Khamis, 16 Ogos 2007

Bapa Isteri Meninggal Dunia

Lebih kurang jam 12.45 malam ,teman telah mendapat SMS dari anak bongsu teman, bahawa Tok Wannya di Balik Pulau ,Pulau Pinang , yang juga bapa isteri teman dan secara otomatis bapa mertua teman, telah dijemput oleh Allah mengadapNya.

Dalam sebuah novel yang pernah teman baca tak lebih 20 tahun dahulu, bertajuk 'Ziarah' yang kalau tak salah ditulis oleh Putu Wijaya seorang penulis Indonesia, watak 'aku' tak tahu samada mahu menanggis atau ketawa apabila mendengar berita kematian ibunya. Dan yang lucunya , akhirnya watak 'aku'cuba melawan kebiasaan dengan mengetuk meja sambil menyanyi.Dan ketawa.

Teman tidak seperti watak 'aku' dalam novel 'Ziarah' bila mendapat berita tentang kematian seorang bapa mertua yang soleh. Terasa juga kepiluan menusuk hati sambil teman mengucapkan innalillah waina ilahi rajiun(ejaan rumi tak pernah dapat menyebut ayat al quran dengan betul). Terbayang wajah arwah yang jernih dan tenang. Semoga arwah bapa mertua teman akan diberi keampunan oleh Rabbul Jalil dan rohnya dikumpulkan bersama hamba-hamba Allah yang dirahmati. Amin.

Semasa emak mertua teman meninggal dunia 8 tahun yang lalu dan walaupun teman telah jatuh sakitketika itu , teman gagahi juga balik ikut isteri ke Pulau Pinang yang memandu kereta.Tetapi kali ini teman dah tak sanggup meredah perjalanan yang jauh. Badan teman cukup lemah dan cepat letih. Cukuplah isteri dan anak-anak mewakili teman yang sedang sakit ini menziarahi arwah sewaktu dia mengalami 'coma'. Dan dapat teman rasa , kembara teman di muka bumi ini pun , sedang menghampiri garis penamat. Namun, teman tak pernah jemu memohon pada Pemilik Alam maya ini, supaya usia teman dipanjangkan. Kalau diizinkan oleh Allah, teman mahu nenggok anak-anak teman berumah tangga dan menjadi pejuang Islam yang sejati.Amin.

Sekiranya kawan-kawan yang pernah melawat blog teman, mendapati blog teman ini tidak dikemaskinikan dalam tempoh melebihi sebulan , mungkin masa itu jazad teman sedang dijamah oleh bumi.

Dan posting hari ini, selain merekodkan berita kematian bapa mertua teman, ianya cuba menghantar mesej, bahawa teman masih bernafas lagi walaupun kesakitan yang sedang teman alami ini amat melelahkan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Akhi, Kematian itu adalah benar. Semoga kita dapat bersua suatu hari.

Syair arab,

Jangan diucap selamat tinggal,
Ucapkanlah sehingga berjumpa lagi,
Jika tidak dibumi tuhan,
InsyaAllah diakhirat nanti.


P/s: lantik lah anak-anak sebagai waris blog ini, supaya kami sentiasa dapat berita 'terkini'

sheikh teluk intan berkata...

salam,
Sudah dilantik. Terima kasih kerana cadangan akhi