Rabu, 11 Jun 2008

Puisi Waterlily Yang Teman Baca Hari Ini!

Di antara blog yang teman selalu lawati ialah , blog sahabat teman yang nama samarannya ialah Waterlily . Blog beliau boleh dilawati di sini.

Di bawah ini teman copy dan paste puisi beliau yang pada pendapat teman penuh dengan mesej yang tersurat dan tersirat.



June 07, 2008

Aku Marhaein


Aku marhaein.
Tidak tahu politik
Suapan slogan muluk- muluk
Glokal sana wilayah di sini

Aku buta ekonomi
Tiada kepentingan
terhadap projek-projek megamu
Tak bermaksud aku boleh engkau
Pandir-pandirkan sesuka hati

Aku marhaein
Tahuku cuma
Keluar saban hari
Mencari sesuap rezeki
Agar hidup kami
Tidak perlu jadi penadah tangan
di negara sendiri

Jangan engkau suruh aku
Ubah gaya hidup
Kerna aku cuma bermotorsikal
Kadangkala naik elarti, besi buruk komuter
dan bas Rapid KL
Berasak-asak berdiri
Setaraf pendatang.

Tidak pernah menjejak Suria KLCC
Tidak pernah merasa Starbuck coffee
Atau berbaju kasut jenama GUCCI dan Jojo Armani
Cuma sesekali merasa ayam KFC
Dunkin’ Donut jarang-jarang sekali.

Jangan engkau bodohkan aku
Dengan suapan slogan gila tidak munasabah
Berjimat dengan pendapatan yang tidak seberapa
Bukan aku pernah melancong ke luar negara
Dalam negara pun tidak pernah
Mahu balik kampung
Pun kadang-kadang terpaksa berkira-kira

Kata si cantik seleberiti
Kurangkan makan nasi
Baik untuk kuruskan diri

Aku sekadar mau bertanya
Bolehkah kurangkan nasi
Untuk anak-anakku yang sedang membesar
Mencatu makan bisakah menghentikan tangisan

Dan engkau puak juak akhbar
Asal saja yang berucap itu pakar
Asal saja dia si cantik seleberiti
Asal saja tuanmu bisa dapat untung
Semuanya engkau main petik sesuka hati

Aku marhaein
Aku sudah hidup dengan cara marheinku
Jangan kau ajar aku berjimat
Pada kamu berjimat
Padaku mencatu

Aku marhaein
Dan aku sedang marah
Jangan sampai aku amuk.


Tiada ulasan: