Seminggu teman tak tulis apa-apa. Sengaja menyibukkan diri dalam kerja-kerja yang teman fikir boleh menjadi sumber pendapatan baru. Walaupun teman sakit, hidup mesti diteruskan. Duit habuan vss dulu semakin tipis. Teman tak mahu hidup miskin. Tak biasa. Pun, teman tak mahu hidup terlalu kaya, kerana tak biasa. Cukuplah hidup seadanya seperti masa dulu.
Hari ini teman nak rehat sikit.Sudah dua tiga hari tak usik laptop. Lalu teman layari beberapa laman web. Satu cerita yang menarik hati teman, ialah tentang bekas menantu Sultan buat repot polis terhadap Laman web Malaysia Today, dan editornya seorang kerabat raja: Raja Petra Kamarudin. Malaysia today, yang merupakan salah satu laman web yang jarang teman tak layari, dikatakan oleh bekas menantu Sultan sebagai menghina Yang DiPertuan Agung dan Islam.
Biasanya laporan polis oleh penyokong kerajaan seperti yang dibuat oleh bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar, merangkap Senator,merangkap Ketua Penerangan Umno Malaysia akan diberi perhatian oleh Polis Malaysia. Laporan Polis oleh individu yang mewakili NGO atau parti pembangkang terhadap penyalahangunakuasa pemimpin UMNO dan sekutunya ,juga diberi perhatian.Tetapi perhatian yang diberikan oleh Polis Malaysia adalah tersangat luarbiasa iaitu dengan cara menyimpan ratusan repot tersebut ke dalam peti besi supaya tidak hilang atau turut terbakar sekiranya balai polis dimana repot dibuat terbakar. Satu tabik hormat kita berikan kepada Polis Malaysia memetibesikan ratusan repot tersebut!
Berbalik kepada laporan polis oleh bekas menantu Sultan terhadap Malaysia Today. Sesungguhnya tak dapat teman sembunyikan rasa kagum terhadap bekas menantu Sultan merangkap bekas menteri besar Selangor. Izinkan teman, angkat kopiah lusuh dikepala ini sebagai tanda hormat teman kepada bekas menantu Sultan atas keberanian beliau membuat repot polis tersebut. Jelas sekali bekas menantu begitu sayang kepada institusi beraja dan Islam.
Tetapi Raja Petra dengan pantas memberi riaksi yang panas terhadap laporan polis yang dibuat oleh bekas menantu Sultan. Beliau gasak bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Negeri, Selangor melalui tulisan beliau yang terkini. Boleh dikatakan panjang juga riaksi Raja Petra.
Di kesempatan ini teman cuba membela bekas menantu Sultan, merangkap Menteri Besar, Selangor, merangkap Ketua Penerangan Umno dan merangkap Senator di Dewan Negara. Tetapi ini tidak bererti , teman tidak suka Raja Petra. Cuma ,teman hendak belajar menjadi pembela pemimpin UMNO untuk membuktikan bahawa tak semua blogger anti UMNO dan kerajaan.
Pada pendapat teman adalah tak wajar bagi Raja Petra Kamarudin dalam tulisan terbarunya (riaksi beliau terhadap bekas menantu Sultan) mengatakan bekas menantu Sultan pernah menipu bekas bapa mertuanya di atas perbuatannya membawa putri Sultan berkahwin secara rahsia di Siam. Dalam bahasa yang lain Raja Petra Kamarudin secara tidak langsung memberi tahu bahawa bekas menantu Sultan telah melakukan perbuatan kawin lari bersama puteri Sultan di Siam. Teman rasa kenyataan, Raja Petra tak tepat. Sesungguhnya bekas menantu Sultan bukan berkawin secara rahsia dengan Putri Sultan. Bekas menantu Sultan cuma merahsiakan perkahwinannya .Oleh itu tidak timbul isu bekas menantu Sultan membawa putri Sultan kawin lari ke Siam.Masakan bekas menantu Sultan sanggup berlari untuk berkawin.Pasti dia menaiki kereta yang mahal dan berjenama besar. Maklumlah masa itu dia seorang Menteri Besar yang hebat dan tersohor.
Raja Petra Kamarudin, yang berketurunan raja bugis juga mengatakan bekas menantu Sultan bernasib baik kerana tidak berada pada tahun 1907, kalau tidak keris akan menjadi penentu kebenaran.
Rasa teman, kalaulah bekas menantu Sultan berada pada tahun 1907 dan anak Raja Bugis, yang juga anak saudara Sultan bertarung mengunakan keris, Residen Inggeris di Selangor akan membantu bekas menantu Sultan dengan memberinya senapang untuk menembak Raja Petra yang berketurunan Bugis yang berkeris , kerana Residen Inggeris di Selangor masa itu mempunyai niat suci untuk mengurangkan jumlah anak-anak raja berketururunan Bugis yang memberi masalah kepada kerajaan Inggeris. Lagipun , Residen Inggeris ,teman fikir lebih suka kepada bekas menantu Sultan kerana beliau boleh dijadikan pegawai yang baik dan setia untuk mengutip cukai dari rakyat jelata. Mungkin!
Raja Petra juga mencatatkan cerita bahawa Sultan yang juga merupakan bapa saudaranya tidak murka apabila bekas menantu Sultan mencerai putrinya. Mengikut kata Raja Petra, Sultan cuma ragu bagaimana bekas menantunya memberi putrinya 12 juta ringgit sebagai penyelesaian perceraian. 12 juta ringgit bukan jumlah wang yang kecil, tidak seperti 12 juta rupiah. Dari mana bekas menantu Sultan dapat duit sebanyak itu? Adakah bekas menantu Sultan yang menceraikan isterinya, putri Sultan , merangkap sepupu Raja Petra mendapat jumlah wang sebanyak itu secara korup?
Pada pendapat teman kita kena berbaik sangka dengan bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor. Mungkin duit sebanyak itu adalah hasil tabungan wang yang dikumpul oleh beliau dan keluarganya sebelum bekas menantu Sultan lahir lagi ataupun dia terjumpa harta karun yang ditemui secara tak sengaja ditenggah sebuah hutan belantara, lama dulu. Dan kemudian harta karun itu dijual sehingga dapat menghasilkan duit sebanyak itu. Keadaan seperti itu tak mustahil dari segi hukum akal. Yang dikatakan mustahil dan pelik adalah apabila, harta karun itu datang secara tiba-tiba dan terus bergolek memasuki peti simpanan bekas menantu Sultan merangkap bekas menteri besar.
Kerabat diraja berketurunan Bugis , yang juga anak saudara Sultan , akhirnya meletuskan rasa amarah yang keterlaluan pedasnya terhadap bekas menantu sultan merangkap menteri besar Selangor melalui kata-kata yang bernada amaran, yang kalau dipermudahkan bahasanya akan berbunyi seperti berikut:" aku jumpa kau di neraka"
Disini teman yang meminati Malaysia Today dan kepahlawanan Raja Petra ingin memberi sedikit nasihat yang positif. Adalah lebih baik sekiranya Raja Petra jangan berfikir untuk masuk neraka untuk berjumpa dengan bekas menantu Sultan. Ini adalah kerana kesemua pemimpin Umno dari bawah hingga ke atas , termasuk bekas menantu sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor , adalah terdiri dari manusia yang mempunyai 'makam' yang tinggi iaitu mereka menghampiri ciri-ciri malaikat. Kesemua mereka tidak pernah melakukan rasuah, penyalahgunakuasa, tidak pernah kacau anak dara orang atau isteri orang, tidak pernah berjudi, tidak pernah minum setitikpun air arak, tidak pernah menipu, tidak pernah membiarkan isteri tidak menutup aurat.Dan dipendikkan cerita , kesemua mereka tidak pernah melakukan apa saja jenis kejahatan walaupun sekecil zahrah. Amal baik mereka tak terhitung. Mengikut hukum akal, kesemua pemimpin Umno bakal masuk syurga. Oleh itu, sewajarnya Raja Petra berusaha untuk masuk surga untuk berjumpa dengan l bekas menantu sultan yang namanya ada dua nama Muhammad. Oleh itu perkataan yang sesuai adalah seperti berikut: "aku jumpa kau di syurga"
Macamanapun terpulang kepada Raja Petra untuk menerima atau menolak pendapat hamba pacal yang hina ini.
Kepada bekas menantu Sultan, merangkap bekas menteri besar Selangor, merangkap Ketua Penerangan UMNO, dan merangkap Senator di Dewan Negara, teman sekali lagi mengangkat kopiah tanda hormat kerana telah menunjukkan prestasi yang hebat dengan membuat repot polis terhadap Malaysia Today dan anak Raja Bugis yang bernama Raja Petra Kamarudin. Teman berpendapat, inilah prestasi yang paling cemerlang, gemilang dan terbilang yang pernah beliau lakukan , berbanding sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Besar , Selangor , satu ketika dulu. Tidak terlewat rasanya ,untuk teman mengiktiraf beliau sebagai ikon dan tokoh 'Melayu Baru'
Teman juga ingin memuji bekas menantu Sultan yang juga bekas menteri besar Selangor, kerana kini beliau telah boleh memahami Bahasa Inggeris(mungkin belajar dari menantu PM yang terkenal hebat dalam penggunaan bahasa Inggeris) yang membolehkan beliau membaca tulisan Raja Petra yang biasanya ditulis dalam bahasa itu di dalam laman web Malaysia Today.
Dulu teman mendapat tahu bahawa bekas menantu sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Australia dalam kes beliau membawa duit berjuta ke Australia. Alasan hakim membebaskan beliau adalah berdasarkan bukti bahawa beliau tak reti bahasa Inggeris sehingga tidak tahu membaca peraturan berkaitan membawa wang tunai berjuta ringgit yang ditulis dalam bahasa Inggeris yang terpampang di Lapangan Terbang Australia. Syabas temankan ucapkan kepada bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar, Selangor kerana 'your English have improved tremendously'
Dan berdasarkan semanggat dan kecintaan terhadap Islam bekas menantu Sultan adalah tinggi ,tak salah kalau teman ingin bertanya kepada bekas menantu sultan merangkap menteri besar ,Selangor, bila pula nak buat laporan polis terhadap pemimpin MCA yang bertegas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukannya negara Islam ? Bukankah dakwaan pemimpin MCA ini secara tidak langsung menghina Islam sebagai ugama rasmi? Bukankah dakwaan pemimpin MCA juga menghina Yang Dipertuan Agung, seolah-olah baginda mengetuai sebuah negara sekular?
Andai kata bekas menantu sultan merangkap bekas menteri besar Selangor, merangkap Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan merangkap Senator di Dewan Rakyat, membuat repot polis terhadap pemimpin MCA, teman bukan setakat angkat kopiah yang lusuh di atas kepala ini sebagai tanda hormat, bahkan teman sanggup angkat kedua belah tanggan dan kaki!
Akhir kata dari teman: Semoga apa yang dilakukan oleh bekas menantu Sultan merangkap bekas Menteri Besar Selangor akan dapat ganjaran yang besar disisi Perdana Menteri Malaysia yang kita cintai. Moga dapat ganti Tok Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagaimana yang dikatakan oleh Raja Petra!
Hidup bekas menantu Sultan!
Hidup bekas menteri besar Selangor!
Hidup Ketua Penerangan Umno Malaysia!
Hidup Yang Berhormat Tuan Senator!
2 ulasan:
Assalamualaikum Tok Syeikh!
Amboi....bukan main sedappp nye berbahasa..Hehehehe..
Si polan sipolan yang disindir pesan mungkin terrrrrassssaaa sampai ke ulu hati menembus ke sum sum tulang dek terkesan dengan madah madah dam pepatah kata Tok Syeikh yang walau nampak lemah lembut berbudi bahasa ternyata teramat pedih bak sembilu dan mereka mungkin kan tersiksa! :P
Ini yang hebatnya orang orang lama. Bertikam lidah melalui alam maya laman siber.
Hebat! Hebat!Madah pujangga!
Teruskan..teruskan..sambong cherita!
Hamba ingin kembali menggunakan gaya bahasa Melayu lama.
Salam Mahaguru58
Terima kasih atas dorongan yang diberi. Selagi hayat masih ada, hamba akan bercerita:cerita penghiburlara. Takbir.
Catat Ulasan