Teman ada pejabat di Taman Kajang Utama. Ianya adalah sebuah apartment yang teman beli masa bekerja dulu. Hajat hati mahu sewakan sebagai sumber pendapatan tambahan. Tapi bila berhenti kerja, teman jadikan apartment itu sebagai pejabat. Untuk buat pejabat teman terpaksa beli pelbagai perabut dan peralatan yang sesuai agar kelihatan sebagai pejabat.
Dengan ada pejabat, teman rasa kehidupan biasa berpejabat tidak banyak terjejas setelah teman memberhentikan diri dari syarikat lama. Teman sebelum berhenti kerja, telah terfikir untuk berniaga. Bila dah ada pejabat, teman rasa perniagaan boleh dimulakan. Teman berangan, bila berniaga tentu boleh jadi kaya raya. Indah betul angan-angan teman!
Kebanyakkan perabut untuk pejabat , teman beli dari sebuah kedai perabut yang terletak betul-betul di belakang apartment. Tuan punya kedai perabut itu bernama Cheiw Tuck Keong. Dia adalah bekas seorang Pengurus Besar syarikat petroleum , BP.
Sejak Cheiw dan teman berkenalan, kami selalu minum bersama di restoran mamak disebelah kedai perabutnya. Sambil minum atau makan, kami selalu berbual tentang agama dan politik. Akhirnya kami jadi kawan baik. Teman pun suka berkawan dengannya. Sekurang-kurangnya ada kawan yang boleh diajak berbual mengunakan Bahasa Inggeris. Teman takut ,kalau Bahasa Inggeris jarang digunakan, lidah teman akan tergeliat bila terdapat keperluan menggunakan bahasa itu.
Satu perkara yang menarik tentang Chiew, dia adalah seorang Kristian yang ragu pada agamanya sendiri. Dia banyak mempersoalkan perkara pokok mengenai agamanya, terutama dalam soal 'trinity'. Memang soal 'trinity' adalah yang paling membinggungkan umat Kristiani. Sampai kini perbahasan mengenai 'trinity' masih berjalan dan pihak gereja baik protestant, khatholik dan pelbagai 'mazhab' kristian gagal untuk menghalang para cerdik pandai barat untuk membahas isu ini .
Sebagai seorang kawan kepada Cheiw , teman cuba untuk tidak gelojoh mempertikaikan konsep 'trinity' dalam kepercayaan orang Kristian. Teman begitu berhati-hati. Takut nanti senjata makan tuan. Seboleh-bolehnya teman membawa dalil akal dan kitab Bible pelbagai versi yang teman miliki sejak dulu lagi. Disamping itu teman petik pendapat beberapa sarjana barat yang telah menulis tentang kepalsuan konsep 'trinity' . Walaupun minda teman tak secergas dulu,banyak ayat-ayat kitab bible dan intipati pendapat sarjana barat, masih teman hafal. Ini mungkin minat teman yang agak mendalam terhadap ilmu kristologi.
Akhirnya setelah beberapa lama kami berbincang tentang 'trinity' dan juga tentang ketulinan kitab 'Bible' , Chiew yang asalnya ragu dengan ugamanya , telah menolak kristian 100% sepenuh hatinya. Dan dia mula bertanya tentang Islam.
Pertanyaan beliau berkaitan dengan islam , ada ketikanya begitu berat untuk dijawab kerana teman sendiripun jarang memikirkan tentangnya. Disini teman tak akan membutirkan setiap soalan Chiew yang teman anggap berat, kerana ianya akan menjadikan posting ini terlalu panjang . Diringkaskan cerita ,walaupun teman bukan sarjana Islam, teman cuba menerangkan Islam berdasarkan apa yang teman pelajari baik secara formal mahupun secara tak formal. Yang penting teman perlu memberi penjelasan yang rasional dan tidak apologitik. Teman percaya, Islam agama yang mudah untuk difahami dan boleh diterima oleh manusia sepanjang zaman.
Kalaulah dibukukan dialog teman dengan Chiew tentang Islam, nescaya akan menjadi sebuah buku yang tebal. Dialog kami yang asalnya perbualan santai ,selalu memakan masa yang lama.
Teman sebenarnya suka sangat berbincang , berdialog atau berbual secara santai dengan Chiew di pejabatnya, selepas minum dan makan bersama di restoran mamak . Pernah pada suatu hari teman berdialog dengannya dari jam 5 petang sehingga 12 malam. Teman tak ingat berapa kali teman terpaksa berhenti bercakap untuk berehat dan solat di pejabatnya yang memang bersih kerana hanya kaki yang bertelanjang sahaja yang dibenarkan masuk. Dan setiap kali teman solat , dia cuma memerhati dan selepas habis teman solat, Chiew selalu berkata bahawa alangkah indahnya kehidupan seorang Muslim yang penuh dengan ibadat yang mendekatkan diri hamba dengan tuhan!
Walaupun Chiew dapat menerima banyak penjelasan teman mengenai Islam dari pelbagai sudut, dia masih belum mahu memeluk Islam. Teman pun tak pernah paksa dia.Lagipun hidayah hanya datang dari Allah. Teman cuma menyampaikan setakat yang termampu. Sehingga kini Chiew cukup menghormati teman kerana katanya dia pernah berdialog mengenai Islam dengan beberapa orang Muslim, tetapi katanya teman telah berjaya menghidangkan wajah Islam yang menyakinkan. Entahlah .....teman rasa sebaliknya pula, iaitu teman perlu banyak belajar lagi.
Apapun natijah dialog yang panjang dengan Cheiw, teman berpendapat bahawa potensi orang China Malaysia untuk memahami Islam dan berbondong-bondong memeluk agama ini adalah begitu besar sekali kalau kita lebih ikhlas mendekati mereka . Penjelasan tentang Islam mesti diiringi dengan akhlak yang baik kerana orang China Malaysia melihat umat Islam dengan sebelah mata disebabkan umat Islam Malaysia telah berjaya tampil menjadi juara dalam banyak bidang, seperti dadah, berpesta, rasuah dan pelbagai penyakit sosial
Kini teman jarang pergi ke ofis di Kajang Utama dan sudah terlalu lama tak berjumpa dengan Cheiw kerana tubuh teman semakin lemah dan lelah. Mungkin kalau dia berjumpa teman nanti, dia akan terkejut kerana teman semakin lemah dan rambut semakin panjang!
Nota: Posting ini sebenarnya baru hari ini (6.7.2007) teman 'publish' . Teman tulis petang rabu,dan 'save as draft' untuk tujuan edit kerana asal tulisan ini sungguh panjang dan siap dengan dialog yang terperinci. Tetapi selepas teman baca semula drafnya, teman telah meringkaskannya. Ini pun teman rasa masih panjang dan membosankan. Tetapi mesej teman adalah jelas , iaitu supaya dakwah kepada orang China Malaysia diperhebatkan lagi supaya tugas menegakkan pemerintahan Islam akan menjadi lebih mudah. Insyallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan