Jumaat, 29 Jun 2007

Bukan Najib Razak yang itu tapi Najib yang lain

Kes Altantuya semakin panas bila salah seorang saksi bernama, Burmaa Oyunchimeg yang juga dikenali sebagai Amy, memberitahu mahkamah bahawa Altantuya telah menunjukkan kepadanya sekeping gambar sekembalinya dari Perancis.

Gambar yang yang dimaksud oleh Amy bukan sembarang gambar. Ianya bukan gambar makluk asing yang turun ke bumi. Tetapi ianya adalah gambar yang kemudiannya menjadi isu hangat di mahkamah yang bersidang hari ini. Dalam gambar itu ada muka Razak Baginda , Altantuya dan seorang lagi yang dipercayai pegawai kerajaan Malaysia yang dikatakan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Karpal Singh, peguam pemerhati kepada keluarga Altantuya, terpaksa diperintah supaya duduk diam-diam oleh Hakim Mahkamah Persekutuan bila isu gambar itu cuba dibangkitkan oleh beliau. Sebelum itu berlaku pertelingkahan di antara Timbalan Pendakwa Raya dan Karpal Singh berhubungan dengan isu gambar tersebut. Sahabat-sahabat boleh baca kes terkini pembunuhan Altantuya di klpos.com. , mStaronline, dan beberapa sumber lain.

Teman cuba untuk bersangka baik bahawa gambar yang dikatakan gambar Najib Tun Razak, TPM , adalah gambar orang lain tetapi namanya sama dengan nama , TPM kesayangan teman. Kalau boleh teman tak mahu Tok Najib Tun Razak ,TPM yang bibirnya macam bergincu dan kulitnya pula putih kemerahan, dikaitkan walaupun sekelumit dengan Altantuya ,wanita Mongolia yang mati berkecai akibat diletupkan dengan bom C4 pada tahun lepas.

Masakan teman boleh buat-buat lupa semasa Pilihanraya Kecil di Ijok sedikit waktu dulu, bahawa Najib Tun Razak sendiri telah membuat pengakuan yang dia tak pernah kenal dan tak ada kaitan dengan Altantuya . Dia bercakap dengan bersaksikan Allah. Pengakuan dengan Allah sebagai saksi bukan benda yang boleh dibuat secara bermain-main. Dan selanjutnya beliau berkata bahawa Pak Lah pun tahu dia berada dipihak yang benar.

Lagipun kenyataan Amy di Mahkamah , teman kira tidak cukup kuat kerana gambar yang berkaitan tidak pula dikemukakan sebagai bahan bukti. Dan kalaulah benar gambar tersebut terdapat gambar Najib Razak,mungkin orang itu pelanduk dua serupa: serupa dari segi wajah serta saiz tubuhnya dan secara kebetulan nama keduanya adalah sama.

Teman tak lupa pada cerita orang tua-tua dulu, bahawa dalam dunia ini, setiap kita mempunyai tujuh orang yang sama wajah seperti kita. Dan mungkin yang dilihat oleh si Amy adalah salah seorang dari tujuh penduduk dunia yang wajahnya sama seperti Najib TPM yang teman sanjungi, tetapi tidak dapat mengatasi sanjungan teman terhadap Tok Guru Haji Abdul Hadi.

Dan teman tak hairan kalau ada orang berkata , di rumah Najib Razak TPM yang teman hormati, pernah kelihatan dua orang seperti Najib. Keadaan ini pun boleh berlaku bila Najib Tun Razak TPM dan Najib Tun Razak yang bukan TPM tinggal sebumbung , di rumah yang sama atas sebab-sebab yang sukar untuk dihuraikan. Ada kemungkinan mereka telah saling mengenal antara satu sama lain sejak lahir lagi. Tak ada sesuatu pun yang mustahil dalam era glokal ini!

Mungkinkah isu gambar tersebut merupakah sebahagian permainan konspirasi politik pihak tertentu untuk menjahanamkan impian Najib Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam selepas Pak Lah turun tahta 100 tahun lagi?

Sebagai seorang warganegara Malayisa yang baik dan prihatin, teman berpendapat adalah tidak sopan bagi sesiapa untuk berkonspirasi menjatuhkan Najib Tun Razak yang ikhlas berjuang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Teman menjangkakan Najib Tun Razak pun tak kurang hebat untuk membangun negara dengan pelbagai slogan yang lebih hebat bunyinya. Dan teman yakin dia pun mampu memperkenalkan versi agama Islam yang lebih terkini dan 'trendy' yang mungkin dinamakan ' Islam Glokalri' bagi mengantikan Islam Hadhari yang dipelupori dan dicanang siang dan malam oleh Pak Lah.

Seorang sahabat baik teman baru sekejab tadi bertanya , sekiranya gambar yang telah pun menjadi isu itu, adalah sah 100% , gambar Datuk Seri Najib Tun Razak dan ianya bukan suatu konspirasi, adakah teman akan terus mengatakan TPM yang sekor ini, tidak pernah kenal secara peribadi mendiang , Altantuya , demi meneruskan sikap teman yang suka bersangka baik ?.

Seolah-olah terencat akal teman sekejap mencari jawapan yang munasabah kepada pertanyaan seorang sahabat yang juga amat di kenali sebagai warganegara Malaysia yang baik . Otak teman kemudian teraba-raba mencari jawapan yang sedikitpun , tidak akan menjejaskan kewibawaan teman sebagai seorang pejuang kebenaran!

Akhirnya dengan suara yang perlahan dan berpura-pura sedih,teman pun berkata " sekiranya sah, gambar yang telah menjadi isu di Mahkamah tadi adalah gambar Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri bersama Razak Baginda dan Altantuya, maka jelaslah dia seorang pemimpin penipu dan pembohong, seperti kebanyakan pemimpin UMNO, MIC, GERAKAN dan sekutu yang lain dalam Barisan Nasional".

Sahabat baik teman , sekadar tersenyum mendengar jawapan teman dan kemudian berkata seolah menyindir" jawapan yop, seakan senada benor dengan seorang penulis blog yang mengulas isu gambar ini di blognya yang aku tak berapa ingat nama blognya. Yang aku ingat ada perkataan.... tarik dalam blognya.......entahlah , tiba-tiba hari ini aku jadi amat pelupa".

Khamis, 28 Jun 2007

Kisah Murtad Lagi

Malam tadi adik ipar teman datang ziarah. Banyak cerita , keluar dari mulutnya. Semua ceritanya teman dengar dengan teliti tanpa menyampuk. Tapi bila dia cerita tentang seorang pegawai kanan di Kementerian Pelajaran Malaysia murtad teman rasa kesal dan marah.

Mengikut ceritanya pegawai kanan ini , telah diarahkan melakukan tugasan ke Sabah. Dipendikkan cerita di Sabah dia telah jatuh hati dengan seorang gadis Khadazan yang beragama Kristian. Dan cintanya berbalas. Gadis tersebut sudi berkahwin dengan pegawai berkenaan dengan syarat pegawai itu meninggalkan Islam dan menganut Ugama kristian. Entah apa yang merasuk kepala otak dan hati pegawai itu, dia bersetuju dengan syarat yang diberi. Maka berkahwinlah kedua mereka.

Bila tugasan di Sabah selesai, pegawai itu balik ke Semenanjung bersama isteri barunya dan dia memberitahu Isteri tuanya , seorang Guru di Puchong , Selangor dan anak-anaknya bahawa dia telah berkahwin lagi satu dan telah bertukar agama.

Isteri tua dan anak-anaknya terkejut. Mereka tidak menyangka seorang suami dan ayah yang selama ini taat beragama, boleh menukar agama dengan begitu mudah dan tak menunjukkan sedikitpun rasa bersalah. Malah berbangga dengan agama dan isteri barunya.

Maka diringkaskan cerita, pegawai kanan itu meninggalkan rumah tetapi cuba mengambil anak-anaknya untuk tinggal dengannya. Tetapi berkat didikan agama anak-anaknya, termasuk yang sedang belajar tahfiz, mereka sepakat untuk tetap kekal bersama ibu mereka. Dan mengikut cerita adik ipar teman, bekas isteri pegawai itu telah membawa kes ini ke pengetahuan Kementerian dan pejabat agama , tetapi belum ada tindakan dibuat. Malah diceritakan, bahawa pihak Kementerian Pelajaran berusaha supaya kes murtad ini tidak diketahui . Entahlah, bolehkah teman percaya bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia cuba menyembunyikan kes murtad salah seorang pegawai kanannya?

Dan adik ipar teman seterusnya bercerita , "sebagai ikthar yang terakhir bekas isteri pegawai berkenaan telah menemui seorang wakil rakyat kawasan itu, memohon bantuan dalam bentuk kewangan untuk menunaikan haji supaya dia boleh berdoa di depan Kaabah agar bekas suaminya insaf dan kembali ke pangkuan jalan".

Sebak hati teman mendengar cerita itu. Dan kesebakkan hati semakin menjadi-jadi, bila adik ipar teman bercerita lagi, bahawa adik kepada isterinya, seorang gadis remaja yang baru menamatkan pengajian di peringkat Diploma , di salah sebuah cawangan UITM di Perak, turut didakyahkan oleh sekumpulan pelajar perempuan berbangsa Melayu yang lengkap bertudung labuh, supaya datang ke sebuah gereja untuk mendengar ceramah tentang kehebatan ugama kristian.

Sesungguhnya, kes murtad orang Melayu yang banyak diperkatakan oleh Mufti Perak dan orang-orang Islam yang prihatin, bukan kisah dongeng. Ianya benar berlaku. Soalnya mengapa ada orang Melayu/Islam yang sanggup murtad? Jawaban teman secara ringkas, diantaranya adalah seperti berikut:-

1. Pendakyah kristian semakin berani walaupun mereka tahu mendakyah ugama lain kepada penganut ugama Islam adalah melanggar perundangan negara.
2. Terdapat segelinir orang Melayu/Islam begitu mudah terpengaruh dengan ugama kristian kerana agama sesat ini cukup bertoleransi dengan kejahatan dan maksiat. Perkara-perkara yang haram di sisi Islam, menjadi halal di sisi ugama kristian. Amalan ugama kritian adalah semudah memetik hujung jari ditanggan.
3. Mengikut kepercayaan Kristian ,setiap orang yang walaupun dia bapak kepada bapak samseng , dijamin seratus peratus akan terus masuk syurga , asalkan percaya bahawa Jesus anak tuhan, yang diturunkan ke dunia untuk menebus dosa seluruh manusia yang berpunca dari dosa Nabi Adam.
4. Pendakyah kristiani, memancing mengunakan harta dan wang memerangkap umat Islam yang dalam kesempitan hidup , masuk dengan sukarela ke dalam ugama sesat ini.
5. Sikap lunak kerajaan menjadikan tugas mendakyah ugama yang percaya tuhan itu tiga dalam satu amat menyelesakan bagai minum kopi sambil menghisap rokok di waktu petang!
6. Tahap kepedulian umat Melayu/Islam terhadap islam semakin merosot kerana dibuai oleh keseronokan duniawi yang sementara ini.

Dan dikesempatan ini, teman ingin bertanya kepada pihak polis, apa jadi dengan kes Raja Sherin(?) yang pernah ditahan bagi siasatan isu pembatisan remaja Islam di Gereja Jalan Selibin,Ipoh ,Perak tak lama dulu? Dah tak dengar bunyi!

Teman juga tak lupa nak bertanya pada Jakim, dan semua jabatan agama di seluruh negara, adakah gejala murtad yang sedang melanda umat ini, adalah cerita donggeng dan tahyul yang sengaja diperbesarkan dan tidak sepenting menangkap pendakwah Islam yang berceramah tanpa tauliah!?

Jangan marah teman bertanya pada pihak Polis dan pihak yang menjaga urusan agama, kerana teman sejak lahir lagi adalah warga negara Malaysia yang cukup prihatin. Teman percaya, Pak Lah suka rakyat seperti teman , bertanya berkaitan dengan soal agama dan umat Islam kerana dia adalah satu-satunya Imam Besar Islam Hadhari yang tersohor di atas muka bumi ini.

Teman sedang membayangkan Pak Lah cukup gembira dengan pertanyaan teman sehingga dia bertepuk tangan dan bersorak dengan Isteri barunya.

Rabu, 27 Jun 2007

Teman Tak Berapa Larat Nak Tulis:Sakit

Kalau mampu teman nak tulis setiap hari. Tapi apakan daya, dua tiga hari ni, seluruh tubuh lemah longlai menanggung kesakitan. Semoga Allah beri kekuatan buat teman menjalani ujian hidup ini.

Walaupun tak larat nak tulis, tapi teman suka baca blog-blog sahabat yang tak kenal teman seperti Roslan SMS, Abu Fatihah:org kg teman (http://blog.ahmadriyadh.com/) ,Penarik Beca, Menj,Mahaguru58 dan beberapa blog yang lainnya. Selain baca blog, teman jarang tinggal membaca Harakahdaily, Tranungkite, Detikdaily, Klpost, Malaysia Today dan beberapa laman web Islam di Iran, di USA, di Indonesia dan lain-lainya.

Diantara blog yang mahu tak mahu mesti teman baca diantaranya ialah blog 'penarik beca'. Teman kenal tuan empunya blog ini. Namanya Bakar Haq. Kalau dia jumpa teman, teman rasa dia ingat lagi pada teman walaupun terlalu lama kami tak berjumpa. Teman rindu padanya.

Tulisan Bakaq Hak ada ketika sedikit kasar dan tegas. Dan bacaan politiknya tajam dan ada ketikanya menimbulkan kontroversi. Itu yang membuat teman suka membacanya. Teman tak hairan, kerana watak dia memang begitu.Mungkin sejak azali lagi. Tetapi tidaklah sepanjang 24 jam dia kasar dan tegas. Siapa yang mengenalinya ,akan tahu bahawa sesungguhnya Bakaq Haq juga seorang yang romantis dan penyayang. Kenalilah beliau, pasti kita akan sayang padanya. Dalam dirinya mengalir darah seorang pencinta Ahlul Bait. Pencinta ahlul bait tak semestinya penganut Shiah Ghulat. Imam Shafie (semoga Allah meramatinya) pun mencintai Ahlul Bait. Teman pun mencintai Ahlul Bait.

Nota: mungkin Bakar Haq (http://www.penarikbeca.blogspot.com/) tak tahu keujudan blog teman yang tak ada klas.Tapi kalaulah ditakdirkan dia tersesat ke blog teman ini, teman ingin ambil kesempatan untuk mohon maaf , kalaulah terkasar bahasa. Dan kalau ada masa datanglah ke Teluk Intan, kerana disini ada beca lagi!

Oleh kerana teman dah tersentuh soal Ahlul Bait teman nak ulas sikit tulisan Dr Asri.

Dalam tulisannya minggu lepas di ruangan agama, Utusan Malaysia online, Dr Asri, Mufti Perlis (semoga Allah Kasih padanya) mengatakan beliau suka filem Iran.Katanya filem Iran ada kualiti dan sarat dengan isu kemanusiaan. Tetapi pernahkah Dr Asri terfikir, beberapa buah filem Iran yang hebat itu, kelahirannya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pemikiran dan teologi Ahlul Bait ?

Teman pernah baca buku Ulama Iran tentang ekonomi Islam, hebat banggat! Buku-buku tentang ekonomi Islam yang ditulis bukannya 'superficial' tapi sarat dengan isi yang boleh 'operationalised' (maaf, teman kalau boleh nak elak guna bahasa Inggeris kerana tak suka campur aduk Bahasa Melayu dan Inggeris). Ini baru buku tentang ekonomi Islam. Kalaulah sahabat-sahabat rajin membaca , tolong baca buku-buku tulisan Ulamak Iran yang membelasah setiap faham sesat tokoh pemikir dunia barat, secara ilmiah. Tapi jangan pula tak baca kitab-kitab ulamak Sunni yang klasikal dan kontemporari , kerana tak juga kurang hebatnya seperti tulisan Imam Syafie, Imam Malik , Ibnu Taimiyyah ,Syed Qutub, Maulana Madudi, Hassan Al Banna, Dr Yusuf Qardawi, Dr Sheikh Muhammad Al Ghazali dan banyak lagi.

Tolong jangan tuduh teman, syiah. Teman pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sangat mencintai keluarga Rasulullah S.A.W, sebagaimana Iman Shafie r.h , mencintai Ahlul Bait.

Teman tak suka pada polemik mazhab khususnya dalam soal furuk, macam setengah pihak kerana tak ada kesudahannya. Banyak kerja lain yang lebih berfaedah boleh dibuat. Moga Dr Asri dan pengikutnya faham maksud teman!

Lebih baik cari jalan hancurkan musuh . Dan musuh teman jelas, iaitu pemimpin yang korup dan pengikut taughut, khusus Kerajaan Amerika dan suku sakatnya, termasuk kerajaan Barisan Nasional!

Ahad, 24 Jun 2007

Beberapa Soalan Untuk Ustaz Mohd Shauki

Baru sekejab tadi teman baca tulisan Ustaz Mohd Shauki Abd Majid, Penolong Pengarah Yadim, di ruangan Bicara Agama dalam Utusan Malaysia Online. Teman suka baca tulisan beliau dan jarang teman tak baca pada hari minggu. Tajuk tulisannya juga agak menarik iaitu 'Kewajiban Mentaati Umarak'.

Dalam posting kali ini teman bukanlah hendak membantah atau mengkritik tulisan beliau.Siapalah teman nak membantah tulisan beliau, kerana teman ini hanya seorang muslim yang tak pernah belajar agama secara formal. Cuma teman nak bertanya beberapa soalan dan sudilah apakiranya Ustaz Mohd Shauki Abd Majid atau sesiapa sahaja menjelaskan beberapa tandatanya yang menjentik minda teman.

Dalam tulisan Ustaz Shauki beliau telah mengatakan "para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu."

Dan seterusnya beliau mengatakan bahawa"Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa (pemerintah) berhak dibai‘at oleh mereka. Ini merupakan kewajipan syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan bai‘at kepada penguasa di negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa meninggal tanpa ikatan bai‘at, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah (riwayat Muslim).

Soalan teman, kalau setiap orang wajib taat pada pemimpin yang berkuasa dan wajib dibai'at kerana itu merupakan kewajipan syariat, maka bagaimana pula keadaannya apabila rakyat mahu supaya ditegakkan sistem perundangan Islam secara total, tetapi pemimpin negara masih enggan melaksanakannya dengan pelbagai alasan yang senada dengan hujah orang bukan Islam?. Adakah rakyat yang mahukan syariat Islam dilaksanakan sepenuhnya, berdosa kerana menentang pemimpin yang sedemikian?

Dan penentangan rakyat bukan melalui senjata tetapi melalui demokrasi iaitu secara pilihanraya supaya pemimpin-pemimpin yang enggan melaksanakan syariat Allah dapat dijatuhkan secara terhormat dengan tujuan menaikkan pemimpin-pemimpin yang ikhlas hendak menegakkan syariat Allah secara menyeluruh .


Soalan lain yang berkaitan dengan soalan di atas , siapakah yang lebih layak mati seperti matinya seseorang itu dalam keadaan jahiliyah? Adakah pemimpin yang enggan atau rakyat yang menentang pemimpin yang enggan untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh?


Sebelum soalan seterusnya teman kemukakan, teman bersetuju bahawa pemimpin bukan maksum dan perlu diberi nasihat sebagaimana kata ustaz "Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat."

Ustaz Shauki seterusnya secara jelas menjelaskan mekanisme yang dibenarkan syariat apabila beliau menulis seterusnya : "
Berhubung perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan.Tetapi hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan tanggungjawabnya sendiri (riwayat Tarmizi)".

Teman bukan hendak pertikai hadis-hadis yang di kemukakan oleh Ustaz Shauki dalam tulisannya. Tambahan pula teman amat tidak layak. Namun ianya tidak boleh menahan teman untuk bertanya adakah maksud hadis hadis itu sesuai ditafsirkan secara longgar dan dikaitkan dalam kerangka waktu kini dimana kebanyakkan negara umat Islam , termasuk Malaysia bukanlah diperintah berdasarkan sistem pemerintahan Islam.? Bukankah latarbelakang atau asbab wurud hadis-hadis perlu diambilkira sebelum sesuatu kesimpulan dibuat?

Sehubungan dengan hadis yang dikemukan oleh yang mulia Ustaz seperti di atas, bolehkah dalam sistem yang ada sekarang setiap umat Islam bila-bila masa boleh berjumpa dengan Perdana Menteri atau menteri-menteri lain dan memegang tangan mereka untuk dibawa ke tempat yang tersembunyi agar nasihat boleh diberi supaya pemimpin yang sedang memegang tampok pemerintahan , meletak Islam di atas Perlembagaan dan jangan merompak harta negara untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni?

Kalau ianya dibolehkan, teman sanggup jadi orang pertama untuk menasihat pemimpin yang zahirnya menunaikan solat tetapi enggan melaksanakan Islam secara menyeluruh. Dan hendaklah diberi jaminan bahawa keselamatan teman adalah terpelihara dan dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan tubuh badan tidak diletupkan!


Sebenarnya banyak perkara yang berkaitan dengan tajuk tulisannya telah dibangkit oleh yang mulia Ustaz Shauki berkaitan dengan tajuk tulisan beliau iaitu kewajipan mentaati Umarak yang disokong oleh Hadis Nabi yang beliau anggap sesuai untuk diketenggahkan dalam usahanya meminta rakyat menyokong dan mempertahankan Umarak yang sedang memimpin negara sekarang. Dia menggunakan apa sahaja hadis Nabi yang boleh digunakan secara maksima bagi mempengaruhi pembaca dan teman tak nampak relewan hadis seperti berikut dalam soal yang beliau bangkitkan:
Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab menerusi sabda baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya (riwayat muslim)

Teman tertanya-tanya apa tujuan yang mulia Ustaz Shauki membawa hadis seperti di atas. Adakah terdapat rakyat atau pemimpin Pas yang sedang mengangkat senjata untuk memerangi pemimpin/ pemerintah? Maaf ustaz, jangan 'provoke' pejuang Islam di Malaysia. Kalau ikutkan hadis tersebut, pemerintah tidak boleh diperangi selagi mereka menunaikan solat dan kalaulah pemimpin melakukan maksiat , maka tugas umat islam cukup sekadar membenci maksiat yang dilakukan dan ketaatan pada pemimpin yang bermaksiat tidak boleh dilepaskan .

Soalnya apakata kalau pemimpin yang memerintah negara sekarang tetap menunaikan solat tetapi dalam masa yang sama terus mencerca dan menjadi penghalang kepada perjuangan umat untuk menegakkan sistem Islam sepenuhnya di bumi Malaysia ? Bukankah menentang perjuangan umat dalam mengujud sistem Islam secara total , boleh dikatogerikan sebagai maksiat dan jenayah yang teramat besar? Dan apakah umat Islam perlu diam macam setan bisu melihat kemungkaran sebesar itu dan terus bertempik 'kami sokong dan patuh'?

Wahai ustaz yang mulia , ada banyak cara untuk kekal bekerja di Yadim dan dibayar gaji yang lumayan setiap bulan, tetapi cubalah membaca dan memahami kehendak pejuang Islam yang mahukan negara ini dimerdekakan dari kekuasaan pemimpin yang masih sayang dengan sistem tinggalan penjajah.

Untuk makluman yang mulia ustaz, kami tidak ada kepentingan apa-apa selain Islam matlamat kami. Miskipun sebahagian kami tidak sepandai Ustaz, tetapi ketahuilah kami tidak ada kepentingan lain dan sungguh kurang sopan sekali bila ustaz mengatakan"
Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.

Akhir kata maafkan teman kalau beberapa persoalan yang teman bangkitkan yang diselangselikan dengan beberapa pandandagan, membuat hati Ustaz yang mulia terganggu. Maafkanlah dan jangan risau cukup bulan dapat gaji!

Sabtu, 23 Jun 2007

Ustaz Fadzil Mohd Noor Dalam Kenangan

Hari ini, genap lima Tahun Ustaz Fadzil Mohd Noor meninggalkan kita. Beliau dijemput oleh Pencipta Alam ke sisiNya pada 23 Jun 2002, lebih kurang jam 10.30 pagi.

Semasa teman diberitahu bahawa Ustaz telah kembali ke rahmatullah oleh seorang kawan melalui telefon, teman tersentak dan terus menanggis teresak-esak bagai seorang anak yang kehilangan ayahnya.

Teman cukup menyayangi Ustaz kerana dia seorang Presiden Pas yang teman anggap seorang pemimpin yang paling terbaik yang pernah dilahirkan oleh Pas. Sehingga kini belum ada yang dapat menandingi kepimpinannya.

Tiga empat kali, teman pernah bersarapan pagi dan tenggahari dengan beliau. Pada pengamatan teman, dia bukan seorang yang cerewet dalam bab makan. Dia boleh makan di restoran dan boleh makan digerai makan. Dan dia juga cepat mesra dengan sesiapa sahaja. Sampai kini, kemesraannya tidak dapat teman lupakan. Selalu bila dia jumpa teman, dia akan tanya "masih kerja di situ lagi ke?". Teman sekadar mengiakan.

Teman juga amat suka cara dia berpidato. Ada orang kata Bro Anwar meniru gaya pidato Ustaz. Pidatonya tidak menjemukan. Ada sahaja isu baru yang beliau bangkitkan bersama hujah yang sukar untuk dipatahkan.

Kalau hendak bercakap tentang Ustaz , memang banyak boleh diperkatakan. Dia hebat semasa hidupnya dan dia tetap hebat selepas ketiadaannya.

Entah bila, seorang yang seumpamanya akan lahir untuk memimpin Pas!

Teman sentiasa berdoa semoga rohnya di rahmati oleh Allah dan ditempatkan bersama roh para Nabi dan Rasul serta pejuang-pejuang Islam yang telah menghadiahkan diri mereka untuk menegakkan kalimahtullah di muka bumi ini . Allahuakbar!

Jumaat, 22 Jun 2007

Kenangan Berserban dan Berjubah Dulu

Semasa teman menyertai Darul Arqam di pertengahan tahun 70an, serban dan jubah adalah pakaian rasmi rasmi. Pergi kemana pun dengan pakaian itu. Tidur pun selalu berjubah dan berserban.

Imam masjid Teluk Intan, Imam Yahya Zikri, pun tak berjubah seperti teman. Allahyarham Tuan Guru Haji Hamdan yang mengajar kitab pun tak berjubah macam teman. Allahyarham Tuan guru Haji Bakri yang mengajar teman di sebuah surau Jalan Batak Rabit, Teluk Intan(dekat kilang mancis api) pun tak pakai jubah macam teman. Yang hairannya teman sedikitpun tak rasa segan dengan tok-tok guru yang mengajar beberapa kitab tetapi tidak berjubah.

Tapi sekarang, bila teman ingat balik kenangan berjubah dan berserban dulu , teman rasa hairan bagaimana teman punya keberanian memakai pakaian yang lazimnya di pakai oleh ulama besar (dalam konteks Malaysia). Sedangkan masa itu, punyalah kuat orang menyindir dan mengutuk anak anak muda yang memakai serban dan berjubah dengan macam-macam label yang menyakitkan hati. Kalau tak sabar memang teman sepak muka penyindir dan kaki kutuk. Tapi teman diajar untuk bersabar.

Mengikut kata pemimpin Darul Arqam, jubah dan serban adalah Sunnah Nabi dan sesiapa yang mempertahankan satu Sunnah Nabi di akhir zaman , maka ianya adalah jihad yang besor. Maka teman rasa, masa itu teman telah melakukan jihad yang besor:Berjubah dan berserban ke hulu ke hilir.

Seingat teman, Ustaz Abdul Hadi masa teman berjubah dulu dia kelihatan bergaya bersongkok dan memakai baju batik. Kalau tak silap , teman pernah tengok gambarnya berpakaian seperti itu dalam akhbar.

Tapi itu kisah dulu. Sudah Hampir tiga dekad .

Selepas dipinggir dan kemudian dipecat oleh Jemaah Darul Arqam kerana kesalahan teman pergi ke Majlis ceramah PAS , teman pun mula buang satu-satu. Mula-mula buang jubah, tetapi memakai serban. Kemudian buang serban, tinggal kopiah putih. Bila masuk Universiti, kopiah putih pun lebuh. Yang tak hilang, ialah semanggat Islam yang lebih membara kerana terpangaruh dengan revolusi Iran. Buku-buku Ustaz Ashaari teman dah tak main. Teman mula layan buku Syed Qutub, Ali Syariati, Imam Khomaini dan buku-buku Ayatullah yang lain.

Kalau masa berjubah dan berserban dulu, teman perjuangkan cili sos, mee, kicap, tauhu dan sebagainya asalkan ada tanda 'buatan AlArqam' . Bila masuk universiti teman tak sabor nak tengok Malaysia jadi sebuah Negara Islam. Maka teman digelor sebagai golongan 'mustaqjilun' oleh setenggah sahabat.

Sekarang, teman dah pencen. Teman mula jarang pakai seluar slacks. Teman lebih selesa berseluar blue jeans. Walaupun teman berkeadaan sakit, teman rasa lebih ranggi memakai blue jeans dan berbaju lenggan pendik. Teman rasa , seolah-olah teman berada bersama dengan pengawal revolusi Islam yang terdiri dari pemuda-pemuda Iran yang menawan kedutaan Amerika di awal zaman revolusi Iran lama dulu. Mereka berseluar blue jeans dan tak berjubah dan berserban.
Dan jangan marah, ada masanya teman rasa kembali muda walaupun seluruh anggota terasa lemah!.

Yang terbaliknya teman yang pernah pakai jubah dan berserban ,sejak kebelakangan ini mula berasa pelik dan hairan melihat segelintir pemimpin dan ahli Pas yang kesana ke sini berjubah dan berserban. Apa yang mereka hendak buktikan? Dan teman, mula bertanya apakah kaitan antara jubah dan serban dalam memperjuangkan Islam?. Kebanyakkan pemimpin gerakan Hamas dan Ikhwan Muslimin pun tak berjubah dan berserban tetapi siang malam berjuang dan diburu musuh.Dan bukankah pejuang-pejuang Pas yang pernah kena ISA pun kebanyakkannya bukan berjubah dan berserban?

Gamaknya fikiran teman terkena sejenis virus , berfikir benda remeh temeh dan tak cukup menerima tarbiyyah haraki?

Khamis, 21 Jun 2007

Apa Nak Jadi Dengan PKR

Baru sebentar tadi teman terbaca dalam klpost bahawa matan Timbalan Presiden PKR Abdul Rahman Osman telah keluar PKR dan memohon untuk menyertai PAS di Kawasan Subang Jaya.

Sebagai ahli Pas teman menyokong kemasukan sesiapa sahaja ke dalam PAS asalkan jujur mahu menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan. Walaupun teman tahu Pas bukannya seratus peratus bersih dari kesilapan,tetapi buat masa ini , Pas yang terbaik.

Tetapi soalnya apa yang dah berlaku dengan PKR? Sudah ramai yang keluar parti. Ada yang kembali masuk ke lubuk asal, UMNO dan tak kurang yang menyertai Pas. Juga terdapat tokoh PKR seperti Ezam, Sheikh Azmi, Dr Mohd Noor Manuti dan yang lain-lain , sudah tidak aktif.

Sepatutnya bila Anwar telah keluar penjara, dan sekarang dah tidak mengajar di Universiti berprestij , samaada di Britain dan di Amerika dan telah diiktiraf sebagai ketua 'de facto' PKR , semakin kompak perjuangan setiap ahli. Tetapi keterbalikan berlaku.

Tidak dinafikan Anwar diantara pemidato politik terbaik di Malaysia dan dia masih boleh dianggap sebagai 'crowd puller', tetapi mengapa dia gagal membendung ahli PKR keluar parti?
Pasti ada masalah yang belum dapat diatasi dalam PKR. Adakah mungkin Anwar terlalu berkuasa dalam PKR sehingga apa yang dia cakap dan lakukan tidak boleh dibantah sehingga bekas pemimpin dan ahli PKR naik bosan dan akhirnya bertindak keluar dari parti atau tidak mahu aktif seperti dulu sebagai tanda protes.?

Apakah benar kata kawan-kawan bahawa amalan lamanya semasa dalam ABIM, iaitu pecah dan perintah telah sebati dan sukar dibuang dan kini diteruskan di dalam PKR?

Teman pernah terbaca sebuah buku yang ditulis oleh seorang sarjana yang ada otoriti dalam ilmu kepimpinan , iaitu Warren Bennis, bahawa pemimpin yang terlalu berkarisma, mempunyai satu kelemahan yang ketara, iaitu hanya percaya pada diri sendiri dan dalam hal ini ,adakah Anwar yang memang tak dinafikan seorang yang punya ciri-ciri karismatik yang tinggi , terjebak dalam kelemahan seperti itu? Sukar untuk teman jawab.

Teman sebenarnya mengkagumi Anwar Ibrahim sejak beliau memimpin ABIM. Tetapi bila dia londehkan prinsip perjuangan Islam hakikiyunnya , dengan menyertai UMNO , teman mula tak berapa hormat padanya. Bila dia di pecat dari UMNO ,dan masuk penjara, teman bersyukur kerana ianya mungkin suatu kifarah atas dosanya meninggalkan perjuangan Islam untuk menyertai UMNO. Dan teman berdoa agar dia insaf dan kembali merangkul perjuangan Islam.Tapi lihatlah apa yang berlaku.......

Beberapa tindakan atau aksinya selepas keluar dari penjara , menjadikan teman bimbang dan binggung. Kalau teman senaraikan , banyak . Tetapi biarlah teman bangkitkan soal yang boleh dianggap remeh. Di antaranya dia melenting bila beberapa orang pemimpin Pas mendengar ceramah Tun Mahathir di Melawati. Orang yang berjiwa besar sepertinya tak sepatut melenting.

Dalam kes pilihanraya kecil Batu Talam, dia dikatakan mempengaruhi pemimpin Pas untuk memboikot pilihanraya kecil itu untuk mengajar SPR supaya lebih adil dan telus tetapi penyokong Pas di peringkat akar umbi menjadi binggung, bila di Ijok PKR boleh pula bertanding. Teman pun turut binggung.

Kemarahan teman pada Anwar secara peribadi semakin meningkat, bila dia membawa orang gila dari Indonesia, iaitu Gus Dur untuk berceramah semasa kongres di Negeri Sembilan baru-baru ini. Macamlah tak ada orang lain yang boleh dijemput berceramah. Teman memang benci sebencinya pada Gus Dur, matan Presiden Indonesia, yang merupakan seorang sarjana Islam dan dia juga adalah cucu dan anak ulama yang pernah memimpin Gerakan Nahdatul Ulama, kerana dia adalah pendokong dan pakar rujuk kepada kelompok aliran Islam Liberal dan Pluralisme agama di Indonesia, terutama bila matinya Nurkholis Majid(Cak Nur).

Suhu kemarahan teman kepada Anwar semakin meningkat, bila dia melantik Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Strategi PKR, sedangkan Saifuddin dikatakan telah kembali ke pangkuan Pas. Teman binggung dan marah betul dengan sikap Anwar yang kurang beretika ini! Mungkin dia belajar dengan Al Gore?

Apapun demi kesepakatan Pas dan PKR, teman minta Anwar perbetulkan masalah dalaman parti kalau ada supaya parti itu lebih bersedia untuk bersama dengan Pas dalam menghadapi Barisan Nasional.

Teman tak mahu ahli Pas rugi tenaga membantu PKR yang lemah dari pelbagai segi, yang ramai orang telah ketahui. Dan teman menasihatkan PKR dan khususnya Bro Anwar , jangan hanya berfikir hendak membolot banyak kerusi untuk bertanding di peringkat Parlimen dan Dun, kalau masih berkeadaan celaru biru . Akibatnya amat buruk iaitu Pas dan PKR tak kemana!

Teman hanya melontar pandangan . Kalau tak setuju nak buat macam mana?

Selasa, 19 Jun 2007

Lantaklah Salman Rushdie Dapat Gelaran 'Sir' Dari Britain

Diantara yang teman sempat baca di Harakahdaily hari ini ialah tentang kenyaataan Sdr Misbahul Munir Hj Masduki, Ketua Penerangan PAS Negeri Perak yang diantaranya berkata,
"Sepatutnya Malaysia negara pertama yang mengutuk keputusan Britain untuk menganugerahkan gelaran `Sir' kepada Salman Rushidie, bukannya Iran kerana Perdana Menteri Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Negara- Negara Islam".

Dan seterusnya saudara teman , Misbahul berkata :

"Britain sengaja mahu mencetuskan kembali kemarahan umat Islam apabila berhasrat menganugerahkan gelaran `Sir' kepada Salman Rushdie..
"Apa jasa yang dibuat oleh Salman hinggakan Britian mahu memberikan penghormatan setinggi itu, tidak ada jasa yang dibuatnya melainkan menghina Islam dan Al-Quran.
"Sekiranya Britain masih mahu juga memberikan pengiktirafan itu bermakna negara itu turut bersekongkol dengan Salman menghina Islam, ini satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam," tegasnya.
Britain tidak sepatutnya memberikan penghormatan kepada Salman yang ternyata telah menghina al-Quran dan Islam kerana tindakan memberikan anugerah itu samalah dengan menghina al-Quran dan Agama Islam , jelasnya.
"Apakah Britain mahu memjadi pembela kepada orang yang telah menghina Islam?," tanya beliau.

Beliau menyeru seluruh umat Islam mengutuk tindakan Britain untuk memberikan anugerah kepada Salman Rushdie itu. (sedutan dari Harakahdaily)

Bila teman baca teman kenyataan Masbahul itu, memang suatu saat teman sokong. Tetapi bila fikir semula, teman kata , lantaklah si Salman murtad ini dapat gelaran 'Sir' dari kerajaan Britain.

Maafkan , kalau fikiran teman berseberangan dengan kawan-kawan yang lain.

Teman berpendapat gelaran 'Sir' ini dianugerahkan oleh kerajaan Syaitan kepada anak syaitan.
Oleh itu teman tak nampak sudut kehebatan gelaran 'Sir' kepada Salman, murtadin yang hidupnya selama ini diburu oleh ketakutan akibat Fatwa Iman Khomeni dulu lagi.

Apakah jasa Salman kepada Kerajaan Britain sehingga dianugerah gelaran 'Sir'? Jawabannya juga amat jelas, iaitu menghina Islam, Al-Quran dan Nabi Muhammad S.A.W. Takkan Kerajaan Britain sebuah kerajaan syaitan , hendak beri gelaran 'Sir' kepada para Ulama dan pejuang Islam.

Kita sebagai umat Islam , bukannya bisu dan pekak, sehingga kita tak tahu bahawa kebanyakkan Negara Barat, terutama Amerika dan Britain secara terangan menyerang Islam diatas nama memerangi teroris. Negara-negara ini tahu, umat Islam walaupun masih belum bangun sepenuhnya, tetapi Islam perlu diperangi. Pelbagai strategi telah digunakan oleh dunia barat untuk memerangi Islam dan umatnya.

Di Malaysia pun, puak anti Islam telah meminjam beberapa strategi jahat dunia barat untuk menyerang umat Islam dari pelbagai sudut. Dan strategi barat yang sedikit sebanyak telah menunjukkan kejayaan, ialah dengan melahirkan sekelompok umat yang secara lahiriahnya beragama Islam tetapi melakukan usaha untuk menimbulkan keraguan umat Islam terbanyak terhadap ajaran Islam. Kelompok ini termasuklah pendokong gerakan hak asasi manusia, gerakan feminisme, gerakan murtadin, gerakan anti hadis, gerakan Islam liberal dan pluralisme agama , juga termasuk beberapa kumpulan ajaran sesat yang masih hidup.

Bukankah Kerajaan Britain, pendokong kuat Amerika, telah turut serta menyerang umat Islam di Afghanistan dan Iraq atas nama memerangi teroris antarabangsa. Kutuklah, makilah, laknatlah kedua kerajaan Syaitan ini, namun tugas mereka untuk melancarkan 'perang salib' terhadap Islam dan umat ini tidak akan ada tanda berhenti!

Oleh itu lantaklah Kerajaan Britain, beri gelaran 'Sir' kepada dajjal yang bernama Salman Rushdie. Dia boleh mampus bersama dengan gelaran 'Sir'nya.

Dan mengenai Perdana Menteri Malaysia yang dalam masa yang sama dia juga adalah Pengerusi OIC, janganlah diharap 'baginda' akan mengutuk kerajaan Britain kerana menganugerahkan gelaran 'sir' kepada si dajal ini kerana jadual kerjanya terlalu padat iaitu untuk melawat seluruh negara di atas muka bumi sambil bermula madu.

Juga bukan mustahil , jika, Perdana Menteri Malaysia bekerja lebih kuat menyebarkan agama Islam Hadhari sehingga seluruh dunia barat pun terpesona dan kagum , setahun dua lagi gelaran 'sir' akan dianugerahkan oleh kerajaan Britain kepada bapak mertua Khairy. Memang Pak Lah layak.Bahkan teramat layak!

Ahad, 17 Jun 2007

Pak Lah Beri Jaminan UM Tak Akan Dipindahkan


Dalam akhbar hari ini diberitakan Pak Lah memberitahu para wartawan di Kepala Batas bahawa kampus induk Universiti Malaya (UM) tidak akan dipindah daripada lokasi sekarang di Lembah Pantai ke tempat lain.Pak Lah yang juga pengantin baru seMalaya berkata, beliau sebelum ini tidak ada mendengar sebarang cadangan untuk memindahkan kampus UM itu ke tempat lain.

Maknanya syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad yang telah membuat tawaran untuk memindahkan universiti itu ke Sepang dan membangunkan tapak kampus sekarang sebagai pusat komersil dan perumahan menerusi projek yang dianggarkan bernilai RM10 bilion telah gagal merealisasi mimpi indah mereka.


Soalnya dah dua tiga hari cerita cadangan itu jadi berita, baru hari isu ini diberi reaksi oleh PM. Itupun setelah , ramai yang tak bersetuju,khususnya Pak Engku Aziz yang mengatakan, cadangan tersebut adalah gila dan kurang ajar , maka barulah Pak Lah dan Tok Najib bersuara dan menafikannya. Kalaulah rakyat berdiam diri dengan cadangan Guocoland(M)Berhad ,kita tak tahu apakah baris perkataan yang akan keluar dari mulut dari PM dan Timbalannya.

Teman tak tahu samada, teman perlu hairan atau tidak,bahawa dizaman pemerintahan Iman Islam Hadhari ini, begitu berani sangat syarikat sekian membuat cadangan atau kenyataan bahawa projek sekian akan dijalankan atau akan mengambil alih projek sekian dan Perdana Menteri kelihatan sebagai diantara orang yang terakhir mendengar cadangan yang begitu dan begini . Adakah imej Pak Lah sebagai 'Mr Clean telah bertukar kepada 'Mr Know Nothing ! Entahlah, labu!

Walaubagaimanapun, teman suka juga UM tak dialihkan ke tempat lain. Teman sebagai graduan UM , turut menyimpan ratusan nostagia semasa belajor di situ. Dan memang tak wajar UM ditukar ke tempat lain, kerana selain nilai sejarahnya, ianya juga bukan barangan komoditi yang boleh dijual beli untuk kepentingan segelintir manusia pelahap.

Oleh itu bergembiralah warga UM kerana anda kekal disitu sehingga pencen atau berhenti atau diberhentikan.

Buat , VC, pengurusan atasan, professor atau pensyarah, teman berharap supaya lipatgandakan usaha untuk mengembalikan kecermerlangan UM yang semakin merosot dari segi 'ranking'.Bior teman dan graduan UM yang lain , serta rakyat jelata dapat menumpang kebanggaan.

Dan sebagai bekas pelajar tua yang prihatin , teman ingin menasihatkan sebahagian para professor dan pensyarah supaya jangan sekali jadi professor angguk dan pecacai kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Buruk padahnya.

Peliharalah nilai kesarjanaan anda , kalau tidak anda akan diketawakan oleh rakyat,termasuk pencuci jamban dan pengawal keselamatan UM!

Selain itu, jangan gunakan kuasa yang ada untuk mengurung minda pelajar yang punya idealisme yang tinggi , dengan berselindung di belakang Akta Kolej dan Universiti. Gunakan budi bicara dan daya inteletual yang hebat supaya pelajar UM mempunyai ruang yang selesa untuk menyuarakan isihati mereka. Jangan jadikan pelajar UM, kayu mati.

Dengar tu!.

Tentu para professor dan pensyarah-pensyarah UM yang punya gelaran doktor falsafah dalam pelbagai disiplin tidak mahu disamatarafkan daya intelektual mereka dengan mamak jual pesembur bernama , Zainuddin Maidin. Malu,yop . Kalau tahu malu, ubah sikap pengampu dan pecacai kepada sikap yang beretika iaitu tunduk hanya kepada kebenaran.

Sekiranya masih terdapat sebahagian Penguasa, Professor dan pensyarah UM ,sanggup menjadi alat pecacai pemimpin Barisan Nasional , maka teman cadangkan adalah lebih baik supaya Universiti Malaya ditukar nama kepada Sekolah Menenggah Barisan Nasional Malaya. Baru betui!

Khamis, 14 Jun 2007

Apa Kata Ahli Pas Masuk UMNO Beramai-ramai

Melihat tajuk di atas mungkin kawan-kawan akan marah. Mungkin, ada yang tuduh teman sejenis manusia munafik. Mungkin ada yang akan tuduh teman sudah hilang akal. Mungkin ada kawan yang tak marah, tapi risau penyakit teman telah menjadikan teman sasau dan fikiran kacau bilau.

Sabarlah wahai kawan. Teman masih siuman. Janganlah tuduh teman sebagai munafik. Semoga Allah jauhkan perangat dan sifat munafik dari menghinggapi hati teman ini.Amin.

Teman tak sebut " marilah ahli-ahli Pas masuk UMNO beramai-ramai". Kalau itulah ayatnya, ianya dipanggil ayat seruan. Teman cuma kata"Apakata"yang berbeza dengan ungkapan "Marilah". Dalam erti kata yang lain, tulisan kali ini adalah sekadar pendapat yang boleh ditolak atau dipakai seadanya. Yang jelas ianya bukan suatu seruan!

Ikutilah hujah teman mengapa teman berpendapat ahli-ahli Pas perlu masuk UMNO seramai yang mungkin.

Umno pada pendapat teman bukanlah sebuah parti politik yang mempunyai dasar atau ideologi yang kukuh. Nak kata Umno berpegang pada nasionalisme Melayu, parti itulah yang melelong dan mengadai maruah orang Melayu. Bukankah Umno yang merompak harta rakyat terutama orang Melayu bagi kepentingan pemimpinnya. Bukankah Umno yang menyerahkan Singapura yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu kepada orang China Singapura. Bukankah Umno yang pernah menghapuskan tulisan jawi di sekolah kerajaan pada suatu ketika dulu. Bukankah Umno yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk pengajaran sains dan mathematik. Bukankah Umno yang menghapuskan biasiswa kepada pelajar Melayu di IPTA. Dan senarai kecurangan Umno akan menjadi panjang kalau semuanya ditulis disini.

Pemimpin Umno pernah mengatakan, Umno adalah pelindung agama Islam. Tetapi kita boleh lihat dengan mata kepala sendiri, betapa atas nama masyarakat majmuk, syariat Islam tidak dilaksanakan secara total. Bukankah pemimpin Umno sendiri yang mengatakan Islam berada dibawah perlembagaan. Bukankah Umno yang mengujud persekitaran 'condusive' yang membiakkan gejala murtad sekarang ini. Bukankah Umno yang cuba menghapus sekolah agama rakyat. Kalau nak dihitung tindakan hodoh Umno terhadap agama ini, maka tidak mampu untuk kita hitung kerana terlalu banyak. Bolehlah kita berkesimpulan bahawa Islam bukan dasar perjuangan Umno. Umno cuma mempolitikkan agama suci ini untuk survival parti itu sahaja.Tidak lebih dan tidak kurang!

Kelebihan Umno cuma satu, iaitu kepintarannya menipu. Dalam falsafah politik barat moden, menipu dikira sebagai helah atau suatu taktik untuk mendapat kuasa. Ianya ada suatu kesenian ataupun suatu 'arts'. Dalam konteks ini, kepintaran yang tinggi adalah amat diperlukan. Dalam soal , ini Umno boleh dikira sebagai pemenang dalam hal tipu menipu!

Oleh itu apakata ahli-ahli Pas masuk Umno beramai-ramai. Dalam Umno semua jenis manusia ada. Tetapi kemasukan ini mesti terancang dan di restui oleh pucuk pempinan Pas. Bukan semua ahli boleh diluluskan masuk Umno. Perlu penapisan. Yang lemah prinsip perjuangan, diharamkan masuk Umno. Ingat! dalam Umno semua jenis manusia ada.

Apa yang perlu ahli-ahli Pas yang lulus ujian masuk Umno, lakukan? Banyak. Cuba kita fikirkan. Tapi jangan terfikir untuk membetulkan Umno dari dalam kerana parti bedebah itu tak boleh diperbetulkan lagi. Parti itu selamanya pun tak pernah betul!

Pada pendapat teman, Umno akan cepat lingkup kalau ia diserang dari dalam. Satu cara serangan yang teman fikir baik, ialah dengan mengumpul rahsia pemimpin Umno yang tak sunyi dari skandal dan pelbagai kelemahan yang tidak cukup jari untuk menghitungnya. Maka tugas ahli pas dalam umno ialah membesarkan isu skandal atau sebarang penyelewengan di kalangan ahli umno. Maka akan berlagalah pemimpin umno dan ahli. Kejadian jatuh menjatuh akan berlaku secara besar-besaran dalam Umno , lebih hebat dari sekarang.

Ahli-ahli Pas yang masuk Umno mesti berani menghentam konsep Islam Hadhari atau hal-hal lain dalam mesyuarat UMNO atau perjumpaan bersama menteri supaya ahli-ahli Umno akan lebih terdedah kepada kesesatan fahaman karut marut yang diperkenalkan oleh mereka. Maknanya, umno terpaksa berdepan dengan ahli pas yang berpakaian Umno secara terbuka.

Sekiranya aktiviti serangan dari dalam dapat dilakukan di setiap bahagian dan cawangan Umno di seluruh pelusuk negara, cuba bayangkan ,suatu kecelakaan yang besar akan menimpa Umno dalam masa dua tiga tahun ini. Cuba fikirkan pendapat teman ini dengan tenang dan jangan gopah untuk bersetuju atau tidak.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa taktik ini sukar untuk dilaksanakan dan boleh dikesan oleh Umno dengan cepat. Maka disinilah, tugas pakar strategi dan seluruh pimpinan Pas pusat untuk memikirkan perancangan yang rapi dan merangka pelan bertindak dan keadah pemantauan yang hebat .

Oleh kerana pilihanraya semakin dekat , program menyerang Umno dari dalam , teman rasa tak perlu dilaksanakan sekarang , itupun kalau ada hajat untuk melaksanakannya kerana ianya sudah terlewat. Pas boleh laksanakan program ini sekiranya keputusan pilihanraya masih tidak menyebelahi Pas.

Di awal tulisan teman, cukup jelas teman beritahu ini hanya suatu pendapat yang boleh ditolak dan boleh digunapakai. Setiap orang ada pendapat masing-masing. Mungkin pendapat teman seakan 'gila-gila'. Tapi perlu diingat , banyak pendapat yang asalnya dianggap 'gila' akhirnya terbukti menghasilkan sesuatu yang hebat.

Sekali lagi teman mohon maaf sekiranya pendapat ini adalah yang paling 'tergila' yang pernah kawan-kawan dengar. Mungkin , teman terlalu terpengaruh dengan cara politik Saidina Muawiyah yang merupakah sahabat Nabi S.A.W. Beliau begitu pintar berpolitik walaupun ada yang menuduh beliau dengan pelbagai macam label yang tak layak untuk seorang Sahabat Nabi yang mulia. Oleh itu teman, minta kawan-kawan membaca taktik perjuangan Nabi serta para sahabat, dan jangan lupa mengkaji ketokohan Muawiyah yang berjaya mengasaskan kerajaan Umaiyyah melalui kepakaran politik beliau yang tinggi!

Maka fikir-fikirkanlah!

Rabu, 13 Jun 2007

Menara Condong Teluk Intan Dapat pujian

Di petik dari mSTARONLINE
Menara Teluk Intan lebih unik berbanding di Pisa13-06-2007 07:47:31 PM
TELUK INTAN: Sepasang pelancong suami isteri dari Australia menyifatkan Menara Condong Teluk Intan yang berusia 122 tahun di tengah bandar ini sebagai menara paling unik berbanding Menara Pisa di Itali.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata pujian terhadap menara yang terletak di satu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar di sini, disampaikan oleh mereka ketika menemui beliau baru-baru ini selepas melawat Teluk Intan.

"Pujian dan pengiktirafan ini membuktikan pelancong asing tertarik dengan keunikan Menara Condong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) hari ini.

Bagi memastikan Menara Condong terus menjadi daya tarikan pelancongan, beliau berkata penduduk serta agensi yang berkaitan hendaklah memeliharanya serta menjaga kebersihan persekitarannya.

Menara yang dibina pada 1885 sebelum ini dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan hingga ke hari ini. Namun, apabila bangunan ini condong sedikit ke arah barat laut akibat banjir besar, ia dikenali dengan jolokan Menara Condong dan menempa gelaran menara condong kedua di dunia selepas Menara Pisa.

Bangunan tiga tingkat yang diperbuat daripada batu dan kayu itu memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 4.65 meter dan jika dilihat dari luar bangunan, ia seolah-olah mempunyai tujuh tingkat. BERNAMA


Sebagai anak jati Teluk Intan, teman cukup berbangga bila sepasang suami isteri dari Australia memuji Menara condong Teluk Intan. Mereka berdua cukup kagum terhadap menara condong tersebut yang dianggap lebih unik dari Menara Pisa di Itali. Yang memberitakan kekaguman sepasang suami isteri yang baru-baru ini melancung ke Teluk Intan ialah, Menteri Besar Perak, Tok Tajul Rosli. Boleh percaya ke? Percaya sajalah, walaupun, Tok Tajol Rosli adalah di antara Menteri Besar yang tak kurang banggangnya dengan bekas Menteri Besar Perak yang lain.

Bagi penduduk Teluk Intan, menara condong itu kelihatan biasa sahaja. Mungkin kerana dah lali melihat bangunan itu. Tapi bagi teman, menara condong Teluk Intan bukan setakat unik dari segi seni binanya, tetapi ianya mempunyai nilai sentimental buat teman.

Semasa teman berada disekolah menengah dulu, teman dan beberapa orang kawan yang lain pernah menaiki menara itu sampai ke kemuncaknya dengan menggunakan tangga kayu yang terdapat di dalam bangunan itu. Kami dapati dalam menara itu terdapat tangki air yang berbentuk bulat dan boleh dikatakan tinggi. Tangki air itu, kata orang penuh berisi air yang sentiasa disimpan dan akan digunakan kalau tangki air bagi daerah hilir perak yang terletak di Changkat Jong bermasalah. Sekarang teman tak tahu samada tangki air yang pernah ada di menara condong itu masih ada lagi atau telah tiada.

Sejak teman berhijrah ke Kuala Lumpur, kerja mencantikkan menara conodong itu dan persekitarannya sentiasa dilakukan. Tapi yang hendak teman ceritakan disini, bukanlah tentang kerja-kerja pengindahan Menara Condong tersebut. Teman nak ceritakan bahawa menara condong itu mempunyai nilai sentimental buat teman.

Tolong jangan beritahu sesiapa, sejak teman pandai memasuki menara condong itu, itulah diantara tempat dimana, teman dan kawan-kawan mengilangkan diri bila malas ke sekolah. Shhhh,rahsiakan, disitulah markas teman dan kawan-kawan, melakukan perbuatan terkutuk iaitu ponteng sekolah.

Dan di dalam menara condong itulah tempat teman belajar menulis supaya tulisan tangan yang buruk akan menjadi cantik. Teman tak tulis sajak di dinding atau di tangga menara itu. Yang teman tulis ialah nama seorang gadis tingkatan dua disebuah sekolah yang bernama Horley Methodist Secondry School. Bukan sekali teman tulis. Banyak. Tak terkira.

Mengapa teman tulis nama gadis tingkatan dua itu? Sebabnya , teman suka nengok wajahnya yang ayu dan manis. Mata teman tak tahu menipu. Oleh itu , dalam pandangan mata teman, dialah gadis yang paling cantik dalam dunia ini. Sampai sekarang wajah itu, masih kuat melekat dalam ingatan teman. Selain cantik, teman suka cara dia berjalan, penuh dengan kelembutan. Dan dia juga seorang gadis yang cerdik dan aktif berolah raga. Tolong jangan ceritakan, rahsia ini pada isteri teman. Teman ni dahlah sakit , tak bekerja pula. Kalaulah ada sesiapa yang ceritakan kisah teman dalam hal ini, tak tahulah nasib teman nanti. Sekali lagi , teman minta tolong: rahsiakan! supaya isteri teman sampai bilapun tak tahu.

Tapi perlu diingat kisah silam teman yang amat suka pada gadis itu telah berlaku lebih tiga puluh tahun yang lalu. Mungkin kalau teman jumpa dia, tentu teman dah tak kenal. Perempuan Melayu kalau sudah berkahwin tak pandai jaga badan. Mungkin badannya dah sebesar guni padi. Mungkin juga dia semakin kurus melidi kerana tak bahagia hidup dengan suaminya. Mungkin. Atau mungkin dia dah bercucu. Atau mungkin juga dia telah menjanda. Dan mungkin juga dia tiada lagi di dunia ini. Kalaulah ditakdirkan dia telah menjadi arwah, teman berdoa semoga dia berada dikalangan roh-roh orang yang soleh. Amin.

Selain itu, menara condong itu, adalah diantara tempat selamat teman dan kawan-kawan mengisap rokok dan benda lain yang tak berfaedah. Tak payah ceritalah. Lagipun, itulah perangai teman semasa alam jahiliyah dulu. Sekarang teman Ok. Masih hisap rokok, tapi tak adalah 'heavy' sangat.

Semasa teman bekerja di Kuala Lumpur dulu, bila pulang kampung, teman tak pernah tak tengok Menara Condong yang terdapat jam besar yang masih berbunyi bila sampai waktunya. Nak elak supaya tak tengok pun susah, kerana menara condong ini berada di jalan utama di tengah bandar .

Hari ini, teman bukan setakat berbangga kerana Teluk Intan ada menara condong yang cukup terkenal di Malaysia dan mungkin di seluruh dunia, bahkan Teluk Intan semakin cantik dan bersih. Bagi sesiapa yang hendak menikmati makanan yang lazat tetapi harganya cukup murah,dipersilakan datang ke Teluk Intan. Pasti mahu datang selalu.

Yang buat teman terkilan , ialah Pas tak pernah menang samada bagi kerusi DUN atau Parlimen di Teluk Intan. Di bandar dan sekitarnya, orang Melayunya masih sebodoh orang perak yang lain, yang sayangkan UMNO.

Dan Perak secara keseluruhannya adalah di antara kubu terkuat UMNO di Malaysia.

Walaupun, UMNO kuat di Teluk Intan dan seluruh perak, Pas masih punya potensi untuk memenangi beberapa kerusi.

Sebelum teman pejamkan mata buat selama-lamanya, teman mengidam untuk melihat kejatuhan Barisan Nasional di Perak. Semoga Allah makbulkan.

Dan sekiranya Pas ditakdirkan menang besar di Perak, khususnya di Teluk Intan ,teman mahu Menara Condong Teluk Intan diletakkan bendera Pas di puncaknya untuk beberapa hari . Rasanya Tok Tajul Rosli pasti suka. Dan teman harap, Teluk Intan dijadikan Ibu Negeri Perak mengantikan bandaraya Ipoh. Tentu Tok Tajul Rosli tersangat suka sehingga terbit airmatanya!






Selasa, 12 Jun 2007

Bila Teman Sakit dan Sekarang Tak bekerja

Teman taklah sakit tenat. Rasanya Allah akan panjangkan umur teman. Doa minta panjang umur jarang teman lupa disetiap kali selesai menunaikan solat.

Macamanapun penyakit teman, pelik sikit, iaitu hilang keseimbangan badan.Dalam bahasa Inggeris disebut 'balance disorder'. Punca penyakit ini, dikatakan akibat dari ketidakseimbangan kimia dalam otak.Inilah pendapat doktor pakar neurologi yang teman terpaksa mengadapnya dua kali sebulan. Ketidakseimbangan kimia dalam otak mengakibatkan neurotransmiter bermasalah.

Bila pertama kali teman tanya, mengapa berlaku ketidakseimbangan bahan kimia, seperti sorotonin, dephomine, gaba dan entah apa-apa lagi,maka pakar neurologist berkenaan menjawab :"ya sheikh, dalam dunia perubatan ada masalah kesihatan yang masih belum ada jawaban".

"Oh begitu", riaksi bersahaja teman bila mendengar jawabannya 12 tahun yang lalu.

Hendak buat macam mana? Terpaksalah teman akur dengan apa yang keluar dari mulutnya.Siapalah teman, untuk tidak bersetuju.

Seorang sahabat pernah bertanya, "bagaimana rasa sakitnya yop?".

Lalu teman jawab , " kalau nak tahu rasanya cuba bayangkan mike berdiri di atas sebuah sampan ditengah sungai yang sedang berombak tanpa berpegang pada pendayungnya. Mike akan rasa hendak terjatuh. Tapi penyakit ini lebih teruk lagi, kerana kaki akan terasa lembik dan bila berjalan atau berdiri terasa melayang-layang. Teruk yop!".

Sudah 12 tahun teman mengidap penyakit ini. Ianya bukan suatu masa yang singkat. Bak kata bekas PM dulu 'dah lama dah'.Dan penyakit badan seakan 'bergoyang' sentiasa ada setiap saat.Tak pernah berhenti.

Tapi kalau setakat badan hilang keseimbangan, rasanya teman dah lali. Sekarang ni, penyakit ini menganggu pernafasan teman. Tak syok betul bila nafas tak lancar dan terasa tersekat yang boleh membuat teman tercungap-cungap.Leher dan bahu pula seakan begitu tegang dan menyakitkan. Tapi syukur, teman masih bernafas lagi!

Dan yang menjadi teman bertambah lemah, bila penyakit ini diikuti oleh penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, batu karang dan beberapa penyakit yang tak tahu teman nak namakan.

Penyakit ini juga menjadikan teman menjadi manusia yang malas nak bergerak.Jadi , banyak masa dihabiskan dirumah. Apa aktiviti teman di rumah? Banyak!

Di antaranya, teman lebih banyak berzikir, membaca buku-buku, dan ada masanya teman memasak.

Kesiankan?

Teman anggarkan beratus ribu, duit teman telah habis untuk berubat.Setiap kali berjumpa doktor sekurang-kurang RM400 meloncat keluar dari poket.Itu belum termasuk duit bila teman masuk wad.

Mungkinkah ini ujian Allah pada teman yang banyak dosa yang walaupun telah berubat dengan doktor pakar selama 12 tahun namun , penyakit ini masih belum mahu pergi dari tubuh teman.

Kesian teman!

Bukan setakat doktor pakar yang teman rujuk, bahkan teman telah cuba pelbagai jenis perubatan alternatif.Namakan jenis perubatan alternatif, semuanya telah teman usahakan: refleksologi, akupuntur, bekam, Vibration Colour Theraphy, hormoepathy,Aura theraphy, Ozone Theraphy,kairopratik,haidrology theraphy, hipnosis theraphy, ayuverdic dan entah-entah apa lagi. Bayaran untuk setiap theraphy , dalam banyak keadaan lebih mahal dari berubat cara olyphaty(rawatan di hospital).

Selain itu, teman juga berubat cara traditional Melayu. Seluruh semenanjung telah teman jelajahi untuk berubat dengan pakar perubatan tradisional. Yang teman cuba elak ialah berjumpa dengan bomoh yang guna kemeyan dan keris. Itupun ada masanya teman tertipu juga bila bomoh menyorok kemeyan dan keris di bawah tikar. Teman cuma tahu, bomoh sekian adalah bomoh-bomoh mengarut bila semasa dimulakan sessi perubatan, bomoh seperti itu yang asalnya duduk bersahaja tiba-tiba rebah dan kemudian duduk semula dan bertanya "Apa khabar cucu?".

Dan pernah pada suatu ketika, teman berjumpa dengan seorang bomoh yang mengaku sebagai ahli Pas. Di klinik beliau terdapat gambar Tok Guru Haji Hadi dan Tok guru Nik Aziz dan penuh dengan logo Pas, bulan mengembang . Melihat kepada keadaan klinik beliau yang jelas 'keePASannya' teman cukup yakin dia seorang pakar perubatan tradisional yang berkemahiran tinggi dan yang penting dia sealiran dengan perjuangan teman.

Tapi bila dia mengatakan dalam tubuh teman ada seekor bapak jin yang dihantar oleh seseorang yang telah menyihir teman dan jin tersebut telah menginap dalam tempoh yang panjang,maka berdetik hati teman mengatakan bahawa pengamal perubatan tradisional itu sama dengan bomoh-bomoh yang lain yang pernah mengatakan teman terkena sihir.

Bukan teman tak percaya bahawa sihir menyihir memang ujud. Tapi dah banyak bomoh yang teman temui mengatakan bahawa teman terkena sihir dan telah mengubati teman dan kebanyakkannya mengatakan mereka telah berjaya mengusir 'jin'dari tubuh teman. Logiknya lepas jin berambus, teman seharusnya pulih.Betul tak?

Habis, nak buat macamana? Terpaksalah teman berubat dengan bomoh yang mengaku ahli Pas yang seorang ni. Cara dia mengubat sungguh brutal.Dia tekan sekuat-kuat hati lengan sebelah kanan teman sambil bertempik "baik kau cakap yang kau akan keluar dari tubuh ini, kalau tidak aku tekan kau sampai kau mati".

Berpeluh dan hampir menitik airmata teman menahan kesakitan sambil menanti kalau-kalau ada suara 'jin' menyerah kalah dan mengaku akan keluar dari tubuh teman. Tapi hampa.Yang kedengaran hanyalah suara teman yang mengadoi. Mungkinkah yang dikatakan sebagai jin itu , tak mahu keluar kerana tubuh teman bagaikan sebuah istana yang indah padanya?

Sekali lagi lengan kanan teman ditekan semula, bahkan dua kali ganda lebih kuat dari tekanan yang pertama.Kali ini teman meraung kerana kesakitan yang keterlaluan.Teman minta bomoh yang mengaku ahli pas itu berhenti kerana teman tak tahan menanggung siksa. Permintaan teman itu dijawab oleh bomoh itu, "aku boleh berhenti kalau kau mengaku kau akan tinggalkan tubuh yang tak berdosa ini". Secara tiba-tiba teman terfikir bomoh ini akan berhenti dari menekan lenggan teman sekiranya teman berlakon sebagai jin. Maka dengan suara yang tersekat-sekat teman berkata "Ok, aku keluar sekarang dan tak akan kembali. Bye-bye".

Ah, baru lega , bila bomoh itu melepaskan lenggan teman. Dan teman macam orang bodoh(memang bodohpun) bertanya kepada bomoh tersebut" Dah pergikah jin yang ada dalam tubuh saya?".

Dengan bangganya dia menjawab " semua jin takutkan saya. Jin yang tinggal dalam tubuh awak pun mengaku sudah keluar.Jin yang ada dalam tubuh awak bukan jin Islam, sebab sebelum dia pergi dia ucap 'bye-bye'. Kalau jin Islam dia akan beri salam dulu"

"oh, begitu" balas teman sambil menahan ketawa.

Sebelum teman beredar dia menunjukkan resit bayaran yang berjumlah RM125.55sen.Melihat resit itu , teman dengan sinis berkata :"ingatkan , sesama ahli Pas bayaran perkhidmatan secukup rasa".

Mungkin bomoh ni dah biasa mendengar kata-kata yang senada itu , lalu dia menjawab sambil senyum melebar: " Sesama ahli pas, soal lain. Saya ni professional".

Bila teringat patah-patah perkataan terakhir bomoh tersebut" saya ni professional" , teman bertanya pada diri sendiri, adakah bomoh yang mengaku ahli Pas itu termasuk dalam katogeri professional seperti tokoh pemimpin dan ahli Pas yang dilabelkan sebagai professional. Entahlah.
Sekali lagi teman ulang semula bahawa belanja berubat teman telah menjangkau ratusan ribu ringgit yang mungkin bersamaan dengan 3 trilion rupiah!

Kesian teman asyik kena tipu. Padan muka. Muka siapa? Muka temanlah!

Dan akibat lain daripada penyakit ini , teman terpaksa berhenti kerja kerana sedar diri bahawa teman tak mampu membuahkan hasil kerja yang cemerlang, walaupun kerja itu memang teman cukup minat. Tapi, tidaklah teman mahu berhenti cara bodoh.

Hajat hati, teman mahu mohon 'medical board' tetapi kata doktor pakar teman, tak layak, sebab teman masih boleh berjalan dan masih belum merangkak di tempat kerja.Oleh itu teman tak boleh dianggap sebagai orang kurang upaya.

Kalaulah teman dapat 'medical board' tentu lebih untung kerana dapatlah gaji separuh sampai ke akhir hayat. Banyak juga jumlahnya.

Mungkin berkat tahap kewalian teman , tiba-tiba Syarikat teman bekerja dulu , menawarkan VSS. Dapatlah hampir tiga ratus ribu ringgit.Tak berapa banyak. Tapi teman tetap bersyukur kerana dapat berhenti kerja dan dibayar pula.

Tapi duit tu semakin susut dan sedikit waktu lagi akan habis kerana belanja untuk hidup.

Dan dengan duit VSS itu , teman telah langsaikan hutang kereta, hutang rumah dan sempat beli sebuah tapak rumah yang agak strategik tak jauh dari Putra Jaya. Kononnya kalau sihat nanti , teman nak buat rumah banglo yang sederhana .Tapi nak buat macam mana masalah kesihatan belum pulih lagi dan sekarang duit simpanan bertambah kurang.

Tahun lepas, seorang kawan ditempat kerja lama, adalah tolong beri projek melatih kakitangan untuk beberapa siri. Dapatlah duit sikit. Tapi sekarang bisniss tak serancak dulu. Kurang bisniss bermakna, kuranglah duit masuk.

Kesian teman!

Kadang-kadang teman rasa takut betul menjadi orang miskin selepas selama ini hidup dalam keadaan wang sentiasa ada. Teman perlu duit untuk terus berubat.Teman perlu beri duit belanja kepada anak-anak yang masih belajar. Takkan nak suruh mereka bawa bekal ke sekolah kerana ianya terlalu luarbiasa bagi mereka.

Bil telefon, streamyx, letrik , kad kredit dan lain-lain bil juga perlu dibayar. Nak harapkan isteri? Bolehlah sikit-sikit bantu.Sekali sekala merungut juga dia.

Nak kata teman tak ada pendapatan baru, pun tak betul. Teman sebelum berhenti kerja dulu ada buat bisniss dengan adik ipar. Tapi dunia bisniss zaman pemerintahan Pak Lah semakin suram walaupun indeks Bursa Saham berada diparas yang tinggi. Harap-harap projek Gua Musang cepat siap akhir bulan Jun ini . Teman tak nak banyak dari keuntungan yang akan diperolehi. Rasanya RM60 ribu sudah lebih dari cukup untuk menampung belanja setenggah tahun.

Terdapat pelajaran dan iktibar yang boleh teman pelajari selepas berhenti kerja. Di antaranya, teman perlu lebih berhemah berbelanja. Dulu gaya hidup teman agak mewah.Bak kata orang perak "Bior papa asai bergaye".

Kedua, jangan beri hutang kepada kawan walaupun teman banyak duit kerana bila teman kesempitan wang , kawan-kawan yang berhutang semasa teman banyak duit dulu terus menukar nombor telefon mereka , termasuk kawan-kawan seperjuangan dalam Pas.

Ketiga, kalau boleh jangan minta duit pada bini.Kesihan kepada bini yang bekerja dari pagi sampai ke senja, kemudianya terpaksa menyedekahkan sedikit duit gajinya pada teman.

Keempat, jangan harapkan kawan-kawan yang pernah teman tolong naikkan pangkat,bimbing mereka supaya berkemahiran tinggi , menjaga kebajikan mereka dan sebagainya kerana bila teman dah tak ada kuasa, kawan-kawan lama tak pandang. Teman yang dulunya pernah dipanggil "bos" kini dipanggil "abang tua". Tapi teman tak kisah. Begitulah resam dunia.

Kelima , teman terfikir untuk bekerja dari rumah kerana ianya bersesuaian dengan kerterbatasan pergerakan teman. Kerja yang macam mana? Inilah yang teman sedang fikirkan.Tapi yang pasti ,teman tak akan merompak duit isteri!

Keenam, apabila teman langsung tak berduit, teman akan melarikan diri ke Masjid yang berdekatan. Teman malu, bila anak bini minta duit, teman tak mampu nak beri.

Kalau bini dan anak-anak ada sedikit rasa belas kasihan, tentu mereka akan pujuk teman balik ke rumah. Saat itu tentu teman dapat menikmati keindahan hidup berkeluarga kerana bini masih ingat lagi bahawa teman adalah suaminya dan anak-anak pula masih ingat bahawa teman masih ayah mereka. Itu pasal teman tak hendak lari jauh-jauh. Nanti susah anak bini nak cari teman!Betul tak?

Adakalanya , teman terlebih bijak!

Kadang-kadang teman terfikir, alangkah eloknya teman boleh bermain gitar.

Bermain gitar sambil menyanyi dekat pusat membeli belah boleh dijadikan satu kerjaya yang boleh menghasilkan pulangan yang lumayan kalau kena gayanya. Dr Yusuf Qardawi, seorang Ulama tersohor pun , berpendapat bahawa tak salah main alat muzik dan menyanyi, asalkan lirik lagu baik dan boleh mengangkat kesedaran umat dan ianya tidak dibuat dalam majlis dimana arak dihidangkan.

Nanti bila , sahabat teman si orang kaya yang bernama Tarmizi balik dari L.A (USA), teman nak belajar gitar dari dia supaya teman boleh mencipta lagu yang berunsur islamik tapi berentak rock, atau pop. Teman rasa bakat seni ada tapi tak digilap kerana teman percaya pada cakap tok guru agama teman dulu yang mengatakan bahawa alat muzik yang bertali dan boleh ditiup adalah haram.

Teman bayangkan silap hari bulan, ramai orang akan membalingkan duit kertas warna merah di atas kain serban yang teman bentangkan di atas lantai , semasa teman menyanyi sambil memetik gitar.Bukan kerana suara teman lemak merdu dan indahnya lagu yang teman nyanyikan, tapi mereka kesian nengok teman yang sakit menjadi penyanyi jadian ditepi jalan!

Dan lebih mengejutkan bila Pengurus Mestro, entah siapa namanya, minta teman berduet dengan Mawi,penyanyi SMS itu dalam album terbaru yang akan meletup dipasaran.

Kesian teman!Semakin sakit semakin kuat meracau.

Bersediakah Pas dan PKR menghadapi PRU

Teman libang libu memekiorkan bolehkah pakatan pembangkang menang besor , kalaupun tidak mampu menghumban Barisan Nasional ke liang kubur pada pilihanraya Umum yang akan datang.

Bila tanya Pas, jawaban yang diberi cukup positif,iaitu 'kami telah cukup bersedia'dan yakin dapat tawan Trengganu, Kedah dan Perlis disamping mengekalkan Kelantan.

Bila tanya PKR,mereka jawab 'terdapat lebih kurang 70 kerusi Parlimen' boleh ditawan.Brother Anwar Ibrahim dikatakan akan mendedahkan penyelewengan BN dan pemimpinnya pada masa pilihanraya nanti dengan memunggah bukti-bukti yang masih disimpan .

Bila tanya DAP, mereka jawab dengan penuh berhemah bahawa cukuplah DAP jadi pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. Mungkin, Lim Kit Siang lebih minat jadi ketua pembangkang di Parlimen kerana dia sedar bukan senang nak menawan negeri yang sedang dikuasai Barisan Nasional. Dan teman syak, DAP adalah proksi MCA , di luar Barisan Nasional! Kedua parti ini, matlamatnya sama, tapi berlakon dari segi pendekatan. Jangan marah Bro Anwar dengan pandangan teman yang kurang matang ini!

Teman masih ingat , semasa Pas bersama Parti Semangat 46 yang membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah, tiga orang sahabat seperjuangan datang menziarahi teman di pejabat. Teman ingat benor tahun itu adalah tahun 1990 dan parlimen baru dibubarkan.

Semasa kami berbual, teman diberitahu supaya bersiap sedia untuk diangkat menjadi orang nombor satu di organisasi tempat teman makan gaji. Sambil tersenyum, teman bertanya adakah ianya boleh berlaku?

Sahabat-sahabat teman, dengan penuh yakin berkata "pada pilihanraya umum kali ini Barisan Nasional akan tumbang dan APU akan mengambil alih kuasa". Untuk menyedapkan hati sahabat seperjuangan, teman ketawa sekuat-kuatnya dan berkata "aku boleh jadi orang nombor satu di sini dengan syarat salah seorang dari kalian menjadi Menteri yang ada hubungan dengan organisasi ini".

Teman cukup masak dengan corak pemikiran tiga sahabat seperjuangan yang menziarahi teman di pejabat. Mereka bekerja untuk jemaah boleh dikatakan sepenuh masa.Walaubagaimanapun mereka terperangkap dalam dunia angan-angan. Bukan salah untuk berangan dan berfikiran positif, tetapi sebaiknya jangan sekali membuat kesimpulan mengenai sesuatu yang kita sendiri tak pasti.Dan teman tahu, mereka kurang bergaul dengan orang-orang yang bukan pendokong pembangkang. Kalau mereka luaskan skop pergaulan, mereka pasti kurang bercakap besar!


Kalaulah kehadiran ribuan orang mendengar ceramah Pas atau PKR yang diadakan hampir setiap siang dan malam di seluruh pelusuk negara , dijadikan indikator untuk membuktikan sokongan rakyat terhadap pembangkang semakin hebat memuncak dan mampu menguburkan Barisan Nasional, mengapa keputusan pilihanraya selalu tidak menyebelahi Pas atau parti pembangkang lain?

Kalaulah pembongkaran isu penyelewengan kerajaan Barisan Nasional dilakukan secara besar-besaran , adakah boleh dipastikan seluruh rakyat akan dapat berkongsi maklumat mengenainya , sedangkan kita tahu sebahagian besar dari mereka tidak terdedah kepada media alternatif yang cuba dicantas oleh kerajaan Barisan Nasional. Dan yang teruknya, ramai yang tak mahu melepaskan diri dari cengkaman berita berat sebelah media arus perdana dan tidak terdedah kepada media pambangkang yang bukan sahaja terbatas, tetapi disekat semaunya oleh penguasa yang hendak menguasai kerajaan sehingga akhir zaman.

Sungguh teman libang libu memekiorkannya.

Memang teman tahu, bila pemimpin Pas atau PKR berkata bahawa mereka bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihanraya, ianya adalah salah satu strategi dalam peperangan saikologi. Tetapi teman tetap libang libu kerana, yang dihadapi oleh PAS dan PKR adalah Barisan Nasional yang punya kemampuan yang besar dari segi menipu.

Persoalannya adakah kita hendak terus memaki hamun Barisan Nasional siang dan malam yang kita kenal sebagai penipu teragung di abad ini? Tidakkah maki hamun kita sia-sia seperti meminta Iblis berhenti meneruskan kerja keiblisannya. Bak kata, kawan teman 'buang gas saja'

Teman separuh setuju bila ada yang berpendapat pembangkang, terutama Pas lebih baik mencari kelemahan sendiri dan dalam masa yang sama berusaha membaikinya dan meningkatkan lagi seluruh kekuatan yang sedia ada tanpa mengadai prinsip perjuangan.

Untuk menjadi sebuah organisasi politik yang sentiasa relevan, Pas jangan sekali mengabaikan bidang penyelidikan. Teman tahu,terdapat kumpulan penyelidik yang hebat dalam Pas tetapi ianya perlu diperkuatkan lagi.

Contohnya kajian terhadap sikap sejumlah besar orang Melayu dan China yang walaupun mereka tahu kerajaan Barisan Nasional tersangat bobrok dan korup , tetapi masih terus memberi undi kepada Barisan Nasional , perlu dibuat secara bersungguh-sungguh supaya usaha mengatasinya boleh dilakukan segera.

Pada pendapat teman yang kurang arif membuat bacaan politik, golongan ini dihinggapi sindrom 'love and hate'.Mengapa sindrom 'love and hate ' masih berlaku? Kajian yang tepat perlu dilakukan.Juga, teman sedar, ada segelintir ahli Pas yang beranggapan bahawa bidang penyelidikan adalah dunia yang penuh dengan teori yang muluk-muluk.Pemimpin wajib mengubah persepsi ahli yang punya semanggat yang tinggi , tetapi tahap berfikir masih belum banyak beranjak. Salah siapa?

Parti politik juga seperti organisasi korporat yang sentiasa mengambilkira aspek keuntungan.Kedua-duanya perlu menarik pelanggan untuk membeli produk yang dihasilkan.Untuk menarik pelanggan yang baru dan mengekal pelanggan yang setia, maka kajian tentang gelagat pelanggan adalah diantara aspek yang wajib diberi perhatian tanpa henti kerana kehendak pelanggan sentiasa berubah sesuai dengan peredaran zaman.

Begitu juga dengan strategi pemasaran, ianya perlu bersesuaian dengan perubahan zaman.Bagi sesiapa yang terlibat dalam bidang pasaran, apa sahaja boleh di jual dengan mengambilkira 'the 4 Principals of marketing :People, product, place and promotion'.

Dalam konteks Pas sebagai organisasi politik empat prinsip pemasaran boleh diaplikasikan dan diambilkira dalam membuat kajian atau penyelidikan oleh kumpulan pakar penyelidik Pas.

Maafkan teman,bukan niat teman nak mengajar itik berenang, teman sekadar nak mengingat semula apa yang pernah teman belajor dulu kala!


Sekadar bahan berfikir dan selingan , teman masih ingat kuliah yang pernah diberi oleh Ramlah Adam (sekarang Datuk Professor Dr)semasa belajor di UM dulu. Katanya, UMNO bukan setakat sebuah parti politik, tetapi ianya telah menjadi institusi Melayu. Orang Melayu tanpa UMNO akan kehilangan daya hidup. Itu kata Ramlah Adam pensyarah Sejarah yang amat fanatik dengan Dato Onn Jaafar.

Walaupun teman selalu bertelaggah pendapat dengan Ramlah Adam, tetapi ada masanya teman terpaksa separuh akur dengan pendapatnya dalam soal ini.Oleh itu pemimpin Pas dan pakar penyelidik perlu mencari jalan bagaimana hendak memecah tembok persepsi orang Melayu yang melihat UMNO sebagai sebuah Institusi Melayu yang perlu dipelihara. Teman mahu melihat orang Melayu mengubah persepsi mereka dan akhirnya melihat UMNO sebagai sebuah neraka jahanam bagi umat Islam/Melayu.

Sebenarnya banyak lagi tandatanya berkaitan dengan kemampuan dan kesediaan Pas dan parti pembangkang untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan dalam waktu yang terdekat masih terus melintas dalam bingkai pemikiran teman. Tapi teman sengaja menyimpan sebahagian darinya untuk diri sendiri kerana takut ianya tak banyak mendatangkan faedah. Terutama sekali bila ianya boleh jadi fitnah.

Tambahan pula bacaan politik teman tersangat lemah dan teman pula bukan pemikir yang ada 'kelas'. Apapun , teman akan terus menulis apa yang teman fikir perlu ditulis walaupun ada orang kata apa yang teman tulis secara purata adalah mengarut . Teman peduli apa!

Teman menulis bukan kerana nama. Teman tulis berdasarkan apa yang terlintas di kepala otak. Sekurang-kurangnya , rasa libang libu akan berkurangan.

Jumaat, 8 Jun 2007

Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia

Terus terang teman mengaku dari lubuk hati yang dalam, bahawa teman bukan pakar dalam bidang bahasa.Kepakaran teman adalah dalam bidang lain.Tak perlu , teman sebut disini. Dan asalnya teman tak nak ulas tentang cadangan kerajaan Barisan Nasional untuk menukarkan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.Sekejab Bahasa Melayu , sekejab Bahasa Malaysia.Alasan yang diberi oleh beberapa orang menteri kerajaan Barisan,macam nampak pandai. Tapi bila teman baca pendapat pejuang bahasa Malayu seperi Dr Awang Sariyan dan beberapa orang yang sealiran dengannya , yang tak setuju dengan cadangan pertukaran bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, teman condong untuk tak bersetuju 360 darjah dengan kerajaan Barisan Nasional.

Bila teman terbaca di harakahdaily hari ini yang memuatkan pandangan Dr Aziz Bari pakar Perlembagaan Malaysia, teman bukan sahaja tak bersetuju 360 darjah tetapi teman terus 'mencelakakan' kerajaan Barisan Nasional yang dulu, kini dan selamanya adalah celaka yang berat sangat kesialannya.

Dr Aziz Bari menyatakan bahawa dalam perkara 152 Perlembagaan negara, jelas disebut bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.Peruntukan perkara 152 ini adalah hasil kontrak sosial yang telah dipersetujui. Oleh itu mengapa mengatai(l)nak ubah.? Apa faedahnya? Teman tak nak tanya Pak Lah. Sebab dia tengah sibuk memikirkan apa yang perlu dilaku selepas nikah besok.Bertepuk tangan? Menari? Atau buat bodoh?

Mungkin banyak perkara tentang hidup berkahwin dia dah lupa. Oleh itu mungkin dia sedang minta penasihat peribadinya ,Khairy untuk menginggatkannya tentang perilaku yang patut dibuat oleh orang yang telah berkahwin.

Nak tanya Zainuddin Maidin, memang tak boleh harap kerana dia percaya yang mula memperkenalkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan ialah Tuanku Abdul Rahman.

Jangan bagi tahu sesiapa , bahawa sejak dari dulu lagi , teman memang tak suka pada Zainuddin Maidin , kerana masa dia jadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia , apa yang dia tak kata pada hukum hakam dan pejuangan Islam.

Perangai hodohnya semakin menjadi, bila dia diangkat jadi Menteri Penerangan atas kejayaanya menjadi tukang ampu nombor satu. Anak kepada Maidin ini, kalaulah ditakdirkan hidup dizaman Nabi , dengan mengambil sikapnya terhadap Islam semasa dulu dan sekarang, mungkin dia selesa menjadi sahabat sehidup semati dengan si Abi Lahab. Mungkin. Patutnya dia bersyukur kerana dia tak sezaman dengan Nabi S.A.W tercinta . Kalau tidak malang baginya. Nasihat teman, selagi masih bernafas elok sangat dia bertaubat dan balik kampung jual pesembur.Wajah kemamakkannya dan perangainya amat sesuai untuk menjual capati, roti canai dan tak boleh diabaikan,pesembur!

Nak tanya Tok Najib, dia sibuk menyuruh isterinya mengusap kepalanya setiap masa supaya rambut baru tumbuh di atas kepalanya agarkelihatan lebih macho bila jadi perdana Menteri seandainya Pak Lah tiba-tiba letak jawatan kerana mahu beri tumpuan sepenuh masa dan bersenda loka dengan isteri barunya.

Jadi nak tanya menteri Barisan Nasional yang mana? Ah, tak payah tanyalah pada menteri-menteri barisan nasional. Lebih baik bertanya pada lembu atau kayu kerana lembu dan kayu lebih afdol dari menteri-menteri Barisan Nasional.

Dan bila bercakap tentang bahasa Melayu, teman teringat kuliah yang diberi oleh Dato Prof Ismail Hussin semasa teman belajor di UM dulu. Walaupun teman pernah dimarahi dan disuruh berdiri sepanjang kuliahnya kerana datang lewat , namun teman sungguh terkesan dengan isi kuliah yang disampaikan oleh beliau pada hari itu.Yang paling teman ingat ialah tentang kata-katanya bahawa Bahasa Melayu bukan setakat sebuah bahasa yang indah tetapi ianya padat dengan roh Islam , dan kerana itu bahasa ini perlu dipertahankan. Teman tak mahu menghuraikan maksud 'roh Islam' dalam Bahasa Melayu yang keluar dari mulut Prof tersebut kerana agak akademis dan tentu sekali perbincangannya panjang.(teman pun tak berapa faham sangat kerana kuliah ini adalah bagi kertas elektif sahaha). Dengan demikian cubalah cari sendiri maksud tersebut, dan nantinya kita akan lebih sayang pada bahasa Melayu.

Tetapi lihatlah sekarang yop!, walaupun bahasa ini sejak dulu telah dinobatkan sebagai sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang diperakui oleh Perlembagaan negara, ianya semakin hari semakin terpinggir ,seolah-olah ianya tiada tuan yang memeliharanya .

Sebagai selingan teman hendak cerita bahawa teman pernah berkerja di sebuah syarikat GLC yang asalnya sebuah Jabatan kerajaan. Pada peringkat awal dari tarikh ianya diperbadankan dan kemudian dijadikan syarikat swasta sepenuhnya , bahasa Melayu di digunakan seluasnya dalam mesyuarat bagi kumpulan pengurusan dan urusan rasmi seperti surat menyurat.

Tetapi selepas lebih kurang sepuluh tahun kemudian, iaitu selepas berlaku rombakan pengurusan atasan , dimana seorang Dato yang pernah belajar di MCKK dilantik menjadi Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, teman seolah merasakan teman bekerja di London. Bermesyuarat dalam bahasa Inggeris. Menulis dan menjawab e mail di kalangan pengurusan juga dalam bahasa Inggeris. Surat menyurat pun dalam bahasa Inggeris. Yang masih kekal, selepas mesyuarat yang panjang ,ialah bersantap masih bernasi dan berlaukan masakan Melayu. Dan nasib baik, tak disuruh sembahyang menggunakan bahasa Inggeris.

Yang teman kesian ialah puak eksekutif yang tak begitu pandai berbahasa Inggeris. Puak ini walaupun banyak idea untuk diketenggahkan semasa mesyuarat, lebih suka berdiam diri, takut bahasa Inggeris yang keluar dari mulut, bunyinya lain macam dan akan diketawakan. Bila ditanya mengapa tak bercakap, ada yang beri alasan , sekiranya bercakap banyak tentu banyak salah. Bila apa yang dicakap banyak salah, maka banyak dosa. Bila banyak dosa, maka nerakalah balasannya! Hebat alasan seperti itu!

Lebih memilukan hati teman, bila puak yang tak pandai bahasa Inggeris, terpaksa menulis kertas kerja dalam bahasa itu untuk dikemukakan kepada pihak atasan syarikat atau dibentangkan dalam mesyuarat. Terpaksalah minta tolong dari orang yang pandai.Atau mengupah sesiapa yang sanggup menterjemahkan kertas kerja yang asalnya ditulis dalam Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Inggeris.

Huruhara hidup kawan-kawan teman yang tak pandai berbahasa Inggeris di syarikat teman berkerja dulu.

Teman juga turut bersimpati pada seorang kawan yang dicarut dalam bahasa Inggeris oleh CEO/MD kerana kesalahan yang teman anggap terlalu remeh. Carutan yang tak wajar keluar dari mulut seorang CEO/MD membuatkan kawan itu menanggis kerana perasaan seorang perempuan mudah terhiris. Oppp, jangan kata teman ramai girl friend,yop walaupun teman handsome. Tak elok tu!

Kalaulah teman dicarut oleh CEO/MD sepertimana kawan teman itu kena , nescaya CEO/MD itu tahu samada langit rendah atau tinggi. Teman orang Melayu yang ada maruah. Orang perak pula. Teman bukan nak cakap besar, kalaulah dia carutkan teman, nescaya teman hamburkan seribu kali carutan yang dia tak pernah dengar seumur hidupnya.Walaupun teman pejuang Islam, saki baki buruk masih ada! Teman nak tenggok apa riaksinya. Tentu dia terkejut! Silap hari bulan, teman kena tukar.Peduli apa. Syarikat itu bukan bapak dia yang punya.

Jangan marah, teman tengah panas hati ni bila teringat waktu bekerja dulu semasa Dato yang sekor ni, bawa budaya baru dalam syarikat.Teman juga masih ingat dia pernah panggil teman dan beberapa pegawai dibawah kawalan teman, bermesyuarat pada jam sepuluh pagi. Tapi dia anjakkan waktu mesyuarat beberapa kali pada hari itu. Oleh kerana pejabat teman bukan dibangunan yang sama, maka teman berkeliaran dari satu meja ke meja yang lain berjumpa kawan-kawan yang bekerja dibangunan itu sementara menanti disuruh masuk ke bilik mesyuarat.

Akhirnya bila waktu Maghrib hampir tiba, barulah teman dan 'gang'disuruh masuk.Bila teman dan 'gang' masuk dia mula bersyarah dulu. Mata teman lebih banyak tertumpu kepada jam dipergelanggan tangan. Bila teman dapati Maghrib sudah berada dipertenggahan waktu, maka teman menganjurkan supaya Dato sekor ni, menangguh mesyuarat untuk seketika kerana teman nak solat.Dia tersentak mendengar saranan teman. Lalu dia dengan nada sinis mengatakan bahawa mesyuarat ditangguhkan kepada suatu hari yang Setiausaha dia akan beritahu.

Ringkas cerita, sejak hari itu , teman tak pernah hadir lagi mesyuarat kalaulah dato sekor ini yang menjadi pengerusinya. Berkat 'kewalian'teman, tidak pula dia ambil sebarang tindakan. Mungkin dia menyampah nengok muka teman. Teman pun nyampah muka dia.

Teman juga tak berkenan dengan sikap Dato ni yang bencikan Pas secara keterlaluan. Memang dia punya pasalah kalau dia benci pada Pas. Itu haknya. Tapi yang menjadikan teman terlalu benci dan meluat dengannya , bila pada suatu ketika dia melawat beberapa cawangan syarikat di Kelantan, dia telah secara biadab menyuruh kakitangan disana menurunkan gambar Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Teman berkesimpulan, otak dato sekor ni, terletak dicelah punggungnya kerana tak tahu membezakan pemimpin Pas dan Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin negeri.

Teman, walaupun tak pernah sayang pada Pak lah seperti sayangnya teman pada Tok Guru Nik Aziz, tidak pernah sekalipun teman menyuruh kakitangan menurunkan Gambar Pak Lah yang tergantung di ruang pejabat, Dewan Serbaguna , di lobi blok pentadbiran atau dimana-mana gambar Pak Lah tergantung. Gambar Pak Lah yang digantung di seluruh kompleks bangunan pejabat di bawah kawalan teman adalah gambar seorang Perdana Menteri.

Memang tak siapa boleh nafikan, Pak Lah dalam masa yang sama adalah Presiden UMNO (parti sial), tetapi gambar yang digantung adalah gambar Pak Lah atas kapisitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sebagai rakyat, teman kena hormat gambar Pak Lah. Dan teman pun tak malu untuk mengaku bahawa teman pun selalu membalas senyum pada gambar Pak Lah yang seakan tersenyum pada teman dan seakan sedang memerhati teman dengan penuh kekaguman!

Maafkan teman ,yop , kerana boleh dikatakan tulisan teman selalu lari dari fokus asal. Nak buat macam mana. Teman menulis apa saja yang melintas secara tiba-tiba di kotak pemikiran teman!Ada juga yang teman tulis setelah teman fikir terlebih dahulu.

Tetapi , apa yang teman tulis tentang kisah bekas MD/CEO di syarikat dimana teman pernah bekerja,sedikit sebanyak membuktikan kebenaran hujah Dato Prof Ismail Hussin, yang mengatakan bahawa dalam Bahasa Melayu ada 'roh Islam'.

Sikap dan mentaliti Dato MD/CEO yang teman cerita seperti di atas ,yang merasa hebat berbahasa Inggeris ,jelas kurang Islamik seperti mencaruti pegawainya, tidak menghormati waktu solat, tak suka pada perjuangan Islam dan tak suka pada Ulamak adalah natijah daripada berbahasa Inggeris secara melampau.

Memang contoh tentang seorang Dato yang teman perkisahkan seperti di atas, terlalu simplistik dan longgar dan tidak boleh mewakili semua orang yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.Namun teman percaya , seseorang yang terlalu 'extreme' berbangga berbahasa Inggeris , berkemungkinan dipengaruhi oleh roh bahasa tersebut yang berpaksikan nilai dan budaya barat yang berasaskan falsafah yang pelbagai dan bercampur aduk iaitu ada yang baik dan ada yang buruk.

Di sudut ini teman berpendapat, Islam boleh membimbing Bahasa Inggeris supaya roh bahasanya lebih tinggi nilainya yang akhirnya mencorak cara berfikir penutur bahasa tersebut bagi memudahkan mereka menerima kebenaran sebagai kebenaran dan kepalsuan sebagai kepalsuan.

Sekali lagi kemaafan teman pinta , kerana kali ini teman menulis sesuatu yang kurang teman fahami secara baik. Tapi entah mengapa jari jemari teman kali ini terlalu gatal untuk menulisnya.Nak buat macam mana?

Dah kehabisan modal ni!

Akhir kata marilah kita berusaha mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan disamping mengisinkan bahasa-bahasa lain untuk dituturkan oleh kaum lain dengan bebas sebebasnya.Dan kepada mereka yang hendak mengatal menukar Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia, sila datangkan tiga sebab yang kuat dan ampuh supaya dapat diterima oleh Dr Awang Sariyan dan pakar-pakar bahasa Melayu yang lain? Kalau tak mampu, eloklah mereka mengekalkan apa yang ada dan duduk diam-diam. Buat macam orang bodoh, walaupun memang sejak azali telah memang bodoh dan banggang?

(Nota: teman pun ada masanya banggang )

Rabu, 6 Jun 2007

Ucapan Selamat Pengantin Baru Buat Pak Lah

PETIKAN DARI mSTARONLINE
06-06-2007 07:06:06 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melangsungkan perkahwinannya dengan Jeanne Abdullah pada Sabtu ini.

Menurut kenyataan daripada pejabatnya hari ini, majlis akad nikah akan dilangsungkan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana dalam satu majlis tertutup yang akan hanya dihadiri keluarga terdekat.

Abdullah kehilangan isterinya allahyarham Datin Paduka Seri Endon Mahmood pada Oktober 2005 kerana barah payudara.

Jeanne, 53, mempunyai dua anak daripada perkahwinan sebelumnya, Nadiah dan Nadene.

Beliau dilahirkan pada 29 Julai 1953 dan merupakan anak sulung daripada empat adik beradik.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan dan pernah bertugas dalam pengurusan beberapa hotel terkemuka di negara ini, termasuk Hotel Hilton Kuala Lumpur dan Hotel Pan Pacific.

Jeanne juga pernah bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Pengurus Kompleks Seri Perdana.


Dalam posting semalam teman berimajinasi yang Pak Lah berkahwin dengan Syafinaz, tiba-tiba hari ini teman dapat tahu dari mSTARONLINE, yang Imam Besar Islam Hadhari,merangkap Perdana Menteri akan menikah dan berkahwin dengan seorang perempuan bernama Jeanne Abdullah,53 pada hari Sabtu ini di Seri Perdana.

Oleh itu teman sebagai rakyat Malaysia dengan penuh keriangan mengucapkan Selamat pengantin baru kepada Perdana Menteri Malaysia. Dan serentak dengan itu teman ucapkan selamat jalan kepada zaman menduda kepada Pak Lah. Syabas Pak Lah. Gua caya sama lu dalam bab kawin ini saja!

Kalaulah dibenarkan oleh Polis Malaysia, teman akan perintahkan anak-anak teman menggunakan mariam buluh untuk meletupkan tujuh das tembakan ke udara sebagai tanda gembiranya teman terhadap perkahwinan Perdana Menteri yang dikatakan oleh para lawannya , sebagai Perdana Menteri yang terlemah sekali sejak merdeka.

Khabar Pak Lah akan kahwin dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau telah kahwin telah lama tersebar.Dan Pak Lah dengan tersenyum telah dua tiga kali menafikan khabar angin seperti itu. Penafian beliau seperti lagak setenggah artis Malaysia yang selalu menafikan akan berkahwin dengan si polan anak kepada si anu tetapi akhirnya berkahwin juga dengan si polan.

Nama calon isterinya pun disebar oleh pedagang khabar angin.Tetapi di Malaysia, khabar angin selalunya akan berlaku. Dan terbukti calon isterinya benar-benar bernama Jeanne Abdullah sebagaimana yang disebarkan oleh pedagang khabar anggin.

Semoga keputusan Pak Lah untuk berkahwin bagi kali kedua adalah muktamat dan tidak ditarik balik seperti arahan penarikan balik keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah dan menenggah mengunakan telefon bimbit sewaktu berada didalam kawasan sekolah.

Dan apa yang lebih penting keputusan untuk berkahwin ini bukan dibuat semasa Pak Lah tidur!

Yang teman tak puas hati mengapa majlis akad nikah Pak Lah hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan tidak dijemput kawan-kawan beliau dikalangan ahli kabinet? Tidakkah Samy Vellu akan marah kerana tak dijemput. Dia boleh jadi tukang 'amin'yang baik kerana suaranya yang besar. Dan tidakkah Tok Najib berasa hiba kerana sebagai Timbalan Perdana Menteri dia seharusnya dijemput. Atau pun majlis nikah sahaja dibataskan pada ahli keluarga terdekat, manakala majlis Perkahwinan akan dibuat secara besar-besaran dengan menjemput rakyat jelata dan semua menteri kabinet untuk mengalahkah majlis perkahwinan Datok Siti dengan Datok K. Tapi soalnya adakah majlis perkahwinan Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia?

Yang teman pura-pura risau,ialah adakah majlis akad nikah dan majlis perkahwinan dibuat dalam masa yang sama dan dihadiri oleh saudara terdekat sahaja. Maka peluang rakyat hendak melihat Perdana Menteri mereka naik jinjang pelamin akan tidak kesampaian.Dan peluang Tun Mahathir untuk hadir melihat bekas Timbalannya menjadi raja sehari, tidak dapat jadi realiti.

Kalaulah benar, Pak Lah tidak akan mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh rakyat jelata, maka tentunya banyak isyarat tandatanya(??????) terpacak dalam kepala teman.

Pertama, adakah Pak Lah malu kerana takut orang mengatakan 'dah tua pun masih mengatal hendak kahwin?'. Kalau kerana malu ,teman tak setuju kerana ada lelaki yang berumur lebih 80 tahunpun, berkahwin untuk kali pertama, kedua atau ketiga.

Kedua, adakah Pak Lah tak mahu membuat majlis perkahwinan kerana tak mahu membazir duit bagi menjamu rakyat dan orang kenamaan makan atas alasan kerajaan tak beri peruntukan untuk berkahwin walaupun yang berkahwin adalah seorang Perdana Menteri?

Wahai Pak Lah kalau itulah alasannya, teman anggap ianya terlalu lemah. Bukankah gaji dan elaun Pak Lah bertimbun disimpan ? Dan takkan anak menantu dan anak sendiri tak boleh bantu. Mereka dah jadi orang yang lebih kaya sejak Pak Lah jadi Perdana Menteri. Kalau anak dan menantu pun tak mahu bantu, buat satu panggilan ke Maxis, semua masalah selesai.

Ketiga, adakah kerana Pak Lah tak mahu jemput Tun Mahathir, maka majlis perkahwinan besar-besaran tak perlu dibuat. Hal Tun Mahathir ini jangan dirisaukan sanggat. Kalau dia dijemput , dia mungkin secara mengejut meminta untuk dimasukan ke IJN. Alasan yang diberi ialah dia mahu pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan teliti dibuat oleh pakar di IJN. Dan sebagai ganti diri, dia akan menghantar kad ucapan tahniah buat Pak Lah!

Keempat, adakah Pak Lah takut menantunya yang bernama Khairy tiba-tiba main mercun dan mengarah pengikutnya menjulangnya seperti yang berlaku di Ijok supaya dia boleh berteriak 'hidup daddy, semoga happy dihari bahagia ini'.

Memang telah diketahui oleh ramai orang ,Khairy ada sejenis penyakit pelik dimana dia tak boleh tenggok orang ramai, seperti di majlis perkahwinan atau majlis yang seumpama dengannya. Di dalam majlis yang mengumpulkan orang ramai perwatakan Khairy, menantu kesayangan Pak Lah akan berubah cara tiba-tiba.Teman tak kata dia akan berubah seperti pengidap babi gila.Perubahan perwatakkannya tidak siapa pun boleh menduga. Kalau di Ijok dulu, dimana terdapat ramai manusia, dia tiba-tiba berwatak samseng. Bukan samseng sembarangan, tetapi kepala bapak samseng!

Kalau itulah yang Pak Lah takutkan, apakata menantu Pak Lah yang seorang ini dikurang didalam sebuah bilik di Seri Perdana, tetapi pastikan bilik itu 'sound prove' supaya jeritan ala samsengnya tidak kedengaran.

Apapun Pak Lah jangan terlalu berkasar sangat dengan Khairy kerana takut nanti , Nori anak kasayangan Pak Lah akan menjadi ibu tunggal pula dan Pak Lah akan berputih mata kerana kehilangan seorang menantu yang bakal menjadi Perdana Menteri termuda di Malaysia pada suatu hari nanti!

Sekali lagi teman ucapkan selamat pengantin baru dan semoga bahagia selagi hayat dikandung badan.Semoga Pak Lah tak tertidur semasa angkat nikah nanti, dan lebih sensasi kalau tok kadi akan mengatakan Pak Lah bukan tidur tapi pengsan. Tak pasal-pasal Tok Kadi akan diugut untuk didakwa oleh pengampu Pak Lah!

Teman rasa tak sesuai kalau teman ucapkan semoga Pak Lah cepat-cepat dapat menimang anak hasil dari perkahwinan ini. Ini adalah kerana kalau berdasarkan adat kebiasaan ,mungkin agak payah Jeanne yang dah agak berumur dan mungkin telah monopouse untuk mengandung. Tapi kuasa Allah mengatasi hukum akal manusia dan oleh itu bukan mustahil dan anih kalau dalam waktu yang tak sampai setahun, Pak Lah akan mengalunkan azan ke telinga anak yang baru lahir.

Akhir kalam, teman berharap bebenor anak jeanne yang seramai dua orang itu , iaitu Nadiah dan Nadene tidak segera membuka langkah untuk berlumba dengan Khairy dan Kamaluddin untuk menjadi diantara makluk yang terkaya di Malaysia!

(Nota:Buat Pak Lah ,kemaafan adalahm dipinta sekiranya teman terkasar bahasa Malaysia!)