Khamis, 24 Mei 2007

Horrai : Tun Dah Nak Keluar IJN


Di Petik Dari Harakah Daily
Khamis 24 Mei 2007 | 7 Jamadil Awal 1428 Hijrah Timbalan Presiden PAS lawat Dr Mahathir di IJN
Intan Abdullah
Wed | May 23, 07 | 08:53:20 PM
KUALA LUMPUR, 23 Mei(Hrkh) - Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka dibenarkan pulang esok selepas sembilan hari menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Institut Jantung Negara.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mengunjungi Dr Mahathir tengah hari tadi memberitahu bekas Perdana Menteri itu kelihatan bertambah sihat.

Nasharuddin bersama Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli disambut mesra oleh Dr Mahathir.

"Tun nampak sihat, dan kami dimaklumkan laporan kesihatan beliau menunjukkan perkembangan yang positif terhadap rawatan yang dijalankan," ujarnya.

Dalam pertemuan selama setengah jam itu, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih atas kunjungan pimpinan PAS, dan beliau sempat menyampaikan salam kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak turut bersama dalam sesi lawatan itu.

Sebelum ini Bernama melaporkan, kongesi paru-paru yang dikaitkan dengan miokardial infarksi menyebabkan Dr Mahathir menghadapi masalah sesak nafas, kata perunding kardiologi Datuk Dr Nasir Muda.

Dr Mahathir mulanya dirawat di Unit Rawatan Cemas, Hospital Langkawi selepas mengadu sesak nafas dan diterbangkan ke ibu negara keesokannya untuk rawatan lanjut di IJN



Horrai! Besok Tun keluar IJN. Tun dapat balik rumah dan boleh main dengan cucu. Pendik kata banyak benda boleh di buat oleh bekas PM yang terlama berkuasa di Malaysia.

Yang buat teman tambah gembira ialah tentang Ustaz Nasaruddin, Timbalan Presiden Pas dan Dr Hatta Bendahari Pas, sempat menziarahi Tun di IJN. Dan oleh kerana Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, tiada kesempatan untuk melawat sama, Tun sempat berkirim salam kepada Murshidul Am dan Presiden Pas melalui dua tokoh pemimpin Pas yang menziarahi Tun.Ingat juga, Tun kepada kedua orang pemimpin teman.

Ziarah menziarah adalah amalan baik, terutama menziarahi orang sakit. Dan orang yang sakit tetapi dah sembuh ialah Tun seorang bekas Perdana Menteri yang pernah dicop sebagai diktator nombor 1 Malaysia. Tahniah kepada dua tokoh muda PAS yang walaupun sibuk untuk menghadapi Muktamar Pas yang akan di adakan minggu depan, tapi sempat mencuri masa untuk menziarahi Tun.

Teman rasa kedua pemimpin Pas yang menziarahi Tun, pernah sekali sekala bercakap sesuatu yang dulu tak disenangi oleh Tun. Biasalah tu,Tun. Tun pun sama.

Banyak ucapan dan kenyataan Tun sewaktu berkuasa dulu yang mengecam dasar Pas, pemimpin Pas dan ahli Pas.Kecaman demi kecaman sentiasa keluar dari mulut Tun yang seperti dulu terletak di bawah hidung Tun yang besar itu.Tetapi ini tidak menjadikan hubungan pemimpin Pas dan Tun tegang sampai bila-bila. Bila Tun sakit pemimpin Pas dan ahli Pas turut simpati dan berdoa supaya Allah panjangkan umur Tun.

Teman nak beritahu bahawa pemimpin dan ahli Pas marah dan kecam Tun, bukan kerana mulut, hidung, kepala , kaki , tangan dan seluruh anggota Tun. Yang diserang dan dikecam oleh pemimpin dan ahli Pas ialah pendapat Tun yang cukup berbeda dengan pegangan pemimpin dan ahli Pas.

Dan teman secara peribadi tak lupa bila teman marah sangat dan amat benci bila Tun cakap tentang janggut Nabi tercinta. Teman juga cukup sedih bila Tun cakap, Saidina Hamzah yang mati shahid, tidak di mandikan kerana air tak ada. Dan teman marah dan cukup kesal bila Tun tuduh Dr Harun Din menjual air jampi!

Teman kecam dan maki Tun kerana cakap-cakap Tun yang terlalu biadap terhadap Nabi S.A.W, Para Sahabat dan para ulama. Sehingga sekarang dalam isu ini, teman takkan maafkan Tun sehinggalah Tun mengistiharkan secara terbuka bahawa Tun bertaubat. Bukan taubat auta. Tapi taubat nasuha!

Dari segi otak, Tun termasuk dalam manusia yang genius. Bak kata, Tok Guru Nik Aziz, Tun manusia cerdik, tetapi berfikiran sekular. Tak lebih dan tak kurang.

Dengan daya fikir yang hebat, Tun telah cetuskan pelbagai ilham yang kebanyakkan telah dapat direalisasikan. Dengan daya fikir Tun yang hebat, Tun misalnya dapat memberi riaksi yang pantas terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan oleh para wartawan dan tokoh pembangkang dan ahli Umno. Dalam bab ini , teman terkagum terhadap Tun. Tun memberi reaksi secara selamba tapi tajam dan selalu sinikal. Teman suka, Tun !

Tun memang mempunyai otak yang genius, setanding Albert Enstein, tokoh saintis terkemuka di dunia yang telah lama berada di alam kubur. Yang membedakan Tun dengan Enstein, ialah Tun handsome, manakala sekor lagi buruk. Pernah diceritakan, seorang yang berwajah lawa, pernah menawarkan kepada Enstein supaya mereka berdua bertukar otak dan sebagai ganti dia sanggup beri wajahnya yang lawa mungkin macam Tun, untuk dipindahkan kepada Einstein. Dengan selamba Enstein menjawab: "mana boleh! kamu simpan mahu wajah lawa kamu , dan aku tak mahu otak kamu , kerana aku takut jadi sebodoh kamu".

Dan teman agak kagum terhadap Tun bila teman teringatkan pengakuan Tun baru-baru ini, yang menyatakan Tun telah melakukan kesilapan yang paling besar iaitu meletakkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun. Lalu teman menyoal diri sendiri adakah orang genius seperti Tun , boleh melakukan kesilapan yang besar seperti itu?.

Sekarang teman mulai faham, walaupun secerdik mana manusia , ada masa dan ketikanya, manusia yang hebat tahap kegeniusannya boleh juga jatuh menjadi sepandir-pandir manusia di atas muka bumi ini.Hanya Allah sahaja yang Maha Bijaksana. Betul tak Tun? Setuju ajelah!

Walaumananapun teman ucapkah tahniah, seorang manusia seperti Tun, yang pernah dianggap diktaktor tidak malu mengaku melakukan kesilapan. Cuma kalau Tun tak murka, teman nak tanya, adakah Tun silap memecat Anwar pada tahun 1998 dulu?

Dan teman pun yang dulu amat membenci Tun, mula rasa sedikit sayang pada Tun. Kini Tun, mahu rakyat negeri Kelantan terus mengundi Pas untuk mengajar UMNO yang sombong dan angkuh.Tun mula mengiktiraf peranan pembangkang untuk tujuan 'check and balance' kerajaan Pak Lah. Mungkinkah , Tun mula mengerti bahawa demokrasi di Malaysia di era Pak Lah semakin hilang serinya? Apakah di zaman pemerintahan Tun selama 22 tahun, demokrasi terjaga dengan baiknya, walaupun Tun pernah di tuduh sebagai musuh kepada kebebasan bersuara oleh sekian ramai manusia, termasuk pemerhati luar negara?

Memang teman ada ketikanya, tidak dapat sembunyikan kegembiraan kerana nada suara Tun sekarang seperti pembangkang. Tak tahulah teman, kalau selepas keluar IJN, Tun akan mengurangkan hobi dan kecenderungan mengkritik pemerintahan Pak Lah yang dianggap kerajaan 'half past six'.

Kalaulah, Tun mengurangkan tekanan ke atas kerajaan Pak Lah, tentu saudara Mahfuz Omar,matan Ketua Pemuda PAS pusat dan beberapa tokoh pembangkang yang lain akan bersedih. Contohnya, Mahfuz sekarang seolah lebih sayangkan Tun lebih dari dirinya sendiri. Dulu dia tak seperti itu. Mungkin dia sayangkan Tun kerana Tun dianggap sudah menjadi sama seperti lain-lain tokoh pembangkang yang menganggap pemerintahan Pak Lah adalah yang paling terlemah jika dibandingkan dengan pemerintahan empat perdana menteri yang terdahulu.

Kalau tanya teman, tentang sikap teman terhadap Tun, teman lebih hormatkan Tun sebagai bekas Perdana Menteri dan orang tua yang kelihatan semakin Tua tetapi daya fikir Tun tetap hebat walaupun ada sedikit auta. Namun aura Tun masih belum dapat mengalahkan auta Tun!

Dalam tulisan yang lepas, teman pernah minta Tun menjaga kesihatan. Teman mahu Tun sihat. Teman mahu ,Tun hidup lama lagi . Oleh itu teman pernah sarankan supaya Tun kurangkan memberi ucapan. Tumpukan pada arena penulisan. Kalau boleh tulis melalui blog Tun sendiri.Memberi ucapan yang ringgan tak mengapa. Tapi ucapan Tun selalu diiringi dengan serangan terhadap Pak Lah. Ini boleh membahayakan jantung Tun. Bila Tun berucap menyerang pemerintahan Pak Lah, jantung Tun akan berdegup kencang hasil dari tindakan adrenalin. Merbahaya,Tun. Tun lebih faham, kerana Tun juga matan doktor perubatan.

Tak dinafikan, Tun berani memberi ucapan yang menyerang sesiapa sahaja yang Tun fikir tak betul. Tun masih berani menyerang presiden Amerika dan kerajaan Israel.Juga Singapura dan Australia. Kalau setakat, menyerang Pak Lah, senang sangat pada Tun.

Tetapi Tun, teman juga ada rasa sifat belas kasihan pada Pak Lah.Dia pun kalau boleh nak jadi Perdana Menteri Malaysia yang terlama untuk mengatasi rekod Tun. Mungkin untuk tempoh seratus tahun.Oleh itu , berilah dia sikit ruang untuk bernafas.Lagipun, Paklah ni terkenal baik.Sampaikan, dia digambarkan oleh media arus perdana sebagai 'Mr clean'. Maklumlah cucu dan anak ulama.

Teman, percaya andaikata Tun mengadap Tuhan (meninggal dunia), pasti Pak Lah akan bersedih, menanggis sambil menyanyi lagu khas untuk Tun, iaitu lagu P.Ramlee yang bertajuk'Jangan Tinggalkan daku'. Lagu tu, teman pun suka. Dan Tun jangan risau,Paklah akan turut menghantar Tun ke Makam Negara. Dia juga akan mengistiharkan cuti satu hari dan Malaysia berkabung seminggu. Dan bendera setenggah tiang untuk menghormati Tun.

Oleh itu Tun, teman cadangkan supaya Tun cubalah berbaik-baik dengan Pak Lah. Jangan risau, tanpa Tun, pembangkang masih belum kehabisan peluru untuk menjatuhkan kerajaan Paklah. Bak kata ,Penasihat PKR, kalau tak hari ini, bulan depan. Kalau bukan bulan depan, tahun depan.

Teman nampak cara yang terbaik, untuk berbaik dengan Pak Lah ialah dengan cara Tun membantu Pak Lah menamatkan zaman dudanya. Kalau boleh carikan wanita yang ada tali persaudaraan dengan Tun. Jadi, secara tidak lansung , Pak Lah dan Tun akan mempunyai hubungan persaudaraan.

Mungkin masalah yang bakal timbul, kebanyakkan saudara mara Tun, hidung mereka seperti Tun. Pak Lah suka wanita yang hidungnya seperti Allahyahamah Datin Sri Endon. Walaubagaimanpun jangan cepat mengalah ,Tun. Walaupun wanita yang Tun cadangkan, hidungnya sebiji macam Tun,teman rasa Pak Lah akan terliur melihat seorang wanita yang gemar memakai baju kebaya siang dan malam!

Akhir kalam, selamat berangkat pulang ke rumah, wahai Tun!

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dsddasdddddd

Tanpa Nama berkata...

boleh la..............

king comforter sets on sale berkata...

Sebelum ini Bernama melaporkan, kongesi paru-paru yang dikaitkan dengan miokardial infarksi menyebabkan Dr Mahathir menghadapi masalah sesak nafas, kata perunding kardiologi Datuk Dr Nasir Muda.
pure parima yalda sheets
buy pure cotton bed sheets online