Rabu, 13 Jun 2007

Menara Condong Teluk Intan Dapat pujian

Di petik dari mSTARONLINE
Menara Teluk Intan lebih unik berbanding di Pisa13-06-2007 07:47:31 PM
TELUK INTAN: Sepasang pelancong suami isteri dari Australia menyifatkan Menara Condong Teluk Intan yang berusia 122 tahun di tengah bandar ini sebagai menara paling unik berbanding Menara Pisa di Itali.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata pujian terhadap menara yang terletak di satu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar di sini, disampaikan oleh mereka ketika menemui beliau baru-baru ini selepas melawat Teluk Intan.

"Pujian dan pengiktirafan ini membuktikan pelancong asing tertarik dengan keunikan Menara Condong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) hari ini.

Bagi memastikan Menara Condong terus menjadi daya tarikan pelancongan, beliau berkata penduduk serta agensi yang berkaitan hendaklah memeliharanya serta menjaga kebersihan persekitarannya.

Menara yang dibina pada 1885 sebelum ini dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan hingga ke hari ini. Namun, apabila bangunan ini condong sedikit ke arah barat laut akibat banjir besar, ia dikenali dengan jolokan Menara Condong dan menempa gelaran menara condong kedua di dunia selepas Menara Pisa.

Bangunan tiga tingkat yang diperbuat daripada batu dan kayu itu memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 4.65 meter dan jika dilihat dari luar bangunan, ia seolah-olah mempunyai tujuh tingkat. BERNAMA


Sebagai anak jati Teluk Intan, teman cukup berbangga bila sepasang suami isteri dari Australia memuji Menara condong Teluk Intan. Mereka berdua cukup kagum terhadap menara condong tersebut yang dianggap lebih unik dari Menara Pisa di Itali. Yang memberitakan kekaguman sepasang suami isteri yang baru-baru ini melancung ke Teluk Intan ialah, Menteri Besar Perak, Tok Tajul Rosli. Boleh percaya ke? Percaya sajalah, walaupun, Tok Tajol Rosli adalah di antara Menteri Besar yang tak kurang banggangnya dengan bekas Menteri Besar Perak yang lain.

Bagi penduduk Teluk Intan, menara condong itu kelihatan biasa sahaja. Mungkin kerana dah lali melihat bangunan itu. Tapi bagi teman, menara condong Teluk Intan bukan setakat unik dari segi seni binanya, tetapi ianya mempunyai nilai sentimental buat teman.

Semasa teman berada disekolah menengah dulu, teman dan beberapa orang kawan yang lain pernah menaiki menara itu sampai ke kemuncaknya dengan menggunakan tangga kayu yang terdapat di dalam bangunan itu. Kami dapati dalam menara itu terdapat tangki air yang berbentuk bulat dan boleh dikatakan tinggi. Tangki air itu, kata orang penuh berisi air yang sentiasa disimpan dan akan digunakan kalau tangki air bagi daerah hilir perak yang terletak di Changkat Jong bermasalah. Sekarang teman tak tahu samada tangki air yang pernah ada di menara condong itu masih ada lagi atau telah tiada.

Sejak teman berhijrah ke Kuala Lumpur, kerja mencantikkan menara conodong itu dan persekitarannya sentiasa dilakukan. Tapi yang hendak teman ceritakan disini, bukanlah tentang kerja-kerja pengindahan Menara Condong tersebut. Teman nak ceritakan bahawa menara condong itu mempunyai nilai sentimental buat teman.

Tolong jangan beritahu sesiapa, sejak teman pandai memasuki menara condong itu, itulah diantara tempat dimana, teman dan kawan-kawan mengilangkan diri bila malas ke sekolah. Shhhh,rahsiakan, disitulah markas teman dan kawan-kawan, melakukan perbuatan terkutuk iaitu ponteng sekolah.

Dan di dalam menara condong itulah tempat teman belajar menulis supaya tulisan tangan yang buruk akan menjadi cantik. Teman tak tulis sajak di dinding atau di tangga menara itu. Yang teman tulis ialah nama seorang gadis tingkatan dua disebuah sekolah yang bernama Horley Methodist Secondry School. Bukan sekali teman tulis. Banyak. Tak terkira.

Mengapa teman tulis nama gadis tingkatan dua itu? Sebabnya , teman suka nengok wajahnya yang ayu dan manis. Mata teman tak tahu menipu. Oleh itu , dalam pandangan mata teman, dialah gadis yang paling cantik dalam dunia ini. Sampai sekarang wajah itu, masih kuat melekat dalam ingatan teman. Selain cantik, teman suka cara dia berjalan, penuh dengan kelembutan. Dan dia juga seorang gadis yang cerdik dan aktif berolah raga. Tolong jangan ceritakan, rahsia ini pada isteri teman. Teman ni dahlah sakit , tak bekerja pula. Kalaulah ada sesiapa yang ceritakan kisah teman dalam hal ini, tak tahulah nasib teman nanti. Sekali lagi , teman minta tolong: rahsiakan! supaya isteri teman sampai bilapun tak tahu.

Tapi perlu diingat kisah silam teman yang amat suka pada gadis itu telah berlaku lebih tiga puluh tahun yang lalu. Mungkin kalau teman jumpa dia, tentu teman dah tak kenal. Perempuan Melayu kalau sudah berkahwin tak pandai jaga badan. Mungkin badannya dah sebesar guni padi. Mungkin juga dia semakin kurus melidi kerana tak bahagia hidup dengan suaminya. Mungkin. Atau mungkin dia dah bercucu. Atau mungkin juga dia telah menjanda. Dan mungkin juga dia tiada lagi di dunia ini. Kalaulah ditakdirkan dia telah menjadi arwah, teman berdoa semoga dia berada dikalangan roh-roh orang yang soleh. Amin.

Selain itu, menara condong itu, adalah diantara tempat selamat teman dan kawan-kawan mengisap rokok dan benda lain yang tak berfaedah. Tak payah ceritalah. Lagipun, itulah perangai teman semasa alam jahiliyah dulu. Sekarang teman Ok. Masih hisap rokok, tapi tak adalah 'heavy' sangat.

Semasa teman bekerja di Kuala Lumpur dulu, bila pulang kampung, teman tak pernah tak tengok Menara Condong yang terdapat jam besar yang masih berbunyi bila sampai waktunya. Nak elak supaya tak tengok pun susah, kerana menara condong ini berada di jalan utama di tengah bandar .

Hari ini, teman bukan setakat berbangga kerana Teluk Intan ada menara condong yang cukup terkenal di Malaysia dan mungkin di seluruh dunia, bahkan Teluk Intan semakin cantik dan bersih. Bagi sesiapa yang hendak menikmati makanan yang lazat tetapi harganya cukup murah,dipersilakan datang ke Teluk Intan. Pasti mahu datang selalu.

Yang buat teman terkilan , ialah Pas tak pernah menang samada bagi kerusi DUN atau Parlimen di Teluk Intan. Di bandar dan sekitarnya, orang Melayunya masih sebodoh orang perak yang lain, yang sayangkan UMNO.

Dan Perak secara keseluruhannya adalah di antara kubu terkuat UMNO di Malaysia.

Walaupun, UMNO kuat di Teluk Intan dan seluruh perak, Pas masih punya potensi untuk memenangi beberapa kerusi.

Sebelum teman pejamkan mata buat selama-lamanya, teman mengidam untuk melihat kejatuhan Barisan Nasional di Perak. Semoga Allah makbulkan.

Dan sekiranya Pas ditakdirkan menang besar di Perak, khususnya di Teluk Intan ,teman mahu Menara Condong Teluk Intan diletakkan bendera Pas di puncaknya untuk beberapa hari . Rasanya Tok Tajul Rosli pasti suka. Dan teman harap, Teluk Intan dijadikan Ibu Negeri Perak mengantikan bandaraya Ipoh. Tentu Tok Tajul Rosli tersangat suka sehingga terbit airmatanya!