Sebagai salah seorang umat Islam yang prihatin dan warga negara yang baik, teman ingin mencadangkan supaya Pas dan Umno dibubarkan. Bila?. Kalau boleh sebelum subuh sepii esok. Mungkin terlalu cepat dan tak sempat. Baiklah, sebelum dunia kiamat. Masalahnya, kita manusia biasa yang tak tahu bila dunia akan kiamat. Apapun, segerakanlah.
Alasan teman cukup mudah. Kedua buah parti ini ibarat anjing dan dan kucing. Asyik bercakaran saja. Macam tak ada titik pertemuan. Percakaran ini dari segi logiknya tidak dapat dielakkan. Memang inilah harga sebuah sistem demokrasi yang perlu dibayar!
Demokrasi Malaysia dari segi rohnya masih dipengaruhi oleh barat. Dan salah satu punca perpecahan umat, adalah apabila kedua buah parti ini terpaksa bertarung diantara satu sama lain dalam kerangka sistem demokrasi bagi merangkul sokongan rakyat , yang secara tidak langsung boleh meletih dan merugikan umat ini.
Sepatutnya, kedua buah parti ini bersatu untuk membina sebuah negara yang unggul di persada antarabangsa. Ini tidak, masing-masing saling menyalahkan. Contohnya dalam isu negara Islam. Umno kata Malaysia adalah sebuah negara Islam mengikut tafsiran yang tersendiri. Manakala Pas pula mengatakan , Malaysia belum mempunyai ciri-ciri negara Islam yang sejati dan oleh kerana itu Malaysia tidak boleh dilabelkan sebagai negara Islam. Malaysia mengikut pandangan Pas, adalah negara umat Islam yang mengamalkan agama suku,politik suku.
Contoh isu negara Islam jelas menunjukkan perbezaan pendapat ini di antara kedua buah parti politik tersebut. Banyak lagi contoh perbezaan pendapat di antara kedua buah parti tersebut dalam soal-soal yang lain. Soalnya bila hendak selesai?.
Jawabnya, sukar untuk diselesaikan. Pas sering menganjurkan supaya soal-soal besar atau kecil diselasaikan melalui perbincangan atau debat berdasarkan seruan ayat al Quran yang meminta umat Islam yang bertelingkah supaya kembali kepada Al Quran sebagai tempat rujukan bagi menyelasaikan permasalahan yang timbul. Anjuran Pas adalah baik. Tetapi Umno menuduh Pas tidak ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang mencetuskan pertikaian. Seolah-olah Umno mempunyai kuasa seperti tuhan yang boleh membaca hati manusia samada ikhlas atau tidak.
Yang kebinggungan akibat daripada pertikaian pendapat di antara Pas dan Umno adalah rakyat biasa. Kebinggungan ini adalah berpunca daripada kurang maklumat yang mereka perolehi. Maklumat tentang kebaikan Umno melimpah ruah kerana media perdana dikuasai oleh mereka. Tentang dasar, matlamat dan wawasan perjuangan Pas sesungguhnya masih belum meluas diketahui oleh umat. Maklum sahajalah, Pas bukan parti pemerintah.
Memandangkan perbalahan Pas dan Umno ini tidak akan selesai sampai bila, maka itulah sebabnya teman cadangkan Umno dan Pas dibubarkan. Kalau teman cadangkan Umno sahaja dibubarkan dan dikuburkan di laut China Selatan, tentu Umno akan mengaum bagai harimau yang kelaparan. Kalau temankan cadangkan, Pas dibubarkan, tentu teman secara otomatik tidak mempunyai wadah perjuangan dan Pas juga akan berkata, yang patut dibubarkan ialah Umno kerana jasanya yang besar dalam memandulkan syariat Islam di Malaysia . Oleh itu cadangan teman, supaya kedua buah parti ini dibubarkan adalah amat munasabah dan masuk akal.
Sekiranya cadangan teman ini disambut dan dilaksanakan oleh kedua buah parti tersebut, maka teman seterusnya akan mencadangkan supaya bekas barisan kepimpinan kepada almarhum kedua buah parti politik tersebut , diperingkat pusat dipertemukan untuk menubuhkan parti politik baru.
Parti Politik baru ini boleh dipimpin oleh bekas barisan kepempinan kepada al marhum kedua buah bekas parti yang telah dibubarkan, melalui proses tapisan yang ketat supaya pemimpin yang dikira bersih dan berjiwa Islam sahaja akan dipilih.
Bagi tujuan tersebut, maka dengan ini teman secara sukarela menawarkan diri untuk melakukan proses penapisan secara perseorangan. Kesanggupan teman bukan kerana teman adalah yang terbaik. Tetapi teman yakin akan dapat menjalan tugas mencari bakal pemimpin baru untuk sebuah parti politik yang baru ditubuhkan secepat yang mungkin . Maklumlah teman dah pencen dan tak ada kerja tetap. Oleh itu masa lapang adalah luas terbentang. Lagipun, idea pembubaran kedua buah parti adalah hasil dari cadangan teman. Dan teman juga yang mencadangkan ditubuhkan parti politik baru.
Katakan cadangan teman dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk melakukan proses penapisan, maka teman berjanji akan menjalankan tugas dengan adil dan tanpa mengenakan sebarang bayaran. Yang penting, parti politik yang baru hendak ditubuhkan dan belum mempunyai perlembagaan , akan dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bersih , islamik dan professional.
Yang pertama , yang teman akan lakukan ialah menyiasat latarbelakang bekas barisan kepimpinan kedua buah parti yang telah berkubur, samada mereka mendirikan solat lima waktu secara konsisten. Tugas ini rumit. Untuk memudahkan tugas teman, kedua bekas barisan kepimpinan kedua parti yang telah tamat riwayatnya, hendaklah bersumpah dengan kalimah waLlahi, wabiLlahi, wataLlahi bahawa mereka bersolat lima waktu. Kalau ada yang tak sanggup bersumpah dengan kalimah tersebut , maka dengan sendirinya mereka hilang kelayakan untuk dipertimbangkan menjalani proses tapisan yang seterusnya.
Proses tapisan yang kedua, teman akan menguji kefahaman Islam mereka. Sekiranya mereka gagal , jelas sekali mereka tidak layak untuk menjalani proses tapisan yang ketiga. Yang berjaya, tentu secara otomatik layak ke peringkat proses tapisan yang ketiga.
Bagi proses tapisan seterusnya, teman akan menguji sejauhmana mereka faham tentang konsep negara Islam berdasarkan huraian ulama muktabar. Seperti biasa , kalau mereka gagal mereka boleh balik rumah dan lupakan hasrat untuk jadi pemimpin Parti politik baru yang akan didaftarkan dalam waktu yang terdekat.
Proses tapisan keempat, teman akan menyelidiki latarbelakang keluarga mereka samada secara konsisten mengamalkan ajaran Islam seperti dalam soal menutup aurat. Misalnya, kalau teman mengetahui secara pasti bahawa terdapat bekas pemimpin sekian, anak dan isteri mereka tak tutup aurat sepenuhnya , maka mereka juga boleh balik rumah dan mengucap selamat tinggal kepada dunia politik. Atau mereka boleh mohon jadi ahli Parti Keadilan Rakyat , atau parti MCA dan MIC. Itupun kalau diterima sebagai ahli. Atau mereka boleh tubuh parti lain berdasarkan ideologi yang menjadi pegangan.
Proses tapisan kelima, teman akan memeriksa akaun mereka,termasuk akaun isteri dan anak-anak mereka serta adik beradik mereka. Sekiranya dalam akaun mereka dan sanak saudara terdapat jumlah wang yang banyak melebihi pendapatan mereka dan ahli keluarga, maka mereka akan hilang kelayakan untuk menjalani proses tapisan seterusnya. Tapi kali ini mereka tidak boleh terus balik ke rumah. Teman akan minta BPR melakukan siasatan mengapa jumlah simpanan wang dalam akaun mereka (termasuk anak, isteri, adik beradik dan sanak saudara yang lain atau kawan yang dijadikan proksi) terlalu banyak berbanding dengan pendapatan mereka.
Seterusnya, teman akan menyiasat samada mereka pernah mengunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik bekas parti yang telah bersemadi dengan aman. Kalau teman dapati, terdapat dikalangan mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini, maka secara otomatik mereka tidak layak untuk melalui proses tapisan yang seterusnya. Mereka juga tidak boleh terus balik rumah. Teman akan minta sisatan ke atas mereka dibuat oleh Polis Malaysia.
Samada , polis Malaysia ,SPR, BPR akan berlaku adil dan telus , jangan dikisahkan sangat. Parti politik baru yang akan ditubuhkan nanti akan mengambil tindakan yang difikir wajar.
Teman juga akan menyiasat dengan mengunakan khidmat Peguam Negara supaya membuka semula fail dakwaan rasuah terhadap sebahagian mereka. Sekiranya , jelas mereka terlibat dalam apa sahaja bentuk rasuah walaupun kes mereka belum masuk mahkamah , maka mereka akan hilang kelayakan untuk dibenarkan menjalani proses tapisan yang seterusnya. Dan dengan hormatnya , teman minta Peguam negara untuk mendakwa mereka di mahkamah tanpa bertangguh walaupun sesaat.
Teman seterusnya akan melakukan ujian personaliti secara saintifik mengunakan teknologi tinggi untuk mengetahui samada mereka memiliki peribadi yang cemerlang dan mempunyai kepakaran memimpin yang tinggi.Kalau mereka gagal dalam ujian ini maka mereka boleh terus balik ke rumah dan boleh terus tidur . Tapi jangan minum racun tikus. Bunuh diri berdosa disisi Allah.
Demikianlah diantara proses tapisan yang akan teman lakukan. Maka yang berjaya melalui semua proses tapisan ini, maka secara otomatik mereka ini layak untuk dipertimbangkan memimpin parti politik baru.
Dan sekarang telah sampai masanya , teman bercakap tentang parti politik baru ini.
Parti politik baru ini akan ditubuhkan dengan segera. Dan dari segi dasar perjuangannya ianya sama seperti al marhum Parti Islam Semalaysia (PAS). Oleh kerana itulah pemimpinnya mesti yang berjiwa Islamik, mempunyai syaksiah yang mulia, dan mampu mengurus negara dengan baik .
Dan oleh kerana dasar perjuangannya sama seperti almarhum Parti PAS, maka dengan ini teman cadangkan supaya parti baru ini diberi nama Parti Islam Semalaysia (Baru).
Teman rasa, cadangan yang teman kemukakan adalah yang terbaik, bagi memastikan Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara Islam yang sejati berdasarkan Al-Qur'an dan Al Sunnah. Sesiapa yang tak suka untuk tinggal di dalam sebuah negara Islam, mereka dipersilakan keluar dari Malaysia dan secara otomatik hilang kerakyatan.
Cuma sebelum teman berhenti, teman hendak bertanya kepada Al Sheikh Anwar Ibrahim adakah cadangan teman ini boleh menjejaskan hubungan PKR dangan PAS(Baru)?
1 ulasan:
Tulisan anda mungkin akan menyinggung perasaan dan sentimen penyokong kuat UMNO.
Bagi penyokong kuat PAS tidak akan berlaku sebarang pembubaran Parti Islam Semalaysia PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951.
Bagi UMNO pula yang telah menghadapi saat pembatalan pendaftaran pada tahun 1987 yang lalu telah membawa kepada penubuhan semula UMNO dengan nama Kesatuan Melayu Bersatu UMNO(Baru). Munkgin penyokong merekalah yang akan menentang cadangan anda yangbersifat biadap dan tidak demokratik. Awas cadangan anda tidak disukai ramai!!!
Catat Ulasan