Teman pernah ada seorang kawan baik. Tak payah disebut namanya. Kalau sebutpun, tak tentu dapat pahala.
Bapa kepada kawan teman ni adalah seorang Tok Guru. Siang malam beliau mengajar ugama samada di masjid atau di surau. Anak muridnya ramai.
Kitab yang selalu diajarnya, kebanyakkan kitab kuning. Kemungkinan ramai anak muda zaman sekarang yang tak tahu apa itu kitab kuning. Kalau mereka hendak tahu , cubalah tanya kepada ayah mereka yang sekarang berumur disekitar 50 tahun ke atas. Itupun kalau diwaktu muda , ayah mereka rajin ke masjid mengaji kitab kuning.
Dipendikkan cerita, teman pun pernah jadi anak muridnya.
Teman mengaji dengan Tok guru yang juga ayah kepada kawan baik teman dalam jangka waktu yang agak lama juga.
Ada beberapa kitab yang diajarkan oleh beliau.
Dan teman tak pernah lupa salah sebuah Kitab yang diajar oleh beliau adalah sebuah kitab yang tebal. Nama kitab itu ialah 'Sabilal Muttadi'. Kitab tersebut adalah kitab fikh yang boleh dianggap di antara kitab kuning yang tebal dalam bahasa Melayu tua. Kitab tersebut mengandungi bab Ibadat, bab Munakahat, bab Muamalat dan bab Jenayat.
Dalam setiap majlis Ilmu Tok Guru tersebut, teman adalah diantara anak muda yang paling konsisten hadir. Teman juga, dikenali sebagai seorang anak murid yang setia kerana duduk betul-betul berhadapan dengan Tok Guru setiap kali dia mengajar.
Bukan setakat duduk berhadapan, teman juga rajin membuat catatan di atas kitab tersebut yang teman beli di sebuah kedai kitab ugama yang terletak berhampiran dengan Menara Jam Condong, Teluk Intan.
Tok Guru tersebut sayang pada teman sebagaimana teman menyayanginya.
Mengikut kata kawan-kawan yang sama-sama mengaji dengan teman ,sekiranya teman tak dapat hadir disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan, Tok Guru tersebut akan selalu menyebut nama teman sepanjang majlis mengaji kitab dengan berkata: 'kalaulah dia ada, majlis ini tentu tak muram macam sekarang".
Bila teman sambung belajar peringkat ijazah, maka teman tak dapat mengkhatamkan kitab 'Sabilal Muttadi" walaupun setelah hampir satu tahun teman belajar kitab tersebut. Macam mana boleh khatam cepat, kalau sekali mengaji tok guru tersebut menghuraikan tiga baris ayat hampir satu jam.
Pernah teman tanya pada Tok Guru tersebut , mengapa kitab-kitab kuning lambat untuk dikhatamkan. Maka menjawablah tok guru teman, bahawa salah satu tanda keberkatan kitab kuning ialah, ianya ditulis oleh ulama yang ikhlas dan kerana itu setiap patah perkataan ada makna yang tersurat dan tersirat yang perlu diuraikan.
Sebagai murid yang setia , teman mengiyakan saja walaupun teman cukup tak selesa dengan tulisan jawi lama yang bahasanya berbelit-belit kerana pada hemat teman, penulis kitab lama menulis dalam bahasa melayu sedangkan bahasa dalam minda mereka adalah Arab.
Belum lama teman memasuki dunia pekerjaan, di suatu pagi teman dikejutkan dengan berita kematiaannya. Apa yang boleh teman lakukan melainkan mendoakan agar roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan tak dapat teman elakkan, airmata meleleh di pipi.
Pagi itu teman terselalu sedih.
Teman tak terkilan kerana tak sempat mengkhatamkan kitab 'Sabilal Muttadi', kerana kalau teman mahu, teman boleh pergi ke Kedai buku di Wisma Yakin untuk membeli kitab tersebut yang telah diterbitkan semula dalam bahasa moden. Yang teman terkilan, ialah perangai anaknya, yang juga kawan teman.
Kawan teman walaupun berbapakan Tok Guru yang pernah mengaji di Makkah Al Mukaramah selama 23 tahun, sayang sekali tidak sampai sepuluh peratus mengikut perwatakan ayahnya yang alim dan berakhlak mulia.
Kelemahan dan keaiban peribadinya terlalu banyak untuk diceritakan walaupun dia belajar hingga ke peringkat Universiti dalam bidang pengajian Islam.
Semasa bujang dan baru bekerja , teman pernah tinggal serumah dengannya di Jinjang , KL. Walaupun teman bukan seorang insan yang terlalu baik, tetapi bab sembahyang teman cukup jaga. Tapi kawan teman yang seorang ini, selalu mengabaikan sembahyang. Bila teman, tegur dia buat tak peduli.
Semasa dia menunjukkan gambar bakal isterinya, teman berisytifar kerana tak sangka dia boleh memilih seorang gadis yang memakai skirt pendik dan sudah tentu tak bertudung.
Untuk menyedapkan hati teman maka berkatalah kawan teman itu "aku akan mendidik bakal isteriku menjadi seorang muslimah yang sejati".
Tapi sehingga kini teman mendapat tahu, isterinya masih belum bertudung dan anak-anaknya pula bermasalah dari segi moral.
Memang tak baik bagi teman untuk menceritakan aib seorang kawan yang merupakan anak kepada seorang Tok Guru. Tapi untuk tujuan pengajaran teman rasa , tak salah. Lagipun teman tak sebut namanya.
Satu kelemahannya yang mungkin dianggap remeh, ialah sikapnya yang suka berbohong walaupun dia bekerja di sebuah Institusi ugama.
Di tempat kerjanya dia berbohong. Hingga kawan-kawan sepejabatnya pernah mengadu pada teman, dalam bab agama pun dia sanggup berbohong. Bak kata orang, lidahnya bercabang.
Dengan teman pun dia pernah berbohong, bahawa dia akan membayar hutang yang berjumlah ribuan ringgit, tapi sehingga kini dia belum teringin menunaikan janjinya. Bukan teman saja yang telah terkena, malah ramai lagi.
Dan bila teman mendapat tahu dia sedang menjawat jawatan tinggi, teman sedikit pun tak hairan kerana sebagai ahli UMNO , dia adalah pilihan terbaik kerana ciri-ciri keperibadiannya yang mengaibkan adalah amat bertepatan dengan roh perjuangan parti yang disertainya.
Sampai kini teman tak dapat mengelak untuk membuat kesimpulan, kalaulah anak ulamak, terjatuh dalam lembah maksiat, kemaksiatan yang dilakukan boleh mengatasi samseng gelendangan yang tak pernah berpeluang mengenali agama.
Sekarang teman semakin insaf, bahawa iman tak boleh diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa.
Berkaitan dengan cerita di atas, teman tidak akan mati kehairanan apabila bang dollah, PM Malaya yang merupakan cucu dan anak kepada seorang ulamak , dikatakan sebagai suami yang dayus kerana mengisinkan isteri dan anaknya tidak bertudung, pembohong , cakap tak serupa bikin, berjanji tapi kurang menepati janji dan bla...bla, kerana cerita tentang anak ulama berkeperibadian buruk, bukan sesuatu yang luar biasa lagi bagi teman!
Semoga Allah memberi taufik dan hidayah agar kawan teman kembali ke pangkal jalan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan