Ahad, 3 Jun 2007

Cadangan Dr Hassan Ali Munasabah

Petikan Dari Harakahdaily
Sun | Jun 03, 07 | 01:48:04 PM
KOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) - Mantan Naib Presiden PAS, Dato Dr Hasan Mohd Ali mencadangkan pemilihan bagi jawatan tertinggi dalam parti dibuat secara Syura supaya ahli dapat menumpukan kepada gerak kerja parti.

Dalam ucapan penggulungan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS kali ke-53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) hari ini, Dr Hasan, berkata, pemilihan yang dilakukan secara mengundi akan menganggu fikiran ahli termasuklah perwakilan bukan di saat-saat membuang undi bahkan sejak awal bulan yang lalu.

"Masa saya nak mengundi saya kenal semua calon yang dipertandingkan, keadaan ini menyusahkan saya untuk memilih yang mana satu.Tambahan pula berpuluh-puluh SMS dan panggilan yang diterima, semua ini mengganggu kita," katanya yang menyifatkan ucapannya kali ini adalah yang terakhir sebagai Naib Presiden.

Beliau juga percaya apa yang dialaminya turut dihadapi oleh pemilih yang lain dan inilah punca kepada tindakan PAS melaksanakan sistem demokrasi yang telus.

Sehubungan itu, Dr Hasan mencadangkan pimpinan melihat pemilihan dalam Dewan Ulama yang dilakukan secara syura, dan ia boleh diamalkan dalam pemilihan jawatan tertinggi dalam PAS.

"Kita ada sistem syura, inilah sistem yang paling murni tidak ada lagi sistem yang lebih baik yang datang daripada manusia untuk manusia kerana Allah, dan parti kita melaungkan Islam kenapa kita tidak boleh ambil pendekatan ini,"katanya.

Dr Hasan juga mencadangkan, Majlis Syura dapat membentangkan tatacara sistem itu bagi melaksanakan pemilihan dalam Muktamar PAS akan datang.

"Saya masuk PAS sejak 1982 tetapi sehingga kini saya masih tidak dapat kertas atau modul operandi tentang Majlis Syura, dan kertas ini perlu dibentangkan kepada organ parti supaya dapat dilaksanakan di peringkat pemilihan jawatan tertinggi parti ,"katanya.

Katanya, PAS boleh mengubah dasarnya kerana semuanya bergantung kepada keputusan parti itu sendiri.

"Kita boleh ubah sistem dalaman kita sebab kita yang berkuasa ke atas dasar kita, kitalah presiden, timbalan, naib, dan AJK, semuanya atas budi bicara kita,"katanya.

Sementara itu, Dr Hasan juga meminta pemilihan itu juga mengambil pendekatan menggunakan sistem merit berdasarkan beberapa kriteria dengan melihat penglibatan seseorang pemimpin itu dalam parti seperti turun bersama-sama berdemonstrasi.

Misalnya kata beliau, mereka yang terlibat dalam demonstrasi bahkan ditangkap kerana memperjuangkan sesuatu isu perlu diberi merit yang lebih besar.

"Kriteria akademiknya tidaklah penting tetapi yang utama adalah niatnya sendiri terhadap Islam dan agamanya, serta pengorbanannya dan penglibatannya untuk rakyat,"katanya.

Beliau yang tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden, turut berkecil hati melihat wujud kumpulan tertentu dengan agenda tersendiri bagi melemahkan organ parti di saat-saat menghadapi pilihan raya.

"Saya rayu mana-mana ada pihak dan kumpulan ini segera laporkan kepada presiden, orang ini tidak boleh duduk dalam parti kita, ini boleh memporak-perandakan parti,"katanya.

Beliau juga turut meluahkan rasa terbuku di hatinya apabila ada pihak yang melabelkan beliau sebagai sekularisme sedangkan beliau berasal dari latar belakang pendidikan agama.

"Saya boleh menghafaz al-Quran sejak umur tujuh tahun, dan boleh berkhutbah sejak umur 17 tahun tetapi apabila masuk PAS saya dilabelkan sebagai sekularisme,"katanya.

Justeru, Dr Hasan meminta semua ahli parti tidak lagi memperkatakan soal sekularisme di dalam PAS dan memberi amaran mereka yang memperkatakan soal itulah sebenarnya sekularisme. - wann/mks
.

Pada posting hari Jumaat yang lalu teman ada mengemukkan pertanyaan mengapa sistem pemilihan Timbalan Presiden dan Naib Prdesiden tidak dibuat berdasarkan sistem syura yang merupakan tuntutan Islam.Teman fikir, teman sahaja yang terfikir soal ini. Syukur Dr Hassan Ali tanpa disangka turut membawa isu ini semasa ucapan penggulungan sebagai bekas Naib Presdinen Pas. Persamaan buah fikiran ini, teman fikir adalah hasil dari kefahaman islam yang selaras di antara pejuang Islam yang telah melalui proses tarbiyyah yang sama. Yang membedakan di antara Dr Hassan Ali dan ahli-ahli yang lain, ialah mungkin dari segi secepat mana otak sesorang bekerja untuk mencari yang terbaik. Atau mungkin ada yang telah lama memikirkannya tapi takut menyuarakanya kerana takut dicap dengan pelbagai label oleh segelintir ahli yang belum pernah terlibat dalam proses tarbiyyah haraki yang panjang.

Atau mungkin ada di kalangan pemimpin dan ahli yang takut dengan sistem syura yang akan menghakis peluang mereka untuk memegang jawatan penting dalam parti kerana telah selesa dan terbiasa dengan pemilihan melalui peti undi.

Memang bagi sesiapa yang suka menjalankan tugas melobi, atau caci maki terhadap peribadi calon yang tak digemari samada melalui sms atau email, memang sistem syura bukan kaedah terbaik bagi tujuan pimilihan kepimpinan. Tapi bagi mereka yang mahu kaedah pemilihan yang aman dan tidak mencetuskan kacau bilau, maka sistem syura adalah kaedah yang baik. Sebagai sebuah parti Islam , teman melihat sistem syura mesti dilaksanakan.

Tetapi teman agak terkilan, kerana Presiden Pas dalam ucapan penggulunggannya tidak sedikitpun mengulas cadangan Dr Hassan Ali. Beliau juga tidak menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh para perwakilan. Teman yang mulai 30 Mei hingga 3 Jun berada dihadapan Laptop menyaksikan siara langsung dari webtv Pas, tertanya-tanya mengapa Presiden Pas seakan mengulangi ucapan dasarnya dalam ucapan penggulunggannya. Tidakkah beliau peka bahawa kebanyakkan perwakilan dan ahli pas menunggu ulasan beliau berkaitan dengan pelbagai persoalan yang dibangkitkan.Untuk bersangka baik, teman menganggap Presiden terlupa membuat ulasan kerana dia telah terlalu capek(letih).

Berbalik kepada Dr Hassan Ali, dalam ucapannya yang ada kala bernada emosional yang tak terkawal, juga menyentuh tentang ketidakselesaan beliau dituduh sebagai sekularis.Teman bersimpati dengan beliau dalam hal ini. Tetapi alangkah baiknya kalaulah dia tidak menceritakan dia telah khatam quran umur sekian dan pernah membaca khutbah semasa dia bersekolah menenggah penuh dulu kala.Tujuan beliau bercerita itu mudah difahami iaitu, untuk memberitahu dia bukan pendokong sekularisme. Tetapi adakah beliau sedar kalau setakat khatam quran dan mampu berkhutbah, tidak semestinya faham sekular tidak boleh menjalar dalam dirinya. Berapa ramai Ulama atau para ustaz yang menyokong UMNO yang bukan sahaja khatam qur'an diwaktu berumur 6 atau 7 tahun , bahkan ada yang hafal seluruh isi al qur'an dan tersangat hebat membaca khutbah Jumaat, tetapi dalam masa yang sama merekalah di antara golongan manusia , yang tak setuju dengan perjuangan Pas untuk menegakkan Negara Islam dan melaksanakan syariat Allah secara total.

Memang teman percaya pejuang Pas yang sebenarnya, termasuk Dr Hassan Ali, bukan pendokong faham sekular. Yang menuduh Dr Hassan Ali sebagai sekularis mungkin juga bukan pendokong sekularisme, tetapi mereka beranggapan orang yang tak belajar Islam secara formal adalah sekularis. Anggapan itu adalah akibat dari kurang faham mereka terhadap falsafah sekularisme. Bagi golongan ini, mereka belum terlambat untuk memahaminya melalui berguru kepada yang pakar tentangnya dan kalau mampu sila baca buku mengenai sekularisme yang ditulis oleh Syed Naqiub Al Attas, Maryam Jamellah, Allahyarham Dr Rasyidi(yang berpolemik panjang dengan Nurkholis Majid(Cak Nur) mengenai sekularisme di Indonesia) dan ramai lagi.

Sesungguhnya adalah berdosa melabelkan istilah sekularis kepada orang yang tak layak menerimanya.

Sebelum teman berhenti disini , teman ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berjuang kepada barisan kepimpinan yang terpilih. Moga barisan baru ini akan dapat melonjak Pas ke tahap yang boleh dibanggakan. Dan teman berharap apa yang keruh dijernihkan. Perkuatkan jamaah. Bagi yang tak terpilih seperti Dr Hassan Ali dan Ustaz Harun Taib, adalah diharapkan kedua mereka terus berjuang seperti semasa memegang jawatan. Teman berharap kepimpinan yang ada janganlah ketepikan kedua bekas pemimpin ini. Semasa memikirkan calon-calon yang difikir layak dilantik mengisi jawatan yang boleh diisi tanpa pertandingan, jangan lupa kedua hamba Allah ini.

Tiada ulasan: