Khamis, 16 Ogos 2007

Bapa Isteri Meninggal Dunia

Lebih kurang jam 12.45 malam ,teman telah mendapat SMS dari anak bongsu teman, bahawa Tok Wannya di Balik Pulau ,Pulau Pinang , yang juga bapa isteri teman dan secara otomatis bapa mertua teman, telah dijemput oleh Allah mengadapNya.

Dalam sebuah novel yang pernah teman baca tak lebih 20 tahun dahulu, bertajuk 'Ziarah' yang kalau tak salah ditulis oleh Putu Wijaya seorang penulis Indonesia, watak 'aku' tak tahu samada mahu menanggis atau ketawa apabila mendengar berita kematian ibunya. Dan yang lucunya , akhirnya watak 'aku'cuba melawan kebiasaan dengan mengetuk meja sambil menyanyi.Dan ketawa.

Teman tidak seperti watak 'aku' dalam novel 'Ziarah' bila mendapat berita tentang kematian seorang bapa mertua yang soleh. Terasa juga kepiluan menusuk hati sambil teman mengucapkan innalillah waina ilahi rajiun(ejaan rumi tak pernah dapat menyebut ayat al quran dengan betul). Terbayang wajah arwah yang jernih dan tenang. Semoga arwah bapa mertua teman akan diberi keampunan oleh Rabbul Jalil dan rohnya dikumpulkan bersama hamba-hamba Allah yang dirahmati. Amin.

Semasa emak mertua teman meninggal dunia 8 tahun yang lalu dan walaupun teman telah jatuh sakitketika itu , teman gagahi juga balik ikut isteri ke Pulau Pinang yang memandu kereta.Tetapi kali ini teman dah tak sanggup meredah perjalanan yang jauh. Badan teman cukup lemah dan cepat letih. Cukuplah isteri dan anak-anak mewakili teman yang sedang sakit ini menziarahi arwah sewaktu dia mengalami 'coma'. Dan dapat teman rasa , kembara teman di muka bumi ini pun , sedang menghampiri garis penamat. Namun, teman tak pernah jemu memohon pada Pemilik Alam maya ini, supaya usia teman dipanjangkan. Kalau diizinkan oleh Allah, teman mahu nenggok anak-anak teman berumah tangga dan menjadi pejuang Islam yang sejati.Amin.

Sekiranya kawan-kawan yang pernah melawat blog teman, mendapati blog teman ini tidak dikemaskinikan dalam tempoh melebihi sebulan , mungkin masa itu jazad teman sedang dijamah oleh bumi.

Dan posting hari ini, selain merekodkan berita kematian bapa mertua teman, ianya cuba menghantar mesej, bahawa teman masih bernafas lagi walaupun kesakitan yang sedang teman alami ini amat melelahkan.

Khamis, 9 Ogos 2007

Jumpa Kawan Lama

Dah lama sangat tak tulis. Bukan malas. Terlalu rajin pun bukan. Bila sakit, badan terasa lemah sangat. Masa senggang ,teman paksa diri membaca buku-buku dan baca blog kawan-kawan. Kalau ada sahabat datang rumah dan jemput teman keluar jalan-jalan, teman gagahkan diri. Contohnya semalam, sahabat baik teman bawa teman ke pejabat lama di Banggi. Sempat bersolat di surau dalam kawasan pejabat lama. Kenangan lama semasa bekerja menjelma tanpa dipaksa. Di pejabat lama itu sesungguhnya menyimpan ribuan kenangan.

Yang mengembirakan hati teman, bila dapat jumpa kawan-kawan lama di surau. Hati teman menjadi terharu bercampur gembira, kerana tanpa diduga teman dapat berjumpa dengan jumpa lima orang kawan lama yang bertugas dari Ibu Pejabat . Mereka datang ke pejabat lama teman untuk satu program.

Sudah hampir dua tahun teman tak jumpa mereka selepas teman pilih VSS. Mungkin pada awalnya, mereka hampir tak kenal teman. Bukannya kerana wajah teman dah bertukar jadi monyet(bukankah bloggers sekumpulan monyet?), tetapi rambut teman dah macam mat rock. Kawan-kawan lama pun teman taklah sampai mengutuk teman kerana menyimpan rambut panjang. Dan teman rasa ,rambut teman taklah panjang sangat. Taklah sampai ke tahap menyerupai perempuan. Lagipun janggut yang lebat tumbuh disekitar wajah dan dagu temanpun, jelas membukti bahawa teman jantan sejati.

Buat kawan lama teman diantaranya Haji Wan Mohd Zain, Sairin, Haji Yahya, Haji Lat, Hasnol dan Alias, teman ucapkan selamat meneruskan kerjaya. Berjumpa dengan kalian, sekurang-kurangnya dapat menyambung silaturahim yang hampir 2 tahun terputus. Dan jangan lupa untuk undi Pas dalam Pilihanraya Umum nanti.

Nota: Masa kerja dulu, bila kawan-kawan bertanya teman pangkah parti apa? Teman tak pernah cakap undi adalah rahsia. Secara tegas teman dengan bangganya berkata" Insyallah undi Pas"