Ahad, 9 Disember 2007

Mungkin Teman Silap Faham Dengan Pendekatan Pas Yang Terkini !

Bila teman dengar pendapat ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas, mengenai pendekatan Pas kini, teman macam terdengar-dengar ucapan Bro Anwar Ibrahim semasa bergelumang dalam selut UMNO , sebelum dicampak keluar.

Semasa Bro Anwar dalam selut busuk UMNO , entah berapa kali beliau telah membidas kehendak Pas untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam dan berulang kali menyebut bahawa apa yang diperjuangkan oleh UMNO secara konsisten, ialah 'substance' bukannya 'form'. Maksudnya 'form' atau bentuk negara Islam tidak akan memberi apa-apa kepada kepentingan umat di Malaya ini. Yang boleh memperkasakan umat ini ialah perjuangan untuk menghidupkan 'substance' Islam, seperti mengapuskan kemiskinan dan membasmi gejala rasuah.

Untuk memudahkan kefahaman kita, Bro Anwar berkata bahawa 'form' atau bentuk 'negara Islam' tidak perlu diperjuangkan . Biarkan Malaya dengan 'status quo' sebagai sebuah negara yang tidak berlebelkan negara Islam, tetapi 'substance' atau 'isinya' adalah Islamik.

Tetapi kita jangan lupa bahawa semasa Bro Anwar bergelumang dalam selut Umno yang penuh kebusukan, bukankah dia juga tergila-gila dengan 'form' seperti 'Universiti Islam Antarabangsa' dan 'Bank Islam'. Kalau dia konsisten dengan kata-katanya, tak perlu dia menyokong penggunaan perkataan 'Islam' kepada Universiti dan Bank, kerana, yang penting ialah 'substance'!

Dan teman percaya, dia masih tetap dengan pendiriannya bahawa soal keadilan, korupsi, ketelusan mengurus negara dan sebagainya adalah lebih penting dari menegakkan sebuah sistem pemerintahan Islam di Malaya.Ucapannya , di Indonesia baru-baru ini, bahawa negara sekular juga boleh melahirkan insan yang bertakwa jelas membuktikan dia tidak senada dengan inti pati perjuangan Pas untuk menegakkan sebuah negara Islam bagi merintis jalan ke arah melaksanakan syariat Islam.

Bila Ustaz Nasaruddin Mad Isa menerangkan sebagaimana yang teman tonton, dalam TV PAS , bahawa Pas kini kurang atau tidak akan bercakap tentang Negara Islam, kerana Pas kini lebih pentingkan soal 'substance' seperti isu kezaliman kerajaan, ketidakadilan, teman tertanya-tanya adakah ini petanda pengaruh Anwar yang yang mengkagumi ketokohan Gus Dur sebagai tempat rujukan Islamlib di Indonesia mula menyerap dalam Pas?

Ataupun mungkinkah ini cuma satu strategi untuk memancing undi orang bukan Islam dan orang Islam yang berfikiran sekular dalam menghadapi pilihanraya akan datang ?. Atau ianya telah menjadi pendekatan berdasarkan realiti semasa bahawa menjaja perjuangan ke arah penubuhan negara Islam yang tidak akan membantu Pas melonjak ke arah memenangi Pilihanraya Umum nanti?

Teman mungkin boleh menerima pendekatan Pas atau pendekatan Ustaz Nasaruddin saja , tetapi siapakah boleh merehatkan otak teman untuk terus berfikir:"Kalaulah ini wajah pendekatan Pas yang terkini, apa bezanya Umno, PKR dan Pas?" . Dan bolehkah pemimpin Pas menahan teman untuk berkata bahawa pendekatan ini akan menjadikan Pas seperti Muhamadiyyah dan Nahdatul Ulama di Indonesia yang kini boleh menerima Indonesia sebagai sebuah negara sekular dan pelaksanaan syariat terbatas dalam soal ibadat personal dan munakahat?.

Maafkan teman kalau telah tersalah mengerti dan kurang memahami maksud Ustaz Nasaruddin yang teman kagumi kerana ilmu dan perjuangannya.

Dan teman sudah mula faham keadaan sebenarnya bila teman tak dapat membeli buku yang ditulis oleh Dr Azhar? berkenaan dengan konsep Negara Islam , apabila kakitangan kedai Nufair di Jalan Pahang berkata :" Buku itu telah diiklankan untuk jualan, tetapi atas arahan Ustaz Nasaruddin buku tersebut tidak boleh dijual sehingga selesai pilihanraya".

Semoga pendekatan baru Pas seperti yang diperjelaskan Ustaz tidak melemahkan perjuangan teman dan ahli-ahli yang lain untuk terus bersama dengan Pas. Teman mungkin terlalu idealistik , apatah lagi terpengaruh dengan perjuangan Imam Khomeni sejak tahun 1979.

Maafkan teman sekali lagi , kalau posting kali ini kedengaran terlalu bodoh! Orang tua bodoh ini, tetap merasakan perlu sebuah negara Islam dibentuk di Malaya ini, bagi membolehkan syariat Islam berjalan dalam masyarakat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS! Masakan sebuah negara sekular boleh membenarkan perlaksanaan Syariat Islam.

Atau kalau susah sangat, iktiraf sahaja negara ini sebagai sebuah negara Islam sebagaimana yang dicanang oleh pemimpin-pemimpin UMNO! Dengan berbuat demikian , teman akan dapat lihat dengan jelas arah tuju perjuangan Pas dan boleh mencadangkan apa yang perlu dibuat seterusnya !

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO & PAS sebenarnya mempunyai piller masing2. Piller UMNO adalah bangsa. Piler PAS pula adalah agama.

Untuk menguatkan piller masing-masing, salah satu pendekatannya melemahkan piller lawan.

Untuk menguatkan UMNO, patut kene mencuri piller PAS. Lahirlah pelbagai makna - Islam Hadhari dll.

Terbaru AAB al-Koridori!

PAS pun seharusnya menilai piller bangsa yang asasinya milik UMNO. Rapuh sebenarnya UMNO. Tinggal PAS aje yang xfaham2...