Rabu, 30 Mei 2007

Ayah Sakit Tetapi Anak-anaknya Pergi Ke Muktamar PAS

Pada pagi hari Jumaat minggu lepas isteri teman telah terbang pulang ke Pulau Pinang. Dia pulang untuk menziarahi ayahnya yang terlantar sakit tenat. Adik lelaki kepada isteri teman pun, balik pada hari yang sama tapi dia pulang dengan menaiki keretanya. Adik-beradik isteri teman yang lain pun balik, tetapi balik sedikit lewat, terutama dua orang abangnya.

Teman tak dapat turut sama, kerana teman pun uzur.Teman tak boleh naik kapal terbang, kerana teman akan sesak nafas. Sebelum sakit, teman biasa turun naik kapal terbang.Nak naik kereta, teman terlalu uzur untuk menempuh perjalanan yang jauh. Yang mampu teman lakukan ialah berdoa supaya orang tua itu sembuh dan panjang umur.

Secara peribadi teman hormat ayah kepada isteri teman. Dia seorang ustaz dan mempunyai keperibadian yang baik. Bila dia datang ke rumah teman, entah kenapa teman terasa seluruh ruang rumah seolah dilimpahi semenggat baru.Mungkin teman sahaja yang berperasaan demikian.

Semasa dia menziarahi teman sekeluarga , teman pastikan dia mendapat layanan lima bintang. Oleh kerana teman dah tak bekerja temanlah yang selalu berbual dengannya, terutama selepas makan atau minum kopi. Dia ni, memang seorang yang mudah lupa. Oleh itu banyak benda yang sama dia selalu timbulkan semasa kami berbual. Terpaksalah teman mendengar dan berpura-pura seola-olah baru kali pertama kali mendengar apa yang dia katakan.Hendak hidup katakan!

Pernah semasa teman sihat sekitar 20 tahun dahulu, teman mengikut isteri pulang ke kampungnya di Balik Pulau , Pulau Pinang. Masa itu teman bawa kereta yang baru teman beli.Kami sampai di Balik Pulau, dipertenggahan waktu maghrib. Ayah kepada isteri teman,masa itu baru pulang dari masjid yang terletak di seberang jalan rumah. Amat dekat rumahnya dengan masjid.

Selepas teman bersalam dengannya, dia bertanya teman, mana pergi kereta dulu.Teman jawab, dah jual dan ambil yang lain.Bukan yang baru tapi secondhand.Dia mengangguk dan terus duduk di kerusi. Ibu mertua teman, masa tu masih hidup dan sedang sibuk menyiapkan makanan untuk suaminya dan kami yang baru sampai.

Yang teman cuba ceritakan disini ialah penyakit mudah lupa ayah mertua teman. Malam itu , semasa teman sampai di rumahnya, dia bertanya mana kereta teman yang dulu. Keesokkan harinya, iaitu selepas sarapan dia bertanya soalan yang sama tentang kereta teman. Maka terpaksalah teman memberi memberi jawaban yang sama. Mulai dari hari itu teman tahu dia seorang yang mudah lupa walaupun usianya semasa itu, teman jangka tidak lebih dari 58 tahun. Kata orang tua dulu-dulu, kalau kita termakan semut yang berada dalam gula yang kita bubuh dalam air kopi atau teh, kita akan mudah lupa.Mungkinkah ayah mertua teman, termakan semut! Tapi hujah ini, tak saintifik dan teman tak pernah lagi jumpa hadis berkaitan dengan korelasi lupa dan semut.

Tapi walaupun dia mudah lupa dia tak pernah tinggalkan solat walaupun apa keadaanya.Dia muslim yang taat, lebih lagi dia seorang ustaz lulusan pondok.

Pernah, teman mencadangkan kepada beliau bahawa dia perlu seorang isteri yang boleh menjaganya. Walaupun teman bercakap seolah bergurau, tetapi kalau dia terima cadangan teman, tentu teman akan gembira kerana dapat ibu mertua tiri.Riaksinya, biasa sahaja, tersenyum tanpa dapat teman memahami sepenuhnya , makna senyum itu.

Bila teman ceritakan pada isteri cadangan teman kepada ayahnya, dia jelas tak berapa setuju. Alasannya mudah: ayahnya sudah tua dan tak bertenaga untuk beristeri lagi. Lalu teman mengemukakan cadangan baru pada istri teman supaya sudilah apakiranya dia carikan teman ibu mertua yang baru dengan alasan , hidup teman terasa sunyi sepi tanpa kehadiran seorang ibu mertua.

Akibatnya dua hari isteri teman kelihatan malas nak senyum pada teman setelah mendengar cadangan teman yang cukup membina itu!

Isteri teman ni,bukanlah boleh dikatogerikan sebagai amat cerdik. Tapi bila teman minta dia carikan ibu mertua baru, tahap mindanya terus melonjak ke tahap amat cerdik kerana faham maksud teman yang sebenarnya.Perempuan dalam bab ini, cukup senang menangkap ucapan yang tersirat. Adakah teman kagum mempunyai isteri macam ini yang pantas dan cepat membuat bacaan politik suaminya? Sendiri mahu ingatlah!

Berbalik kepada ayah mertua teman yang sedang sakit.

Selepas dua hari isteri teman di Pulau Pinang, dia pulang ke rumah pada hari Ahad lepas dengan menumpang kereta adik lelakinya. Isteri teman terpaksa pulang kerana terpaksa ke Pahang untuk menjalankan tugas selama 4 hari.Manakala adik lelakinya juga terpaksa balik menjalankan tugas ditapak projeknya di Gua Musang, Kelantan.

Maka yang tinggal,ialah abang-abang dan seorang kakaknya. Manakala seorang adik lelaki dan perempuan memang tak balik kampung kerana mereka memang tinggal disitu!

Semasa isteri teman balik kampung, ayahnya tidak dihantar ke hospital. Teman pun tak tahu mengapa anak-anak ayah mertua teman tak menghantar ayah mereka ke hospital?.Kalaulah teman ada, dan lihat kondisi orang tua itu perlu dapat rawatan di hospital, tentu orang tua itu dah lama teman hantar ke hospital.Dan kini , atas nasihat salah seorang dari isteri abang-abang isteri teman, barulah orang tua itu dimasukkan ke hospital di wad kelas tiga. Not realy bad!

Masalahnya setelah dimasukkan ke hospital, salah seorang abangnya mengambil keputusan untuk pulang. Alasannya, dia perlu pergi ke Kelantan untuk menghadiri muktamar Pas yang bermula 1 jun ini.

Abang kepada isteri teman , menelefon isteri teman supaya balik semula ke Pulau Pinang untuk menjaga ayah mertua teman di hospital kerana adik lelaki dan perempuan yang sememang menetap di kampung perlu bekerja di Pejabat Pos dan dan yang seorang lagi, iaitu adik lelakinya perlu pulang ke Kelantan kerana hendak menghadiri majlis pertunangan adik kepada isterinya yang merupakan anak jati Kelantan.

Bukan sahaja, isteri teman di arah pulang, bahkan adik lelakinya yang dapat projek di Gua Musang , Kelantan disuruh pulang untuk menjaga ayah mereka yang sedang di rawat di hospital!.Alasan abang isteri teman seperti tadi, iaitu untuk menghadiri muktamar Pas di Kelantan!

Isteri teman dan adik lelakinya yang punya tugas mencari duit, cukup marah kerana alasan kedua abangnya untuk ke Muktamar Pas dan meninggalkah ayah mereka yang sedang dalam kesakitan, adalah terlalu lemah. Abang kepada isteri teman, sudah tak bekerja. Dia juga bukan Presiden Pas. Dia juga tak pegang jawatan tinggi dalam parti. Teman juga tahu, abang isteri teman, bukannya jenis orang yang tekun mengikuti muktamar sepanjang masa. Banyak masa dibuang dengan mundar mandir dan bersembang atau makan minum di luar Dewan muktamar. Teman tahu, kerana teman pun selalu ke Muktamar Pas sebelum jatuh sakit dan tahu apa yang selalu mereka lakukan semasa muktamar berjalan.

Sebagai seorang yang pernah belajar ugama diperingkat Universiti luar negara, teman hairan bagaimana seorang yang sepertinya lebih suka mundar mandir di kawasan dewan Muktamar, daripada menjaga ayah yang sedang sakit. Seolah tidak berapa cerdik sangat dalam meletakkan keutamaan dengan sewajarnya.Ringkasnya, pandir dalam soal , mana yang lebih utama dari senarai keutamaan!

Pada pendapat teman, sebagai anak lelaki, menjaga ibu bapa yang sedang sakit adalah lebih wajib daripada mundar mundir sewaktu muktamar pas sedang berlangsung. Tambahan pula abang isteri teman meninggalkan ayah mereka, semasa muktamar PAS belum lagi berlangsung.Mereka ada empat hari untuk bersama ayah mereka sebelum muktamar bermula!

Sikap abang isteri teman, menyebabkan air mata teman sentiasa mengalir. Teman ini orang sakit, dan dengan demikian teman dapat selami perasaan orang sakit. Orang yang sedang sakit, jiwa mereka cukup sensitif. Kalau boleh mereka mahu anak-anak sentiasa berada disisi untuk diajak berbual dan sebagai penguat semanggat. Teman tahu orang tua seperti ayah mertua teman, tak perlukan duit dari anak-anaknya. Disaat menanggung azab kesakitan, belaian kasih sayang anak-anak adalah lebih bererti dari segunung emas yang dilonggokkan di hadapan matanya.

Memang sukar dan selalunya menjijikkan untuk menjaga ibu atau ayah yang sedang sakit tenat. Bukan wangi najis yang dikeluar oleh orang tua yang sedang diambang kesakitan. Tetapi ayah atau ibu yang sakit tenat, pasti merasa lebih selesa dan bahagia bila mendapati anaknya yang dibekalkan ilmu agama yang kukuh, sanggup melakukan tugas membersihkan tubuh yang longlai tak bermaya.

Oh tuhan, ke mana hilang perasaan kasih sayang anak-anak kepada seorang ayah yang selama ini telah bersusah payah membesarkan anak-anaknya dengan seribu kepayahan dan keperitan! Kedua abang isteri teman adalah generasi lama yang dikatakan lebih bersopan, punya moral yang tinggi dan beragama, berbanding generasi baru yang sering dikatakan sebagai generasi yang kurang sopan dan keterlaluan dalam mengikut arus kemodenan yang berpaksikan budaya barat yang materialistik dan hedonistik.

Akhirnya buat anak-anakku, disini aku ingin berpesan: jangan jadi seperti bapa saudara kamu , yang merasakan bahawa menjaga seorang ayah yang sedang sakit bukan suatu perjuangan. Jangan juga terlintas difikiran kamu, mengutamakan mundar mandir dan berseronok sebagai perjuangan yang hak dan patut diteruskan.

Tiada ulasan: