Kalau kita nak bicara tentang sejauh mana kesan yang boleh diraih daripada gelombang kuning,nescaya muncul seribu satu pendapat. Setiap pendapat itu boleh jadi berdasarkan analisa yang mendalam atau sekadar pendapat yang simplistik.
Ada setengah pejuang Islam, yang mengatakan demonstrasi jalanan tidak akan mencapai kemenangan kerana Rasulullah S.A.W sendiri tidak pernah memilih jalan sebegini.Teman tak akan membantah kerana ada unsur kebenarannya. Namun, perlu diingat Rasulullah S.A.W dan para sahabat tidak pernah berjuang melalui demokrasi. Perjuangan baginda adalah bermula dengan seruan dakwah kepada tauhid murni. Dan selepas 13 tahun baginda berdakwah yang selalu disebut marhalah makiyyah, maka barulah terbina sebuah negara yang berasaskan sahifah Madinah. Dan kita akan jadi hampa, kalau kita mahu mencari istilah negara Islam dalam sahifah Madinah, kerana memang tidak disebut. Tetapi Madinah diiktiraf oleh ulamak secara ijmak ,sebagai negara Islam yang pertama.
Persoalannya,mengapa Pas dan terdapat banyak gerakan Islam lainnya, didunia ini memilih jalan demokrasi untuk memperjuangkan Islam? Jawapannya kerana terdapat sebahagian ulamak yang mempunyai otoriti, telah berijtihad membolehkan pejuang Islam mengunakan wadah dan sistem demokrasi bagi mencapai matlamat perjuangan Islam.Memang terdapat sebahagian ulamak yang menolak wadah demokrasi,namun perlu kita ketahui persoalan ini adalah termasuk dalam bab ijtihadiah.Jangan kita perbesarkan perbedaan pendapat di kalangan Ulamak. Ianya tidak akan membawa kita kemana-mana.
Apa yang penting, Pas dan parti pembangkang yang lain buat masa kini sedang berhadapan dengan sistem demokrasi yang telah dipincangkan oleh BN bagi kelangsungan hayat kekuasaan mereka di negara ini.
Entah berapa ratus kali Pas dan parti pembangkang telah menyuarakan tuntutan demi tuntutan bagi membaiki kebobrokan sistem pilihanraya ,yang merupakan salah satu komponen penting dalam pengertian demokrasi yang sebenarnya.Tetapi suara Pas dan parti pembangkang yang lain ,tidak berapa dipedulikan. Jadi gelombang kuning adalah manifestasi dari tuntutan yang dipandang sepi oleh kerajaan dan SPR.
Juga, dipersoalkan tentang peranan Yang DiPertuan Agung dan Raja-raja Melayu, yang dikatakan tidak akan membantu perjuangan gelombang kuning. Raja-raja Melayu dikatakan telah tenggelam dalam kemewahan yang dihidangkan oleh kerajaan BN dan dengan demikian persoalan rakyat bukan persoalan besar buat mereka. Mungkin ada segelintir raja-raja Melayu yang tidak mahu masuk campur dalam urusan sebegini. Namun, adalah satu kesimpulan yang silap, kalau kita menganggap kesemua raja-raja tidak ambil kisah. Mereka juga ada maruah dan tanggungjawab. Mereka juga mahu membela rakyat. Dan semanggat serta kesedaran untuk membela rakyat yang didera dan ditindas ,lahir dan batin oleh kerajaan BN akan lebih meningkat dikalangan raja-raja Melayu sekiranya, rakyat menunjukkan sokongan yang tak berbelah bahagi terhadap institusi beraja di negara ini.
Kalau terdapat dikalangan kita masih bersikap skeptikal dan pesimistik dalam memohon pertolongan dari raja-raja Melayu dalam pelbagai isu yang melibatkan rakyat terbanyak, adakah sikap itu boleh membantu menjadikan pilihanraya umum akan datang lebih telus dan adil dari PRU tahun 2004? Tidakkah bodoh namanya, kalau Pas dan parti pembangkang yang lain, terjun dalam kancah pilihanraya yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk penipuan?
Terdapat juga rungutan , kalau berlaku kematian atau kecederaan dikalangan demonstrator akibat keganasan polis, adakah parti politik pembangkang akan tampil membela mereka?. Jawapannya ,insyaallah, setakat yang termampu. Tetapi perlu diingat, perjuangan memerlukan pengorbanan. Kita percaya para peserta gelombang kuning takkan sanggup turun dijalanraya kalau mereka tidak berani menanggung risiko. Mereka tahu harga yang terpaksa dibayar untuk sesuatu perjuangan.Kalau ada yang takut,berbanggalah menjadi penulis blog sahaja dan memperolehi 'counter hit'yang tinggi.Apa pun , menulis di blog pun, silap hari bulan boleh didakwa atas beberapa kesalahan yang tulin atau direka!Bukankah Malaya adalah 'bolehland'?
Dan ada yang berpendapat bahawa demonstrasi jalanraya pada 3 hari lepas, tidak akan dapat menjatuhkan kerajaan BN seperti yang berlaku di Filipina dan Indonesia.Soalnya,gelombang kuning hanya menuntut PRU yang adil dan telus. Tidak ada dalam senarai BERSIH , untuk menumbangkan kerajaan BN melalui demonstrasi jalanan.Mengapakah isu yang semudah ini, sewenangnya dibuat andaian yang melulu!Tak salah untuk kita berfikir, tapi jangan terperangkap dengan pemikiran yang kacau bilau.
Tulisan ini, cuma sekadar keluhan dan pendapat teman terhadap suara-suara yang mempersoalkan tentang keberkesanan gelombangan kuning dan memandang rendah terhadap peranan raja-raja Melayu. Kalau tak bersetuju, tak mengapa.Teman tak ingin menjadi seorang yang fanatik dengan pendapat sendiri. Pendapat teman mungkin lemah dan dangkal. Teman bukan maksum. Dan lantaran itu, teman meraikan perbedaan pendapat orang lain.Cumanya, teman akan sanggah pendapat yang teman fikir tak berapa kena bukan dengan niat untuk bermusuh dikalangan perjuang Islam, tetapi membantu kawan-kawan melihat dari perspektif yang teman rasa lebih baik dalam keadaan sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan