Sabtu, 26 Mei 2007

Kak Wan Azizah Kekal Presiden PKR

Sumber Dari Harakahdaily.

Anwar dan Rahman tarik diri, Wan Azizah menang tanpa bertanding
Intan Abdullah dan Wan Nordin
Sat | May 26, 07 | 02:36:25 PM
SEREMBAN, 26 Mei (Hrkh) - Persidangan Kongres Keadilan tengah hari ini ditangguhkan selepas sesi penjelasan Penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya diakhiri dengan kemenangan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ekoran penarikan diri oleh seorang lagi calon presiden, Abdul Rahman Othman.

Setelah hampir satu jam sesi penerangan itu diadakan, beliau sendiri (Abdul Rahman Othman) telah menghantar satu surat kepada Pengerusi Tetap, selepas mendengar keputusan yang dikemukakan oleh Anwar kepada perwakilan.

Persidangan kongres pada kali ini diwarnai dengan pelbagai reaksi para perwakilan terhadap keputusan yang telah diambil oleh Anwar berhubung tindakan beliau untuk menarik diri daripada bertanding jawatan presiden parti itu dalam agenda pemilihan Kongres keempat di Seremban ini.

Sebelum ini Anwar dikatakan akan bertanding bagi jawatan itu setelah mendapat banyak pencalonan ke atasnya selain permintaan ahli parti yang mahukan kepimpinan beliau.

Namun kehendak beliau dan parti itu terhalang setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Anwar tidak layak bertanding kerana tempoh sekatan politik yang dikenakan ke atasnya masih berjalan hingga April 2008.

Sementara seorang lagi calon, Abdul Rahman Osman menarik diri disaat akhir berikutan penarikan diri Anwar di saat akhir juga.

Beliau menyatakan bahawa beliau akur dengan kehendak perwakilan yang rata-rata mahu memberi laluan kepada Wan Azizah terus memimpin parti lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Laungan reformasi kembali bergema selepas sengketa pilu berhubung pemilihan berakhir dengan semua pihak berlapang dada akur dengan kehendak perwakilan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar semasa mengulas ucapan dasar Presiden KeADIlan berkata, agenda yang diketengahkan menerusi Kongres Keadilan kali keempat pada kali ini mencerminkan kekuatan KeADILan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kamarudin berkata beliau yakin keadilan akan lebih mantap dan kukuh, tambahan pula beliau menjangkakan barisan kepimpinan keadilan akan diisi oleh tokoh yg mampu membawa KeADILan merealisasikan matlamat dan hala tuju perjuangan parti itu.

Katanya, ucapan Wan Azizah yang menekankan isu-isu dan tema perjuangan yang bersesuaian untuk dibawa semasa pilihan raya umum tidak lama lagi, yang mana menurutnya ia amat sesuai untuk sama-sama didokong dan diperjuangkan secara bersama oleh pakatan pembangkang.

"Kita telah mengadakan kerjasama dan memperkemaskan penyelarasan gerak kerja Barisan Alternatif bagi menghadapi pilihan raya umum, dan kita yakin berdasarkan keputusan yang telah ditunjukkan oleh KeADILan dalam Pilihan Raya Kecil Dun Ijok yang lalu," kata beliau.

Di samping itu katanya, PAS akan mengeratkan lagi hubungan mereka sebagai rakan BA dengan kehadiran pimpinan KeADILan pada muktamar PAS minggu hadapan.

Kamarudin yang juga merupakan Pengerusi Muktamar PAS kali ke-53 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun akan datang juga melihat persiapan dan pengurusan kongres KeADILan pada kali ini lebih mantap dan tersusun.

"Namun begitu, mereka kena kerja lebih untuk meneruskan agenda perubahan yang ingin dibawa oleh parti," ujar beliau lagi.

Ketika mengulas pemilihan yang membabitkan Dato' Seri Anwar ibrahim, berliau berpandangan bahawa situasi ini masih belum pasti sama ada beliau (DSAI) akan dapat bertanding atau tidak ekoran sekatan yang telah dibuat oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

"Walau apapun, saya yakin selepas akan lebih kukuh lagi selepas ini," tegasnya./wann


Teman berdoa semoga PKR panjang umur.Lazimnya, parti baru di Malaysia umurnya "ciput"

Teman mahu PKR jangan jangan jadi macam UMNO kerana ramai juga bekas ahli dan pemimpin UMNO yang menyertai keadilan yang telah terbiasa berperangai UMNO yang cukup kotor dan menjijikkan.

Teman berharap bila berapa kali PKR gagal nanti , dalam pilihanraya, jangan sekali berhasrat untuk menyertai Barisan Nasional atas alasan tak mahu perpecahan. Dan PKR kena ingat bahawa Bro Anwar Ibrahim selalu menyatakan Umno telah tak boleh dibaiki kerana telah 'totally damaged' . Teman sikit sebanyak dapat membaca muka orang dalam usaha mengenalpasti secara rambang bahawa terdapat pemimpin PKR yang masih lapar dan dahaga kerana nak jadi Perdana Menteri atau Menteri.

Teman harap, PKR ikhlas berkawan dengan PAS.

Sekian sahaja harapan teman. Banyak lagi harapan teman, tetapi yang penting PKR akan jadi parti yang boleh diharap. Dan selamat berkongress.

Tiada ulasan: