Teman menunggu bila dia akan meneruskan kata-katanya kerana teman tak sabar lagi hendak mendengar hajat bang dollah yang kedua.
Tapi bang dollah masih asyik merenung lantai yang berkarpet lusuh. Mungkin dia sedang mencari ayat yang sesuai. Atau pun dia sedang menahan matanya supaya tidak terlelap.
"Begini Sheikh" tiba-tiba dia bersuara dengan bersemangat sambil menepuk bahu sebelah kanan teman. Syukur, bang Dollah masih belum terlelap. Dan kemudian dengan lancarnya dia menyambung kata,"hajat kedua ana datang ialah untuk menawarkan jawatan kepada Sheikh. Jawatan itu bukan sembarangan jawatan. Jawatan Menteri. Suka?"
Bagai hendak pecah jantung teman mendengar tawaran bang dollah. Teman tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan perlahan-perlahan. Cuba hendak tenangkan perasaan. Akhirnya , tak sampai dua minit , rasa tenang muncul semula. Dan sambil ketawa perlahan macam tokoh politik yang bersopan, teman mengajukan pertanyaan.
"Menteri apa bang?"
"Menteri Penerangan! menganti si Zainuddin Maidin. Ah, Zam ni, telah memalukan ana. Dia merapu bila ditemuduga oleh Al Jazerah. Satu dunia ketawa mendengar kemerapuannya. Ana malu. Besar kemaluan ana",macam nak menanggis bila bang dollah melafaskan kata-katanya. Teman cukup bersimpati. Tapi perasaan suka mengatasi rasa simpati. Siapa tak suka bila PM nak lantik kita jadi Menteri penuh.
"Bang, apa pula kata Zahid Hamidi. Bukankah dia Timbalan Menteri Penerangan, sepatutnya dia yang diberi jawatan menteri penuh mengantikan Zam-Zam ala Kazam" Teman cuba mengingatkan bang dollah.
"Sheikh ni, suka sangat mengelarkan si Zam dengan gelaran Zam-zam ala Kasam. Kesian dia. Dia anak yatim piatu. Lain kali jangan buat macam itu, ok!. Ah, tentang Zahid Hamidi , ana fikir nak lantik dia jadi Menteri Besar Perak. Tajul Rosli, bak kata Ali Rustam suka mengampu ana. Ana tak suka. Kalau nak mengampu sikit ana tak kisah. Jadi Zahid Hamidi elok sangat jadi Menteri Besar Perak. Dia orang jawa. Perak rasanya tak pernah ada Menteri Besar dari keturunan jawa. Orang jawa ni kaum yang anih sikit. Terlebih-lebih kreatif. Contohnya, Khir Toyo dia hadiah penyapu kepada kakitangan awam. Ana nak tengok, bila Zahid Hamidi jadi menteri besar Perak , dia beri hadiah apa pulak. Mungkin buah kelapa kut! kerana kampung dia Sungai Tiang, Bagan Datuh banyak kebun kelapa.Ha..ha..ha..ha...." mungkin kerana lucu dengan kata-katanya sendiri bang dollah meledakkan bunyi ketawa yang kuat. Teman, pun turut ketawa. Malah lebih kuat dari bang dollah. Satu percubaan teman nak mengampu sikit. Maklumlah, jawatan Menteri Penerangan telah tersedia. Soalnya nak cekup atau tidak saja!
" Ah, sheikh setuju ke dengan tawaran ana ini?" tanya bang dollah.
"Ana tak sihat. Ana sakit, bang!"
"Ana tahu sheikh sakit. Dan ana tahu sheikh dapat rawatan di hospital. Ana tahu sheikh dah berubat cara tradisional. Dan ana tahu , banyak duit sheikh habis kerana berubat"
"Mana bang dollah tahu? Bang dollah seorang spy ke?" tanya teman berpura-pura hairan.
"Ana bukan spy full time tapi sempatlah menyiasat latarbelakang sheikh . Ana dari dulu terpengaruh dengan Filem James Bond. Ana tak miss tengok cerita James bond.Setiap filem James Bond mesti ada wanita cantik. Itu yang buat ana lebih suka. Sheikh tahu, sempat ana tepuk bahu heroin filem James bond, amoi berasal dari Ipoh di satu majlis yang sheikh pun tahu . Amoi cantik tu, membalas pula. Dipegangnya tangan ana. Lembut betul tangan amoi tu. Masa tu ana terlupa diri sekejab sehingga tak sedar bahawa ana ni Imam Islam Hadhari. Ana dah minta ampun pada tuhan.". Jelas bang dollah bagaikan sudah insaf.
Teman tak tahu samada nak ketawa atau bersedih dengan pengakuan bang dollah. Yang mampu teman lakukan cuma menepuk bahu bang dollah seolah menyokong keinsafannya.
Bang dollah melihat jam di pergelangan tangannya. Tentu jam bang dollah berjenama besar dan tentu harganya hampir mencecah harga rumah yang teman diami. Atau pun dihadiahkan oleh amoi cantik yang pernah berlakun sebagai heroin dalam filem James Bond.Mungkin !
"Sheikh dah lama kita bersembang ni. Ana tunggu jawapan samada sheikh bersetuju dengan tawaran ana. Soal sakit, nanti kita bereskan. Ana ni , suka melawat negara lain kononnya untuk menarik pelabur asing melabur di negara kita. Dah jadi hobi pulak. Nanti ana bawa sheikh sekali ke luar negeri untuk tugas rasmi Tapi bak kata orang tua, sambil menyelam minum air. Sheikh boleh ambil kesempatan mencari doktor pakar yang lebih pakar dari yang ada di Malaysia. Ana sendiri pun lebih suka mendapat rawatan dengan pakar di luar negara. Sakit resdung pun ana ke Australia untuk berubat. Malaysia ni, pakar perubatan tak sehebat mana."ujar bang dollah dengan nada yang lembut tetapi bersungguh-sungguh.
Teman sebenarnya mahu menerima tawaran jawatan sebagai Menteri Penerangan. Elaun mengalahkan gaji. Siapa yang tak hendak? Lebih-lebih lagi teman yang hidup serba susah sejak berhenti kerja. Tetapi ada sesuatu yang menghalang .Ah binggung teman dibuatnya.Teman dalam dilema.
"Bang, ana boleh terima tawaran abang, tetapi masalahnya ana bukan ahli UMNO dan ana bukan ahli parlimen yang boleh dilantik sebagai Menteri" teman cuba menguji ketulinan tawaran bang dollah. Teman pun macam BPR Malaya yang cukup prihatin dengan ketulinan vedio klip Lingam.
"Itu bisa di atur. Ana akan aturkan keahlian sheikh dalam UMNO. Ana akan backdatedkan tarikh keahlian.Itu kerja mudah. Mengenai status bukan ahli parlimen pun tidak menjadi hal. Bila-bila ana akan umumkan pembubaran parlimen. Lepas tu pilihanraya perlu diadakan. Sheikh boleh bertanding di mana-mana saja di negeri Perak, dan kawasannya selamat", pantas bang dollah menjawab.
"Tapi bang, ana sayang pada perjuangan Pas".
Secepat kilat bang dollah memintas,"sheikh 'sayang' 'cinta' letaknya dihati. Simpan saja. Yang dizahirkan tak mestinya sama seperti yang terpendam dihati. Arwah ayah ana dulu pun bukan calang-calang orangnya. Dia pernah jadi ketua pemuda Pas Malaya lama dulu. Kemudian dia masuk UMNO dan akhirnya dapat jadi timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Bukan dia tak sayang pada perjuangan Pas. Dia sayang, tapi dia simpan dalam hati".
Tunggu sambungan cerpen merapu bgh 3......
NOTA: Cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Satu percubaan menulis genre cerpen , namun ia berkaitan dengan makluk yang sebenar. Maaf kalau tidak ada nilai estetika yang tinggi. Teman hendak menjelma sekejab sebagai sasterawan jadi-jadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan