Isnin, 1 Oktober 2007

Tazkirah Ramadhan Buat Yang "Mabuk Mengerja Umrah Saban Tahun"

Teman lama nak tulis isu yang satu ini, tetapi teman risau takut disalah anggap. Tetapi oleh kerana isu ini sejak dua tiga hari ini asyik berputar dalam kotak pemikiran teman, baiklah teman suarakan.

Isu yang telah lama berligar di kepala otak teman, ialah tentang segelintir umat islam di Malaysia yang seolah-olah menjadikan ibadat Umrah sebagai hobi atau pencuci dosa, khususnya di bulan Ramadhan. Namun dalam masa yang sama , teman tidak menafikan ramai yang mengerjakan umrah secara kerap dengan hati yang ikhlas.

Memang tak salah pergi melakukan umrah kerana ianya merupakan ibadat yang kalau ikhlas dilakukan akan diberi pahala. Masalahnya, mengapa perlu pergi setiap tahun? Memang baik pergi ke Makkah, daripada bercuti ke Ausralia, Amerika , Eropah atau di mana sahaja. Tetapi apakah jadahnya kalau ada yang menunaikan umrah setiap tahun, tanpa pernah mengerjakan Ibadat haji. Ini merupakan masalah. Golongan ini, perlu mengerjakan ibadat haji terlebih dahulu. Berdosa mengutamakan yang sunnat dan mengabaikan yang wajib.

Teringat teman pada teguran Al-Allamah sheikh Dr Muhammad Yusuf alQardhawi yang menegur segolongan orang Islam yang pergi ke Makkah mengerjakan Haj saban tahun. Beliau berpendapat alangkah baiknya, mereka( bilangan mereka ramai), mengunakan perbelanjaan untuk melakukan ibadat haj saban tahun atau secara kerap untuk maslahah sebahagia besar umat yang masih dihimpit oleh ribuah masalah, terutama dari segi ekonomi.

Apa yang hendak diberitahu oleh Al Allamah Sheikh Yusuf al Qardhawi, cukuplah ibadat haj, dikerjakan sekali dua sahaja. Kalau ada perbelanjaan lebih, adalah lebih utama, golongan ini melakukan amal jariah dalam pelbagai bentuk. Memang ibadah haji kalau dilakukan secara ikhlas akan memperolehi ganjaran pahala. Tetapi alangkah baiknya sekira sebahagian dari mereka disedarkan bahawa ganjaran pahala yang lebih besar akan diperolehi sekiranya golongan ini membelanjakan wang mereka untuk tujuan jihad yang banyak cabangnya. Khususnya, dalam membantu umat Islam di Palestin, di Kahsmir,di Iraq,di Afganistan dan di beberapa beberapa buah negara umat Islam yang masalah kemiskinan dan kebuluran masih menghantui kehidupan mereka siang dan malam.

Yang disentuh oleh Al allamah Yusuf Qardhawi adalah berkisar di sekitar persoalan segolongan orang Islam yang telah menjadikan Ibadah Haji sebagai rutin tahunan. Dalam isu mengerjakan umrah saban tahun atau secara kerap, tentu ianya lebih wajar diberi perhatian berganda. Kita tak mahu, individu islam yang mempunyai kekayaan yang melimpah ruah , menjadi manusia jenis "mabok berumrah" sehingga merasa tidak bersalah mengabaikan usaha untuk membantu sebahagian umat Islam yang dilanda penderitaan dalam pelbagai bentuk.

Mungkin juga terdapat setenggah individu Islam yang mengerjakan umrah , selepas sepanjang sebelas bulan melakukan maksiat, seperti melakukan rasuah dan seterusnya berfikir secara salah bahawa Makkah tempat meminta ampun daripada Allah . Seolah-olah Allah hanya berada di Makkah. Buat golongan ini, elok sangat diperingatkan bahawa jangan merasa selamat kerena tuhan Maha Mengetahui apa yang terkandung dalam hati setiap insan. Oleh itu hentikan kerja seolah-olah hendak menipu tuhan. Maha Suci Allah dari tipuan makluk.

Tidak hairan bila kita perhatikan , berpuluh kali golongan ini mengerjakan umrah, aurat anak bini masih tak ditutup sepenuhnya. Riba dan rasuah masih terus ditibai. Dan masih tak merasa berdosa mempertahan sistem kuffar . Masih tergamak menahan rakyat di bawah akta zalim ISA. Masih tergamak mencaci pejuang Islam yang merindui syahid. Masih merasa tak berdosa duduk dalam parti yang mempelopori kemunculan ribuan jenis maksiat atas nama kebajikan dan riadah. Dan kalau mereka merasa berdosa, jalan pintas yang terfikir mereka lakukan ialah dengan mengerjakan umrah supaya segala dosa otomatik terampun!

Mungkinkah, ramalan Rasulullah s.a.w, bahawa diakhir zaman , pergi ke Makkah seolah pergi melancung, telah berlaku?

Teman juga ingin meminta tolong kepada para Ustaz yang membawa dan membimbing segolongan umat Islam, menunaikan ibadat Umrah dan menjadikannya sebagai satu bisniss, dapatlah kiranya memperhatikan segolongan umat Islam yang saban tahun pergi melakukan umrah tetapi mengabaikan urusan umat yang lebih perlu diberi keutamaan dan masih tenggelam dalam kemaksiatan. Berilah tahu kepada golongan ini apa yang sepatutnya diutamakan.

Jangan tak nak beri tahu, kerana takut kehilangan pelanggan.

1 ulasan:

shah berkata...

Tuan Sheikh,

saya amat bersetuju dengan pendapat tuan dengan perkara ini. Perhatian saya...ramai yang datang umrah..banyak masa dihabiskan di kedai2 dan sedikit sahaja di dalam masjid. Yang ada pun cuma ketika solat fardhu sahaja.

Kota Mekah pula semakin bertukar wajah, kini bertukar ke kota metropolitan, dengan munculnya bangunan pencakar langit dan gedung mewah. Orang ramai berbondong-bondong membeli-belah seolah -olah barangan dari Mekah adalah "barakah" padahal semua itu "made in china" .

Mereka yang kaya sepatutnya sponsor orang baru untuk mengerjakan umrah..itu lah yang sebaiknya.