Rabu, 3 Oktober 2007

Nasihat Buat Kawan Lama Yang Sedang Sakit

Seorang kawan lama baru-baru ini mengantar e-mail pada teman. Dia bercerita tentang penyakitnya dan sekarang tak bekerja. Dia seolah-olah merasakan dia sahaja di dalam dunia ini yang sedang sakit dan sekarang tak bekerja. Membaca e-mailnya membuat teman tersenyum. Dia tak tahu teman sudah 12 tahun dihinggapi penyakit yang belum sembuh. Dia juga mungkin tak tahu bahawa teman, sudah hampir dua tahun tak bekerja. Teman cuba meringkaskan e-mailnya seperti berikut:-

1. Aku yang sakit seperti tak dipedulikan oleh isteri yang mempunyai kerja tetap dan bergaji agak banyak.

2. Semasa aku berkerja dulu, gaji aku banyak. Dapatlah aku beri pada isteri untuk belanja itu dan ini. Tapi sekarang, aku rasa , rendah diri kerana tak mampu memberi walaupun sesen untuk keperluan isteri dan anak-anak.

3. Aku mahu hidup lagi, itu sebab aku masih berubat. Duit simpanan semasa bekerja dulu telah hampir habis. Dan sekarang aku selalu minta bantuan adik lelaki aku untuk membiayai kos perubatan aku yang mencecah hampir seribu sebulan. Tapi sampai bila aku mesti mengemis dari adik aku?

4. Dulu masa emak aku masih hidup, dia tempat aku mengadu. Emak aku tak lokek kalau aku minta duit sekiranya aku dihimpit oleh masalah kewangan. Tapi sekarang emak aku telah tiada. Semakin rindu aku padanya yang telah tiada.

5. Kerap kali aku menitiskan airmata kerana hidup dalam kesakitan dan sudah jatuh dalam jurang kemiskinan. Dan airmata semakin bercucuran bila memikirkan nasib isteri dan anak-anak yang terpaksa menjalani kehidupan yang lebih sukar dibandingkan semasa aku bekerja dulu.

6. Jangan kau tuduh bahawa aku tak berdoa memohon supaya Allah menyembuhkan penyakit aku, agar aku boleh melakukan ibadat dengan lebih sempurna dan seterusnya mencari rezeki yang halal untuk anak bini. Tapi nak buat macam mana ,doaku belum dimakbulkan. Aku seolah-olah merasakan, tuhan tak terima doa dari insan yang banyak melakukan dosa, seperti aku.

7.Apa pendapat kau kalau aku jadi komposer lagu dan merakamkan lagu kerana bidang itu telah lama aku minati. Berdosakah? Aku rasa kerja itu lebih baik dari merompak bank.Lagipun tak perlu pergerakan yang banyak.

8. Semoga kau balas e mail aku. Aku nak kau menasihati aku. Sekian.

Begitulah ringkasan e mail dari seorang kawan lama yang sedang sakit dan tak bekerja. Sehingga ke hari ini teman belum lagi membalas e mailnya. Maafkan teman, kalau teman katakan bahawa e mail kawan lama itu membuat teman nak tergelak. Masakan tidak, dia minta nasihat dari teman yang juga sedang sakit dan tak bekerja. Dia hilang akal ke? Tapi di saat tertentu , teman cukup simpati dan sedih mengingatkan keluhannya melalui e mailnya yang memang teman tak sangka teman terima dari seorang kawan lama. Manalah si mamat ini dapat alamat e mail teman?

Kalaulah dalam sehari dua ini teman terfikir nak balas e mailnya, maka lebih kurang begini jawapan teman:

"Salam wahai kawan lama. Masa kau sihat dulu, kau tak terfikir nak jaga kesihatan. Kau bedal apa sahaja makanan yang ada didepan mata. Kau pula tak lakukan senaman. Itu sebab badan kau jadi gemuk macam badak sumbu . Dan kau pula jarang lakukan pemeriksaan kesihatan. Sekarang, terima sahajalah akibatnya.

Tentang rasa rendah diri dan macam diri tak berharga kerana tak bekerja dan sakit, aku turut rasa simpati. Aku kira perasaan seperti itu normal. Tapi kau mesti atasi perasaan yang macam itu. Nanti kau akan lebih sakit. Aku harap kau tak dihinggapi penyakit murung. Penyakit ini merbahaya kerana kalau kau tak kuat, kau akan gila atau mati kerananya. Oleh itu, teruskan berdoa pada Allah. Bukan setakat berdoa, kau perlu setiap waktu minta ampun atas dosa-dosa yang pernah kau lakukan. Dan jangan tinggalkan solat. Kalau boleh, dirikan solat tahajud dan hajat ditenggah malam ketika orang sedang lena dibuai mimpi. Tapi jangan buat sekali sekala. Jadikan solat tahjud,solat hajat, solat dhuha , berzikir dan berselawat sebagai amalan yang tetap. Kau perlu istiqamah!

Dan kau kata, isteri kau tak peduli pada kau. Hei kawan, jangan buruk sangka pada isteri. Takkan kau mahu dia asyik menanggis sebagai tanda dia pedulikan kau yang sedang sakit dan tak berkerja. Tanggisan tak boleh menyelesaikan masalah. Sepatutnya, kau bersyukur, dia tak hambat kau keluar dari rumah atau hantar kau ke rumah orang-orang tua. Isteri kau ,wanita yang ada karier , tentu banyak benda yang dia kena fikir dan lakukan. Oleh itu jangan fikir bukan-bukan tentang Isteri kau yang aku rasa amat bertanggungjawab.

Tentang niat kau nak jadi komposer lagu dan buat album, aku fikir, kau sudah tua untuk kerja seperti itu. Kau pun bukan berbakat sangat. Kalau setakat pernah melalak di atas pentas masa muda dulu, itu bukan tanda kau berbakat besar. Walaumacamanapun, kalau kau nak cipta lagu, kau ciptalah. Itu lebih baik dari merompak bank atau minta duit dari adik kau. Tapi apa barang yang kau mahu cipta?. Lagu nasyid? Lagu pop? Lagu rock? Lagu Balada? Lagu heavy metal? Lagu Melayu Asli?. Entahlah, terpulanglah pada kau.

Kalau kau masih susah hati dengan kehidupan sekarang, mahukah aku ajarkan kau dengan satu doa?. Doanya berbunyi begini: Ya Allah, berikan aku kesabaran untuk menempuh ujian ini. Ya Allah yang Maha Mengetahui, janganlah kau uji hambaMu ini, dengan ujian yang tak sanggup hambaMu pikul. Ya, Allah, sekiranya, iman hambaMu ini semakin layu dan lemah kerana ujian sakit dan tak bekerja ini dan dalam masa yang sama menyusahkan ramai orang ,maka persilakan ambil nyawaku .Dan hambaMu memohon dan merayu agar kau letakkan rohku disamping hamba-hambaMu yang beriman dan beramal soleh.Amin.

Sekian dan salam buat mu kawan".

Lebih kurang begitulah kemungkinan jawapan teman terhadap e mail dari seorang kawan lama. Moga dia dapat meneruskan hidup ini dengan penuh sabar dan terus bersyukur kerana masih bernafas lagi untuk melakukan ibadat berlipat ganda lagi .Kalaulah ditakdirkan dia mati dalam waktu terdekat ini,teman berdoa semoga dia mati dalam keadaan beriman.

Perlukah sebagai tambahan , teman beritahu pada kawan lama : kita punya nasib macam sama!

Tiada ulasan: