari .
Kalaulah dalam kes bermandi darah di Selatan Siam , pendekatan Islam Hadhari telah dikatakan sebagai jalan penyelesaian maka tidak keterlaluan teman kata bahawa pendekatan Islam hadhari juga amat sesuai untuk dijadikan penawar ajaib yang akan membawa pasukan bola Sepak Malaysia ke puncak kejayaan dan ke puncak Everest.
Sekiranya cadangan teman dipersetujui, adalah dicadangkan Dr Mashitah sebagai Pengerusi Task Force untuk memulihkan Pasukan bola sepak Malaysia melalui pendekatan Islam hadhari. Semua ahli jawatankuasa atau beberapa tokoh FAM boleh duduk dalam task force ini. Ahli Task Force yang dilantik seharusnya berbangga duduk dibawah kepimpinan Dr Mashitah kerana dia seorang Setiausaha Parlimen yang baik akhlaknya dan terkenal kerana tidak pernah bergaduh dengan jiran sebelah rumahnya!
Dan Dr Mashitah juga boleh dibangaai oleh ramai ahli Task Force kerana dia seorang ulamak yang terlalu berani . Contoh keberaniannya dapat dilihat dari fatwanya yang mengatakan bahawa lebih baik beri kerja kepada pencuri daripada mengenakan hukuman hudud ke atas pencuri . Bukankah fatwa yang sebegitu berani cukup harmoni dengan pendekatan Islam Hadhari?!
Eh, sebelum teman terlupa, kawan dan guru teman dulu yang bernama Datuk Nakhaie Hj Ahmad jangan lupa dijemput. Dia pemikir yang hebat! Pak Lah pun akan kelihatan lebih bebal kalau dia berdepan dengan Datuk Nakhaie Hj Ahmad
Khamis, 12 Julai 2007
Ucapan Tahniah Kepada Datuk Mohd Johari Baharum
Terlebih dahulu teman nak ucap tahniah kepada Datuk Mohd Johari Baharum kerana, kes rasuahnya telah diarah tutup oleh Peguam Negara,( ntah siapa namanya). Dia dilaporkan sungguh lega kerana sepanjang kes rasuah beliau disiasat, hidupnya agak sengsara. Isterinya , seorang guru terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan anak beliau selalu ponteng kuliah kerana tak sanggup berdepan dengan pandangan serong , ramai orang terhadap dirinya satu keluarga.
Teman juga nak ucap tahniah 'in advance' kepada beberapa orang menteri dan bekas menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang telah di repot melakukan rasuah oleh Ezam Mohd Noor dan beberapa orang yang lain kerana setiap kes mereka hampir pasti akan ditutup atau tidak dibuka.
Sejak dari dulu lagi teman tahu, bahawa semua menteri kerajaan Barisan Nasional dan pegawai tinggi kerajaan adalah makluk yang mendekati ciri-ciri kemailakatan. Mana mungkin mereka boleh jadi perasuah. Mereka semua sebaik-baik makhluk diatas muka bumi ini yang berpegang teguh pada ajaran kitab Islam Hadhadri. Yang melakukan rasuah ialah makluk yang tidak berpegang kepada ajaran islam hadhari . Mereka ini adalah para nelayan, petani,pesakit mental di Tanjung Rambutan , golongan buruh dan kakitangan awam yang berpangkat rendah kerana setiap bukti rasuah ke atas merka tidak boleh dipertikaikan kerana terlalu kuat.Sekuat tembok negeri China!.
Teman juga ingin mengambil kesempatan untuk mengembirakan hati Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara yang juga sedang diasak dengan tuduhan rasuah oleh beberapa orang , termasuk oleh pengendali laman web ' Malaysia Today', Raja Petra Kamaruddin dengan ucapan ringkas seperti berikut" Musa engkau jangan susah hati. Semua tuduhan rasuah terhadap engkau adalah palsu. Engkau pun sebaik-baik pengikut ajaran Islam Hadhari dan dalam diri engkau pun ada ciri-ciri yang mendekati ciri-ciri kemalaikatan. Tahniah, engkaupun akan selamat".
Kepada Peguam Negara (siapa namanya?), teman ucapkan syabas kerana berjaya menutup kes Datuk Mohd Johari.
"Wahai tuan peguam Negara , (siapa sajalah nama engkau), tuan pun termasuk dalam kalangan makluk yang mempunyai ciri-ciri yang mendekati ciri-ciri malaikat)".
Selasa, 10 Julai 2007
Nasihat Buat Tian Chua
Nasib baik bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 , manusia yang baik dan bermoral tinggi, hampir mendekati 'taraf maksum'. Kalaulah dia seorang yang jahat, tentu dia akan membalas dendam dengan membuat gambar palsu dimana Tian Chua sedang bercengkarama dengan artis, misalnya dengan Zaina Zain. Pasti Tian Chua terus pengsan menatap gambar palsu itu kerana dia sendiri pun tak pernah kenal walaupun sesaat apatah lagi mempunyai hubungan sulit dengan artis yang bernama Zaina Zain.
Oleh itu teman harap dia mohon maaf pada bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6. Tetapi dengar cerita, Tian Chua jenis keras kepala. Dia berpendapat tak perlu minta maaf pada bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 kerana dia sendiri sejak awal lagi telah mengaku bahawa gambar itu adalah palsu yang dilakar oleh tangannya sendiri dengan mengunakan teknik pertindihan imej.
Apapun alasan Tian Chua, ianya tidak boleh diterima kerana apa yang dilakukan adalah satu kesalahan berdasarkan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Tian Chua boleh didenda RM50,000 atau penjara kalau sabit ksalahan. Bukan teman kata. Tapi Adelina Iskandar, Pengarah Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia. Kalau tak percaya cakap teman, baca Utusan Malaysia hari ini, muka surat 6.
Di kesempatan ini, teman nak memberi nasihat kepada Tian Chua: " Hei Tian , lu tahu kah , bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 sudah cakap dia tak kenal dengan itu Altantuya. Dia bukan suka cakap bohong. Dia butut-butut baik punya olang. Dia olang kuat sembahyang. Olang Islam lain sembahyang sikit. Dia manyak. Olang Islam lain, lepas sembahyang asar dia olang tak ada sembahyang sunat, tapi kata olang , kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6, dia lain. Lepas sembahyang Asar dia sembahyang sunat banyak-banyak. Itu sembahyang sunat , bukan sembahyang potong itu barang. Gua ingat, lu baik tanya sama lu punya ketua de facto, apa itu sembahyang sunat.Takut nanti, lu fikir lain. Lu punya imajinasi manyak luar biasa"
"Tian lu tahukah , kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 , satu dunia kenal sama dia. Itu perempuan, Altantuya, dia pun kenal kita punya bakal Perdana Menteri. Gua pun kenal.Bini gua pun kenal. Anak-anak gua pun kenal .Tapi kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 tarak kenal sama gua, bini gua dan anak-anak gua. Apa pasat?
"Sebab juta olang kenal dia , sebab dia bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6. . Dia mungkin kenal ratus-ratus orang, termasuk janda dia. Tapi amat mustahil dia satu olang , mampu kenal juta-juta olang"
"Ramai orang ada tangkap gambar dengan dia, sebab semua olang , sangat suka hati kalau dapat bergambar dengan dia. Tapi dia tarak ingat, sudah berapa ribu kali olang-olang yang dia tarak kenal , sengaja ajak dia bergambar dengan mereka. Mungkin Altantuya semasa masih hidup dulu , pernah tangkap gambar dengan kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 untuk tunjuk pada ramai olang dia baik dengan kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 untuk tujuan eksyen atau tujuan lain. Tapi kita punya bakal Perdana Menteri ke 6 tarak ingat sebab Altantuya sama macam olang lain yang sengaja suka bergambar dengan dia".
"Tian, gua ingat lu pun teringin mahu tangkap gambar dengan kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6"!
"last, gua cakap sama lu, baik lu minta maaf sama itu kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6, sebelum itu budak, Khairy repot sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media. Gua suka lagi kalau dia repot pada polis, sebab gua tahu, lu suka keluar dan masuk balai polis. Lu ha, kena jadi macam itu Mahfudz Omar, dia tarak kaya punya olang. Tapi dia jamin sesiapa yang ada gambar asli kita punya bakal Perdana Menteri Malaysia ke 6 dengan Altantuya dan Razak baginda, dia mahu kasi wang. Itu lagi baik maa!"
Ahad, 8 Julai 2007
Saranan Buat Umno Untuk Melemahkan PAS
Tolong tanya teman, mengapa teman tak sior masuk UMNO? Jawapan teman mudah: "UMNO parti sial. Sial yang teramat sangat". Mahu teman ulang lagi?. Ok. "UMNO Parti sial, dulu, kini dan selamanya. Mengapa teman kata UMNO parti sial? Jawapan teman: "carilah sendiri jawapan itu. Takkan tak tahu".
Walaubagaimanapun, teman iktiraf Umno adalah parti yang sah disisi undang-undang . Teman akui terdapat juga jasa Umno pada rakyat dan negara. Dan ramai juga ahli UMNO merupakan sahabat teman. Apapun , tak pernah walaupun sekalipun teman bergaduh dengan mereka kerana perbezaan parti. Teman cuma sedih, mengapa mereka terlalu bodoh memilih untuk menyertai UMNO. Mereka pun sedih mengapa teman masih setia dengan Pas. Dan telinga mereka selalu panas kemerahan bila teman masih membebel tentang kesialan UMNO.
Sebagai mengenangkan sedikit jasa UMNO terhadap rakyat dan negara, maka dengan ini teman dengan sukarelanya ingin mengemukakan beberapa saranan buat pemimpin UMNO dalam usaha mereka untuk melemahkan PAS. Tapi pemimpin dalam Umno perlu berjanji, tak akan melaporkan setiap saranan teman ini kepada pimpinan Pas. Teman takut kena pecat. Teman nak jadi ahli Pas sehingga roh berpisah dari badan.
Saranan Pertama: Perhebatkan lagi konsert muzik di TV, atau dimana-mana. Kalau boleh adakan setiap siang dan malam. Dengan berbuat demikian, anak muda dan orang tua yang rasa masih muda, akan terus lalai dari mengingati tanggungjawab terhadap agama. Bila ramai yang mengabaikan tanggungjawap pada agama, misalnya tak mendirikan solat, semakin jauh mereka dari Islam. Golongan ini pasti tak terlintas di hati mereka untuk menyokong Pas yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Umno pasti pilihan mereka.
Saranan Kedua: perhebatkan lagi kecenderungan anak muda dan orang tua Islam untuk memuja artis yang gila glamor. Sekiranya ada artis yang deman, jadikan ia berita utama dalam ruangan hiburan supaya anak-anak muda risau artis kesayangan mereka demam. Dan ceritakan kehebatan artis, supaya pemujaan terhadap artis akan terus berlangsung. Dengan berbuat demikian, anak muda dan orang tua yang rasa diri masih muda, akan memandang lekeh para ulama dan pejuang Islam. Golongan ini tentu menyokong Umno dan tidak akan terfikir untuk mengundi Pas yang ramai ulama dan pejuang Islam yang tulin.
Saranan Ketiga: Perbodohkan setiap makluk di menara gading. Baik pensyarah mahupun pelajar. Sekat kebebasan mereka untuk bersuara secara akademik. Kalau mereka berdegil, ugut mereka. Banyak jenis ugutan boleh digunakan. Pensyarah tentu takut bila diugut bahawa kenaikkan pangkat ke jawatan Prof Madya atau Professor penuh tidak akan dipertimbangkan. Pelajar pula boleh diugut , untuk ditarik PTPTN. Dengan dengan berbuat demikian , akan lahir makluk menara gading yang sanggup jadi tukang angguk kepada Umno dan Barisan Nasional walaupun ianya jelas bertentangan dengan apa yang mereka pelajari dan ajarkan. Secara tidak langsung Pas akan kurang mendapat sokongan daripada pelajar dan para intelektual.
Saranan Keempat: Cari jalan yang tersusun rapi supaya para ulamak dan mufti sentiasa bertelagah sesama sendiri dalam isu remeh temeh. Dengan pertelegahan sesama ulama dan mufti, tentu kerajaan akan memperolehi manfaat yang berpuluh kali ganda. Dan umat akan kekal dalam kebinggungan. Umat yang binggung , pasti menyokong Umno dan Barisan Nasional.
Saranan Kelima: Perlu disiapkan satu strategi yang licin macam belut untuk menghancur taski,pasti dan sekolah agama rakyat dan swasta . Kesemua institusi pendidikan ini, dapat mampu melahirkan pejuang Islam. Dengan menghancur Institusi pendidikan berteras agama Islam secara sistematik , Pas akan kekurangan sokongan. Undi Umno pasti bertambah akibat daripada pertambahan rakyat yang buta alQur'an dan As-Sunnah Nabawi.
Saranan Keenam: Pastikan semua jawatan dalam institusi yang menjaga urusan agama adalah terdiri dari ahli Umno, khususnya JAKIM . Penjawat jawatan yang siap ditapis ini akan memastikan setiap program dan aktiviti keagamaan mempunyai matlamat menyerang kebenarangan perjuangan Islam yang dibawa Pas dan mempertahankan penyelewengan Umno dalam hal keislaman. Tetapi jangan lupa beri pangkat yang tinggi kepada mereka yang berperanan besar dalam usaha melemahkan Pas, supaya mereka berbahagia di dunia kerana di akhirat nanti mereka tahu mereka akan termasuk dalam golongan yang rugi.
Saranan Ketujuh: Setiap pemimpin tertinggi UMNO mesti menjadi Imam di masjid-masjid.Tidak kisah dimana. Jangan lupa bawa orang surat khabar dan TV. Kalau ada yang tak tahu jadi imam, belajar dengan Pak Lah. Kak Rafidah dan yang sejantina dengannya, jangan pula tampil jadi imam dikalangan jamaah lelaki. Nanti jadi macam , mentor SIS, si Aminah wadud. Heboh satu dunia. Dengan berbuat demikian, pak lebai kampung, ustaz 4 senawi, tuan-tuan haji mardud, tok guru yang sokong UMNO , pasti bertepuk tangan kerana gembira tak terkira, kerana lebih kuat keyakinan mereka bahawa UMNO parti yang lebih Islamik dari Pas. Sokongan kepada Pas akan semakin merosot. (teman sedang berimajinasi, bakal Perdana Menteri Malaysia sedang belajar untuk menjadi iman dengan Perdana Menteri yang sekarang)
Sebenarnya banyak lagi saranan yang hendak teman kemukakan. Tetapi cukuplah setakat ini.
(Amaran: kepada kawan-kawan dalam UMNO, banyak daripada saranan ini kalau digunakan pakai boleh menyebabkan UMNO menjadi parti yang jelas melakukan maksiat kepada Allah. Dan kalau dilakukan dengan sepenuh jiwa, boleh menjadikan UMNO parti yang bertaklid kepada Abu Jahal dan Abdullah bin Ubai bin Salul)
(Nota: Sebelum teman publish posting ini, isteri teman telah sempat membacanya dan dia berkata: "Saranan yang abang kemukakan dah jadi basi kerana hampir kesemuanya telah dilaksanakan oleh pakar strategi UMNO". Teman terdiam seketika. Dan hampir-hampir teman nak 'delete' kesemuanya. Tapi anak teman yang bongsu berkata"walid tekan saja'Publish Post'".Lalu teman akur dan akhirnya.....siapa sahaja boleh baca tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Sabtu, 7 Julai 2007
Contoh Isi Kandungan Blog Yang Di sukai Pemimpin BN
Malaysia juga terkenal kerana mempunyai pemimpin negara yang terdiri daripada manusia yang bertaraf 'world class'. Tidak ada sebuah negara pun di dalam dunia ini, yang dapat menandingi pemimpin negara . Walaubagaimanapun, Perdana Menteri sekarang yang bernama Datok Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi adalah yang terbaik dibandingkan perdana menteri yang terdahulu. Perdana Menteri yang terdahulu walaupun hebat, tidak dapat menandingi Perdana Menteri yang sekarang. Dan bakal perdana menteri yang akan datang pasti seorang yang lebih terbaik daripada yang sekarang. Ini adalah peraturan permainan politik yang telah dilembagakan. Betul ke? Entahlah!
Sekarang ini seluruh dunia sedang tercanggang banggang, kerana Malaysia sejak 50 tahun merdeka telah berjaya menurunkan indeks rasuah setiap tahun . Dan yang menakjubkan di zaman Perdana Menteri yang sekarang , Malaysia hampir bebas dari wabak rasuah. Memang , terdapat ahli politik atau tokoh korporat yang didakwa melakukan perbuatan rasuah, tetapi telah dibebaskan oleh Mahkamah kerana tak cukup bukti .Kemungkinan besar kebanyakan dakwaan rasuah terhadap tokoh politik dan tokoh korporat adalah fitnah pembangkang dan mungkin juga dakwaan rasuah terhadap mereka sengaja dibuat supaya BPR, Polis, Pendakwaraya , peguambela dan para hakim ada kerja yang boleh dibuat. Tidaklah nanti mereka dituduh makan gaji buta. Betul ke? Entahlah!
Dan bagi mencapai tahap sifar rasuah, usaha memerangi rasuah masih diteruskan, terutama terhadap kakitangan awam kerana Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri , jemaah menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen telah disahkan oleh menantu Perdana Menteri sebagai bersih dari rasuah. Memang rumah para menteri berharga jutaan ringgit dan dalam akaun bank mereka, dikatakan terdapat simpanan sehingga menjejah puluhan juta ringgit , tetapi itu adalah hasil dari sikap berjimat mereka yang tinggi , suka manabung dan berbelanja secara berhemah. Selain itu , kebanyakan pemimpin politik kerajaan Barisan Nasional sering menyamar untuk melakukan kerja sambilan bagi menambah sumber pendapatan , seperti menjaja di pasar malam , menjadi ajen insuran,atau menyertai perniagaan MLM. Secara purata perbelanjaan mereka hanya sepuluh sen sebulan sahaja. Betul ke? Entahlah!
Dari segi kebebasan bersuara, Malaysia adalah satu-satunya negara di atas dunia ini yang memberi ruang kebebasan yang tak terhingga kepada rakyatnya untuk bercakap sesama sendiri. Usaha juga sedang dibuat oleh Perdana Menteri yang sekarang melalui kerjasama saintis tempatan dan luar negara agar dapat dicipta satu alat dimana orang bisu pun boleh bersuara!. Kebebasan bersuara , terbukti bukan sebuah omongan kosong kerajaan apabila sesiapa sahaja yang didakwa dibawah ISA, masih dibenarkan bercakap dan kalau mereka enggan bercakap, paksaan akan digunakan. Betul ke? Entahlah!
Di Malaysia , indeks jenayah adalah yang paling terendah di dunia. Walaupun banyak berita rompakan, rogol, samun, colek dan sebagainya dilaporkan oleh akhbar dan media eletronik, tetapi kebanyakkan berita itu sengaja diperbesar-besarkan untuk menarik perhatian pembaca atau pendengar. Memang terdapat kes pembunuhan yang betul-betul berlaku . Contoh yang paling ketara dan mendapat perhatian dalam dan luar negegi ialah kes pembunuhan Altantuya. Namun perlu diingat bahawa ianya kes terpencil dan jarang berlaku. Kalau tak percaya tanya pada Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bolehlah kita simpulkan bahawa kebanyakkan kes jenayah hanya berlaku dalam drama swasta atau dalam filem Yusuf Haslam. Betul ke? Entahlah!
Dari sudut pelaksanaan Islam , tidak ada sebuah negara umat Islam didunia ini yang boleh menandingi kehebatan kerajaan Malaysia. Kita ambil contoh yang mudah: hasil dari ajaran Islam hadhari kebanyakkan masjid terpaksa dikunci sebaik sahaja solat wajib secara berjamaah selesai , kerana kalau tidak berbuat demikian umat Islam akan memasuki masjid tanpa henti untuk solat, beriktikaf, berwirid dan berzikir. Bila ramai umat Islam memasuki masjid setiap minit , ditakuti masjid tidak dapat menampung jemaah yang ramai dan petugas masjid tak boleh rehat. Oleh itu tindakan mengunci masjid sebaik solat lima waktu selesai adalah langkah wajar berdasarkan hukum Islam hadhari. Betul ke? Entahlah!
Selain itu, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia, cukup terkenal sebagai 'mesra ulama'. Ulama selalu dirujuk dalam masalah alam sekitar, masalah kebersihan tandas, membantu meneropong anak bulan, membaca doa di majlis rasmi, menjadi hakim musabakah Al Quran, dan banyak lagi. Kalau terdapat ulama menegur kemungkaran, rakyat biasa zahirnya mengandaikan kerajaan macam tidak ambil peduli. Yang sebenarnya kerajaan terlalu ambil peduli setiap pandangan dan teguran ulama dengan cara menyimpan setiap teguran dan pandangan yang dikeluarkan oleh para Ulamak di dalam sebuah fail khas untuk rujukan anak cucu mereka suatu hari nanti. Betul ke? Entahlah!
Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa ianya sebuah kerajaan yang banyak berjasa dalam membangun sebuah negara yang terbaik di dunia. Oleh kerana jasa kerajaan Barisan Nasional sudah terlalu banyak sehingga tak terkira , maka apa salahnya kerajaan meminta rakyat berkorban sedikit sebagai hadiah rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional. Pengorbanan yang diminta tidak banyak. Pertama, teruskan menyokong Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya dengan apa cara sekalipun.
Kedua, rakyat hendaklah bersama memikul beban kerajaan , terutama untuk menanggung kos pengurusan yang semakin tinggi dengan cara tidak menentang sebarang kenaikan harga petrol dan harga barang keperluan yang difikirkan sesuai untuk dinaikkan selepas pilihanraya yang akan datang.
Dan yang ketiga, dan paling penting jangan percaya kepada parti pembangkang dan bloggers yang kebanyakkannya penganggur dan wanita . Mereka adalah penyebar fitnah yang akan diperangi secara habis-habisan oleh penulis handalan yang akan diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan yang lebih menampakkan ciri kelakian. , berbanding Ketua Pemuda UMNO yang bagai seniman 'airmata' dan mempunyai hobi menghayun keris semasa Perhimpunan Agung UMNO!.
(NOTA: Semoga Pak Lah , Zainuddin Maidin , Tengku Adnan , Nazri Aziz, dan Azlina tahu bahawa terdapat blogger seperti teman yang cukup mesra terhadap kerajaan Barisan Nasional)
Jumaat, 6 Julai 2007
Tazkirah Jumaat Pada Diri Sendiri
Nak kata tua sangat , teman baru berusia 51 tahun. Nak kata teman muda lagi, anak-anak teman telah mengiktiraf 'ketuaan' teman . Buktinya, teman pernah dengar anak teman yang sulung berbual dengan kawannya dan menyebut " orang tua aku , suka tanya itu dan ini".
Kata-kata anak teman itu cukup kontra dengan keadaan teman ,katakan 40 tahun dulu , apabila ayah dan dan ibu teman sering berkata "bertuah punya budak" , bila teman yang masih bebudak ketika itu melakukan kesalahan. Dan teman sedang menunggu , kalau-kalau ada orang yang sanggup berkata secara ikhlas pada teman "baik sungguh budak ini".
Bila teman telah sampai di hujung kehidupan ini , kerinduan pada zaman sewaktu bebudak dulu , sering datang menerpa tanpa dipanggil. Memang ada ketikanya teman sengaja melayan rasa kerinduan teman pada zaman bebudak dan remaja dulu kerana ianya terlalu indah. Dan keindahannya tidak boleh diungkapkan dengan perkataan. Hanya teman dan sesiapa yang merasa dirinya telah tua yang dapat memahami maksud keindahan waktu bebudak dan remaja.
Anak remaja kini yang sedang menjalani kehidupan remaja , menganggap kehidupan yang dilalui sekarang adalah biasa sahaja: Ada indah. Ada duka. Ada tawa. Ada tanggis. Tapi bagi kami anggkatan tua, waktu remaja dulu cukup indah kerana kami telah buang jauh-jauh unsur tanggis dan dukanya. Ini adalah kerana kehidupan waktu tua lebih banyak cabarannya.
Cabaran utama, bila diri sendiri menyoal diri sendiri. Di antara soalan yang selalu muncul:" kau telah hidup sekian lama , tapi apa jasamu pada perjuangan umat ini? Bukankah , kau dulu termasuk dalam golongan penakut untuk menyatakan kebenaran sebagai kebenaran dan kemungkaran sebagai kemungkaran? Dan telah bersediakah kau mengadap tuhan sedangkan amalan yang kau perbuat amat sedikit?"
Dulu, sewaktu zaman remaja, soalan-soalan itu jarang menggasak minda. Kadang-kadang tak terfikir langsung. Tapi bila teman semakin tua, soalan-soalan itu setiap detik bergema. Lebih-lebih lagi dalam keadaan teman sedang dibelit oleh kesakitan yang cukup membebankan.
Walaubagaimanapun teman mulai lebih memahami maksud hadis Nabi S.A.W yang diantaranya , memberi isyarat supaya umat ini beringat: beringat sebelum tua, sebelum sakit, sebelum miskin".
Teman belum jatuh miskin. Tetapi sakit dan tua bukan 'cobaan' lagi. Ianya benar-benar sudah berlaku. Nasib akulah, labu!
Ah alangkah indahnya kalau dapat diputar dan diundurkan waktu yang pernah berlalu kerana teman mahu menebus beberapa kesilapan silam , terutama sewaktu remaja. Tapi harapan dan angan-angan teman ini adalah mustahil untuk jadi sebuah kenyataan.
Sebelum teman berhenti di sini , izinkan teman berpesan pada anak-anak teman buat sekian kalinya:
'Jangan persiakan waktu remaja. Belajar,beramal dan berjuanglah untuk
agama ini sebagai bekal untuk mati. Hidup ini sementara. Sedarlah setiap
detik yang kita lalui semakin mendekatkan kita dengan waktu kematian.
Dan jangan sekali silap memilih wadah perjuangan. Dan yang pasti ayahmu
ini mengharamkan tanpa kecuali seorangpun menyertai UMNO"
Rabu, 4 Julai 2007
Teringat Seorang Kawan Yang Bernama Cheiw Tuck Keong
Dengan ada pejabat, teman rasa kehidupan biasa berpejabat tidak banyak terjejas setelah teman memberhentikan diri dari syarikat lama. Teman sebelum berhenti kerja, telah terfikir untuk berniaga. Bila dah ada pejabat, teman rasa perniagaan boleh dimulakan. Teman berangan, bila berniaga tentu boleh jadi kaya raya. Indah betul angan-angan teman!
Kebanyakkan perabut untuk pejabat , teman beli dari sebuah kedai perabut yang terletak betul-betul di belakang apartment. Tuan punya kedai perabut itu bernama Cheiw Tuck Keong. Dia adalah bekas seorang Pengurus Besar syarikat petroleum , BP.
Sejak Cheiw dan teman berkenalan, kami selalu minum bersama di restoran mamak disebelah kedai perabutnya. Sambil minum atau makan, kami selalu berbual tentang agama dan politik. Akhirnya kami jadi kawan baik. Teman pun suka berkawan dengannya. Sekurang-kurangnya ada kawan yang boleh diajak berbual mengunakan Bahasa Inggeris. Teman takut ,kalau Bahasa Inggeris jarang digunakan, lidah teman akan tergeliat bila terdapat keperluan menggunakan bahasa itu.
Satu perkara yang menarik tentang Chiew, dia adalah seorang Kristian yang ragu pada agamanya sendiri. Dia banyak mempersoalkan perkara pokok mengenai agamanya, terutama dalam soal 'trinity'. Memang soal 'trinity' adalah yang paling membinggungkan umat Kristiani. Sampai kini perbahasan mengenai 'trinity' masih berjalan dan pihak gereja baik protestant, khatholik dan pelbagai 'mazhab' kristian gagal untuk menghalang para cerdik pandai barat untuk membahas isu ini .
Sebagai seorang kawan kepada Cheiw , teman cuba untuk tidak gelojoh mempertikaikan konsep 'trinity' dalam kepercayaan orang Kristian. Teman begitu berhati-hati. Takut nanti senjata makan tuan. Seboleh-bolehnya teman membawa dalil akal dan kitab Bible pelbagai versi yang teman miliki sejak dulu lagi. Disamping itu teman petik pendapat beberapa sarjana barat yang telah menulis tentang kepalsuan konsep 'trinity' . Walaupun minda teman tak secergas dulu,banyak ayat-ayat kitab bible dan intipati pendapat sarjana barat, masih teman hafal. Ini mungkin minat teman yang agak mendalam terhadap ilmu kristologi.
Akhirnya setelah beberapa lama kami berbincang tentang 'trinity' dan juga tentang ketulinan kitab 'Bible' , Chiew yang asalnya ragu dengan ugamanya , telah menolak kristian 100% sepenuh hatinya. Dan dia mula bertanya tentang Islam.
Pertanyaan beliau berkaitan dengan islam , ada ketikanya begitu berat untuk dijawab kerana teman sendiripun jarang memikirkan tentangnya. Disini teman tak akan membutirkan setiap soalan Chiew yang teman anggap berat, kerana ianya akan menjadikan posting ini terlalu panjang . Diringkaskan cerita ,walaupun teman bukan sarjana Islam, teman cuba menerangkan Islam berdasarkan apa yang teman pelajari baik secara formal mahupun secara tak formal. Yang penting teman perlu memberi penjelasan yang rasional dan tidak apologitik. Teman percaya, Islam agama yang mudah untuk difahami dan boleh diterima oleh manusia sepanjang zaman.
Kalaulah dibukukan dialog teman dengan Chiew tentang Islam, nescaya akan menjadi sebuah buku yang tebal. Dialog kami yang asalnya perbualan santai ,selalu memakan masa yang lama.
Teman sebenarnya suka sangat berbincang , berdialog atau berbual secara santai dengan Chiew di pejabatnya, selepas minum dan makan bersama di restoran mamak . Pernah pada suatu hari teman berdialog dengannya dari jam 5 petang sehingga 12 malam. Teman tak ingat berapa kali teman terpaksa berhenti bercakap untuk berehat dan solat di pejabatnya yang memang bersih kerana hanya kaki yang bertelanjang sahaja yang dibenarkan masuk. Dan setiap kali teman solat , dia cuma memerhati dan selepas habis teman solat, Chiew selalu berkata bahawa alangkah indahnya kehidupan seorang Muslim yang penuh dengan ibadat yang mendekatkan diri hamba dengan tuhan!
Walaupun Chiew dapat menerima banyak penjelasan teman mengenai Islam dari pelbagai sudut, dia masih belum mahu memeluk Islam. Teman pun tak pernah paksa dia.Lagipun hidayah hanya datang dari Allah. Teman cuma menyampaikan setakat yang termampu. Sehingga kini Chiew cukup menghormati teman kerana katanya dia pernah berdialog mengenai Islam dengan beberapa orang Muslim, tetapi katanya teman telah berjaya menghidangkan wajah Islam yang menyakinkan. Entahlah .....teman rasa sebaliknya pula, iaitu teman perlu banyak belajar lagi.
Apapun natijah dialog yang panjang dengan Cheiw, teman berpendapat bahawa potensi orang China Malaysia untuk memahami Islam dan berbondong-bondong memeluk agama ini adalah begitu besar sekali kalau kita lebih ikhlas mendekati mereka . Penjelasan tentang Islam mesti diiringi dengan akhlak yang baik kerana orang China Malaysia melihat umat Islam dengan sebelah mata disebabkan umat Islam Malaysia telah berjaya tampil menjadi juara dalam banyak bidang, seperti dadah, berpesta, rasuah dan pelbagai penyakit sosial
Kini teman jarang pergi ke ofis di Kajang Utama dan sudah terlalu lama tak berjumpa dengan Cheiw kerana tubuh teman semakin lemah dan lelah. Mungkin kalau dia berjumpa teman nanti, dia akan terkejut kerana teman semakin lemah dan rambut semakin panjang!
Nota: Posting ini sebenarnya baru hari ini (6.7.2007) teman 'publish' . Teman tulis petang rabu,dan 'save as draft' untuk tujuan edit kerana asal tulisan ini sungguh panjang dan siap dengan dialog yang terperinci. Tetapi selepas teman baca semula drafnya, teman telah meringkaskannya. Ini pun teman rasa masih panjang dan membosankan. Tetapi mesej teman adalah jelas , iaitu supaya dakwah kepada orang China Malaysia diperhebatkan lagi supaya tugas menegakkan pemerintahan Islam akan menjadi lebih mudah. Insyallah.
Selasa, 3 Julai 2007
Tersentak Dengan Kata-kata Dr Karen Amstrong
Entahlah selain sakit, minda teman sejak dua tiga hari ini disentap oleh dua posting saudara Ahmad Riyadh di dalam blognya yang diselit dengan sedutan temubual Karan Amstrong.
Posting Pertama beliau.
Q:Ok, but at the same time, you’re a white woman who is a kafir who writes authoritatively on Islam.
A:Excuse me, I’m not a kafir. Jews and Christians are
people of the Book, and are not kafirs. It is inaccurate and unQuranic
to say that they are kafirun. I would describe myself as a hanif.
Q:Which is…?
A:In the Quran, a hanif is one of the followers of
Abraham, people who surrendered to God before Jews, Muslims and
Christians formed separate sects.
Dua posting dan ulasan anak muda yang berasal dari Teluk Intan ini mengenai bekas birawati kristian katholik yang bernama Karen Amstrong , nampak ringkas tetapi cukup mengesankan. Dan pada dasarnya , Dr Karen Amstrong, seorang penulis barat yang telah menulis beberapa buku dan rencana yang berkaitan ugama, khususnya Islam boleh teman labelkan agak selamat untuk dibaca oleh umat Islam.Posting kedua beliau:
I’m doing this(speaks about Islam) because you(muslim) are not here(replacing me)!
Saya melakukan ini (bercakap tentang Islam) kerana anda (muslim) tidak berada disini(menggantikan saya)!
- Karen ‘Hanifah’ Amstrong
Teman banyak juga membaca dan menyimpan buku tulisan tokoh-tokoh orientalis. Memang terdapat tokoh orientalis yang berat sebelah dan cuba memutarbelitkan ajaran Islam, atas nama kajian ilmiah Islamologi. Namun terdapat juga tokoh orientalis yang bersikap objektif dalam kajian mereka tentang Islam dan umatnya. Diantaranya Dr Edward Said dan Dr John Esposito . Tetapi Dr Karen teman kira berada diposisi yang sedikit unik , mungkin kerana dia bekas seorang birawati dari gereja Khatolik.
Teman pernah membaca dua buah buku tulisan beliau.Kalau tak silap dua tahun yang lalu. Di antaranya buku mengenai biografi Nabi Muhammad dan Sejarah Tuhan.(Bukan teks asal, tetapi buku yang telah diterjemahkan ke Bahasa Indonesia yang teman beli dari Pustaka Indonesia di Wisma Yakin, K.L, kerana harganya murah). Sesudah teman baca buku beliau , teman membuat kesimpulan bahawa dia lebih objektif dari pendokong Islam Liberal atau golongan Islam modenis.
Selepas itu teman tak ikuti perkembangan Dr Karen Amstrong.
Teman pun tak tahu dia baru-baru ini datang ke Malaysia untuk program khusus. Dan bila Abu Fatihah atau Sdr Ahmad Riyadh memetik temul bual Dr Karen di blognya , teman tersentak terutama beberapa ungkapan yang berbunyi:
I’m doing this(speaks about Islam) because you(muslim) are not here(replacing me)
Ya Allah, teman rasa terpukul . Teman jadi binggung. Rasa sayu dan resah mencerut perasaan. Teman tertanya mengapa Dr Karen melafaskan kata-kata yang agak sinikal itu.
Lantas teman baca transkripsi temubual beliau yang teman ikuti dalam sun2surf. Bila habis baca, teman, bertambah resah. Semakin kuat keinginan teman nak tahu mengapa Dr Karen berkata begitu sehingga teman rasa tersentak dan terpukul.
Maka teman membuat carian di Yahoo Search: Karen Amstrong. Dan mulalah teman baca tentang Dr Karen yang namanya banyak muncul di alam cyber. Bukan sedikit masa yang teman guna untuk mengenali Dr Karen lebih dekat.
Oh, tuhan , akhirnya teman mulai faham mengapa dia berkata begitu. Rupanya, dia banyak menulis mempertahankan Islam yang sentiasa diserang oleh tokoh-tokoh barat yang anti Islam terutama dalam soal 'Islam and terrorism'. Dia begitu bersemanggat menekankan bahawa terrorism tidak ada kaitan dengan agama Islam. Dan akibat sikapnya yang begitu terbuka mempertahan Islam di dunia barat, berduyun-duyun tokoh sarjana barat, para paderi serta para penganalis barat telah membelasahnya kiri kanan, atas bawah. Dia di cop dengan pelbagai label, termasuk gelaran sebagai 'ultra apologist for Muslims'. Namun dia tak peduli. Dia mempunyai semanggat yang kental walaupun dia seorang wanita. Padanya, setiap yang benar perlu dipertahankan. Dia sendiri mengaku bahawa dia berpegang kepada ugama 'hanif' yang di bawa oleh Nabi Allah, Ibrahim a.s.
Sekarang teman mulai faham kata-kata beliau yang bunyinya agak sinikal, tetapi terdapat unsur kebenaran.
Teman bertanya pada diri sendiri, sejauh mana teman telah menjawab setiap hujah serangan pendokong anti Islam dan umat ini. Dr Karen sanggup, tetapi dimana teman pada masa pendokong anti Islam menyerang agama suci ini? Teman boleh jawab begini: " Setiap kali pendokong anti Islam menyerang atau mempermainkan Islam, aku pun berdemonstrasi. Banyak demonstrasi telah aku sertai. Sebut mana kedutaan yang aku tak pernah pergi berdemonstrasi?. Tapi kini aku telah sakit , lelah dan tua, aku tidak mampu lagi"
Soalnya, adakah teman boleh memberi alasan sedangkal itu ?. Memang, teman sedang sakit dan tubuh dan minda pun tak mampu bekerja keras untuk mempertahankan Islam dari pendokong anti Islam yang bersepah di sebelah dunia Barat mahupun di Timur tetapi mana janji teman pada diri sendiri untuk memperjuangkan dan mempertahankan agama ini walaupun dengan apa cara hingga ke garis penamat usia teman?
Tuhan sahaja yang tahu bahawa teman mahu mati dalam keadaan teman membela kebenaran risalah Islam dan menjauhi taughut. Semoga Allah perkenankan. Teman memang kekurangan Ilmu, tetapi itu juga bukan alasan. Terdapat Sahabat Nabi yang dua tiga hari masuk Islam (tentu belum sempat mendalami Islam), mati sebagai shuhada di medan perang. Oleh itu alasan, ilmu Islam masih kurang , tertolak dengan sendirinya. Cukuplah hadis Nabi yang lebih kurang maksudnya"'sampaikan walaupun satu ayat dariku", sebagai pembakar semangat.
Bila ramai pendokong Islam berani tampil berhujah dan menjawab setiap serangan dalam bentuk tulisan pendokong anti Islam dan umatnya, mungkin Dr Karen akan berkata akhirnya: " nah, tugas saya semakin ringgan, kerana telah bangkit sebahagian umat Islam yang berada sama di tempat saya duduk sekarang".
Akhir kata (kalau salah betulkan) : hujah lawan dengan hujah. Bukan hujah dilawan dengan demonstrasi, melainkan bila hujah tidak diambil peduli.