Jumaat, 18 Mei 2007

Teman Nak Minta Maaf Pada Tun

Rasanya teman tak puas lagi tulis tentang Tun. Sempena hari jumaat ini, teman yang bergelor syeikh teluk intan, ingin memohon seribu kemaafan pada Tun. Semasa Tun sakit seperti sekarang, teman rasa , masa dah cukup sesuai teman memohon maaf dari Tun. Teman takut tak sempat minta maaf, seandainya riwayat hidup Tun tamat dalam masa terdekat ini. Ada orang kata, Tun akan dipanjangkan umur oleh Allah. Alasannya cukup mudah:orang jahat lambat mati!. Orang baik selalu pendik umur. Ini bukan teman kata tapi orang lain kata. Teman tahu teman pun orang. Tapi orang itu, bukan teman walaupun sama-sama diiktiraf sebagai orang. Semoga Allah panjangkan umur Tun.

Tun jangan risau walaupun ada orang kata Tun jahat dan kerana itu Allah akan panjangkan umur Tun. Seperti Tun sedia maklumi, ramai juga orang jahat mati muda. Banyak benor contohnya.

Contoh klasik ialah Botak Chin, dia bukan sahaja jahat tapi pembunuh, akhirnya mati kena tembak dek polis dalam usia yang muda. Satu lagi contoh: Gangster yang sebangsa dengan Datuk Seri Samy Vellu, yang dikenali sebagai 'Batang Kali' juga teramat jahat, kejam dan brutal pun akhirnya mati dihujung senjata polis Malaysia. Kematian beliaupun bukan dalam usia yang tua.

Oleh yang demikian, kita anggap kata-kata yang berbunyi " orang jahat akan dipanjangkan oleh Allah umurnya" sebagai kenyataan yang simplistik yang tidak ada fakta kukuh untuk menyokongnya. Moga Tun lega sekarang dengan pendapat teman yang logik ini.

Oh, teman hampir terlupa niat asal iaitu untuk memohon seribu kemaafan dari Tun sebelum apa-apa berlaku kepada teman ataupun Tun. Banyak juga kesalahan teman pada Tun. Banyak perkataan yang tak molek ,teman hamburkan pada Tun. Banyak sebab mengapa teman maki hamun Tun.

Adakah Tun masih ingat pada peristiwa Memali? Pasti Tun ingat kerana Tun bukan jenis Melayu pelupa. Tambahan pula terdapat satu paun darah Tun adalah darah dari Benua India. Jadinya Tun , walaupun pernah dianggap 'Ultra Malay', tetapi kemelayuan Tun tak seratus peratus. Teman pun sama. Teman pun ada sedikit darah bangsa lain. Kita sama Tun!

Dalam peristiwa Memali itu, Ustaz Ibrahim Libya dan beberapa orang pengikutnya mati di bunuh oleh pasukan polis yang berbekalkan senjata canggih ,macam nak pergi perang ,kerana dikatakan mengancam keselamatan negara dan dianggap sebagai penderhaka. Peristiwa itu sungguh memilukan hati teman. Masa itu Tun dah jadi Perdana Menteri Malaysia. Tanpa fikir panjang, teman maki Tun sebagai seorang munafik dan fasik. Tidak halal teman makan binatang sembilihan Tun. Dan tak sah teman jadi makmum semasa Tun jadi Imam sembahyang. Itu pandangan teman sewaktu itu. Maklumlah teman, masa itu masih muda dan darah muda mudah menggelegak.

Sekarang teman tahu, Tun tak terlibat dengan trajedi itu kerana Tun masa kejadian itu,berada di luar negeri. Rupanya Menteri lain yang terlibat. Tun pun tahu siapakah sibangsat itu.
Walaupun ada orang kata, Tun yang memberi arahan, tetapi bila teman lihat Tun selalu menanggis pilu semasa beri ucapan yang menyentuh nasib orang Melayu, teman percaya, orang yang sayangkan bangsa seperti Tun masakan sanggup membasahkan tangannya dengan darah pejuang Islam seperti Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya. Betul tak Tun?.

Ekoran dari peristiwa itu, kawan dan guru teman yang bernama Ustaz Nakhaie Hj Ahmad tulis buku yang mempertahankan Ustaz Ibrahim sebagai bukan penderhaka dan dia menganggap Ustaz Ibrahim Libya mati sebagai shuhada. Buku itu di terbitkan oleh syarikat GG Edar yang dimiliki oleh abang Ipar teman yang di kenali sebagai Ibnu Hasyhim. (www.ibnuhasyim.blogspot.com)

Selepas Ustaz Nakhaie masuk UMNO semasa Tun berkuasa, teman tak tahu samada dia masih berpegang pada pendapat beliau ataupun telah berlepas diri dari buku yang pernah beliau tulis semasa menjadi naib presiden Pas suatu ketika dulu.

Oleh itu Tun dalam kes Memali ini , teman secara rasminya minta maaf kerana telah menuduh dan memaki Tun sebagai munafik dan fasik. Teman insaf , hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui keadaan sebenornya.

Tiada ulasan: