Tok guru Nik Aziz baru-baru ini berpesan supaya jangan sekali , penceramah Pas memaki hamun batang tubuh peribadi, khususnya pemimpin UMNO/BN. Yang boleh dicaci ialah dasar perjuangan parti yang dianggotai peribadi-peribadi yang berkenaan. Jangan lebih dari itu.
Sungguh bagus sekali pesan Tok Guru Nik Aziz. Teman sokong seratus peratus.Memang tak patut kita sebagai pejuang Islam, memaki hamun.
Walaubagaimanapun seperti yang Tok Guru sendiri sedia maklum, puak UMNO pun sering menuduh bahawa pemimpin Pas tak ada kerja lain, melainkan memaki hamun pemimpin pujaan mereka.
Sedangkan kita pun tahu bahawa kebanyakkan penceramah Pas bukan memaki hamun, tapi meminta rakyat supaya berhati-hati dengan pemimpin UMNO/BN yang korup,kaki rasuah,kaki botol, kaki betina , menghina Islam dan para pejuangnya dan yang seumpama dengannya.
Hakikatnya penceramah Pas cuma melaksanakan tugas untuk mendedahkan kebusukan keperibadian para pemimpin UMNO/BN tetapi akibatnya mereka pula dilabelkan sebagai tukang maki hamun nombor satu di dunia.
Seolah-olah yang tak pernah memaki hamun walaupun sebesar habuk atau sepatah perkataanpun dalam dunia milik Allah ini, hanyalah spesis UMNO dan sekutunya sahaja.
Pada pendapat teman yang daif ini, tafsiran maki hamun perlu dihuraikan dengan lebih detil dan jelas oleh Tok Guru Nik Aziz , Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Pas. Takkanlah menceritakan kepada rakyat , tentang kebusukan peribadi tokoh pemimpin UMNO/BN yang serba hanyir dan memualkan , boleh dikatogerikan sebagai maki hamun.
Teman sendiri pernah mendengar kuliah agama para ustaz samada yang terlibat dengan parti politik atau yang seratus peratus non partisan berkaitan dengan soal yang berligar disekitar selok belok ilmu munakahat.
Contohnya, katakan kita tahu bahawa seorang lelaki yang hendak masuk meminang seorang muslimah adalah seorang yang siang malam hidupnya bergelumang dengan seribu macam jenis maksiat, maka jatuh wajib ke atas kita untuk menceritakan kepada ibubapa atau saudara terdekat muslimah tersebut tentang kebusukan peribadi lelaki tersebut. Dengan berbuat demikian maka kita berkemungkinan besar dapat menyelamatkan seorang muslimah dikahwinkan dengan seorang lelaki yang apa kata , kita namakan sebagai Najib yang busuk dengan kefasikannya.
Anologi seperti diatas, boleh juga digunapakai dalam hal memilih pemimpin. Pengikut UMNO sendiri pun tahu bahawa pemimpin mereka yang kelihatan seperti orang yang suci daripada dosa, kebanyakkannya adalah terdiri daripada tokoh-tokoh pelaku maksiat yang cemerlang,gemilang dan terbilang.
Kita ambil contoh maksiat yang dianggap paling remeh oleh setenggah pengikut dan pemimpin UMNO, iaitu maksiat membenarkan isteri untuk tidak memakai jilbab dan melabuhkannya sehingga ke paras bawah dada.
Dalam konteks ini adakah penceramah Pas yang secara jelas menyebut nama pemimpin yang berkaitan dan dengan bersungguh-sungguh meminta rakyat supaya pemimpin jenis 'dayus'ini tidak boleh sama sekali dimenangkan dalam PRU , secara borong terus dikatogerikan sebagai 'kaki maki hamun'.
Teman hanya sentuh soal yang melibatkan kes para isteri pemimpin UMNO yang tak bertudung. Belum lagi teman sentuh secara langsung kes pemimpin-pemimpin UMNO yang rasuah,korup, zalim, bacul dan anti Islam! Dan yang teman musykil , adakah pendedahan penceramah PAS yang ada fakta yang lengkap berkaitan dengan kebusukan keperibadian pemimpin-pemimpin UMNO/BN boleh dikategorikan sebagai maki hamun?
Oleh itu, Tok Guru Nik Aziz atau Ulamak Pas yang lain perlulah menjelaskan kedudukan istilah maki hamun dan perbezaannya dengan pendedahan cerita kebusukan peribadi pemimpin-pemimpin UMNO oleh penceramah Pas , demi maslahah umat supaya tidak tersalah dalam soal memilih pemimpin.
Bukankah soal memilih pemimpin negara adalah lebih utama kalau hendak dibandingkan dengan persoalan memilih calun isteri atau suami!
Teman tidak menafikan terdapat segelintir penceramah Pas yang hanyut ditelan oleh emosi yang yang tak terkawal semasa berceramah sehingga ke peringkat memaki hamun pemimpin-pemimpin UMNO tanpa alasan dan fakta yang kukuh. Dan lebih parah kalau ceramah golongan yang segelintir ini terdapat unsur ghibbah(maaf kalau sebutan dan ejaannya tak tepat).
Dalam hal ini , maka wajib bagi Pas untuk mengharamkan segelintir penceramah sejenis ini memberi ceramah dalam keadaan macam mana sekalipun .Mungkin bakat mereka cuba terhad dalam kerja menampal poster pilihanraya atau kerja-kerja lain yang tak melibatkan mereka bercakap banyak!
Sekali lagi teman meminta Tok Guru Nik Aziz memberi penjelasan yang lebih jelas dan mampan dalam soal maki hamun. Ianya ada soal penting. Dan teman juga mengambil kesempatan supaya pemimpin-pemimpin Pas yang bertaraf ulamak dan yang menganggap diri mereka terlalu profesyional supaya janganlah merapu dan meraban dalam isu-isu yang mereka sendiri kurang arif.
Akhir kalam teman mohon janganlah kawan-kawan marah pada teman yang sekadar menuntut sedikit penjelasan dari Tok Guru Nik Aziz yang teman sayangi dan hormati. Teman minta penjelasan ini kerana teman sedar bahawa teman seribu kali bodoh daripada orang yang diminta penjelasannya.
Teman insaf, hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan