Bang dollah ni nampak macam orang banggang. Tapi bila dia bercakap, ada juga unsur kebenarannya. Lalu teman cuba mengusik bang dollah" Ayah abang sayangkan Pas dan dia simpan rasa sayang itu dalam hatinya. Bang dollah pula adakah sayang pada Pas tetapi disimpan dalam hati?"
"Oh ana cukup sayang pada Pas. Itu sebab ana cuba mendidik ahli Pas supaya tahan diuji. Ana suruh polis cari jalan supaya buat hal dengan pemimpin dan ahli Pas, agar mereka tahu bagaimana hendak mengatasi sesuatu masalah. Inilah yang dikatakan tarbiyah pratikal yang ana sumbangkan untuk perjuangan Pas. Media arus perdana dan alat jentera kerajaan pun memang ana tugaskan untuk melakukan tugas melemahkan perjuangan Pas. SPR pun ditugaskan begitu. Oleh kerana itulah, perjuangan Pas dapat diteruskan kerana setiap hari terpaksa berjuang. Katakan semua ini tiada, pemimpin dan ahli Pas akan lalai dan lama kelamaan perjuangan pas akan lesap ditelan zaman. Besar tak sumbangan ana pada Pas, ya sheikh?"
Terpesona teman dengan kata-kata bang dollah yang agak memukau. Logik juga. Tapi teman masih cuba menguji bang dollah" Bang, ana ni orang bodoh tak layak jadi menteri. Tahap pendidikan tak tinggi. Nanti memalukan majlis wazir bang dollah" ujar teman bagaikan seorang yang amat merendah diri. Tapi tuhan saja yang tahu, teman suka sangat menjadi menteri.
Bang dollah tersenyum meleret mendengar kata-kata teman. Matanya kelihatan bercahaya menatap wajah teman yang dikerutkan supaya kelihatan sayu dengan harapan memancing simpati bang dollah. Tak lama kemudian dia ketawa kecil dan berkata," Sheikh, syarat kelayakan utama untuk menjadi anggota wazir ana, ialah kurang cerdik. Maknanya bodohlah tu.Pandai sangat susah ana nak kontrol. Tapi janganlah terlalu bodoh seperti si Zam. Biar bodoh yang sederhana. Dan syarat yang kedua seseorang wazir mestilah setia pada ana. Kalau tak setia, tak lama ana boleh bertahan jadi PM. Syarat yang ketiga, setiap wazir mesti cekap menjalankan tugasnya. Kalau tak cekap ana yang susah, tak boleh relak. Banyak lagi syarat yang lain. Tapi tak perlu ana huraikan".
Taklah berat sangat syarat yang bang dollah tetapkan. Dan dalam keadaan hidup teman yang sedang dihimpit oleh masalah kewangan, eloklah teman terima saja tawaran bang dollah walaupun teman terpaksa jadi tukang angguk. Nak hidup!
Maka dengan penuh yakin teman pun berkata" bang dollah, tawaran ini sungguh bermakna buat ana yang sedang bermasalah dari segi kewangan. Oleh itu........" tiba-tiba terpaksa teman berhenti bercakap kerana telinga teman terdengar bunyi kereta masuk ke dalam perkarangan rumah.
Mungkin isteri teman dah balik . Dalam waktu-waktu begini dia selalu pulang ke rumah selepas lebih lapan jam bertugas di pejabat. Elok sangat isteri teman berada bersama di saat ini. Biar dia sendiri dengar deklarasi persetujuan teman untuk menerima tawaran jawatan sebagai Menteri Penerangan Malaya. Tentu dia suka kerana suaminya tidak lama lagi bergaji besar , jadi orang besar, berkereta besar , berumah besar dan entah apa-apa lagi yang besar!
.
"Assalamamualaikum" , kedengaran isteri teman memberi salam.
"Waalaikumsalam" serentak bang dollah dan teman menjawab.
Dan masuklah isteri teman ke dalam rumah. Mata dia, teman lihat terpacak ke arah Bang dollah. Kemudian isteri teman tersenyum dan berkata" Oh Datuk Seri rupanya. Dah lama sampai. Tak kerja hari ini?.
Mak Datuk, hebat juga isteri teman!. Baru kali pertama jumpa bang dollah, terus disapa dengan mesra dan menghadiahkan sejambak senyuman yang manis. Macamlah dia kenal sangat dengan bang dollah, bakal boss teman!
Bang dollah, teman lihat macam orang tak senang duduk. Sekejap berdiri, sekejap duduk.
"Apa tujuan Datuk Seri datang ke rumah saya? Puas saya cari Datuk Seri di pejabat tadi. Rupanya Datuk Seri ada disini", tanya isteri teman sambil matanya menjeling ke arah teman yang sedang dilambung oleh ribut kebinggungan.
Bang dollah yang baru berdiri dan duduk semula di sofa, kelihatan menundukkan kepalanya.
Pemalu sangat kah bang dollah ni bila berdepan dengan perempuan ? hati teman berdesis. Dan yang menghairankan isteri teman kelihatan tersangat mengenali bang dollah. Bila pula isteri teman bekerja di Jabatan Perdana Menteri?.
Bang dollah masih membisu seribu bahasa. Oh, bang dollah apa dah jadi?
Isteri teman pula sudah berada di sisi teman. Senyuman manis masih tak lekang dibibirnya. Sambil itu dia mengurut bahu teman yang sudah lama tegang dan sakit. Dan kemudian dia bersuara separuh manja: " Oooi Cik Abang, seronok ke jumpa dengan Datuk Seri?
Pantas teman jawab, "seronok, tak sangka bang dollah sebaik manusia di atas muka bumi ini"
"Ada tak Datuk Seri menawarkan sebarang jawatan pada cik abang"
"Ada. Bang dollah menawarkan jawatan Menteri Penerangan. Kita bersetuju. Tapi belum sempat beritahu,bang dollah"jawab teman jujur.
"Cik abang , di Pejabat, sudah ramai kakitangan dia tawarkan dengan pelbagai jawatan. Tapi tak seorang pun yang terima. Sebabnya Datuk Seri yang seorang ni, otak dia dah tak berapa stabil sejak isterinya meninggal kerana barah payu dara. Kerja dia sebagai kerani kanan diabaikannya. Boleh dikatakan setiap hari dia menghilangkan diri. Ponteng kerja. Mentang-mentanglah wajah dia seiras dengan wajah Pak Lah, dia selalu menyamar sebagai Pak Lah, Perdana Menteri kita. Tak sangka, hari ini, abang menjadi mangsanya"
Oh ! teman nak pengsan. Ada sesiapa yang boleh tolong?
Tamat.
NOTA: Cerpen ini adalah rekaan semata-mata. Satu percubaan menulis genre cerpen , namun ia berkaitan dengan makluk yang sebenar dan masih hidup. Maaf kalau tidak ada nilai estetika yang tinggi. Teman hendak menjelma sekejab sebagai sasterawan jadi-jadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan