Rabu, 30 Januari 2008

Berita Tentang Kematian Orang Yang ada Nama Besar

Setiap hari ada orang mati dan setiap hari ada yang dilahirkan. Yang tidak punya nama besar, kematiannya diketahui oleh sahabat dan saudara mara yang terdekat. Manakala orang yang punya nama besar, maka satu Malaya akan mendapat liputan media.

Begitulah hakikat hidup.

Selepas zuhor petang tadi, teman berangkat dari Putrajaya bersama seorang kawan, merangkap bekas pemandu teman sewaktu bekerja dulu yang sangup mengambil cuti semata-mata membantu teman memandu kereta untuk ke Hospital Tawakal. Bukan untuk dimasukkan ke dalam wad, tetapi buat 'medical check up'. Dah jadi rutin dua kali dalam sebulan.

Sebaik sahaja teman melangkah masuk ke dalam klinik doktor pakar neurologi, teman telah diberitahu bahawa Dato' Ishak Baharom telah meninggal dunia. Jam masa itu hampir 3.50petang.

Agak terkejut dan tersentak teman mendengar berita kematian, bekas Mufti Selangor yang amat dimusuhi oleh bekas PM Malaya, Tun Mahathir.

Sesungguhnya, teman amat bersedih dengan berita itu. Tapi tidaklah sampai menitiskan airmata.

Semasa mata, jari, tekanan darah, dan sebagainya diperiksa , teman pun bertanya doktor yang sudah pun menjadi kawan baik teman sekarang: "Doc, do you think that my days are numbered".

Maka jawab Doktor tersebut dengan tersenyum " Sheikh, don't ever you say that again. Let Allah decide. He Knows better. Just pray , night and day ,so that your health problem will be back to normal and you can live another 50 years"

Dan doktor teman menambah:

"You tahu tak ada orang yang sihat tiba-tiba tumbang dan mati. Dan ada orang yang sakit banyak tahun, tapi tak mati-mati.Ini semua kerja Allah"

"Adakah maksud doc, orang yang sakit banyak tahun tapi tak mati-mati adalah saya"

"Yes, you adalah diantaranya. Allah beri ujian sakit, so that by the time you have to go , you are already well prepared with all the good deeds and insyallah you get His blessing".

Itulah diantara isi perbualan teman dengan doktor yang selalu memberi teman semanggat untuk hidup.

Semasa teman sedang menunggu di Bahagian Farmasi untuk mengambil ubat di tingkat bawah Hospital Tawakal , teman mendapat tahu dari seorang ahli farmasi yang sekian lama telah teman kenali bahawa Loloq, sang penulis lirik yang terkenal, telah meninggalkan dunia yang fana. Beliau dikatakan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku di otaknya.

Berita kematian lagi!.

Sepanjang perjalanan pulang ke Putrajaya, teman dan bekas pemandu yang jarang menolak permintaan untuk membawa teman ke mana saja yang teman mahu, bercakap tentang berita kematian dua tokoh yang ada nama dalam bidang masing-masing.

Sesungguhnya kami berdua tak kenal secara peribadi kedua tokoh tersebut. Tapi entah kenapa kami bercakap tentang kematian mereka ,sedangkan dalam masa yang sama, semasa kami sedang berbual, mungkin terdapat ratusan orang yang tak ada nama besar sedang dimasukkan ke dalam liang lahat.

Semasa hendak memasuki plaza tol Sg Besi, tiba-tiba kami dengar bunyi siren. Dan tak berapa saat kemudiaan beberapa buah motor polis trafik memberi isyarat supaya mana-mana kenderaan yang berada di atas jalan, memberi laluan kepada kereta ambulan dan beberapa buah kereta Proton Perdana berwarna hitam.

"ah, mungkin ada satu lagi berita kematian" kata kawan teman merangkap bekas pemandu teman yang setia.

"Siapa pula yang mati kali ini?" tanya teman bodoh, sebodohnya.

"Mungkin orang besar yang ada nama " jawab kawan selamba.

"Kau ingat siapa?" tanya teman menduga.

"Tak kena tangkap polis kah kalau saya meneka"

Lalu teman menjawab: "Bukankah di Malaya , anggota polisnya walaupun suka mentadarah rasuah, adalah sebaik-baik insan di dunia ini. Jangan risau, kalau setakat meneka tak mengapa. Lagipun kita ada dalam kereta. Mereka tak boleh dengar apa yang kita sembangkan"

Lantas kawan teman yang sedang memandu kereta dengan tenang , mengaru kepalanya yang teman fikir tak gatal dan berkata:"saya ingat, PM kita yang disayangi mati mengejut"

Teman hampir tergelak besar mendengar tekaan kawan yang sudah berjaya teman pengaruhi supaya menyokong pembangkang. Dan teman pun bertanya: "kalau bang dollah mati mengejut apa pula puncanya?".

Maka dijawab oleh kawan teman dengan mukanya yang selamba , " pagi tadi , saya sempat buka internet dan baca harakahdaily. Salah satu tajuknya, berbunyi lebih kurang ' Tak Malukah PM Meminta Mandat lagi?' yang ditulis oleh Abdul Halim Abdul Rashid. Saya tak baca habis tulisan itu. Tapi saya rasa Pak Lah terbaca. Dia terkejut membaca tajuk seperti itu serta kandungannya sehingga mati"

Tak tahan geli hati teman mendengar penjelasan kawan teman.

Maka teman pun ketawa berdekah-dekah. Dan selepas agak reda sedikit ketawa teman , teman pun berkata: "Tak mungkin dia baca tulisan itu di harakahdaily. Dia bukan kaki baca. Fail-fail yang diatas mejanya pun tak sempat dia tengok. Dia sibuk meraban sini sana."

"Tapi mana tahu hari ini dia ditakdirkan terbaca tulisan itu, lalu dia tumbang dan mati mengejut"

"Tak baik kau cakap bang dollah mati mengejut. Aku rasa , umurnya panjang. Kata orang , orang yang tak tahu malu dan suka berbohong, sengaja Allah panjangkan umurnya, samada untuk diberi kesempatan bertaubat atau pun Allah hendak membuka lebih ruang masa untuk orang seperti itu melipatkan ganda dosa-dosanya. Semoga Allah jauhkan kita dari berumur panjang tapi mengerjakan maksiat dan tak pernah berusaha untuk bertaubat"

Perjalanan ke rumah teman di Putrajaya semakin hampir.

Namun kawan teman tak mahu menghabiskan topik tentang bang dollah begitu sahaja.

Lalu dia bertanya: "katakan Pak Lah betul-betul mati mengejut. Siapakah orang yang paling suka?"

Pantas teman menjawab:"engkaulah, kerana beriya-iya sangat hendakkan bang dollah mati"

"Salah. Samada Paklah mati atau hidup, kita tetap lawan BN. Itu yang pasti. Dan yang pasti orang yang paling suka dengan kematian Pak Lah , tentu Najib. Dia akan buat kenduri kesyukuran 40 malam berturut-turut. Siapa yang tak suka untuk dilantik menjadi PM menganti arwah Pak Lah".

Sekali lagi teman ketawa. Tapi kami terpaksa berhenti berbual kerana kereta teman yang dipandu oleh seorang kawan yang setia telah dihentikan kerana kami telah sampai betul-betul dihadapan rumah teman.

Dan tak berapa lama kemudian , kawan teman menuju ke keretanya yang telah berapa jam diparkir di tepi jalan yang berdekatan dengan pintu pagar rumah teman. Dia akan meninggalkan teman , untuk pulang ke rumahnya di Bangi.

Setelah kawan teman hilang dari pandangan, teman terus membuka pintu pagar rumah dan masuk semula ke dalam kereta untuk dipandu masuk ke dalam perkarangan rumah.

Sebelum teman keluar dari kereta yang telah diletakkan ditempat parkir, teman tersenyum sendiran sambil berkata:"hari ini ada dua kematian orang yang ada nama besar. Jumlah itu akan menjadi tiga kalau betul-betul tekaan kawan teman menjadi kenyataan".

Al Fatihah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalam..
Sheikh..
Bukankah baik dan buruk itu daripada dia sheikh?
Bukankah semua aturan ini daripada dia?
Apa maksud IMAM itu sheikh? kenapa kita digalakkan semayang berjamaah sheikh? apa gunanya imam itu?
Betulkah ade kebetulan kat dunia ini?
Adakah kita ini sebagai manusia boleh menghukum?