Jumaat, 1 Jun 2007

Jangan Marah Sekadar Bertanya

Terlebih dahulu teman nak minta ampun pada Pemimpin dan ahli Pas kerana nak bertanya.Teman tahu ada beberapa pertanyaan teman bunyinya bodoh. Memang bodoh. Teman yang sakit ini, tak banyak tahu banyak perkembangan dalam Pas sejak sakit. Masa sihat dulu teman selalu jumpa kawan-kawan seperjuangan dan bergiat berdasarkan kemampuan. Tapi kini pergerakan cukup terbatas.Ampun.

Maklumat terkini cuma teman dapati dari Akhbar Harakah Daily, Siasah, Harakahdaily, Blog Roslam Sms,tvpas, Tranungkite, membeli VCD ceramah tokoh Pas dan dua tiga halaman web yang memyokong Pas . Setakat itu saja. Oleh itu jangan marah kalau teman terlalu kepandiran dalam hal perkembangan Pas. Ampun, jangan marahkan teman!

Soalan teman yang pertama: Mengapa perlu jawatan Timbalan Presiden sudah dua kali dipertandingkan sejak Tok Guru Haji Abdul Hadi menjadi Presiden?

Teman masih ingat pemimpin veteran Pas , Ustaz Hassan Shukri yang pernah sepenggal menjadi Timbalan Presiden tumbang bila dikalahkah oleh Ustaz Nazaruddin Md Isa hampir tiga tahun yang lalu. Dan Muktamar Pas kali 53 ini, teman terkejut apabila mendapat tahu Ustaz Harun Taib, sanggup lepaskan jawatannya sebagai Ketua Dewan Ulama Pusat untuk bertanding menentang penyandang jawatan iaitu Ustaz Nasaruddin Md Isa sebagai Timbalan Presiden bagi sessi 2007-2009.

Adakah pada tahun 2009 nanti,kita akan menyaksikan sekali lagi pertandingan jawatan Timbalan Presiden?

Mungkinkah ini petanda Pas hendak membuktikan, bahawa ianya parti yang berpegang teguh kepada demokrasi terbuka? Atau mungkinkah ini petanda bahawa ahli-ahli Pas mahu menyambut seruan Presiden Pas untuk berebut-rebut dalam menjalankan tanggungjawab untuk jemaah dan untuk menjadikan tugas dan tanggung jawab dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, maka perlu dipegang jawatan utama dalam parti?

Berkaitan dengan soalan pertama, teman ingin bertanya adakah sepenggal sudah memadai bagi seseorang Timbalan Presiden mengembangkan potensi dirinya bagi menyerlahkan mutu kepimpinan dan melaksanakan visi dan missi parti?

Pada pendapat teman, jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden jangan dipertandingkan melalui peti undi. Bukankah dalam Islam ada sistem Syura.Dan Pas pun ada Majlis Syura yang yang boleh digunapakai untuk pemilihan jawatan penting dan utama dalam parti. Bukankah pemilihan cara syura lebih baik dan Islamik dari sistem yang berasaskan demokrasi yang bukan sedikit sarjana Islam mempertikaikannya?

Mungkin ada orang bertanya bukankah Pas menyertai pilihanraya yang merupakan komponen utama dalam sistem demokrasi dan oleh itu mengapa perlu , teman bangkitkan soal terdapat pertikaian dikalangan sarjana Islam berkaitan demokrasi?

Teman nak buat macam mana, memang terdapat pertikaian dikalangan sarjana Islam tentang demokrasi yang merupakan pusaka fikiran tokoh pemikir Yunani dan diperkembangkan oleh pemikir barat kemudiannya.

Namun demikian, teman bersetuju Pas menyertai Pilihanraya yang merupakan isi penting dalam falsafah demokrasi moden, kerana ini sahaja jalan yang ada buat sementara ini untuk kita memperjuangkan Islam secara menyeluruh, terutama dalam usaha mendapat kuasa bagi menegakkan syariat Islam.

Tetapi dalam keadaan dimana segala persoalan yang masih berada dalam kawalan parti, teman berpendapat, sistem Syura yang merupakan tuntutan Islam ,boleh dipratikkan dengan mudah. Keputusan berdasarkan sistem syura dalam soal memilih dan melantik pemimpin ke jawatan utama rasanya akan dapat diterima oleh ahli Pas sebulat suara. Adakah pemilihan berdasar sistem Syura ini bertentangan dengan peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan? Tetapi teman berpendapat barisan kepimpinan Pas yang ada bukan sepandir teman. Mereka tahu bagaimana untuk mengatasinya. Bukankah begitu?

Teman tak mahu orang yang kurang wibawa dan kurang berwawasan dan tidak begitu cerdik untuk 'execute' perancangan akan menjadi pemimpin utama Pas berdasarkan pemilihan melalui peti undi oleh tangan ahli-ahli yang mengukur prestasi calun-calun berdasarkan persepsi dan indikator yang tidak banyak membantu meletakkan pemimpin yang terbaik di kedudukan yang sepatutnya.

Soalan kedua: Mengapa terdapat dikotomi ulama dan professional dalam Pas? Memang teman tak persoalkan peranan ulama dalam parti. Yang menjadi teman risau ialah , akan berlaku usaha jatuh menjatuh di antara dua golongan ini.Walaupun ianya tidak ketara sekarang, tetapi tidak mustahil ianya akan menjadi penyakit bila Pas semakin banyak memenangi kerusi parlimen atau Dun atau sekiranya Pas berjaya menguasai pemerintahan nwgara .

Dan yang lebih mengerikan, adakah ulama yang dikatakan ulama sebenarnya Ulama dan adakah yang dilabelkan professional adalah professional yang sebenarnya? Pada pendapat teman yang pandir ini , sekiranya kesemua ahli menerima Islam sebagai tunjang utama dalam perjuangan dan menerima tarbiyyah yang sama, maka soal dikotomi ini tidak seharusnya berlaku. Yang penting seluruh pemimpin dan ahli adalah pejuang Islam.

Entah mengapa teman sejak lima tahun kebelakangan mulai risau terhadap dasar kepimpinan Ulama yang dimunculkan pada tahun 1982. Teman takut, dasar ini kalau tidak kena gayanya akan makan diri. Sukar , teman nak perincikan kerisauan sepanjang lima tahun ini kerana teman tahu ada yang tak kena tapi tak tahu nak menguraikannya kerana teman sendiripun masih keliru dalam beberapa perkara.

Mungkin, kerisauan teman tak bertempat, diantaranya teman sedikit seriau dengan segelintir pimpinan yang berlatarbelakang pendidikan dari Universiti Al Azhar. Jangan salah faham, dari sudut keilmuan ,lulusan Al Azhar hebat.

Dan mungkin juga kerana teman dulu lagi tekun sekali membaca buku-buku gerakan Islam, maka teman dapati pendiri kepada gerakan Islam seperti Ikhwan di Mesir , Jamaatil Islami ,Pakistan, Muhamadiiyah , Indonesia dan banyak lagi , adalah bukan lulusan Al Azhar. Mengapa begitu jadinya? Pada pendapat teman , segelintir lulusan Al Azhar lebih selesa bergerak sendirian kerana merasa diri sendiri lebih betul dari orang lain atau kalau menjadi pemimpin gerakan Islam,jemaah yang dipimpin tidak begitu kreatif dan dinamik. Tapi kalau bersyarah agama , serah pada mereka.

Mungkin teman boleh disalahkan kerana bersikap seriau terhadap segelintir para lulusan Al Azhar, tetapi teman mencintai ulama , terutama lulusan Jordan, Irak, Madinah , India, Malaysia dan lain-lainya.

Walaubagaimanapun teman masih berpendapat bahawa jawatan Murshyidul Am Pas, mestilah terdiri daripada kalangan ulama walaupun dia adalah lulusan Al Azhar, terutama yang telah melalui proses tarbiyah haraki sekian lama , kerana yang teman seriau hanyalah terhadap segelintir lulusan Al Azhar sahaja.

Dan pada pendapat teman pemimpin Pas diperingkat jawatankuasa Pusat, Negeri dan kawasan boleh dipilih berdasarkan merit dan senarai kreteria yang ditetapkan oleh Majlis Syura Pas. Dengan berbuat demikian, teman rasa Pas akan lebih maju dan lebih bergaya melangkah ke hadapan dengan slogan 'Membangun Bersama Islam.

Soalan Ketiga: Teman hendak bertanya adakah ahli-ahli Pas boleh memangkah undi untuk calun yang bukan Islam atau parti yang bukan berteras perjuangan Islam yang jelas? Jangan marah teman bertanya, kerana teman sekadar bertanya kerana teman ini sesungguhnya pandir. Tetapi tak salahkan kalau seorang yang pandir bertanya supaya tahap kepandirannya akan turun sedikit demi sedikit kalau jawaban diberi akan dapat membantu?

Soalan ini teman kemukakan kerana tak semua kawasan parlimen dan dewan undangan negeri akan disertai oleh Pas. Misalnya Parlimen Kepong. Di Parlimen Kepong ini yang tak pernah 'absent' dari pertanding ialah Dap (parti Pembangkang) yang bertempur samada dengan calun MCA atau Gerakan. Dan katakan , terdapat ahli Pas atau orang Islam dikawasan Parlimen ini, adakah berdosa orang Islam atau ahli Pas mengundi calon DAP?Atau sekiranya ahli Pas atau orang Islam lainnya melihat calon MCA atau Gerakan adalah lebih baik kerana dianggap tidak terlalu 'chauvinist', bolehkah mereka mengundi calun MCA atau Gerakan yang secara langsung akan menambah kerusi Barisan Nasional di Parlimen.

Dan seandainya , rakan kongsi Pas iaitu PKR meletak calun bukan Islam melawan calon Barisan Nasional dari Umno di kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri, adakah boleh ahli Pas dan orang Islam yang tak berparti memberi undi kepada calon beragama Islam berdasarkan majoriti pendapat ulama Pas yang menyatakan bahawa mengundi orang Islam adalah wajib? Andaikata ahli Pas dan orang Islam atas pagar boleh mengundi calun Barisan Nasional yang beragama Islam, bukankah ini boleh membantu Barisan Nasional untuk terus berkuasa. Dan apa pula kata penasihat PKR kalau dia tahu ahli Pas mengundi calon dari UMNO dan dengan itu calon PKR yang bukan Islam akan kalah?

Sebenarnya banyak lagi soalan yang masih berligar di kepala otak teman yang padat dengan kepandiran. Tetapi biarlah teman simpan dulu.

Tiga soalan teman seperti di atas bukan saja-saja teman kemukakan untuk bersukaria dan membuang masa.

Teman hanya sekadar bertanya untuk tahu jawaban sebenarnya. Oleh itu jangan marah pada si pandir ini yang telah jauh ketinggalan dari arus jemaah Islam yang bernama Pas.

Tiada ulasan: