Pemimpin Umno selalu meminta supaya bloggers menulis berdasarkan fakta dan jangan sekali menfitnah. Teman setuju sangat. Memang tak patut kalau tak bersetuju. Maklumlah yang cakap seperti itu makluk terbaik di atas muka bumi ini. Kesemua mereka suci tanpa debu dosa. Ini fakta. Bukan Fitnah.
Terdapat ramai bloggers yang tak sunyi dari melakukan dosa. Ingat, yang suci tanpa debu dosa ialah pemimpin Umno dari peringkat bawah membawa ke atas.Nasihat teman supaya bloggers menulis berdasarkan fakta dan jangan sekali memasukkan unsur fitnah . Eh, teman bercakap macamlah teman yang dhaif dan lemah ini , pemimpin Umno yang suci tanpa dosa. Teman pun seperti bloggers yang lain , tak sunyi dari melakukan dosa. Orang yang tak sunyi dari dosa tak wajar menasihati orang lain. Yang wajib menasihati orang lain hanyalah orang yang bersih dari noda dan dosa seperti pemimpin Umno di semua peringkat!
Dalam tulisan ini teman cuba untuk membawa contoh tulisan yang berdasarkan fakta dan tulisan yang dikatakan berunsur fitnah.
Contoh (1) tulisan berdasarkan fakta :-
Adalah tidak dinafikan oleh semua makluk yang masih bernyawa di atas muka bumi ini bahawa Perdana Menteri yang kita kasihi adalah seorang yang yang hebat. Selain dari berkerja keras untuk memajukan negara, beliau sibuk mencari Imam Al-Ghazali dan Imam As-Shafie. Selain itu dia tidak teringin langsung untuk mencari harta yang bertimbun walaupun kediaman rasminya berharga jutaan ringgit.
Perdana Menteri kita juga seorang yang penyayang. Contohnya walaupun dia telah berkahwin dengan isteri barunya, namun ingatan dan kasih sayangnya terhadap arwah isterinya tidak pernah berubah walaupun sedetik . Isteri barunya cuma sebagai teman dalam kesunyian. Tidak lebih dari itu.
Anak, menantu dan adik beradik beliau juga tidak dibenarkan untuk mengambil kesempatan atas kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri. Sekiranya mereka menjadi kaya raya sejak beliau ditabalkan menjadi Perdana Menteri, semua itu adalah atas usaha masing-masing yang tidak pernah bosan keluar rumah mencari rezeki dari pagi hingga petang. Ada kala sampai malam. (eh, macam lagu 'Serambi' nyanyian Ramli Sarip)
Contoh (1) tulisan yang berunsur fitnah:-
Perdana Menteri Malaysia dikatakan sebagai seorang pemimpin yang paling lembab dan lemah kalau dibandingkan dengan empat orang Perdana Menteri yang terdahulu. Dia dianggap seorang Perdana Menteri yang kurang ambil tahu tentang apa yang berlaku di kelilingnya. Oleh itu apabila beliau ditanya tentang sesuatu perkara, dia akan jawab: "saya tak tahu. Nanti saya siasat". Keadaan beliau yang sedemikian ini adalah akibat daripada penyakit beliau yang masih belum sembuh, iaitu suka tidur .
Beliau juga dikatakan sebagai seorang yang terlalu keterlaluan mengikut telunjuk anak menantu lelakinya dalam urusan mentadbir negara. Ini adalah kerana anak menantu beliau yang seorang ini dilabelkan sebagai pemuda yang tercerdik dikalangan orang yang terbodoh. Maklumlah anak menantu beliau yang seorang ini adalah produk Universiti Oxford. Dan anak menantu beliau juga dituduh sewenangnya oleh segelintir orang yang terencat akal mereka, bahawa menantu Perdana Menteri yang seorang ini bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri sebelum umur beliau mencecah 40 tahun.
Perdana Menteri yang kita kasihi dan sanjungi ini paling suka membuat lawatan ke luar negara untuk tujuan menarik pelaburan asing sambil makan angin. Beliau tidak suka menaiki jet eksekutif ketika melawat luar negara. Kata orang beliau teramat suka menaiki kapal terbang milik syarikat MAS dan duduk di kelas ekonomi . Tujuan berbuat demikian adalah untuk menunjuk-nunjuk supaya beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang tak suka membazirkan duit rakyat dan negara. Ramai orang yang berpendapat sekiranya, di atas angkasa ada lebuh raya, beliau lebih suka memandu kereta Proton Saga untuk melawat negara luar dengan syarat Datuk Seri Samy Vellu tidak mengenakan toll di setiap satu kilometer lebuh raya yang dibina oleh syarikat swasta yang diberi konsensi yang penuh misteri dan merupakan rahsia besar kerajaan Malaysia .
Dan sukan yang paling sukai oleh Perdana Menteri Malaysia ialah sepak raga dan bola sepak. Ini adalah kerana kedua sukan ini sangat dekat dengan hati rakyat. Beliau mesti berpura-pura menyukai kedua jenis sukan ini untuk menambat hati rakyat beliau yang kebanyakkannya rabun politik. Manakala sukan yang paling beliau benci ialah permainan golf, kerana belanja untuk bermain golf adalah tinggi. Maklumlah, Perdana Menteri yang kita kasihi , mengamalkan gaya hidup seorang sufi!
Contoh (2) tulisan yang berdasarkan fakta:-
Timbalan Perdana Perdana Menteri yang kita kasihi adalah pemimpin berjiwa rakyat. Seperti Perdana Menteri yang kita sayangi, beliau juga boleh menjadi imam dalam solat jamaah. Bahkan dia lebih hebat kerana dia mampu menjadi imam sembahyang Jumaat dan boleh berkutbah tanpa teks yang disediakan.
Cara hidupnya juga cukup sederhana. Contohnya, dia lebih suka tinggal dirumah atap rumbia. Maklumlah, pemimpin berjiwa marhaen.
Beliau juga sangat setia kepada Perdana Menteri. Tidak terlintas dihatinya untuk meminta Perdana Menteri yang sekarang ini untuk meletak jawatan supaya beliau boleh cepat menduduki kerusi Perdana Menteri. Dia tersangat sabar menunggu walaupun seribu tahun lagi.
Dan cerita tentang Timbalan Perdana Perdana Menteri yang kita kasihi tidak akan lengkap kalau tidak disentuh tentang kehebatan isterinya yang cantik dan berseri. Sesungguhnyalah, isteri beliau adalah seorang muslimah yang sejati. Contohnya dia tidak pernah sekalipun berlaga pipi dengan artis dan beliau tidak pernah keluar rumah melainkan menutup aurat.
Contoh (2) tulisan yang berunsur fitnah :-
Timbalan Perdana Menteri Malaysia dikenali sebagai seorang yang suka membantu para kroninya dengan cara melantik mereka sebagai agen dalam urusan pembelian alat kelengkapan ketenteraan. Hasilnya, para kroni beliau memperolehi ratusan juta sebagai komisyen dari syarikat pembekal.
Selain itu beliau dikatakan pernah diserkap oleh pegawai pejabat agama kerana berkalwat di Port Dickson tetapi kesnya ditutup . Pihak pejabat agama di daerah itu tidak sangka yang diserkap adalah beliau. Kalaulah pegawai-pegawai pejabat agama tahu dari awal yang hendak diserkap adalah beliau, mereka tentu membeluk ke tempat lain. Masa itu Dr Mohd Azri belum lagi menjadi Mufti Perlis . Ulama pakar hadis ini cukup dikenali ramai kerana fatwanya yang melarang perbuatan mengintai orang berkalwat untuk tujuan diserkap.
Dan yang paling terbaru, salah seorang saksi dalam kes pembunuhan Altantuya telah mengemparkan satu alam maya bahawa dia pernah melihat sebuah gambar, dimana terdapat wajah Timbalan Perdana Menteri bersama dengan Razak Baginda dan mendiang Altantuya yang mati berkecai dibom. Sedangkan Timbalan Perdana Menteri yang merupakan bakal Perdana Menteri yang ke 6 telah berulangkali menyatakan bahawa dia tidak pernah walaupun sesaat mengenali mendiang Altantuya.
Rasanya memadai setakat ini , teman catatkan dua contoh tulisan berdasarkan fakta dan dua contoh tulisan yang berunsur fitnah. Contoh-contoh yang diberi ini, teman rasa boleh dijadikan panduan bagi semua bloggers supaya tidak terjebak dalam tulisan yang tak berfakta dan berunsur fitnah. Marilah bersama kita cuba menjadi pemimpin UMNO yang kesemua mereka bercakap berasaskan fakta yang kukuh dan tidak pernah memfitnah sesiapa, terutama terhadap bloggers, NGO dan Parti Pembangkang, khususnya Pas.Maklum sajalah, kesemua pemimpin UMNO disemua peringkat adalah diantara segelintir umat yang suci dari debu noda dan dosa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan