Sabtu, 17 November 2007

Penyalahanguna Dadah: Di Mana Pas?

Teman dah lama nak sentuh hal dadah. Persoalan dadah, bukan soal kecil.

Di zaman persekolahan teman , disekolah menenggah dulu dan selepas tamat tingkatan lima, iaitu dipertanggahan tahun 70an, teman pernah bercampur dengan kawan-kawan yang mengambil dadah bukan untuk buat kajian tapi menyalahgunakannya. Zaman tu, dadah tak banyak jenisnya . Yang paling awal terkenal ialah ganja. Masa itu harganya , satu kartus baru 70 sen. Tak lama kemudian, 'fit' atau 'heroin' pula menjadi kegilaan kawan-kawan. Harganya tiga ringgit setiup. Candu yang juga sejenis dadah, hanya popular dikalangan orang china yang kebanyakkannya sudah tua.

Teluk Intan bukan sebuah bandar sebesar seperti LA. Tapi masa itu, teman begitu fanatik menganggap Teluk Intan sebagai sebuah bandar yang cukup hebat di atas muka bumi ini. Sebagai sebuah bandar terbesar dihilir Perak, dadah juga mudah diperolehi.

Dan di antara tempat, yang teman suka lepak ialah di Jalan Durian sebatang. Sekolah teman, Sekolah Menenggah St Anthony yang terletak di Jalan Sekolah , amat berdekatan dengan Jalan Durian Sebatang. Sebaik sahaja loceng berbunyi, menandakan selesai waktu sekolah, teman selalu meronda ke jalan Durian Sebatang yang disenaraikan sebagai kawasan hitam kerana kegiatan dadah, mencari kawan-kawan se'kutu' yang sudah tak bersekolah yang menjadikan jalan tersebut sebagai 'port'.

Terus terang , teman cakap masa itu, teman suka benor berkawan dengan mereka. Dan kebanyakkan mereka suka mengisap ganja atau 'fit'. Ada juga yang telan LSD, tapi bilangan mereka boleh dikira dengan jari.

Dipendikkan cerita, kebanyakkan kawan-kawan teman seperti Mail beca, Man Ranggi, dan ramai lagi, kini telah tiada. Ketiadaan mereka, bukan kerana Bang Najib, TPM Malaya telah 'mengangkasakan' mereka. Tapi mereka telah mati. Kebanyakkan mereka mati bukan kerana terlebih dos, tapi kerana masuk longkang, dilanggar kereta atau melanggar tiang lampu. Itulah di antara kesan dadah yang boleh menyebabkan badan menjadi lemah longlai. Orang yang berkeadaan lemah longlai tapi masih mahu merayau mudah sangat kena 'accident' dan kemudian maut.

Sampai ke hari ini, teman cukup bersyukur, walaupun pernah berkawan dengan penaggih dadah tegar, teman dapat terlepas dari cengkaman dadah. Mungkin berkat doa ibu bapa yang sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya.

Kalau nak cerita tentang pengalaman teman berkawan dengan penaggih dadah, sampai esok tak habis. Dan pada pendapat teman , punca awal, kawan-kawan menaggih dadah bukan kerana tidak mendapat kasih sayang dari ibu bapa atau hidup tertekan, tetapi disebabkan keinginan untuk mencuba. Memang mula-mula menghisap ganja atau fit, boleh menyebabkan sesaorang itu muntah dan terlentok. Tapi kalau sudah mencuba dua tiga kali , apatah lagi bila sentiasa dicabar oleh kawan-kawan , akhirnya gelaran penagih tegar menjadi milik mereka.

Anak-anak remaja sekarang yang menaggih dadah, pun bukan kerana masalah hidup yang menghantui diri mereka. Kebanyakkannya berpunca dari keberanian diri untuk mencuba. Penyalahanguna dadah, tidak kenal ras atau agama. Dan yang menghairankan, bekalan dadah sentiasa ada walaupun rampasan demi rampasan telah dibuat oleh pihak polis. Mungkinkah pengedaran dadah di Malaya didalangi oleh pihak tertentu yang kelihatan seperti orang tak berdosa? Atau akibat dari amalan rasuah pihak tertentu yang melindungi pembekal? Tengok keliling dan jawab sendiri!

Soalnya apakah yang perlu dilakukan lagi untuk menghapuskan gejala penyalahanguna dadah? Pada pendapat teman, kerajaan BN telah gagal mengatasi gejala ini. Walaupun banyak pusat SERENTI telah dibina untuk memulihkan penagih dadah, tapi kesannya amat memalukan. Dua tiga hari keluar dari pusat SERENTI, ramai yang kembali menagih.

Oleh itu apakata Pas sebagai sebuah gerakan Islam, perlu berbuat sesuatu. Takkan mahu tunggu sehingga mendapat kuasa maka barulah tindakan yang drastik akan diambil.

Sesungguh teman tak berapa nampak , Pas telah melakukan usaha yang besar ke arah ini. Sedangkan, teman percaya, bahawa Pas mampu membantu penagih dadah untuk berhenti dari melakukan kegiatan menagih yang tak berfaedah.

Tidak terfikirkah Pas untuk menubuhkan sebuah pusat macam SERENTI, tetapi mengunakan pendekatan Islam seratus peratus sebagai formula merawat mangsa ketagihan dadah? Memang belanja untuk membina dan menyelenggarakan sebuah pusat seperti SERENTI adalah tinggi. Tapi percayalah, niat yang baik akan mendapat bantuan Allah. Kalau Pas boleh membantu umat tanpa sebarang kuasa politik , seperti di waktu banjir melanda dibanyak tempat di negara kita atau pelbagai musibah yang lain, teman percaya usaha Pas untuk membina pusat seperti SERENTI, dengan izin Allah akan dapat dilakukan.

Kalau susah sangat, minta kerajaan Pas di Negeri Kelantan untuk memulakan usaha ini. Kerajaan Pas Negeri Kelantan jangan hanya berbangga dengan skim kifalah atau usaha kebajikan yang lain, sedangkan masalah dadah semakin tenat dan kerajaan BN telah gagal mengatasinya!

Teman minta sesangat supaya PAS lebih proaktif membantulah penagih dadah(orang sakit) untuk kembali ke pangkal jalan. Kalau ianya berjaya dilakukan, tentu umat akan lebih jelas melihat bahawa Pas bukan semata-mata sebuah parti politik yang berjuang untuk mendapat kuasa , tetapi sebuah gerakan Islam yang perjuangannya menyeluruh.

Sekian sahaja pandangan teman yang serba bodoh ini!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ya....saya sokong