Ahad, 24 Jun 2007

Beberapa Soalan Untuk Ustaz Mohd Shauki

Baru sekejab tadi teman baca tulisan Ustaz Mohd Shauki Abd Majid, Penolong Pengarah Yadim, di ruangan Bicara Agama dalam Utusan Malaysia Online. Teman suka baca tulisan beliau dan jarang teman tak baca pada hari minggu. Tajuk tulisannya juga agak menarik iaitu 'Kewajiban Mentaati Umarak'.

Dalam posting kali ini teman bukanlah hendak membantah atau mengkritik tulisan beliau.Siapalah teman nak membantah tulisan beliau, kerana teman ini hanya seorang muslim yang tak pernah belajar agama secara formal. Cuma teman nak bertanya beberapa soalan dan sudilah apakiranya Ustaz Mohd Shauki Abd Majid atau sesiapa sahaja menjelaskan beberapa tandatanya yang menjentik minda teman.

Dalam tulisan Ustaz Shauki beliau telah mengatakan "para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu."

Dan seterusnya beliau mengatakan bahawa"Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibai‘at oleh mereka. Ini merupakan kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan bai‘at kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa meninggal tanpa ikatan bai‘at, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah (riwayat Muslim).

Soalan teman, kalau setiap orang wajib taat pada pemimpin yang berkuasa dan wajib dibai'at kerana itu merupakan kewajipan syariat, maka bagaimana pula keadaannya apabila rakyat mahu supaya ditegakkan sistem perundangan Islam secara total, tetapi pemimpin negara masih enggan melaksanakannya dengan pelbagai alasan yang senada dengan hujah orang bukan Islam?. Adakah rakyat yang mahukan syariat Islam dilaksanakan sepenuhnya, berdosa kerana menentang pemimpin yang sedemikian?

Dan penentangan rakyat bukan melalui senjata tetapi melalui demokrasi iaitu secara pilihanraya supaya pemimpin-pemimpin yang enggan melaksanakan syariat Allah dapat dijatuhkan secara terhormat dengan tujuan menaikkan pemimpin-pemimpin yang ikhlas hendak menegakkan syariat Allah secara menyeluruh .


Soalan lain yang berkaitan dengan soalan di atas , siapakah yang lebih layak mati seperti matinya seseorang itu dalam keadaan jahiliyah? Adakah pemimpin yang enggan atau rakyat yang menentang pemimpin yang enggan untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh?


Sebelum soalan seterusnya teman kemukakan, teman bersetuju bahawa pemimpin bukan maksum dan perlu diberi nasihat sebagaimana kata ustaz "Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat."

Ustaz Shauki seterusnya secara jelas menjelaskan mekanisme yang dibenarkan syariat apabila beliau menulis seterusnya : "
Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan.Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri (riwayat Tarmizi)".

Teman bukan hendak pertikai hadis-hadis yang di kemukakan oleh Ustaz Shauki dalam tulisannya. Tambahan pula teman amat tidak layak. Namun ianya tidak boleh menahan teman untuk bertanya adakah maksud hadis hadis itu sesuai ditafsirkan secara longgar dan dikaitkan dalam kerangka waktu kini dimana kebanyakkan negara umat Islam , termasuk Malaysia bukanlah diperintah berdasarkan sistem pemerintahan Islam.? Bukankah latarbelakang atau asbab wurud hadis-hadis perlu diambilkira sebelum sesuatu kesimpulan dibuat?

Sehubungan dengan hadis yang dikemukan oleh yang mulia Ustaz seperti di atas, bolehkah dalam sistem yang ada sekarang setiap umat Islam bila-bila masa boleh berjumpa dengan Perdana Menteri atau menteri-menteri lain dan memegang tangan mereka untuk dibawa ke tempat yang tersembunyi agar nasihat boleh diberi supaya pemimpin yang sedang memegang tampok pemerintahan , meletak Islam di atas Perlembagaan dan jangan merompak harta negara untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni?

Kalau ianya dibolehkan, teman sanggup jadi orang pertama untuk menasihat pemimpin yang zahirnya menunaikan solat tetapi enggan melaksanakan Islam secara menyeluruh. Dan hendaklah diberi jaminan bahawa keselamatan teman adalah terpelihara dan dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan tubuh badan tidak diletupkan!


Sebenarnya banyak perkara yang berkaitan dengan tajuk tulisannya telah dibangkit oleh yang mulia Ustaz Shauki berkaitan dengan tajuk tulisan beliau iaitu kewajipan mentaati Umarak yang disokong oleh Hadis Nabi yang beliau anggap sesuai untuk diketenggahkan dalam usahanya meminta rakyat menyokong dan mempertahankan Umarak yang sedang memimpin negara sekarang. Dia menggunakan apa sahaja hadis Nabi yang boleh digunakan secara maksima bagi mempengaruhi pembaca dan teman tak nampak relewan hadis seperti berikut dalam soal yang beliau bangkitkan:
Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya (riwayat muslim)

Teman tertanya-tanya apa tujuan yang mulia Ustaz Shauki membawa hadis seperti di atas. Adakah terdapat rakyat atau pemimpin Pas yang sedang mengangkat senjata untuk memerangi pemimpin/ pemerintah? Maaf ustaz, jangan 'provoke' pejuang Islam di Malaysia. Kalau ikutkan hadis tersebut, pemerintah tidak boleh diperangi selagi mereka menunaikan solat dan kalaulah pemimpin melakukan maksiat , maka tugas umat islam cukup sekadar membenci maksiat yang dilakukan dan ketaatan pada pemimpin yang bermaksiat tidak boleh dilepaskan .

Soalnya apakata kalau pemimpin yang memerintah negara sekarang tetap menunaikan solat tetapi dalam masa yang sama terus mencerca dan menjadi penghalang kepada perjuangan umat untuk menegakkan sistem Islam sepenuhnya di bumi Malaysia ? Bukankah menentang perjuangan umat dalam mengujud sistem Islam secara total , boleh dikatogerikan sebagai maksiat dan jenayah yang teramat besar? Dan apakah umat Islam perlu diam macam setan bisu melihat kemungkaran sebesar itu dan terus bertempik 'kami sokong dan patuh'?

Wahai ustaz yang mulia , ada banyak cara untuk kekal bekerja di Yadim dan dibayar gaji yang lumayan setiap bulan, tetapi cubalah membaca dan memahami kehendak pejuang Islam yang mahukan negara ini dimerdekakan dari kekuasaan pemimpin yang masih sayang dengan sistem tinggalan penjajah.

Untuk makluman yang mulia ustaz, kami tidak ada kepentingan apa-apa selain Islam matlamat kami. Miskipun sebahagian kami tidak sepandai Ustaz, tetapi ketahuilah kami tidak ada kepentingan lain dan sungguh kurang sopan sekali bila ustaz mengatakan"
Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.

Akhir kata maafkan teman kalau beberapa persoalan yang teman bangkitkan yang diselangselikan dengan beberapa pandandagan, membuat hati Ustaz yang mulia terganggu. Maafkanlah dan jangan risau cukup bulan dapat gaji!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Akhi, minta email ana nak pass slide ulasan ucapan dasar presiden. Ada disentuh mengenai sistem hari ini yang hampir sama dengan Firaun-Haman-Qarun. Sila jawap teka-teki ana di blog ana.